Friday, 21 December 2012

Merawat wajah dengan ampoules

Saya sendiri bukanlah terlalu arif tentang rawatan kecantikan. Kebiasaannya saya akan merujuk kepada juruterapi yang akan mencadangkan kaedah-kaedah yang sesuai. Saya membuat rawatan wajah secara berkala lebih kurang sebulan sekali. Salah satu rawatan yang dicadangkan adalah 'ampoules treatment'.
 
Ampoules adalah bahan-bahan pati aktif yang terkandung dalam bekas gelas kecil berbentuk vial. Biasanya ia merupakan bahan botanikal, vitamin atau enzim untuk merawat wajah. Ampoules tidak mengandungi bahan pengawet ataupun bahan kimia kerana ia dipakejkan secara kecil dalam bekas yang tidak dimasuki udara (airtight packaging).

Ampoules memberi kesan hebat bagi mengatasi masalah-masalah kulit yang lazim. Antara masalah kulit yang boleh sembuh dengan rawatan ampoules ialah kerengsaan kulit, pigmentasi dan juga rawatan untuk kulit menua. Kesan positif rawatan ampoules boleh dilihat dalam tempoh yang singkat. Ini kerana cara perawatan di salun menggabungkan kaedah ampoules dengan perawatan lain seperti facial treatment mask (topeng penjagaan wajah) dengan menggunakan facial steamer (mesin mengewap muka). Dengan itu bahan-bahan aktif ampoules dapat menyerap kepada sel-sel kulit secara maksimum.

Saya sendiri telah bertahun-tahun mengimpikan untuk memiliki kulit yang halus dan gebu. Kesan kerosakan wajah semasa remaja memberi kesan yang amat negatif kepada saya. Kulit wajah mempunyai kesan selaran matahari (sunburn), kesan parut jerawat, tona kulit tidak sekata dan mengelupas akibat kekeringan. Saya kerap mengunjungi pakar-pakar kulit demi untuk mendapatkan kulit wajah yang diimpikan dan mengatasi rasa rendah diri. Agaknya kerana usaha yang tidak pernah kenal jemu akhirnya saya berjaya menemui penamat kepada masalah yang membelenggu. Ya, bagi saya kombinasi rawatan microdermabrasion (pengelupasan kulit mikro) dan 'ampoules treatment' selang sebulan sekali amat membantu saya tampil dengan kulit yang lebih baik. Saya tidak berharap untuk secantik bidadari, sekadar inginkan imej yang lebih berkeyakinan dan memberi kesan keseluruhan yang positif pada diri ini.

Ampoules set





No comments:

Post a Comment