Alhamdulillah....
- Alhamdulillah, puasa mencecah ke hari 14 Ramadhan. Nampaknya kurang lebih 2 minggu lagi takbir Raya akan berkumandang. Apa yang kita maknakan dalam Ramadhan kali ini? Hatiku sedikit tersentuh apabila kebanyakan 'commoners' (orang biasa) berhadapan dengan masalah kenaikan harga barangan. Ayam, makanan bermasak, barangan biskut dan kek, ikan dsb meningkat dengan mendadak seolah-olah terlalu sukar untuk dikawal. Bukan semua orang mampu mempersiapkan diri dengan kelengkapan-kelengkapan tertentu kerana tidak semua dari kita berasal dari golongan yang mewah. Namun, aku mengagumi mereka yang mengambil peluang berniaga di bulan Ramadhan. Semoga terus sukses. Harapnya minat berniaga tidak hanya meluap-luap pada bulan puasa sahaja sebaliknya wajar diteruskan setidak-tidaknya sebagai pendapatan sampingan di saat kos sara hidup semakin mencabar kini.
- Alhamdulillah, hits blog saya hampir mencecah 80,000 dan khabar ini amat menggembirakan saya yang 'low profile' ini. Mengapa tidak, percayakah kamu yang saya tiada 'facebook'? Mungkin kedengarannya agak ketinggalan namun saya mengenepikan kepentingan diri demi menjaga siqah. Saya tidak ingin sang suami curiga pabila rakan-rakan lelaki zaman silam menerobos masuk ke zaman kini dan mengganggu privacy saya. Saya juga amat merindu kawan-kawan perempuan saya (kaki bergossip semasa zaman bujang dahulu) namun selepas berumahtangga, saya bimbang media sosial disalahgunakan untuk menceritakan perihal kekecewaan dalam rumahtangga. Sebelum saya terlajak, lebih baik saya mengambil langkah preventif dahulu. Saya juga seorang ibu yang sibuk (multi-tasking mother) makanya saya tiada masa untuk membelek talian dan membalas mesej tanpa henti sehingga client sendiri complaint saya sukar sangat menjawab panggilan telefon!
- Alhamdulillah, Syawal kali ini disambut di kediaman baru. Saya baru sahaja berpindah (dalam bulan puasa) ke kediaman baru yang dibeli awal tahun ini. Pastinya Syawal akan disambut dengan lebih bermakna kerana semangat dan aura yang disuntik di kediaman baru menjadikan kita lebih teruja. Selain itu, Syawal kali ini akan disambut mengikut tradisi biasa di mana saya akan beraya di rumah orang tua di Melaka dan Mertua di Johor. Saya berpada-pada menyambut Syawal, saya tidak boleh terlalu girang kerana orang tua saya sudah terlalu uzur nampaknya. Oh, membaca nukilan Rosie Haslinda Nasir (editor In-trend) tentang kasih terhadap bapa menjadikan air mata saya bercucuran. Cantik dan indah garapan Rosie. Saya teringat-ingat baris terakhir ayat Rosie yang mengungkap 'saya bermimpi ayah mendukung dan mencium pipi semasa kecil'. Gantilah dunia ini dengan segunung emas, selimpah intan dan selautan permata tak akan sama dengan kenangan, kasih, sayang, nostalgia, rindu dan pengharapan seorang anak kepada ibu bapanya. Saya bukan lagi anak manja yang duduk di riba ibu tetapi di dalam jiwa saya sebenarnya ada 'anak kecil' yang terperangkap dan minta dibelai ibu sambil mengatakan 'semuanya akan baik-baik belaka'. Saya kini menumpang kasih kepada ibu angkat saya Puan Maznah Jumian, selepas ibu sendiri lumpuh terlantar dan kasih ibu mertua dirasakan terlalu mahal harganya.
No comments:
Post a Comment