Thursday 24 November 2011

Kepentingan insurans diri

Perbelanjaan hidup di zaman moden amat memerlukan kos yang tinggi. Namun begitu, jangan lupa melabur dalam insurans nyawa (life insurance). Terdapat banyak kelebihan-kelebihan yang akan kamu perolehi sekiranya kamu memiliki polisi tersebut:-

  1. Gaya hidup yang tidak sihat, pencemaran, stress dan pelbagai rencam penyakit adalah punca-punca kematian awal. Apa akan jadi kepada keluarga dan tanggungan sekiranya kita meninggal dunia lebih awal? Insurans boleh menawarkan pampasan supaya kepentingan keluarga terpelihara meskipun ketua keluarga atau sole breadwinner menemui ajalnya terlebih dahulu.
  2. Kos hidup yang tinggi menjadikan kita perlu membuat banyak perbelanjaan besar. Ini ditambah dengan kos rawatan perubatan yang tinggi. Bagaimana jika kita tiba-tiba jatuh sakit dan tidak dapat menyediakan belanja rawatan yang secukupnya? Di sini insurans memainkan peranan yang amat besar sekali dalam membantu kamu menampung perbelanjaan perubatan.
  3. Insurans juga boleh menjadi sumber tabungan. Jika dalam fasa kehidupan tertentu, kamu tiba-tiba memerlukan perbelanjaan kecemasan, polisi insurans boleh dibatalkan supaya kamu boleh mendapat semula wang-wang yang telah dibayar sebelum ini. Di sini insurans boleh menjadi sumber kewangan alternatif untuk diri kamu.
  4. Bayaran bulanan untuk caruman insurans boleh kamu gunakan untuk mendapatkan pelepasan cukai. Terdapat ramai orang yang mengambil polisi insurans dengan niat untuk mendapatkan pelepasan cukai.
  5. Mengambil insurans juga boleh membantu kamu mempunyai tabiat menabung yang baik. Di samping itu, insurans adalah kayu pengukur tentang betapa berharganya dirimu dan betapa pentingnya kamu mempunyai jaringan keselamatan (safety net) sekiranya berlaku kemalangan dan kecemasan melibatkan nyawa dan kesihatan diri.

Friday 18 November 2011

Anak kencing malam

  1. Adalah menjadi kebiasaan bagi kanak-kanak yang membasahi tilam di waktu tidurnya. Bagi kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, normal bagi mereka jika terkencing pada waktu malam kerana mereka masih belum dapat mengawal fungsi urin dan buah pinggang. Namun berhati-hati jika kanak-kanak telah berusia 7 tahun ke atas kerana sikap kencing malam mereka perlu dirawat dari terus berlarutan.
  2. Kencing malam (bedwetting) boleh berlaku akibat masalah kesihatan atau psikologi. Masalah kesihatan yang dialami mungkin berpunca dari penyakit buah pinggang, sembelit atau jangkitan pundi kencing. Masalah psikologi pula mungkin berpunca dari persekitaran seperti masalah di sekolah atau tekanan akibat ibubapa bercerai.
  3. Jangan mengejek anak yang kencing malam kerana ia akan mengakibatkan mereka malu dan menunjukkan kita tidak menyokong mereka. Bantu mereka menangani situasi tersebut secara positif. Jika mereka telah mengotorkan tilam, latih mereka menyalin dengan pakaian dan cadar yang bersih, bukan untuk menghukum sebaliknya untuk membantu mereka menghadapi situasi tersebut dengan berkesan.
  4. Elakkan memberi mereka minum dalam tempoh 2 jam sebelum tidur. Jika minum juga jauhi minuman berais, teh, kopi atau pun cola. Suruh mereka membuang air kecil sebelum tidur dan lapik tilam mereka dengan alas kalis cecair.
  5. Jika telah melakukan pelbagai usaha namun mereka tetap kencing malam juga, segera bawa anak berjumpa doktor. Beberapa situasi mungkin menunjukkan anak mengidap penyakit yang merbahayakan, seperti kencing yang berbau, kesakitan atau terkencing pada waktu harian. Ingatlah bahawa anak-anak amat memerlukan ibu bapa dalam memantau masalah kesihatan yang mungkin membelenggu dalam pada mereka menjalani kehidupan.