Thursday, 29 September 2011

Perhatikan warna kuku

Cuba perhatikan kukumu sekarang. Adakah kelihatan sihat dan normal? Keadaan kuku boleh menunjukkan simptom-simptom sama ada seseorang itu berpenyakit atau tidak. Beri perhatian jika kuku kelihatan bertukar warna, mengeras, pecah-pecah atau memiliki tanda-tanda ganjil yang lain.

  1. Kuku yang bertukar menjadi putih keseluruhannya menunjukkan tanda-tanda masalah buah pinggang, hati atau anemia
  2. Kuku yang tiba-tiba menjadi tebal secara luar biasa menunjukkan sistem darah tidak berfungsi dengan baik.
  3. Kuku yang berubah menjadi kuning menunjukkan masalah diabetes, sistem pernafasan tidak teratur atau masalah pada sistem limfa
  4. Kuku yang rapuh menunjukkan ada masalah kekurangan zat besi atau penyakit tyroid
  5. Kuku yang terbelah menunjukkan simptom psoriasis (sejenis penyakit kulit)
  6. Kuku yang bertukar menjadi biru ada kaitan dengan pulmonari (masalah jantung)
  7. Kuku yang mempunyai kelebaran luar biasa menunjukkan ada masalah hormon
  8. Kuku kemerahan menunjukkan ada masalah kepada tisu-tisu yang menghubungkan kulit.
Perkara terbaik yang patut kamu lakukan apabila kuku menunjukkan perubahan luar biasa ialah dengan segera berjumpa doktor. Kuku adalah cermin kepada kesihatan. Simptom-simptom awal kepada penyakit kronik biasanya ditunjukkan melalui kuku. Jaga kesihatanmu sebelum penyakit menjadi melarat. Perhatikan juga keadaan kesihatan orang tersayang supaya mereka juga boleh mendapat rawatan awal dan mencapai tahap kesihatan yang memuaskan.



Tuesday, 27 September 2011

Rawatan 'micro peel'




Seiring dengan masa, kulit yang dahulunya anjal mula menampakkan tanda-tanda kekusaman. Hakikatnya keadaan kulit tidak sama semasa berusia 20-an dengan keadaan kulit semasa 30-an. Tanda-tanda ini boleh kamu sedari jika keadaan kulit bertukar menjadi kering, tona tidak senada dan mempunyai cela. Tambah memburukkan jika kulit kekal kusam meskipun cuba dilindungi dengan pemakaian bedak asas dan lain-lain kosmetik yang mahal.

Kebanyakan salon-salon kecantikan ada menawarkan perawatan micro peel. Ia sebenarnya perawatan bagi menyingkirkan sel-sel kulit mati yang meliputi kulit. Kulit-kulit mati yang terkumpul ini adalah penyebab kepada kulit kusam. Apabila sel-sel mati ini disingkirkan, kulit akan mengalami proses pembaharuan dengan menyerlahkan kulit baru yang lebih licin, lembut dan cerah.

Micro peel bertindak bagi membaiki tekstur kulit yang rosak akibat pencemaran semulajadi dan masalah-masalah kulit seperti akne. Prosedur yang dilakukan oleh jurukecantikan ini boleh melicinkan garis-garis halus di wajah, menyamaratakan warna kulit dan mengurangkan kerosakan yang berlaku pada kulit. Kamu boleh nampak keseluruhan perubahan pada wajah selepas menjalani rawatan ini.

Untuk hasil terbaik, prosedur micro peel hendaklah dilakukan selang beberapa minggu mengikut nasihat jurukecantikan yang merawatmu. Dalam minggu pertama, kulit akan mengalami proses pembaharuan dan menyingkirkan sel-sel kulit mati di permukaan luarnya. Jika kulit agak sensitif, pengelupasan (peeling) boleh berlaku sekitar 3 hari, malah boleh juga menyebabkan kerengsaan ringan (mild irritation). Sepanjang menjalani proses ini, gunakan susu pembersih bagi mencuci wajah. Elakkan mencuci wajah dengan sabun kerana ia boleh menyebabkan kulit menjadi kekeringan. Micro peel adalah pelan jangka panjang bagi merawat masalah kulit, dengan hasil yang seperti berikut :-

  •  Mengurangkan garis-garis halus
  • menyamaratakan tona kulit
  • memperbaiki tekstur kulit
  • mengurangkan kesan parut



Sunday, 18 September 2011

Merawat batuk

Batuk sering dianggap sebagai jangkitan biasa yang berlaku seiring dengan demam dan selsema. Kebiasaannya, ia akan sembuh dengan sendiri. Namun, berhati-hati dengan batuk yang berlarutan kerana ada kemungkinan kamu boleh dijangkiti bronkitis (penyakit berkaitan paru-paru).

Beberapa 'home remedies' boleh diamalkan bagi menyembuhkan batuk. Cuba senarai-senarai di bawah :-

  1. Ambil secamca madu, perahkan dengan jus limau dan hirup perlahan-lahan ke kerongkong
  2. Minum air halia panas kerana ia berupaya menyingkirkan mukus yang terkumpul akibat selsema dan batuk
  3. Dikatakan batuk boleh sembuh dengan memakan anggur secara berterusan
  4. Jika kamu mengenali daun jintan, tanaman herba ini sangat baik bagi merawat batuk dan panas badan. Ambil beberapa helai daun jintan, rendam dalam air panas dengan gula batu. Minum sehingga batuk mengalami kelegaan.


Daun jintan

 

Wednesday, 14 September 2011

Khasiat tembikai merah

  1. Tembikai mengandungi kebaikan vitamin A, vitamin C dan vitamin B6
  2. Ia juga mempunyai pati lycopene yang tinggi, iaitu anti-oksidan yang sangat baik bagi mencegah penyakit jantung dan kanser
  3. Jika kurang gemar makan sayur, gantikan dengan tembikai segar untuk sumber potasium. Potasium penting untuk sistem otot dan saraf yang baik dan juga boleh mencegah tekanan darah tinggi
  4. Tembikai merah juga mengandungi asid amino yang boleh membantu fungsi pengaliran darah yang baik di dalam tubuh
  5.  Enak dimakan segar atau dijadikan salad buah-buahan. Untuk menghilangkan dahaga di kala panas, nikmati jus tembikai merah yang diperah sedikit dengan jus limau