Tuesday 7 August 2012

Berpuasa ketika hamil

Bolehkan ibu hamil berpuasa? Ibu hamil sebenarnya termasuk dalam kategori 'rukhsah', iaitu mereka yang dibenarkan meninggalkan puasanya. Namun, jika kamu berasa sihat dan cekal untuk berpuasa, kamu boleh meneruskannya meskipun mengandung. Saya senaraikan beberapa tips di sini :-
  1. Tanya doktor yang merawatmu sama ada kesihatanmu mengizinkan untuk berpuasa. Doktor yang merawat saya mengesahkan bahawa berpuasa adalah selamat untuk kandungan. Pesan beliau, pastikan berbuka puasa dengan sebotol kecil air mineral. Manakala sebotol kecil air mineral lagi perlu dihabiskan sewaktu sahur. Minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
  2. Ambil pil supplemen kehamilan supaya tubuh badanmu dan kandungan mendapat nutrien yang secukupnya. Jangan tertinggal makan sahur. Banyakkan berehat dan jauhi daripada melakukan kerja berat atau terdedah kepada cuaca panas.
  3. Jangan memaksa diri. Jika kamu tiada tenaga untuk terus berpuasa, jangan teragak-agak untuk berbuka. Antara tanda-tanda yang agak bahaya semasa berpuasa, ialah bila kamu berasa pening, muntah, lemah atau mengidap demam. Perhatikan juga jika air kencing terlalu keruh kerana ia mungkin tanda-tanda yang kamu mengalami dehidrasi (kekurangan air).
  4. Ambil pemakanan yang seimbang sepanjang Ramadhan. Kurma bagus untuk diamalkan kerana ia memberi tenaga segera sebaik sahaja berbuka. Jika terasa badan kurang air, minuman '100-plus' boleh diambil untuk menambah kandungan cecair badan. Pastikan kamu mendapat waktu tidur yang mencukupi. Paling penting, perhatikan gerak badanmu sendiri. Jika kamu merasakan tubuh badan tidak dapat menampung kekuatan untuk berpuasa, berbukalah kerana kamu tidak sepatutnya memudharatkan kandungan. Kelak, kamu akan boleh mengganti puasa yang ditinggalkan dan membayar fidyahnya.

No comments:

Post a Comment