Betulkah cantik amat berkait rapat dengan mistik? Berikut dipaparkan beberapa amalan-amalan yang bersifat 'mistik' bagi tujuan mengekalkan kecantikan.
- Mandi bunga. Mandi bunga bertujuan untuk menaikkan aura. Warna, keharuman dan kemanisan bunga memang boleh memberikan kesan positif kepada pengamal mandi bunga. Ia amalan rutin di spa-spa dan salon kecantikan. Namun yang menjadi mistik ialah apabila ada pengamalnya yang mandi di tengah malam waktu bulan mengambang di tempat-tempat tertentu seperti perigi atau sungai terpencil. Sejauh mana amalan ini mengekalkan kecantikan seseorang supaya dipandang bak ratu?
- Susuk. Ada jenis susuk berlian, emas, intan dsb bergantung kepada kemahuan si pemakai. Ia diamalkan dengan ayat-ayat tertentu bagi membolehkan susuk ditanam di wajah untuk tujuan kecantikan. Pemakai susuk ada pantang-larang yang perlu diikuti seperti tidak boleh memakan sate, lalu di bawah ampaian dsb kerana susuk boleh menjadi 'tawar' jika melanggar pantang. Namun benarkah susuk boleh mengekalkan kecantikan? Sebenarnya pemakai susuk tetap dengan wajahnya yang sama, contohnya jika ia berjerawat susuk tidak akan menghilangkan jerawatnya. Tetapi susuk memberikan ilusi supaya dia dipandang cantik dan manis. Ada juga 'susuk ayat' atau dikenali sebagai ayat pemanis wajah. Dikatakan hukum memakai ayat pemanis wajah ialah harus, namun sejauh mana kebenarannya; Wallahua'lam
- Menjampi alat solek. Ada di kalangan orang-orang lama, terutamanya wanita berusia yang mempunyai ilmu menjampi alat solek. Saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Antara amalannya ialah dengan menghimpunkan bedak muka, gincu bibir, celak dan alat-alat solek lainnya lalu semua ini dijampi dengan ayat-ayat tertentu. Kesannya, si pemakai akan mendapat aura berbeza iaitu semakin cantik dengan pemakaian alat solek tersebut. Sejauh mana amalan ini 'terpesong', saya sendiri kurang arif mengenainya. Ada baiknya jika kita mengetahui tentang ayat-ayat yang dijampikan, andai ada unsur-unsur syirik dan khurafat minta dijauhkan. Jangan terlalu taasub dengan kecantikan dan jangan sampai ia memudaratkan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment