Thursday, 18 August 2011

Khas untuk wanita

Beri perhatian khusus pada penjagaan payudara
Payudara memerlukan penjagaan rapi sama seperti anggota tubuh yang lain. Beri lebih perhatian kepada payudara terutama di sekitar usiamu antara 30 hingga 40 tahun. Penjagaan awal akan membantu mengekalkan bentuk payudara dan mencegah kekenduran.
  1. Sentiasa kawal berat badan. Elakkan berat badan turun naik secara mendadak. Perubahan badan yang drastik akan memberi kesan kepada bentuk payudara. 
  2. Pakai bra yang bersesuaian. Bra adalah pelindung tubuh yang paling baik untuk payudara. Dapatkan bra yang bersaiz sepadan. Saiz bra mungkin berubah mengikut perubahan bentuk badan, contohnya selepas bersalin. Rujuk panduan untuk memilih saiz bra, atau jika tidak pasti, tanya promoter di bahagian pakaian dalam tentang saiz yang berpadanan untuk kamu. Kenalpasti fungsi yang ada pada sehelai bra. Contohnya, kamu memerlukan bra yang bertali sokongan kuat jika kamu mempunyai dada yang besar. Manakala bra yang mempunyai span, mungkin tidak elok kerana ia menghalang pengudaraan kepada kulit badan.
  3. Pastikan postur badan kamu lurus dan tegak. Badan yang bongkok akan memberi kesan kepada struktur dada dan payudara. Postur badan yang elok akan memberi sokongan kepada tubuh. Bersenam juga akan membantu menguatkan otot-otot yang menyokong payudara.
  4. Kekalkan kemudaan payudara dengan menyapu krim pelembab. Kulit di sekitar payudara juga memerlukan penjagaan rapi dan khusus.
  5. Buat sendiri pemeriksaan payudara. Doktor menyarankan supaya kamu membuat pemeriksaan payudara dengan kerap bagi mengesan sebarang perubahan luarbiasa. Semasa mandi, angkat 1 tangan dan periksa payudara kanan dengan tangan kiri secara gerakan membulat perlahan-lahan. Kemudian, ulang langkah yang sama untuk payudara kiri. Lakukan pemeriksaan sendiri pada setiap bulan.
  6. Jika melakukan senaman atau berlari, pakai bra untuk sukan (sports bra). Payudara akan cepat kendur jika tidak mendapat sokongan yang padu. Secara alternatif, pilih senaman kurang lasak. Elakkan jogging, sebaliknya hanya berjalan pantas (brisk walking) bagi meminimakan paluan badan (body bouncing).

Hadapi kehidupan dengan girang

Kehidupan tidak pernah sempurna. Ia seringkali terisi dengan suka dan duka. Tapi itu tidak bermakna kita harus terus-terusan bersedih. Jalanilah hidup ini dengan kegembiraan. Saya senaraikan beberapa langkah-langkah di sini yang boleh membantu kamu menjadi lebih gembira.
  1. Bersikap realistik. Adalah normal untuk kita mempunyai mood yang sentiasa berubah-ubah. Adalah normal untuk sesekali bersedih, kecewa dan kemudiannya riang kembali. Ia adalah naluri manusia biasa.
  2. Jaga kesihatan kerana ia adalah kunci utama untuk menjadi gembira.
  3. Hidup dengan pasangan yang kamu cintai dan hormati, dan dia juga ada perasaan yang sama terhadap dirimu. Kongsi perasaan suka dan duka dengan dirinya. Hubungan cinta yang hangat juga adalah kunci kepada kegembiraan.
  4. Kanak-kanak sangat mendatangkan kegembiraan. Isi masa terluang dengan anak-anakmu. 
  5. Pelihara haiwan kesayangan. Ia terapi yang sangat baik di samping dapat menghilangkan kesunyian
  6. Jalani hubungan persahabatan dan persaudaraan. Kongsi kasih sayang dan dapatkan sokongan mereka dalam kehidupan.
  7. Kalau ada orang yang memberi pengaruh negatif kepadamu, dan menjadikan kamu merasa kecewa, jangan takut untuk 'membuang' mereka dari hidupmu
  8. Banyakkan senyum dan tertawa
  9. Lakukan kebaikan secara senyap-senyap. Bersedekah tanpa memaklumkan namamu. Beri bantuan kepada golongan yang memerlukan
  10. Uruskan kewangan dengan bijak. Jangan berbelanja melebihi pendapatan. Elakkan berhutang. Jangan memberi pinjam wang kepada orang yang kamu rasa tidak mampu membayar
  11. Beri perhatian kepada diri sendiri. Rawat wajah, kulit dan rambut. Lakukan perkara-perkara yang menyenangkan dirimu sendiri.
  12. Hidu bau-bauan yang harum. Wangikan bilik, kediaman dan ruang bekerja supaya minda lebih lapang
  13. Nikmati alam semulajadi. Berkebun, berjalan di pesisiran pantai, bersiar-siar di taman atau nikmati langit malam.
  14. Suburkan minda dan tajamkan pengetahuan. Ambil tahu perkembangan berita semasa, baca suratkhabar, tanamkan minat untuk mengetahui sesuatu isu.
  15. Dengar muzik, tonton rancangan TV kegemaran dan keluar menonton wayang
  16. Hadiahkan diri sendiri dengan benda-benda yang boleh menggembirakanmu. Beli novel, majalah, bunga, coklat, kek atau album muzik. Hargai diri sendiri.
  17. Sekali-sekala, keluar makan dan minum di restoran kegemaran
  18. Lakukan hobi. Bersukan, melawat muzium, menulis, melukis atau bermain muzik.
  19. Sertai perkumpulan seperti NGO, parti politik atau persatuan ibu bapa dan guru jika kamu ingin bergiat aktif dalam masyarakat
  20. Melancong untuk memahami dan mempelajari budaya berbeza.
  21. Simpan diari dan foto untuk mengenang saat-saat manis dalam kehidupan
  22. Paling penting sekali melebihi senarai yang di atas - Jadikan Agama sebagai asas dalam kehidupan.

Wednesday, 17 August 2011

Hargai peranan ibubapa

Jadikan Syawal ini sebagai permulaan yang paling kudus untuk menghargai ibu bapamu. Jika selama ini kamu terleka dan kurang mengambil berat hal ibu bapa, masih belum terlambat untuk kamu bermula sekarang. 'Bumi mana yang tidak ditimpa hujan', begitu juga dengan ibu dan bapa. Bukan semua orang memiliki ibu bapa yang serba-serbi sempurna, malah ada yang pernah berselisih faham. Hargailah ibu dan bapamu sementara mereka masih bernyawa, kerana dari mereka kamu mengenal makna sebuah kehidupan.
  1. Sejukkan hati dan perasaan ibu bapamu dengan ucapan Terima kasih.
  2. Tanya khabar mereka, sekurang-kurangnya dengan menelefon seminggu sekali. Beritahu mereka tentang perkembangan dirimu sehari-hari. 
  3. Lawat mereka selalu, terutama semasa hari-hari istimewa, perayaan dan hujung minggu
  4. Sentuh ibu bapamu. Peluklah ibu selalu tanda kamu mengasihinya. Salam dan cium tangan bapa tanda kamu menyayanginya.
  5. Beri tandamata. Ia tidak semestinya mahal. Memberi bunga kepada ibu akan menyentuh hatinya. Sesekali, bawa mereka keluar makan malam bersama
  6. Bertanggungjawab. Beri bantuan tenagamu terutamanya jika ibu bapa sudah tua dan uzur. Bantu mereka mermbersihkan rumah, memasak makanan, beri belanja harian dan bantu mereka menyelesaikan bil kediaman.
  7. Rancang hari istimewa untuk keluarga. Himpunkan seluruh anak-anak dan cucu-cucu untuk majlis hari istimewa keluarga seperti re-union, BBQ, meraikan ulangtahun perkahwinan ibu bapa ataupun pergi bercuti bersama-sama. Tiada yang lebih mengembirakan ibu bapa selain daripada melihat anak-anak dan cucu-cucunya sendiri bergembira.

Datang bulan ketika Ramadhan

Meski tidak boleh bersolat, bertasbihlah memuji Allah
Ramadhan ialah bulan untuk kita mengambil peluang mendapat barakah dan rahmat Allah. Tapi bagaimana untuk tidak ketinggalan dalam beramal, jika kita didatangi haid? Umum mengetahui bahawa wanita yang datang haid tidak boleh berpuasa. Namun masih ada jalan dan cara untuk mendapat pahala di bulan mulia ini.
  • Wanita yang datang haid hanya dilarang bersolat, berpuasa, tilawah dan menyentuh Al-Quran, iktikaf dan 'bersama' suami. Amalan-amalan selain dari itu tidak dilarang
  • Dari segi ibadah, wanita yang datang haid masih boleh berzikir, bersalawat dan beristighfar
  • Terdapat banyak ruang kebajikan yang boleh dilakukan oleh wanita yang uzur berpuasa. Antaranya, bersedekah, ziarah orang sakit, berdakwah, menyuburkan silaturrahim, menolong golongan fakir dsb.
  • Jalan paling mudah untuk mendapat pahala setanding orang berpuasa ialah menyediakan makanan untuk mereka berbuka. Tidak perlu menyediakan hidangan yang mewah, memadai dengan sebiji kurma dan segelas air.

Tuesday, 16 August 2011

Raikan Lebaran mengikut sunnah

Bagaimanakah tatacara menyambut Aidilfitri menurut apa yang dianjurkan oleh Islam? Selama ini cara kita menyambut Syawal hanya berdasarkan amalan nenek moyang, dan diteruskan dari generasi ke generasi. Berhati-hati kerana ada di antara amalan tersebut sebenarnya tidak selari dengan sunnah. 
  • Hari Raya disambut mengikut adat dan bentuk yang berbeza oleh umat Islam seluruh dunia. Di Malaysia, adalah menjadi kelaziman untuk kita berhimpun seluruh keluarga, ziarah-menziarahi dan berpakaian baru serta cantik. Di Tanah Arab, cara mereka meraikan adalah dengan membawa anggota keluarga keluar makan, ada juga yang berkelah dan bersiar-siar. Secara asasnya, umat Islam boleh meraikan Aidilfitri dengan apa cara sekalipun asal berteraskan semangat keseronokan dan kegembiraan. 
  • Nabi Muhammad semasa zamannya, telah membenarkan penduduk Madinah bersukaria semasa sambutan Aidilfitri dan Aidiladha. Namun kegembiraan menyambut perayaan mestilah tidak bercanggah dengan anjuran dan sunnah Baginda.
  • Sebaik-baiknya dianjurkan supaya berhimpun seluruh ahli keluarga dan bertakbir bermula dari Maghrib 1 Syawal. Laungkanlah kalimah suci ini di malam menyambut Aidilfitri sama ada di rumah atau di masjid. Jauhi amalan yang terpesong dari sunnah seperti menonton rancangan hari raya di televisyen atau berkaraoke sehingga larut malam.
  • Dianjurkan supaya bertakbir dengan suara yang lantang dalam perjalanan dari rumah ke masjid sewaktu hendak menunaikan solat sunat Aidilfitri. Tujuan bertakbir adalah untuk menyerlahkan syiar Islam dan menunjukkan kesepakatan umat Muhammad.
  • Apabila sahabat Rasulullah bertemu di Hari Raya, mereka mengucapkan "Taqabbalullah minna waminka" (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu). Cara dan lafaz sebegini lebih bertepatan dengan sunnah Baginda dan bukannya ucapan 'Selamat Hari Raya, Maaf zahir batin' seperti yang sudah sinonim dengan masyarakat kita sekarang.
  • Memakai pakaian terbaik dan tercantik di Hari raya adalah amalan menurut sunnah. Namun kaum wanita hendaklah pandai mengikut had-had dalam berpakaian Jangan berpakaian nipis sehingga menampakkan bentuk badan, memakai perhiasan ataupun wangi-wangian dengan berlebih-lebihan. Ditakuti pahala sunnah yang diharapkan akan bertukar menjadi dosa kerana gagal memelihara adab berpakaian.
  • Mudah-mudahan kita dapat meraikan Aidilfitri kali ini dengan penuh penghayatan selari dengan perintah Allah dan Rasul. Meskipun amalan-amalan yang dinyatakan di sini kedengaran agak asing, namun mungkin boleh kita praktikkan pada Syawal tahun ini yang bakal menjelang 2 minggu lagi. Semoga kita semua diberkati Allah.

Menghadapi kemelut rumahtangga

couple in crisis
Saya bukanlah orang terbaik untuk menasihatkan tentang kemelut yang dihadapi dalam rumahtangga, namun sedikit-sebanyak pengalaman sebagai peguam syarie dapat membantu. Saya berharap catatan yang saya titipkan di sini dapat menjadi bekalan buat mereka yang sedang menghadapi prahara (kekacauan) rumahtangga.
  1. Jangan anggap perceraian sebagai jalan keluar. Percayalah bahawa kebanyakan krisis masih ada jalan perdamaian. Cerai dan Talak adalah perkara halal yang paling dibenci Allah. Malah bergegarnya tiang Arasy apabila isteri meminta cerai daripada suaminya.
  2. Menjadi ibu tunggal tidak semudah kata-kata. Peranan suami masih diperlukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Anak lelaki terutamanya, memerlukan 'male figure' untuk mengawasi dan mendisiplinkan mereka, dan peranan ini hanya boleh dimainkan oleh ayah. Sebenarnya, tidak mudah untuk membesarkan anak bersendirian. Seboleh mungkin, jangan ambil jalan penyudah yang singkat iaitu perceraian.
  3. Mungkin kamu kecewa kerana suami tidak menjalankan fungsinya selama ini. Mungkin suami tidak memberi nafkah dan gagal menjadi suami yang baik di matamu. Fikir sejenak. Sebenarnya, peranan suami sangat pelbagai dan kadangkala sukar difahami oleh isterinya sendiri. Adakah selama ini suami kamu memberi bantuan dari segi perlindungan dan keselamatan keluarga, namun kamu sendiri gagal menghargainya? Fikirkanlah kebaikan suami. Jangan biarkan 'kejahatan' yang ia lakukan sampai menidakkan kebaikan yang dia pernah buat. 'Tidak mencium bau syurga seseorang perempuan yang tidak nampak walau sedikit kebaikan suaminya, sedang harum syurga itu boleh dihidu dari jarak yang jauh'.
  4. Menjadi ibu tunggal tidak mudah walaupun kamu berpendapatan sendiri. Jangan menjadi isteri yang ego. Jangan memegang prinsip bahawa 'kamu boleh hidup tanpa lelaki'.
  5. Banyak bersabar dan beristighfar jika kamu menghadapi dugaan rumahtangga. Jangan mengambil jalan keluar yang mencalarkan maruah kamu seperti keluar atau mengadu hal dengan lelaki lain. Syaitan akan memainkan jarum halusnya lantas memporak-perandakan lagi rumahtangga yang sedia goyah.
  6. Suami adalah pemegang kunci untuk dirimu ke syurga. Bersyukurlah jika suamimu seorang pemimpin dan pembimbing yang selayaknya dihormati. Mudah-mudahan kamu mendapat kesenangan demi merintis jalan ke syurga. Bagaimana pula jika bersuamikan seorang lelaki yang jauh tersasar dan rendah peribadinya? Wahai wanita, kita semua Makhluk Allah. Begitu sukar untuk saya huraikan namun percayalah, dia tetap suamimu dan kunci ada di tangannya. Sungguhpun kehadirannya tidak menyenangkan, hikmah di sebaliknya ialah supaya kamu bersabar dan redha menghadapinya. Dugaan rumahtangga ini adalah ujian, Insya Allah ada ganjaran buatmu di hari muka kelak.
  7. Akhir kalam, amalkan doa ini kala kamu tersepit dalam kemelut rumahtangga yang muram.'Wahai Allah yang hidup dan berdiri dengan sendiri, dengan Rahmat dan Kasih Sayang-Mu aku memohon pertolongan, dan janganlah pula Engkau biarkan diriku bersendirian walaupun untuk sekelip mata. Perbaikilah, permudahkanlah dan percepatkanlah setiap urusanku'

Monday, 15 August 2011

Pati Garden of Eden

Garden of Eden adalah produk semulajadi dalam bentuk serum dan berfungsi sebagai penyembuh masalah kulit. Diperbuat dari tumbuh-tumbuhan yang diakui sangat baik untuk perawatan wajah. Garden of Eden boleh ditemui di farmasi tertentu seperti Guardian. Jika kamu ada satu-satu masalah kulit yang selama ini kerap merungsingkan, cari penawarnya dari rangkaian Garden of Eden.

Grape E untuk rawatan kulit menua
Kulit menua (aging skin) memerlukan perawatan tambahan dan intensif, bukan sekadar perawatan asas sahaja. Grape E mengandungi minyak biji anggur (grape seed oil) dan vitamin E untuk merawat kulit secara mendalam. Asid lemak perlu (Essential Fatty Acid) dalam minyak biji anggur berfungsi untuk menggalakkan collagen dan elastin supaya kekal awet muda. Manakala kandungan semulajadi vitamin E bertindak sebagai antioksidan supaya kulit tidak terjejas akibat penuaan pramatang. Hasilnya, dengan pemakaian Grape E secara teratur :-
  • mengurangkan kedut dan garis halus
  • menghidrat dan melembabkan kulit
  • juga boleh menghilangkan kesan regangan (strechmarks)
  • cepat menyerap menjadikan kulit segar tanpa berminyak
Rosa E - untuk kedut dan pigmentasi

 Jika kulit telah tercela dengan pigmentasi, guna Rosa E untuk mengurangkan kesan dan menghilangkannya secara beransur-ansur. Rosa E mengandungi gabungan Rosehip Oil dan vitamin E semulajadi untuk merawat kulit. Seperti Grape E, Rosa E juga mengandungi Asid lemak perlu (Essential Fatty Acid) yang berfungsi untuk menggalakkan kolagen dan elastin supaya kekal awet muda. Di samping itu, ia juga bertindak sebagai antioksidan yang menghalang radikal bebas dari merosakkan kulit.

Pemakaian Rosa E secara teratur akan menghasilkan kesan berikut :-
  • tanda-tanda di permukaan kulit, kedut dan garis halus akan berkurangan
  • kulit akan terhidrat dan lebih bermaya
  • Mencerahkan pigmentasi dan tompok pada muka
  • Kesan-kesan noda pada muka seperti garis halus, kedut, cela, kesan penuaan dan pigmentasi akan pulih sekitar 4-6 minggu
rosa T untuk masalah akne
 Akne adalah masalah yang kerap melanda remaja. Adakalanya masalah akne boleh dipulihkan, namun meninggalkan parutnya pada wajah. Rosa T diformulasikan dengan Tea Tree Oil yang mempunyai fungsi anti bakteria dan antikulat. Formula ini ditambah dengan Grape Seed Oil, Rosehip Oil dan vitamin E supaya parut akne boleh hilang secara kekal.
  • Gunakan secara bersama dengan Rosa T cleanser, gel dan serum 
  • Guna Rosa T cleanser untuk mencuci muka, diikuti dengan gel untuk pemakaian seharian
  • pada waktu malam, sapukan serum supaya akne dapat dirawat secara total



Bolehkah mewarna rambut?

grey hair/ rambut beruban
Sebahagian orang mengalami masalah uban pramatang (pre-mature grey hair), kadangkala disebabkan oleh faktor keturunan. Jika rambut beruban sedikit, tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana ia adalah normal. Kebanyakan orang Asia mula mengalami rambut beruban sekitar usia 30 tahun. Jika mengalami keadaan ini, ada 2 pendekatan yang kamu boleh lakukan. Iaitu sama ada kamu 'embracing the grey' (menerima dengan hati terbuka), atau pilih untuk mewarnakan.

Namun bolehkah umat Islam mewarnakan rambut? Fatwa dari Dr Yusof Al-Qhardawi menyatakan bahawa orang Islam boleh mewarnakan rambut. Tetapi mesti dipastikan bahan pewarna yang digunakan bersifat suci, dan ia tidak bersifat menghalang air ke anggota wudhu'. Bagi perempuan, dibolehkan jika mereka ingin menghitamkan rambut dengan bertujuan untuk cantik di mata suami. Tetapi dilarang jika mereka menghitamkan rambut dengan tujuan untuk mendedahkan aurat kepada lelaki lain.

BSY black hair magic - pewarna rambut dari buah mengkudu (noni)


Inai boleh digunakan untuk mewarnakan rambut kerana tidak bersifat kekal, dari sumber tumbuh-tumbuhan dan tidak menghalang wudhu'. Jika menggunakan pewarna rambut moden (Wella, Loreal, Garnier etc.) periksa kandungannya dan elakkan yang mengandungi ammonia. Ammonia bersifat menghalang air, dan tidak sesuai untuk umat Islam kerana akan menyebabkan wudhu' tidak sempurna.

Sunday, 14 August 2011

Apa ada di dalam lipstik?

Saban hari menyapu kilauannya di bibir, pernahkah kita terfikir, apakah bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan lipstik? Dewasa ini terlalu banyak bahan yang meragukan. Pemakaian kosmetik juga tidak terkecuali. Sekurang-kurangnya kita patut ambil tahu apa kandungan-kandungan di dalamnya, supaya minda tidak was-was semasa bersolek.
  1. lilin lebah (beeswax) - Lilin lebah digunakan sebagai komponen untuk membentuk lipstik
  2. pewangi (fragrance) - Kebanyakan pengeluar lipstik akan meletakkan sedikit pewangi supaya ia mempunyai bauan yang menyenangkan
  3. minyak - kebiasaannya pengeluar akan menggunakan minyak sayuran, minyak mineral (yang digunakan dalam 'baby oil') atau minyak lanolin
  4. pengawet dan antioksidan - digunakan bagi memastikan lipstik dapat tahan lebih lama dan tidak terjejas atau rosak
  5. pigmen / dye - bahan utama yang memberi warna kepada lipstik, diperbuat sama ada dari tumbuhan atau bahan kimia
  6. Kebanyakan lipstik telah diuji supaya selamat digunakan, namun jauhi lipstik yang mengandungi bahan merbahaya seperti 'lead' yang boleh menyebabkan kanser.
Jangan hanya bergantung kepada lipstik semata-mata untuk memiliki bibir yang cantik. Pelihara kesihatan bibir kerana bibir yang sihat dan menawan mencerminkan keperibadian dirimu. Pastikan bibir sentiasa kekal lembut dan lembab. Skrub bibir dengan lembut setiap kali kamu mencuci muka. Guna lip balm (pelembab bibir) untuk mencegah bibir kekeringan. Minum banyak air untuk memastikan kesihatan bibir. Juga periksa kandungan lipstik agar tiada bahan merbahaya di dalamnya.

Minuman 'pick me up'

Langkah 1 : Sediakan segelas air lemon


Langkah 2 : Tambahkan madu

Langkah 3 : Tambahkan biji selasih

'Selasih lemoh bermadu', sihat, segar dan menyejukkan. Lemon menyamankan, madu menyembuhkan dan selasih mengurangkan panas badan. Sesuai untuk hidangan iftar di bulan Ramadhan.

Thursday, 11 August 2011

Makanan larangan semasa hamil

Beware of certain food during pregnancy
  1. Sama sekali jauhkan dari rokok dan alkohol
  2. Ada sesetengah keju yang patut dielakkan kerana mengandungi Listeria (bakteria berbahaya)
  3. Jangan makan telur mentah kerana mengandungi bakteria Salmonella (boleh menyebabkan muntah dan cirit-birit)
  4. Jangan minum susu yang tidak dirawat (untreated milk)
  5. Jauhi tiram dan kupang kerana dikhuatiri tercemar dengan virus dan bakteria
  6. Jangan makan makanan dan minum minuman yang telah luput tarikh
  7. Jauhi organ dalaman seperti hati & limpa
  8. Pastikan pemakanan yang seimbang seperti roti, bijirin, buah dan sayur, makanan tenusu, daging dan ikan serta telur bermasak.

Produk dalam pantang

Set rawatan selepas bersalin - Nona Roguy
Nona Roguy adalah set perawatan dalam pantang yang terbaik. Ia telah lama berada di pasaran dan terbukti berkesan. Bukan saya mengatakan produk lain tidak bagus, cuma produk lain belum teruji. Sedangkan Nona Roguy telah sekian lama digunakan oleh ibu-ibu bersalin sejak bertahun-tahun lalu. Terbukti ia dapat memulihkan kesegaran badan, menyihatkan dalaman dan mencergaskan ibu dalam pantang.

Jika dibandingkan dengan produk lain di pasaran, Nona Roguy mungkin sedikit mahal. Jika tidak mahu ambil keseluruhan set, cuma pilih 3 yang penting. Dapatkan phyto natal (pil), akar herbanika (uncang teh herba) dan minyak herbanika. Minuman akar herbanika boleh diminum hangat. Boleh diteruskan sehingga lepas berpantang kerana ia juga membantu melangsingkan badan. Selain akar herbanika, minyak herbanika juga boleh diteruskan pemakaiannya selepas berpantang sebagai minyak urut.

Sebaik sahaja selepas bersalin, jangan terus mengamalkan jamu kerana pemakanan jamu mesti mengikut tahap kesihatan bayi. Biasanya ibu tidak digalakkan mengambil jamu jika bayi mengidap jaundice (demam kuning). Jika menyusu bayi, tanya pakar perbidanan sama ada boleh mengambil jamu atau tidak kerana jamu bersifat 'panas'. Sebenarnya, amalan mengambil jamu selepas bersalin hanya dipraktikkan oleh orang Melayu nusantara. Kaum Cina kebiasaannya mengamalkan pati ayam (chicken essence) manakala orang Barat hanya mengamalkan pemakanan sihat selepas bersalin. Amalan berpantang yang baik dapat memulihkan fizikal ibu, mencegah post natal blues (angin meroyan) dan juga membantu untuk awet muda. Berpantanglah mengikut amalan-amalan yang biasa dipraktikkan tak kira tradisional atau model asalkan memberi kesihatan yang baik untuk diri ibu.

Percaya pada diri sendiri

  1. Hargai diri dengan cara mengambil berat keperluan tubuh badan supaya kamu sihat dalam menjalani kehidupan. Bersyukur dengan fungsi tubuh badan, dan peruntukkan masa untuk menjaga diri sendiri. Pastikan kamu ada masa untuk bersenam, mandi kecantikan, menjaga kesihatan gigi dan juga mengambil makanan dan minuman yang berkhasiat.
  2. Minda mesti sihat dan positif. Penuhi masa dengan perkara-perkara yang 'menyuburkan minda'. Contohnya, menulis, membaca, bertukar-tukar fikiran dsb. Pupuk minat untuk sentiasa bersemangat dalam mempelajari perkara baru dan menerokai pengalaman berbeza. Contohnya, minat dalam mengembara dan melancong ke tempat-tempat baru. Lakukan apa saja yang boleh menjadikan kamu 'passionate' dan lebih positif dalam menjalani kehidupan. Melakukan perkara-perkara yang digemari akan menjadikan kamu lebih menghargai dan menyayangi diri.
  3. Semangat mesti sihat dan ceria. Ketenangan dalaman penting untuk mencapai kebahagiaan. Sembahyang adalah kunci kepada ketenangan dan keamanan. Di samping itu, banyakkan melakukan perkara-perkara gembira. Contohnya, dengan menonton filem atau komedi. Hidup akan lebih bersemangat jika kita kerap tertawa kerana setiap tawa itu membawa harapan yang optimistik. Belai jiwa supaya diri kamu selesa, contohnya dengan menikmati keindahan pantai dan alam semulajadi.
  4. Cari kekuatan diri. Kenali diri kamu sendiri dengan sejujur-jujurnya. Percayalah yang diri kamu menarik dan unik. Kecantikan diri sebenarnya merujuk kepada apa yang kita rasai, dan terjemahkan. Kita tidak perlu bergantung kepada pujian orang lain untuk merasa cantik. Kecantikan terbit dari dalam dan kuasa untuk menjadi cantik adalah sebenarnya datang dari keyakinan diri kita sendiri.

Spa untuk kaki


TYT - herba rendaman kaki
Hindari kelesuan badan dengan melakukan sendiri foot spa di rumah. Ia membantu pengaliran darah yang lebih baik, meningkatkan kadar metabolisme, membantu tidur lebih nyenyak dan juga untuk kesihatan umum badan. Sesuai untuk pekerja pejabat yang duduk seharian, pekerja yang banyak berdiri, mereka yang jarang bersenam dan juga orang berusia lanjut.

Cara penggunaannya juga agak mudah dan ringkas. Didihkan air dan masukkan ke dalam bekas mengandungi pek herba rendaman kaki TYT. Sesuaikan kepanasannya mengikut kegunaan. Kemudian, rendam kaki sekitar 15-30 minit. Kamu akan berasa lebih lega dan segar. Penggunaan berterusan akan membantu menghilangkan kelesuan, badan lebih cergas dan minda lebih lapang.

Wednesday, 10 August 2011

Elak dehidrasi semasa berpuasa

Tubuh badan memerlukan sekurang-kurangnya 8 gelas air dalam sehari. Seringkali semasa berpuasa, kita gagal mencukupkan kuantiti air yang diperlukan kerana kita hanya boleh minum pada waktu malam. Pada keesokan harinya, badan akan merasa lesu akibat kekurangan air. Bagaimana untuk memastikan keperluan air yang mencukupi di dalam badan sepanjang tempoh berpuasa?
  1. Fiber akan membantu badan merasa kenyang lebih lama. Di samping itu, fiber juga akan membantu badan mencerna air dengan lebih lambat dan perlahan-lahan. Makan banyak fiber semasa bersahur. Antara yang boleh diamalkan ialah sayur-sayuran dan buah-buahan. Ia akan mencegah badan dari kekeringan.
  2. Apabila tiba-tiba merasa haus, tumpukan minda kepada ibadah puasa yang sedang dijalani. Banyakkan membaca Al-Quran, mudah-mudahan perasaan haus akan beransur-ansur hilang.
  3. Minum air secukupnya semasa berbuka puasa dan juga semasa bersahur untuk menggantikan cecair badan yang hilang daripada badan.
  4. Kurangkan makan makanan masin sewaktu bersahur. Makanan masin membuatkan kamu lebih haus sewaktu berpuasa
  5. Ubah cara pengambilan hidangan. Lebihkan minuman dan bukannya makanan.
  6. Minum minuman yang membantu menghilangkan dahaga seperti jus buah atau minuman yoghurt. Minuman berkarbonat akan membuat kamu lebih haus.
  7. Minum air kosong dengan banyak. Kurangkan teh, kopi dan minuman berkoko.

Tuesday, 9 August 2011

Makanan sihat selepas bersalin

a mother with her little baby
  1. Selepas bersalin, kamu mesti mengamalkan tabiat pemakanan yang baik dan mengambil makanan berkualiti. Pastikan makanan yang kamu makan cukup nutrisi, lebih-lebih lagi jika menyusukan bayi atau baru saja sembuh dari pembedahan caesarean.
  2. Cukup dengan memakan makanan yang ringkas namun bernutrisi. Antara makanan yang baik untuk diamalkan ialah buah-buahan segar, sayuran mentah, roti bakar dengan keju, yoghurt, kismis dan cereal (bijirin) serta daging dan ikan.
  3. Masalah sembelit boleh diatasi dengan mengambil makanan yang tinggi kandungan fiber seperti bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan. Minum air secukupnya terutama jika menyusukan bayi. Jika masalah sembelit berlarutan, amalkan minum jus buah prun
  4. Jika bersalin secara caesarean, banyakkan mengambil makanan yang tinggi kandungan vitamin C dan protein kerana ia membantu dalam menyembuhkan luka dan memperbaiki sel-sel tubuh badan.

Monday, 8 August 2011

Produk haram dan syubhah

botox
Dari sehari ke sehari semakin banyak produk-produk yang disahkan haram oleh pihak berwajib, dan berikutan itu kita dicegah dari terus menggunakannya. Senarai barangan tersebut merangkumi kosmetik, bahan makanan, minuman dsb. Mencari yang halal itu sunnah, kerana itu tinggalkanlah produk-produk yang diragui kerana masih banyak alternatif lain yang kita boleh gantikan dengannya.
  1.  Botox adalah satu revolusi dalam kecantikan kerana ia membantu menegangkan kulit dan kekenduran. Namun beberapa tahun lalu Jawatankuasa Fatwa telah bersidang dan memutuskan pengharaman botox kerana ia mengandungi sumber najis (khinzir).
  2. Baru-baru ini terdapat khabar angin yang melaporkan produk keluaran penyanyi Siti Nurhaliza iaitu 'Simplysiti' mengandungi bahan yang meragukan. Dikatakan sampel yang diambil oleh pihak Jabatan Agama menunjukkan sumber berus adalah dari bulu khinzir. Pengurusan kosmetik tersebut telah menafikan dakwaan tersebut dan mengesahkan produknya halal. Sebaik-baiknya, jika ingin membeli berus kosmetik, periksa dahulu bahan penggunaannya. Contohnya, Maybelline Mineral Powder Foundation membuat penerangan pada label produk bahawa sumber berusnya dari bulu 'pony' dan boleh digunakan tanpa ragu-ragu.
  3. Seorang pakar kulit menasihatkan supaya jangan menggunakan kolagen  kerana ia dari sumber haiwan. Jika ingin juga mengamalkan kolagen, pilih kolagen dari punca makanan laut (marine collagen). Atau bertukar kepada produk kecantikan kulit dari sumber buah-buahan seperti Innershine Prune Essence. Jauhi juga produk yang dilabelkan sebagai 'placenta' kerana ia menggunakan uri daripada haiwan dan  bersifat meragukan.
  4. Di luar negara, pakar penggayaan rambut (hairstylist) telah menemui produk yang sangat baik untuk kesihatan rambut kerana ia sangat tinggi kandungan protein. Namun produk tersebut dihasilkan daripada bull's semen (air mani lembu). Bagi orang Islam, produk tersebut sama sekali tidak suci dan dilarang dari menggunakannya.
  5. Kapsul yang digunakan untuk memproses vitamin dan ubat-ubatan adalah dari sumber gelatin. Terdapat gelatin halal dan juga tidak halal. Dikatakan gelatin khinzir digunakan secara meluas kerana ia jauh lebih murah. Periksa label pada botol vitamin dan pilih yang menggunakan sumber bovine (lembu). Jika masih kurang yakin, cuba vitamin-vitamin dari jenama 'Safwa' kerana ia terbukti selamat dan suci.

Sunday, 7 August 2011

Memulakan perniagaan sendiri

Bekerja sendiri lebih memberikan kepuasan
  1. Kenalpasti perniagaan apa yang ingin dimulakan. Kebanyakan wanita mengimpikan untuk memiliki butik sendiri, membuka salun atau spa, mengusahakan bakeri atau mengambil tempahan kek dari rumah, membuka nurseri, memiliki perniagaan andaman, membuka restoran dsb. Ada juga wanita profesional yang membuka firma sendiri berteraskan perkhidmatan seperti memiliki klinik sendiri, membuka klinik gigi, menubuhkan firma guaman ataupun menubuhkan syarikat kontraktor sendiri dan juga khidmat hiasan dalaman.
  2. Jangan terburu-buru meninggalkan jawatan sekarang. Lengkapkan pengetahuan dan pengalaman sebelum bergerak dalam perniagaan sendiri. Elakkan memilih perniagaan yang kamu tiada pengetahuan asas. Jika membuka restoran, sekurang-kurangnya kamu mesti ada asas memasak. Lebih baik jika ada sijil kemahiran dan kelulusan dalam bidang tertentu, contohnya memiliki diploma montessori untuk mengusahakan pusat jagaan kanak-kanak. Jika di bidang profesional, sebaik-baiknya pastikan pengalaman pekerjaan melebihi 5 tahun. Kamu mesti mahir dalam selok-belok pekerjaan sebelum mengambil keputusan untuk membuka syarikat/perniagaan sendiri.
  3. Mengatur sumber kewangan sebelum memulakan perniagaan. Jika perniagaan berskala agak besar, mungkin kamu boleh pertimbangkan pinjaman daripada bank. Jika berniaga kecil-kecilan dari rumah, usahakan untuk menabung wang simpanan. Bersedia jika perniagaan belum menjana keuntungan pada bulan-bulan awal beroperasi. 
  4. Ada strategi pemasaran. Jika ada peruntukan untuk pengiklanan, sebarkan perniagaan dalam risalah-risalah yang diedarkan ke rumah-rumah bakal pelanggan. Manfaatkan juga teknologi maklumat terkini dalam perniagaan. Contohnya berhubung dengan pelanggan melalui facebook, blog dan menerima tempahan secara on-line. Perniagaan lebih meyakinkan jika kamu telah sedia mempunyai pelanggan sasaran (targeted customer). Contohnya jika kamu membuka kedai dobi, kamu akan lebih stabil jika memperolehi tender mencuci pakaian pekerja kilang.
  5. Berusaha dengan gigih dan jadikan kejayaan orang lain sebagai panduan. Di Melaka, seorang tukang masak yang bertahun-tahun bekerja di restoran kari kepala ikan akhirnya berjaya membuka restoran sendiri yang jauh lebih maju dari bekas majikannya sendiri. Seorang pengusaha kuih bahulu yang bermula di rumah, kini mempunyai outlet di Jusco dan Tesco. Seorang pengusaha taska di Seremban bermula dengan sebuah taska, kemudian bercambah sehingga memiliki 15 cawangan. Seorang guru biasa akhirnya jauh lebih berjaya apabila membuka pusat tuisyen. Perniagaan mampu membuka potensi diri kamu supaya lebih berkembang daripada situasi sekarang.
  6. Terdapat banyak idea-idea perniagaan kini yang kamu boleh ceburi dan usahakan sehingga berjaya. Ada yang mengusahakan perniagaan online seperti menjual barangan berjenama, membuka butik on-line atau menerima tempahan cup-cakes. Ada pula yang menjual tudung, aksesori dan kosmetik di kiosk pusat membeli belah. Perniagaan makanan juga sangat memberangsangkan seperti membuka gerai waffles, jagung cawan, bahulu panas dll. Ramai orang yang telah mengusahakan perniagaan sendiri dan mampu tersenyum lebar. Mereka bebas dari cengkaman majikan, bebas dari kekangan waktu pejabat, rush hour dan traffic jammed malah dapat pula memberi lebih tumpuan kepada rumahtangga. Tanya diri sendiri sama ada mampu menggalas tanggungjawab bekerja sendiri. Jika tidak pasti, bekerja makan gaji dahulu sehingga benar-benar bersedia untuk memulakan perniagaan yang diidam-idamkan.

Thursday, 4 August 2011

Khasiat minyak pokok teh

Minyak pokok teh (tea tree oil) telah digunakan sejak berabad lampau oleh kaum aborigines (orang Asal) Australia untuk pelbagai jenis kegunaan dan rawatan. Tea tree oil diperolehi dengan cara mengewap daun pokok teh dan kemudian diperah untuk mengekstrak minyaknya yang berwarna kekuningan. Tea tree oil mampu merawat pelbagai jangkitan kerana fungsinya yang mencegah kulat, virus dan juga bakteria.

  1. Tea tree oil boleh merawat akne
  2. Berkesan merawat jangkitan kulat kuku (toenail fungus). Titiskan tea tree oil secara terus kepada kuku yang terkena jangkitan sebanyak sekali sehari. Ulang hingga sembuh
  3. Boleh mencegah bau mulut. Caranya, dengan menitiskan tea tree oil kepada ubat gigi dan berus gigi seperti biasa
  4. Selsema/ resdung. Penuhkan sebuah bekas dengan air mendidih. Titiskan 2-3 titik tea tree oil. Berselubung dengan kain dan sedut nafas dalam-dalam dari wap tea tree oil tadi selama 5-10 minit. Lakukan sebelum tidur selama sekurang-kurangnya 5 malam sehingga simptom berkurangan.
The Body Shop
Thursday Plantation

    Lassi minuman menyegarkan

    Di bulan Ramadhan, adalah penting untuk kamu memilih minuman yang menyihatkan badan. Kurangkan membeli minuman yang dijual di bazar-bazar Ramadhan kerana tidak terjamin kebersihan di samping tambahan pewarna dan pemanis berlebihan. Mango Lassi, seperti resepi di bawah adalah pilihan tepat untuk diambil tatkala berbuka mahupun bersahur.

    Mango lassi
    Bahan-bahan
    1 biji mangga, dipotong kiub
    1 1/2 gelas yoghurt
    3 sudu gula
    1/2 gelas susu

    Cara
    Semua bahan dikisar dan boleh diminum terus, tambahkan ais jika ingin minuman sejuk.

    Sangat menyihatkan, jimat dan bersih kerana boleh disediakan sendiri. Jika ingin variasi, cuba orange lassi, banana lassi atau strawberry lassi. Resipi yang sama seperti di atas, cuma gantikan mangga dengan lain-lain buah pilihan.

    Sihat, segar di bulan Ramadhan

    kurma
    1. Iftar (berbuka) adalah saat yang paling penting untuk mengembalikan tenaga, air dan nutrien pada tubuh. 
    2. Cara yang paling baik untuk berbuka ialah dengan mengambil makanan ringan (light snack) yang mempunyai sumber tenaga segera dan boleh menampung kelaparan.
    3. Elakkan berbuka dengan makanan banyak sekaligus kerana ia akan mendorong tabiat makan  yang berlebihan
    4. Kurma adalah pilihan paling bijak untuk berbuka kerana ia mengandungi gula semulajadi yang boleh membekalkan tenaga segera. Minum air untuk mengelakkan dehidrasi badan. Kurma juga mengandungi potasium yang bertindak mengawal keseimbangan air dalam badan
    5. Jus buah juga sangat menyihatkan sewaktu berbuka puasa. Pastikan jus buah tidak mengandungi pemanis berlebihan. Jika tidak mahu mengamalkan jus buah, makan buah-buahan sewaktu berbuka. Sangat baik kerana ia mengandungi fiber.
    6. Selepas berbuka secara ringan, atau sebaik-baiknya selepas menunaikan solat Maghrib, baharulah kamu menikmati makanan utama (main meal).
    7. Makan makanan dari semua sumber kumpulan makanan bagi memastikan kamu cukup nutrien. Amalkan pemakanan seimbang iaitu makanan kaya protein (ayam, ikan dan daging), bijirin, buah-buahan dan juga makanan tenusu (dairy products)
    8. Elakkan dehidrasi semasa Ramadhan. Keperluan badan terhadap air tidak berubah semasa berpuasa, di mana orang dewasa yang sihat tetap memerlukan sebanyak 8 gelas air sehari. Pastikan kamu minum dengan kerap sepanjang malam. Cara mudah bagi memastikan badan cukup air ialah dengan mengambil makanan berair seperti sup, timun, tomato, tembikai, anggur dan oren.
    9. Sahur juga sangat penting bagi memastikan tenaga badan berkekalan sepanjang hari dan supaya tubuh boleh bertahan untuk berpuasa sehingga matahari terbenam. Jika semasa berbuka kamu makan makanan yang bertenaga segera, semasa sahur pula kamu mestilah makan makanan yang melepaskan tenaga dengan perlahan-lahan. Antara makanan yang baik diamalkan semasa sahur ialah yang tinggi kandungan fiber seperti oat, beras perang, roti gandum penuh, buah-buahan segar dan sayur.
    10. Makanan tinggi protein juga bagus dimakan sewaktu sahur, seperti telur, ayam dan ikan. Ia akan memastikan badan bertenaga sepanjang hari. Pastikan juga minum dengan mencukupi bagi menampung keperluan badan terhadap air untuk beberapa jam sehingga kamu berbuka kelak.

    Wednesday, 3 August 2011

    Perhiasan wanita muslimah

    1. Wanita muslimah dilarang menyimpan kuku, kerana diragui kebersihan untuk berwudhu'. Memotong kuku adalah sunnah, kerana menyimpan kuku yang panjang adalah peniruan kepada perbuatan wanita kafir. Wanita muslimah yang menyimpan kuku panjang adalah wanita yang jahil tentang sunnah.
    2. Wanita muslimah hendaklah memanjangkan rambutnya, dilarang berambut pendek sehingga menyerupai lelaki (bercukur). Dilarang juga menyambung rambutnya. Terdapat suatu hadis tentang pemakaian rambut palsu di mana Rasulullah bersabda,'Tidak ada seorang wanitapun yang memakai pada kepalanya rambut wanita lain kecuali ia telah melakukan kedustaan. Al-barukah (rambut buatan) adalah dilarang kerana di dalam pemakaiannya terdapat kedustaan.
    3. Wanita muslimah dilarang mencukur atau mencabut bulu kening kerana perbuatan itu termasuk kepada perbuatan merubah ciptaan Allah
    4. Wanita muslimah diharamkan bertatu pada badannya
    5. Memakai inai pada tangan adalah dibolehkan
    6. Dibolehkan memakai perhiasan emas dan perak, namun apabila keluar daripada rumah hendaklah ditutup dari pandangan.'Dan janganlah mereka memukul kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan' (surah An-Nur)

    beautiful girl with hijab


    Adab di buffet Ramadhan

    
    Buffet Ramadhan
    
    1. Perhatikan harga buffet yang ditempah. Hindari buffet yang berharga mahal sehingga mencecah RM100++ seorang. Elakkan pembaziran kerana Ramadhan ialah bulan untuk mendidik nafsu
    2. Jangan mengambil makanan sehingga menimbun di pinggan. Elakkan mengambil makanan yang tidak diminati, namun diambil juga kerana tamak. Akibatnya makanan sekadar terbiar tanpa dijamah
    3. Perhatikan juga khasiat makanan. Jumlah makanan yang banyak dihidangkan membolehkan kamu membuat pilihan. Hindari makanan berlemak atau terlalu manis
    4. Perhatikan juga tahap kebersihan. Pastikan buffet Ramadhan yang dikunjungi sama ada di hotel atau restoran itu mementingkan hygene.
    5. Meskipun bergembira dengan seleksi makanan yang banyak, jangan abaikan solat. Berhenti untuk solat Maghrib dan sebaik-baiknya teruskan dengan bertarawikh. Jangan terlalu mengikut nafsu sehingga mengabaikan kesihatan

    Tuesday, 2 August 2011

    Pentingnya menjaga aurat


    Seseorang wanita yang telah mencapai akil baligh adalah berkewajipan untuk menutup aurat. Aurat bagi seorang wanita dalam menjalani kehidupan sehariannya adalah sama seperti aurat sewaktu bersembahyang. Secara dasarnya, keseluruhan tubuh badan wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan.

    Sabda Rasulullah kepada Asma' binti Abu Bakar,"Wahai Asma, seseorang perempuan itu apabila telah baligh (haid), maka tidak boleh baginya menampakkan dirinya kecuali ini dan ini (seraya menunjukkan muka dan tapak tangan)"

    Di samping itu, wanita Muslimah juga berkewajipan untuk menutup dadanya apabila berpakaian, bersesuaian dengan firman Allah yang berikut :-

    "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya" (surah Al-Ahzab)

    "Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka" (surah An-Nur)

    Wanita hanya boleh bebas auratnya (namun dalam keterbatasan) dengan lelaki-lelaki yang muhrim baginya. Secara umumnya, lelaki yang merupakan muhrim wanita ialah dari kalangan bapanya, datuk, moyang, bapa saudara, anak cucu, saudara lelaki seibu kandung dan juga anak-anak saudara. Selain itu, bapa mertua, datuk mertua dan menantu lelaki juga adalah muhrim bagi seseorang wanita.

    Manakala di kalangan bukan muhrim ialah seperti bapa angkat, sepupu lelaki, anak angkat, bapa saudara sebelah suami, adik beradik lelaki suami (ipar), saudara tiri lelaki dan juga anak saudara suami.

    Ramai yang terkeliru tentang had aurat di kalangan ipar duai lelaki, terutamanya apabila pulang ke kampung. Hakikatnya ialah ipar duai bukan muhrim bagi wanita dan wajib menutup aurat di hadapan mereka. Oleh itu, hendaklah wanita mengambil berat tentang hal ini kerana status ipar lelaki adalah sama seperti lelaki ajnabi yang lain.

    Rasulullah pernah bersabda iaitu,'Janganlah kamu bersunyi-sunyian dengan mana-mana wanita (khalwat)'. Seorang dari kaum Ansar bertanya,'bagaimana pula dengan ipar duai?' Jawab Rasulullah,'ipar duai itu sendiri adalah maut'. Wallahua'lam.

    Monday, 1 August 2011

    Pengertian sebenar Ramadhan

    Iftar
    1. Dengan berpuasa sepanjang Ramadhan, orang Muslim merasai perasaan lapar dan dahaga, lantas bersimpati dengan saudara Muslim di seluruh dunia yang miskin dan kebuluran
    2. Dengan mengabdikan diri sepanjang Ramadhan, hamba Allah merasa amat dekat dengan Penciptanya, lantas ia sedar bahawa segala nikmat di dalam dunia ini adalah kurniaan Allah semata-mata
    3. Melalui amal jariah, umat Islam menjadi pemurah, bersangka baik dan berkebajikan. Sabda Rasulullah,'Kekayaan seseorang tidak akan berkurangan disebabkan ia bersedekah'
    4. Dengan mengawal diri sepanjang Ramadhan, seseorang itu menjaga perilaku dan percakapannya agar terhad kepada perbuatan yang baik-baik sahaja
    5. Rutin yang berubah sepanjang Ramadhan menjadikan seseorang itu bertukar kepada gaya hidup yang sihat, iaitu dengan mengurangkan makan dan minum serta menjauhi rokok
    6. Berkumpul sewaktu berbuka puasa dan sembahyang berjemaah dapat mengeratkan silaturrahim sesama insan
    7. Pengertian Ramadhan yang sebenar ialah apabila kita mampu mengekalkan semangat Ramadhan ini sepanjang tahun, dan tidak terhad setakat sepanjang bulan Ramadhan sahaja. Semoga kita beroleh keberkatan, dekat dengan Pencipta, diampunkan dosa-dosa dan diberikan petunjuk serta Hidayah oleh Yang Esa.