Pembaca Molek

Wednesday 9 January 2013

2012 dan kenangan

Selamat datang tahun baru 2013 meski saya 10 hari terlewat. Hadirnya tahun baru bererti usia menginjak setingkat lagi. Namun kaum wanita sekalian tak perlu bimbang kerana perhargaan kepada diri bukan setakat paras rupa dan usia muda sahaja. Wanita sekarang amat dipandang tinggi berdasarkan pencapaian, kerja keras, kematangan, pengalaman dan jati diri.
 
 
Untuk diri sendiri, saya bersyukur kerana 2012 berlalu dengan memuaskan. Beberapa perancangan-perancangan yang diatur berjaya dicapai dengan baik dan perancangan-perancangan akan datang pula harap dapat digapai pada 2013 ini. Begitulah. Kehidupan tidak menjanjikan sesuatu yang terlampau pasti melainkan kita sendiri bangkit dan mencorakkan masa depan kita. Seperti yang saya tekankan, perempuan sekarang jauh beruntung kerana memiliki kerjaya, buah fikiran, pendapatan, boleh memilih dan juga mampu membuat keputusan. Kita tidak hanya duduk berserah dan berangan-angan tanpa dapat memenuhi impian dan hajat kita sendiri. Percayalah, pengalaman dan kematangan jauh menjadikan kita cantik. Ketenangan diri seorang wanita pula ibarat sebuah pulau bahagia untuk keluarga dan anak-anak kita menumpang teduh dan damai.
 
 
Kata orang, wanita mencari-cari tapak dan kerjaya pada usia 20-an selepas tamat pengajian. 30-an pula masa untuk stabil dalam kerjaya dan membina keluarga. 40-an pula adalah masa untuk menikmati buah kejayaan (enjoy the fruit of success). Ia adalah suatu perjalanan yang panjang tanpa henti dan adakalanya lelah mendepani masalah hidup. Tiada kehidupan tanpa cabaran, maka kamu harus tabah dan sentiasa kuat. Bina karakter dirimu, tegaslah dengan prinsip dan pegangan diri dan pastikan kamu tahu apa yang kamu inginkan dalam hidup. Nikmati kehidupan ini sepuasnya namun dalam masa yang sama, jangan lupa bekalan ke akhirat. Semoga kita sama-sama akan memperbaiki diri dan meniti hari-hari di tahun baru ini dengan lebih bermakna.