Tuesday 30 October 2012

Bekerja dari rumah

Saya menyedari bahawa trend bekerja dari rumah semakin berkembang kini. Ramai di kalangan ibu-ibu yang membuka pejabat di rumah, dan dalam masa yang sama menguruskan keluarga dan rumahtangga. Benar, ia kedengarannya begitu ideal sekali, namun beberapa perkara perlu kamu pertimbangkan sebelum menghantar surat 'resign' jawatan dan bekerja sendiri dari rumah....
  1. Jika sudah terbiasa menerima gaji bulanan yang lumayan setiap bulan, kamu mungkin sukar menyesuaikan diri jika perniagaan belum begitu berkembang. Oleh itu, kamu mesti bersedia untuk bermula dari bawah. Jangan meneruskan untuk bekerja sendiri dari rumah jika kewangan tidak begitu stabil dan jika mempunyai komitmen hutang yang banyak.
  2. Kamu perlu tahu dan yakin tentang apa yang kamu ingin lakukan. Fokus tentang perancangan kerjaya dan perniagaan kamu. Adakah kamu ingin mengambil tempahan kek dan kuih-muih, atau menjual tudung on-line ataupun lain-lain jenis perniagaan melalui internet? Bekerja sendiri memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi. Mungkin juga ia tidak semudah yang kamu jangkakan sebelum ini.
  3. Bukan semua perkara boleh dilakukan dengan hanya beroperasi di rumah. Adakalanya kamu perlu juga berurusan di luar, contohnya untuk bertemu pelanggan. Kamu juga mungkin perlu berurusan dengan pihak-pihak tertentu, seperti bank atau pejabat-pejabat kerajaan. Oleh itu, pengangkutan dan kenderaan amat penting dan perlu meskipun kamu bekerja dari rumah.
  4. Jika kamu mengasuh anak-anak sendiri di rumah, kenalpasti dengan siapa kamu akan tinggalkan mereka jika kamu perlu keluar rumah. Adakalanya kamu masih perlu menggaji pembantu rumah meskipun kamu bekerja di rumah. Atau, boleh juga menghantar mereka ke pusat penjagaan atau pengasuh sementara kamu menyelesaikan urusan di luar.
  5. Seperti yang dikatakan, bekerja sendiri dari rumah bukan semudah yang dijangkakan. Kamu mungkin terlalu sibuk menumpukan kepada urusan rumahtangga dan anak-anak menyebabkan kerjamu terbengkalai, mungkin juga kurang pelanggan. Boleh jadi juga kamu hanya memperoleh separuh daripada pendapatan semasa makan gaji. Pertimbangkan perkara-perkara ini sebelum kamu mengambil keputusan bekerja dari rumah. Seandainya kamu berjaya, sememangnya kamu sangat beruntung kerana kerjaya dan rumahtanggamu dapat berjalan seiring.





No comments:

Post a Comment