Pembaca Molek

Friday 21 December 2012

Merawat wajah dengan ampoules

Saya sendiri bukanlah terlalu arif tentang rawatan kecantikan. Kebiasaannya saya akan merujuk kepada juruterapi yang akan mencadangkan kaedah-kaedah yang sesuai. Saya membuat rawatan wajah secara berkala lebih kurang sebulan sekali. Salah satu rawatan yang dicadangkan adalah 'ampoules treatment'.
 
Ampoules adalah bahan-bahan pati aktif yang terkandung dalam bekas gelas kecil berbentuk vial. Biasanya ia merupakan bahan botanikal, vitamin atau enzim untuk merawat wajah. Ampoules tidak mengandungi bahan pengawet ataupun bahan kimia kerana ia dipakejkan secara kecil dalam bekas yang tidak dimasuki udara (airtight packaging).

Ampoules memberi kesan hebat bagi mengatasi masalah-masalah kulit yang lazim. Antara masalah kulit yang boleh sembuh dengan rawatan ampoules ialah kerengsaan kulit, pigmentasi dan juga rawatan untuk kulit menua. Kesan positif rawatan ampoules boleh dilihat dalam tempoh yang singkat. Ini kerana cara perawatan di salun menggabungkan kaedah ampoules dengan perawatan lain seperti facial treatment mask (topeng penjagaan wajah) dengan menggunakan facial steamer (mesin mengewap muka). Dengan itu bahan-bahan aktif ampoules dapat menyerap kepada sel-sel kulit secara maksimum.

Saya sendiri telah bertahun-tahun mengimpikan untuk memiliki kulit yang halus dan gebu. Kesan kerosakan wajah semasa remaja memberi kesan yang amat negatif kepada saya. Kulit wajah mempunyai kesan selaran matahari (sunburn), kesan parut jerawat, tona kulit tidak sekata dan mengelupas akibat kekeringan. Saya kerap mengunjungi pakar-pakar kulit demi untuk mendapatkan kulit wajah yang diimpikan dan mengatasi rasa rendah diri. Agaknya kerana usaha yang tidak pernah kenal jemu akhirnya saya berjaya menemui penamat kepada masalah yang membelenggu. Ya, bagi saya kombinasi rawatan microdermabrasion (pengelupasan kulit mikro) dan 'ampoules treatment' selang sebulan sekali amat membantu saya tampil dengan kulit yang lebih baik. Saya tidak berharap untuk secantik bidadari, sekadar inginkan imej yang lebih berkeyakinan dan memberi kesan keseluruhan yang positif pada diri ini.

Ampoules set





Friday 2 November 2012

Bilateral tubal ligation (BTL)

Perancangan keluarga bukan lagi sesuatu yang 'taboo' dalam masyarakat kini. Setidak-tidaknya, ia boleh dibincangkan secara terbuka melalui aspek kesihatan dan perubatan. Kemajuan dan teknologi perubatan juga memungkinkan banyak kaedah-kaedah moden dan terkini yang diperkenalkan dalam family planning. Salah satunya ialah Bilateral tubal ligation (BTL).
  1. BTL ialah proses di mana saluran tiub fallopian pada wanita disekat bagi menghalang telur daripada ovari turun ke uterus (rahim). Dengan itu, percantuman antara sperma lelaki dan telur wanita tidak akan berlaku, lantas menghalang kehamilan. Ia adalah kaedah perancangan keluarga yang bersifat kekal dan paling efektif.
  2. BTL akan dicadangkan oleh doktor 'on case to case basis'. Kebiasaannya doktor akan mencadangkan BTL kepada ibu yang telah banyak kali menjalani pembedahan caesarean. Meskipun ramai orang menganggap ibu bersalin pembedahan kini boleh melahirkan lebih daripada 4, namun risikonya agak tinggi di situ. Doktor juga turut mencadangkan BTL kepada pesakit kronik yang tidak digalakkan hamil, seperti pesakit jantung atau yang mengalami masalah rahim.
  3. Pembedahan caesarean berulangkali boleh mengakibatkan organ-organ dalaman ibu terganggu dan 'melekat', terutamanya pundi kencing. Malah setiap kali hamil, si ibu akan berhadapan dengan risiko sebanyak 10% akan berlaku masalah kepada kelahiran secara caesarean tersebut. BTL dicadangkan oleh pengamal perubatan kerana ia paling efektif untuk mencegah kehamilan tidak terancang. Sepanjang kajian dilakukan, hanya 1 sahaja kehamilan dilaporkan dalam 300 orang responden.
  4. BTL hanya boleh dipertimbangkan oleh ibu yang yakin bahawa ia enggan hamil lagi. Ini kerana, ia adalah proses kekal dan untuk 'berpatah-balik' adalah amat mustahil. Jangan lakukan kaedah BTL jika kamu masih ingin menambah anak lagi. Seorang rakan yang saya kenali meluahkan rasa kesal kerana beliau sudah 'ikat' selepas melahirkan 3 anak perempuan dan sebenarnya amat teringin mendapat anak lelaki. BTL sebaiknya dilakukan selepas kamu berpuashati dengan komposisi bilangan anak dan selepas kamu pasti bahawa kamu tidak digalakkan hamil lagi atas sebab umur, penyakit dsb.
  5. BTL tidak mengganggu proses kitaran haid kerana haid dikawal oleh hormon. Boleh juga dikatakan bahawa ia hampir tiada kesan sampingan. Ia boleh dijalankan bersekali dengan pembedahan caesarean malah boleh juga dilakukan melalui pembedahan yang berasingan. Jika kamu dinasihatkan untuk menjalani proses BTL, buatlah keputusan selepas kamu dan pasangan berfikir panjang. Jika kamu enggan atas alasan yang tersendiri, itu adalah hak kamu terhadap tubuh badanmu, kerana banyak lagi kaedah-kaedah perancangan keluarga yang lain yang boleh diamalkan.



Wednesday 31 October 2012

Pengasuh atau pembantu rumah?

Isu tentang penjagaan anak-anak sering berlegar di fikiran ibubapa. Mungkin tiada masalah bila si ibu seorang surirumah sepenuh masa, namun bila kedua ibubapa perlu bekerja, anak-anak perlu ditinggalkan dengan penjaga. Persoalannya, pengasuh atau pembantu rumah?
  1. Pembantu rumah sangat praktikal kerana anak-anak boleh diasuh di persekitaran rumah sendiri. Namun, kepercayaan sangat memainkan peranan yang penting di sini. Kebanyakan pembantu rumah adalah warganegara asing, mereka mungkin berbeza latar belakang dan budaya. Tetapi tiada masalah jika antara kamu dapat mewujudkan keserasian dan kamu mempercayainya untuk mengasuh anak-anakmu.
  2. Manakala pengasuh (babysitter), kebiasaannya mereka adalah surirumah yang ingin menambah pendapatan dan mengisi masa lapang dengan menjadi pengasuh. Tapi kamu harus meninggalkan anak-anak kamu di rumah mereka. Perhatikan persekitaran rumah mereka sama ada kondusif atau tidak untuk anak-anakmu. Nilaikan juga perwatakan pengasuh sama ada mereka seorang yang penyayang, warak, sukakan kanak-kanak, rajin dan bertimbangrasa.
  3. Satu lagi pilihan lain ialah dengan menitipkan anak-anak di nurseri/ pusat jagaan harian (daycare). Salah-satu kelebihan pusat jagaan ialah ia berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mereka mesti memenuhi standard tertentu sebelum boleh beroperasi. Tetapi ratio (nisbah) antara penjaga dengan anak-anak jagaan agak besar, contohnya 1 penjaga perlu menjaga 4 kanak-kanak. Yang baiknya, anak-anakmu akan dapat ramai rakan sepermainan di sini.
  4. Sebenarnya, terlalu banyak cerita dan cakap-cakap yang timbul daripada isu penjagaan anak-anak. Pembantu rumah, misalnya, sering bertukar ganti kerana tamat kontrak kerja, lari dari rumah, tidak serasi dsb. Sering saya mendengar keluhan ibu-ibu yang mengadu pembantu rumah mereka panjang tangan (mencuri), tidak menumpukan pada kerja kerana asyik bercinta, memukul anak majikan dsb. Jika dihantar ke nurseri, kebanyakan nurseri tutup awal dan tidak sesuai untuk ibubapa yang bekerja lebih masa. Ada juga masalah di nurseri di mana kanak-kanak bergaduh, dijangkiti penyakit sesama-sendiri, pakaian bertukar dsb. 
  5. Lalu, apa lagi pilihan yang ada? Saya menghantar anak-anak saya kepada pengasuh, seorang ibu penyayang yang telah menjaga anak pertama saya sehingga berumur 8 tahun. Alhamdulillah, setakat ini saya amat berpuashati dengan cara beliau melayan anak-anak saya seperti anak-anak sendiri. Sesekali masalah timbul juga, seperti keadaan bila beliau terlantar di hospital dan saya terpaksa bercuti menjaga anak-anak sendiri. Sehingga kini, saya amat mengimpikan konsep 'nanny' seperti di negara Mat Saleh. Saya suka jika ada nanny yang boleh datang ke rumah pada waktu pagi, menjaga anak-anak saya dan pulang apabila saya balik daripada tempat kerja. Semoga saya akan dipertemukan dengan pengasuh sebegini....





Tuesday 30 October 2012

Bekerja dari rumah

Saya menyedari bahawa trend bekerja dari rumah semakin berkembang kini. Ramai di kalangan ibu-ibu yang membuka pejabat di rumah, dan dalam masa yang sama menguruskan keluarga dan rumahtangga. Benar, ia kedengarannya begitu ideal sekali, namun beberapa perkara perlu kamu pertimbangkan sebelum menghantar surat 'resign' jawatan dan bekerja sendiri dari rumah....
  1. Jika sudah terbiasa menerima gaji bulanan yang lumayan setiap bulan, kamu mungkin sukar menyesuaikan diri jika perniagaan belum begitu berkembang. Oleh itu, kamu mesti bersedia untuk bermula dari bawah. Jangan meneruskan untuk bekerja sendiri dari rumah jika kewangan tidak begitu stabil dan jika mempunyai komitmen hutang yang banyak.
  2. Kamu perlu tahu dan yakin tentang apa yang kamu ingin lakukan. Fokus tentang perancangan kerjaya dan perniagaan kamu. Adakah kamu ingin mengambil tempahan kek dan kuih-muih, atau menjual tudung on-line ataupun lain-lain jenis perniagaan melalui internet? Bekerja sendiri memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi. Mungkin juga ia tidak semudah yang kamu jangkakan sebelum ini.
  3. Bukan semua perkara boleh dilakukan dengan hanya beroperasi di rumah. Adakalanya kamu perlu juga berurusan di luar, contohnya untuk bertemu pelanggan. Kamu juga mungkin perlu berurusan dengan pihak-pihak tertentu, seperti bank atau pejabat-pejabat kerajaan. Oleh itu, pengangkutan dan kenderaan amat penting dan perlu meskipun kamu bekerja dari rumah.
  4. Jika kamu mengasuh anak-anak sendiri di rumah, kenalpasti dengan siapa kamu akan tinggalkan mereka jika kamu perlu keluar rumah. Adakalanya kamu masih perlu menggaji pembantu rumah meskipun kamu bekerja di rumah. Atau, boleh juga menghantar mereka ke pusat penjagaan atau pengasuh sementara kamu menyelesaikan urusan di luar.
  5. Seperti yang dikatakan, bekerja sendiri dari rumah bukan semudah yang dijangkakan. Kamu mungkin terlalu sibuk menumpukan kepada urusan rumahtangga dan anak-anak menyebabkan kerjamu terbengkalai, mungkin juga kurang pelanggan. Boleh jadi juga kamu hanya memperoleh separuh daripada pendapatan semasa makan gaji. Pertimbangkan perkara-perkara ini sebelum kamu mengambil keputusan bekerja dari rumah. Seandainya kamu berjaya, sememangnya kamu sangat beruntung kerana kerjaya dan rumahtanggamu dapat berjalan seiring.





Friday 19 October 2012

Manfaatkan cuti bersalin

Rata-rata cuti bersalin yang diperolehi oleh ibu-ibu sekarang ialah '3 bulan'. Di sektor swasta, cuti bersalin yang dipraktikkan masih lagi 2 bulan. Apa perkara terbaik yang patut kamu lakukan bagi mengisi cuti bersalin?
  • Nikmati cuti tersebut sepenuhnya dan sepuasnya. Bagi ibu yang bekerja, pasti kamu faham bagaimana perasaannya bila terpaksa keluar bekerja dan meninggalkan anak dengan pengasuh atau pembantu rumah. Guna masa cuti bersalin yang ada 'to get bonding with your baby'.
  • Bila sudah kembali bekerja juga, adakalanya bukan senang untuk kita mengambil cuti. Cuti bersalin selama beberapa bulan ini adalah masa yang paling sesuai untuk berehat. Kerana, selepas cuti bersalinmu tamat, agak sukar untukmu memperolehi cuti panjang sebegini.
  • Penuhi masa dengan menyusukan anak secara ekslusif. Ibu-ibu kini mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai breastfeeding. Apabila bekerja kembali, agak sukar untuk breastfeeding sepenuhnya kerana tuntutan kerja. Manfaatkan juga masa yang ada untuk membuat stok susu ibu ('stock-up breast milk').
  • Buat perancangan kerjaya. Adakah kamu ingin berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa selepas ini? Ataupun adakah kamu berhasrat untuk bekerja secara separuh masa sahaja? Bagi yang meneruskan dengan kerjaya tetap, bersedia untuk kembali bekerja semula selepas cutimu tamat. Persediaan mental amat penting kerana jika tidak bersedia, kamu akan berasa malas dan jemu untuk bekerja semula selepas bercuti panjang.
  • Pelihara kesihatan. Pastikan luka bersalin telah sembuh sepenuhnya tanpa kesan sampingan. Pastikan emosi dan mentalmu juga terjaga dan stabil. Kajian menunjukkan 'post natal blues' boleh berlaku meskipun kelahiran bayi telah berlaku dalam tempoh 6 bulan ke setahun. Pastikan dirimu 'fit' (cergas) untuk bekerja kembali.
  • Teruskan amalan yang baik untuk kesihatan. Jika menjalani pembedahan caesarean, jangan lakukan aktiviti lasak meskipun kamu telah kembali bekerja. Teruskan memakai bengkung (strap-on binder) kerana ia elok untuk menegapkan postur badan. Teruskan juga mengamalkan jamu untuk kesihatan dalaman badan meskipun tempoh pantang bersalin telah berlalu.

 



Thursday 11 October 2012

Pantang bersalin

Lumrah setiap selepas kelahiran, ibu akan menjalani tempoh berpantang, kebiasaannya selama 44 hari. Bercerita tentang berpantang, setiap orang akan ada kisah tersendiri. Saya sendiri mempunyai kisah pahit manis semasa berpantang. Saya amat maklum bahawa berpantang adalah tempoh yang paling baik untuk menjaga diri supaya kembali cergas dan sihat. Pada saya, ambil segala kebaikan yang perlu namun jangan ikut pantang larang secara membuta tuli, kerana sesetengahnya tidak semestinya sesuai untuk diamalkan.
  1. Orang Melayu mempunyai pantang-larang yang begitu panjang lebar (endless). Jika diikutkan, terlalu banyak makanan dan minuman yang tidak boleh diambil. Antaranya makanan dan minuman yang berangin, ikan yang mempunyai 'bisa', makanan laut yang bersifat gatal dsb. Namun, menurut seorang doktor yang saya temui mengatakan, 'Don't ban food...you will be lacked of nutrients..'. Oleh itu, pastikan makanan yang kamu ambil itu seimbang. Minum air secukupnya dan makan makanan yang disyorkan mengikut piramid makanan. Jangan lupa amalkan sayuran hijau dan makan buah-buahan.
  2. Sesetengah pantang-larang tidak sesuai untuk diamalkan, contohnya menghadkan pengambilan air. Orang dahulu ada yang hanya minum secawan air sehari, atas alasan tidak mahu peranakan kembang. Kasihan, kerana mereka akan 'dehidrate' (kurang cecair badan) sedangkan mereka perlu menyusukan bayi. Kurang air juga boleh mengakibatkan sembelit. Di sini pentingnya pengetahuan tentang kesihatan supaya kamu tidak terikut-ikut pantang larang yang boleh menjejaskan diri sendiri. Ada sesetengah amalan pantang hanyalah 'old wives' tales' yang dipanjangkan dari generasi ke generasi tanpa ada apa-apa bukti atau alasan saintifik. 
  3. Bagi masyarakat Melayu, kebanyakan masalah kesihatan yang timbul semasa berpantang dikatakan berpunca daripada 'angin'. Oleh itu, kamu dapat melihat senario biasa ibu-ibu berpantang akan memakai baju panas (meskipun di siang hari), memakai stokin, mengikat rambut ketat-ketat, memakai bedak sejuk dan berbau rempah. Saya cuba mencari jawapan kepada persoalan ini dan rupa-rupanya, 'angin' ini sebenarnya berpunca dari dalam badan. Semasa mengandung, rahim akan mengembang beberapa kali ganda dan selepas kelahiran bayi, rahim yang mengembang tadi tiba-tiba kosong dan mempunyai ruang. Ruang inilah yang dikatakan mengandungi 'angin'. Oleh itu, sesetengah amalan elok dilakukan, contohnya memakan halia dan lada hitam kerana ini membantu melegakan angin. Namun tiada bukti saintifik mengapa kamu jangan mandi, atau pakai berlapis-lapis semasa berpantang. Semasa saya di hospital, doktor pakar sendiri menggalakkan untuk memakai pakaian yang selesa dan elakkan memakai pakaian yang meningkatkan kepanasan badan.
  4. Apapun paparan di sini adalah pendapat peribadi saya sendiri, kerana masing-masing ada alasan dan sebab mengapa perlu menjalani pantang sedemikian. Perbezaan zaman banyak menjadikan pantang dahulu dan pantang sekarang berbeza. Pokok pangkalnya kepada individu sendiri untuk mengikut apa amalan yang baik dan perlu untuk kesihatan diri. Jika amalan itu terbukti elok untuk fizikal si ibu dan menjanjikan keselesaan diri di hari tua, tidak salah untuk mengikutnya secara teratur. Namun amalan yang menyimpang dan tiada kebenarannya sebaiknya dijauhi, kerana yang paling elok adalah bersederhana dalam segala segi dan mengikut apa yang dilunaskan dalam agama dan kepercayaan.

Sunday 7 October 2012

Sindrom 'Superwoman'

Sewaktu membaca Majalah Nona edisi September '2012, saya menemui artikel oleh Tengku Rozidar (pengasas makanan segera 1901) tentang sindrom menjadi 'Superwoman'. Terfikirkah kamu tentang apa itu Superwoman? Ramai wanita masa kini yang terjerat dalam sindrom Superwoman - ingin menjadi serba-serbi hebat sehingga mengabaikan diri sendiri.

Wanita masa kini perlu memenuhi terlalu banyak fungsi pada satu masa - menjadi career woman, pulang ke rumah menjadi suri yang tidak habis-habis dengan tugas rumahtangga, perlu menjenguk homework anak, menjadi isteri yang setia kepada suaminya... tidak cukup dengan itu, perlu juga menjaga ibu bapa yang sudah tua, berusaha menjadi menantu mithali... dan pelbagai lagi peranan sehingga diri sendiri tiada ruang dan waktu untuk bernafas!

Menjadi wanita 'super' menyebabkan kamu kurang rehat dan memberi tekanan kepada diri sendiri. Jangan begitu, kerana kesihatan perlu diberi perhatian dan kamu boleh jatuh sakit kerana terlampau memberi perhatian kepada orang lain. Berikut ada sedikit tips bagaimana kamu boleh sembuh dari sindrom 'Superwoman':-

  1. Utamakan kepentingan kamu dahulu. Jika ada rakan yang meminta pertolongan, dan dalam masa yang sama kamu ada hal keluarga - beri keutamaan kepada yang lebih penting. Belajar untuk berkata 'tidak'.
  2. Jangan biarkan stress memakan diri. Luahkan kepada orang yang kamu percayai.
  3. Minta pertolongan jika kamu terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan sendiri. Latih anak-anak membantu urusan di rumah. Minta tolong pasangan untuk membantumu dalam urusan anak-anak dan rumahtangga.
  4. Berhenti menjadi 'terlalu sempurna'. Tidak semestinya rumahmu perlu 'tip-top' dan kemas sentiasa. Jangan memaksa diri untuk memasak jika tidak cukup masa. Ambil peluang untuk relaks dan berehat.
  5. Berhenti sekejap dari kesibukan untuk menikmati hidup. Manjakan diri sendiri dengan rawatan rambut, urutan badan, shopping, membaca atau bersiar-siar. Jangan menjalani kehidupan dengan tekanan, sebaliknya jadilah seorang yang seimbang dan tenang dalam urusan harian. 


 

Wednesday 3 October 2012

Mastitis (demam susu)

Mastitis berlaku apabila tisu payudara tersumbat dan membengkak. Pada kebiasaannya ia hanya berlaku pada sebelah payudara. Kamu boleh menyedarinya apabila payudara kelihatan merah, bengkak dan mengalami ketulan. Serentak dengan itu, pengidapnya boleh mengalami demam dan menggigil.
  1. Sewaktu mengalaminya baru-baru ini, saya telah diserang demam pada suhu 40 darjah selsius. Saya juga mengalami sakit perut dan menggigil (shivering). Sampai di hospital, saya disuruh mandi untuk menurunkan suhu badan. Kemudian, susu hendaklah dipam keluar dari badan kerana susu yang terkumpul boleh menjadi toksik. Panadol boleh diambil bagi mengurangkan kesakitan dan panas badan yang dialami ini.
  2. Mastitis hendaklah segera dirawat di mana doktor akan memberi kamu antibiotik. Antibiotik akan membantu bengkak menjadi surut dan mengelakkan ia berulang. Jika terlambat merawat mastitis, ia boleh mengakibatkan susu yang terkumpul menjadi nanah. Bila ini berlaku, doktor terpaksa membedah pesakit bagi mengeluarkan susu yang terkumpul tersebut.
  3. Bagi mengelakkan serangan mastitis, ibu menyusukan anak hendaklah cukup rehat dan makan makanan yang seimbang. Beri bayi menyusu dengan susu ibu secara teratur. Susu yang berlebihan di dalam badan hendaklah dipam keluar bagi mengelakkannya berkumpul dan menjadi toksik. Kamu juga boleh mengelakkan susu tersumbat dalam payudara dengan cara meletakkan tuala suam, kemudian perah susu keluar bagi mengelakkannya terkumpul di dalam badan.
  4. Mastitis biasanya menyerang ibu baru dalam masa 1 bulan selepas kelahiran. Jangan ambil ringan masalah penyusuan dan demam yang kamu alami kerana ia boleh mengakibatkan risiko yang lebih besar. Yang penting, ibu menyusukan anak perlu cukup rehat dan elakkan tekanan. Di samping menjaga kesihatan diri sendiri, ibu juga perlu memastikan kesihatan anak yang baru dilahirkan. Mastitis boleh dielak jika kamu peka dengan perubahan yang berlaku pada badan. Cegah lebih awal sebelum ia menjadi melarat dan membahayakan.




 

Tuesday 2 October 2012

Salam buat pembaca budiman

Salam, pembaca budiman sekalian. Sudah sekian lama saya tidak mencoret kata di kanvas blog ini. Semenjak penghujung tahun lalu, kesibukan telah menjadi 'makanan harian'. Saya terpaksa juggle dengan terlalu banyak perkara merangkumi beban tugasan kerja, hal peribadi dan tumpuan kepada keluarga lantaran ibu telah jatuh sakit (lumpuh seluruh badan). Di tengah-tengah kesibukan itu, saya pula hamil anak ke-3 dan memerlukan penjagaan kesihatan yang secukupnya.
  • Alhamdulillah, saya selamat melahirkan seorang puteri kecil pada 4/9/12 yang lalu. Ini adalah pengalaman kali ke-3 saya menjalani pembedahan caesarean. Saya selamat menjalaninya tanpa sebarang komplikasi.
  • Saya menjalani tempoh berpantang dengan jayanya sehingga hari ke-12. Entah di mana silapnya, saya diserang demam panas dan terpaksa masuk hospital selama 5 hari. Doktor mengesahkan saya mengidap 'mastitis' (demam menyusu). Saya akan menulis entri khas berkaitan isu ini kerana saya terpanggil untuk berkongsi mengenainya berdasarkan pengalaman sendiri.
  • Di kesempatan ini juga saya mengalu-alukan komen dan feedback dari pembaca-pembaca sekalian berkaitan pengisian blog ini. Saya juga memohon maaf kerana tidak 'reply' komen-komen yang dilontarkan oleh pembaca sekalian. Banyak juga e-mel yang saya terima yang bertanyakan tentang produk, berkongsi pengalaman dan ada juga yang mencadangkan topik-topik untuk saya menulis. InsyaAllah saya akan membalas setiap komen dan e-mel yang dihantar dan menjadikan blog ini lebih bersifat interaktif.
Semoga saya mempunyai ruang dan kelapangan masa untuk menulis entri-entri yang bermanfaat untuk dikongsikan dengan semua... Wassallam.


Tuesday 7 August 2012

Berpuasa ketika hamil

Bolehkan ibu hamil berpuasa? Ibu hamil sebenarnya termasuk dalam kategori 'rukhsah', iaitu mereka yang dibenarkan meninggalkan puasanya. Namun, jika kamu berasa sihat dan cekal untuk berpuasa, kamu boleh meneruskannya meskipun mengandung. Saya senaraikan beberapa tips di sini :-
  1. Tanya doktor yang merawatmu sama ada kesihatanmu mengizinkan untuk berpuasa. Doktor yang merawat saya mengesahkan bahawa berpuasa adalah selamat untuk kandungan. Pesan beliau, pastikan berbuka puasa dengan sebotol kecil air mineral. Manakala sebotol kecil air mineral lagi perlu dihabiskan sewaktu sahur. Minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
  2. Ambil pil supplemen kehamilan supaya tubuh badanmu dan kandungan mendapat nutrien yang secukupnya. Jangan tertinggal makan sahur. Banyakkan berehat dan jauhi daripada melakukan kerja berat atau terdedah kepada cuaca panas.
  3. Jangan memaksa diri. Jika kamu tiada tenaga untuk terus berpuasa, jangan teragak-agak untuk berbuka. Antara tanda-tanda yang agak bahaya semasa berpuasa, ialah bila kamu berasa pening, muntah, lemah atau mengidap demam. Perhatikan juga jika air kencing terlalu keruh kerana ia mungkin tanda-tanda yang kamu mengalami dehidrasi (kekurangan air).
  4. Ambil pemakanan yang seimbang sepanjang Ramadhan. Kurma bagus untuk diamalkan kerana ia memberi tenaga segera sebaik sahaja berbuka. Jika terasa badan kurang air, minuman '100-plus' boleh diambil untuk menambah kandungan cecair badan. Pastikan kamu mendapat waktu tidur yang mencukupi. Paling penting, perhatikan gerak badanmu sendiri. Jika kamu merasakan tubuh badan tidak dapat menampung kekuatan untuk berpuasa, berbukalah kerana kamu tidak sepatutnya memudharatkan kandungan. Kelak, kamu akan boleh mengganti puasa yang ditinggalkan dan membayar fidyahnya.

Saturday 14 July 2012

Angin semasa mengandung

Setiap kali hamil, saya akan mengalami masalah angin yang berlebihan dan kerap sendawa. Ia mungkin bukan satu masalah yang besar, namun agak tidak menyelesakan. Melalui pembacaan, saya menemui solusi berikut ...
  1. Angin berlebihan yang kerap dialami oleh ibu hamil biasanya berlaku pada awal dan hujung kehamilan. Sebab utamanya ialah kerana ibu perlu 'berkongsi' khasiat pemakanan dengan janin. Oleh itu, penghadaman menjadi lambat menyebabkan bakteria 'sempat' mengganggu fungsi usus. Kerana itu, angin berlebihan akan terbebas ke dalam badan.
  2. Kamu boleh mengurangkan angin dalam badan dengan berhati-hati memilih makanan. Jauhi makanan yang boleh menyebabkan angin seperti kobis, kacang dan bawang. Pada akhir trimester kehamilan juga, masalah angin biasanya menjadi lebih kerap. Ini kerana bayi sudah membesar dalam kandungan dan menekan usus, menjadikan penghadaman lebih lambat dan mengakibatkan angin.
  3. Cara pengambilan makanan dan minuman banyak membantu kamu menangani masalah ini. Minum air  hangat semasa sarapan boleh membantu pergerakan usus yang baik. Antara jenis minuman yang membantu melegakan usus ialah air lemon dan peppermint tea. Ambil sarapan secara teratur dan banyakkan sarapan yang mengandungi serat (baik untuk usus).
  4. Mungkin kamu terpaksa melupakan sesetengah minatmu bagi mengelakkan masalah angin ini berterusan. Antaranya, elakkan minuman bergas. Jika ingin minum juga, minum secara terkawal kerana ia mengundang angin ke dalam badan. Elakkan juga mengunyah chewing gum, kerana mengunyah chewing gum menjadikan kamu seolah-olah 'mengunyah angin'.
  5. Akhir sekali, pakai pakaian yang selesa. Angin yang berlebihan mungkin menjadikan kamu tidak tenteram oleh itu pakailah pakaian yang longgar dan tidak mencerut. Sesetengah pakaian yang dipakai pada awal kehamilan mungkin tidak sesuai lagi pada hujung kehamilan kerana berat badan makin bertambah dan perut kian membesar. Bersabar dengan masalah yang melandamu kerana ia adalah lumrah pengalaman sebagai ibu. Pada dasarnya, masalah ini bersifat sementara sahaja dan akan lenyap selepas kamu melahirkan.

Thursday 7 June 2012

Lemah kawalan kencing (incontinence)

Adalah normal bagi seorang ibu hamil untuk mengalami masalah kesukaran mengawal kencing. Ini kerana keadaan bayi yang membesar di dalam uterus (rahim) mengakibatkan tekanan kepada pundi kencing. Oleh yang demikian, ibu hamil akan buang air lebih kerap. Malah, mungkin juga mengalami lelehan semasa bersin, batuk atau tertawa. Namun, semua ini bersifat sementara sahaja kerana pada kebiasaannya masalah ini akan lenyap selepas bersalin. 

Perkara yang kamu harus tahu ialah, pastikan cairan yang keluaran itu sama ada urine (air kencing) ataupun air ketuban. Jika cecair yang keluar berwarna jernih dan dikhuatiri air ketuban (cecair amniotik), segera berjumpa doktor kerana ia mungkin menimbulkan masalah kepada kandunganmu.

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan incontinence (lemah kawalan kencing):-
  1. Lakukan senaman 'kegel' (senaman untuk menguatkan pelvik) supaya kamu dapat mengawal pembuangan air kecil dengan lebih berkesan. Sekurang-kurangnya silangkan kaki jika kamu menghadapi masalah untuk mengawal kencing secara tiba-tiba.
  2. Minum air secukupnya. Jangan anggap minum air akan menjadikan kamu lebih cenderung untuk kencing. Sebenarnya air dapat meregulasikan badan supaya perkumuhan menjadi lebih terkawal. Sebaliknya, jika kamu kurang minum air pundi kencing boleh mengalami keradangan dan jangkitan kuman.
  3. Elakkan mengambil minuman yang menyebabkan iritasi kepada pundi kencing. Antaranya, minuman bergas, minuman citrus (seperti air limau atau lemon) dan kopi. Jauhi juga minuman berais.
  4. Kawal berat badan. Meskipun kamu mengandung, namun cuba kawal berat badan supaya tidak berlebih-lebihan. Ini kerana berat badan yang berlebihan boleh memberikan tekanan ekstra kepada pundi kencing dan menjadikan kamu sukar mengawal pembuangan air. Elakkan juga daripada sembelit, kerana pergerakan usus yang tidak teratur juga boleh menyebabkan gejala incontinence (sukar mengawal kencing).
  5. Akhir sekali, pakai perlindungan secukupnya. Pad jenama 'poise' dicipta khas untuk mereka yang mengalami masalah 'light urinary leakage' (lemah kawalan kencing). Ia dapat melindungi pakaianmu, di samping melindungi kulit di bahagian intim daripada masalah kelembapan. Kamu juga akan berasa lebih hygene dan selesa.

Tuesday 29 May 2012

Kemanisan laici

Fresh lychees

Pernahkah kamu merasai laici segar (fresh lychees)? Jika belum, kunjungi gerai buah-buahan di sekitar tempatmu sekarang kerana ia sangat popular kini. Laici segar sangat berbeza daripada laici dalam tin yang telah dipermaniskan. Tahukah kamu asal-usul pokok laici datangnya dari Hawaii?

Saya sungguh teruja dengan bauan laici yang segar dan manis. Ingin mengabadikan haruman laici dalam perawatan kecantikan? Body Shop ada menawarkan haruman segar buah laici dalam rangkaian wangiannya.

Lychee body mist
Semburkan 'Lychee body mist' selepas mandi untuk mendapatkan kesegaran berpanjangan. Namun, jangan kecewa kerana bau harumnya kekal sekitar 10 minit sahaja. Jika kamu sangat menyukai haruman manis ini dan ingin ia berkekalan, dapatkan wangian dalam bentuk 'Eau de Toilette' kerana ia lebih tahan lama berbanding body mist (semburan).

Monday 28 May 2012

Jauhi kedutan wajah

  1. Proses kedutan (wrinkles) pada wajah wanita mula kelihatan ketika usia 30 ke atas. Oleh itu, ada baiknya jika kamu bermula lebih awal dalam rutin penjagaan kecantikan. Beri lebih perhatian kepada wajahmu bermula dari usia 20-an.
  2. Kedutan pada asasnya muncul pada kulit wajah yang kering. Kamu boleh mengamati garis-garis ini terutama di sekitar mata dan bibir. Untuk langkah terbaik, kunjungi pakar kecantikan dan amalkan rutin penjagaan diri secara efektif setiap hari.
  3. Melakukan facial di salun sebanyak sekali sebulan adalah memadai. Urutan semasa facial akan memberi kamu kerehatan dan kesegaran pada wajah. Di samping itu, ambil masa lebih kurang 10 minit untuk penjagaan wajah setiap 2 kali sehari. Amalan yang baik akan memastikan kulit kekal bersih, lembab dan subur.
  4. Jangan lupa kepada 3 amalan penting iaitu membersih, menyegar dan melembab. Gunakan pencuci muka yang sesuai dengan kulitmu. Kemudian, guna cotton pad untuk menyapu penyegar (toner) pada wajah. Sudahi dengan krim pelembab dan urut secara perlahan-lahan di sekitar wajah dan leher.
  5. Seminggu sekali, bersihkan wajahmu dengan skrub muka untuk menyingkirkan sel kulit mati. Ia akan menjadikan kulitmu kelihatan sihat dan berseri. Setelah itu, pupur wajah dengan topeng muka (facial mask). Ia akan menyegarkan, menyejukkan dan melembutkan tekstur kulitmu.
  6. Selepas kamu selesa dengan amalan-amalan asas kecantikan ini, ia akan menjadikan kamu lebih bersedia untuk rawatan intensif. Lebih-lebih lagi, amalan asas kamu tadi telah berjaya menyediakan wajahmu laksana kanvas yang bersih dan mampu menyerap khasiat dari formula-formula kecantikan yang lebih bersifat 'advanced'. Sekarang kamu boleh 'invest' untuk produk-produk seperti krim anti penuaan dan serum.
  7. Terdapat banyak produk-produk di pasaran kini yang bersesuaian untuk diamalkan. Antaranya collagen, sarang burung (bird's nest), Stem cells, advanced night repair (krim malam yang bersifat membaiki kulit), wrinkle corrector (pencegah kedutan) dan berbagai-bagai lagi. Di samping itu, amalkan juga pengambilan pemakanan yang baik, senaman dan minum air dengan secukupnya bagi mendapat paras wajah menarik yang didambakan.
Lancome repositioning and lifting cream

Prima oligo - stem cells


Friday 25 May 2012

Tekanan darah rendah (hypotension)

Tekanan darah yang normal amat penting semasa mengandung. Pendekata, ibu hamil harus sentiasa berhati-hati agar tekanan darahnya tidak terlampau rendah, malah tidak pula terlampau tinggi.

Ramai antara kita yang mengetahui kesan tekanan darah tinggi yang boleh mendatangkan kesan serius kepada ibu dan bayi. Namun, bagaimana pula keadaannya dengan tekanan darah yang rendah (hypotension)? Secara amnya, tekanan darah rendah tidak terlampau mengancam kesihatan ibu hamil namun hati-hati jika ia mengakibatkan kamu pening atau pitam.

Tekanan darah rendah biasa berlaku akibat kekurangan air (dehydration). Faktor air yang kurang di dalam badan akan memberi kesan kepada aliran darah. Sebab lain ialah kerana cuaca yang panas ataupun ibu hamil tersebut banyak berdiri. Keadaan tubuh semasa hamil menjadikan darah berkumpul di bahagian kaki. Oleh itu, pergerakan kamu semasa duduk dan berdiri juga boleh mengakibatkan pening dan pitam. Hati-hati juga jika tiba-tiba penglihatan kamu menjadi kabur (blurry vision).

Doktor akan menasihatkan kamu jika tekanan darah rendah yang kamu hidapi ini serius ataupun tidak. Kebiasaannya, masalah ini boleh diatasi dengan banyak meminum air bagi mencegah dehidrasi. Hati-hati juga dalam pergerakan seharian, jangan bangun atau duduk serta-merta dari posisi asal sebaliknya lakukan dengan perlahan-lahan. Banyakkan berehat dan jika berasa pening, duduk atau baring sebentar. Senaman ringan juga boleh membantu untuk mendapatkan paras darah yang normal, namun pastikan pergerakan itu tidak lasak sesuai dengan keadaan dirimu yang hamil.





Thursday 3 May 2012

Rutin sebelum tidur

Selepas menjalani hari yang sibuk, waktu tidur malam amat dinanti-nantikan untuk melepas lelah. Apakah rutin terbaik yang harus dilakukan sebelum tidur. Saya senaraikan di sini....
  1. Cuci wajah dengan bersih sebelum tidur, meskipun jika tidak memakai mekap. Pembersihan wajah penting untuk menghindarkan kekotoran dan bakteria dari berkekalan di muka. Cara yang lebih baik ialah dengan mencuci wajah dengan air suam, jika perlu gunakan skrub muka untuk menanggalkan sel kulit mati, kemudian sudahi dengan toner (penyegar) untuk menutup pori-pori kulit.
  2. Sapukan krim malam pada seluruh wajah. Ia membantu memulihara kulit tambahan pula, keadaan kamu yang relaks sepanjang malam akan membolehkan krim malam menyerap pada wajah pada kadar maksimum.
  3. Manjakan keadaan kulit yang kekeringan. Beri perhatian pada kawasan lain pada kulit tubuhmu yang juga memerlukan penjagaan. Ambil masa sebelum tidur malam untuk menyapu losyen pada tangan, kaki, tumit dan siku. Jika inginkan penyerapan yang lebih, selepas menyapu losyen pada kakimu sudahi dengan memakai stokin sepanjang malam.
  4. Selesakan tubuh badan. Jangan tidur dengan memakai pakaian dari material yang panas (elakkan kain polyester, sebaliknya tidur dengan pakaian dari kapas). Jangan ikat rambut semasa tidur kerana ia boleh menggalakkan rambut mudah patah (hair breakage). Tidur pada permukaan merata supaya belakang badan kamu selesa. Guna sekurang-kurangnya satu bantal supaya cecair badan tidak berkumpul mengakibatkan kamu bangun dengan muka sembab keesokan harinya.
  5. Tidur yang mencukupi memainkan peranan yang amat besar terhadap kesihatan dan penampilanmu. Tidur yang terganggu akan menyebabkan ketegangan (stress) dan menghalang proses baik pulih tubuh yang berlaku sepanjang malam. Masa tidur malam yang panjang adalah waktu terbaik untuk tubuhmu berehat, jadi gunakan peluang ini sebaik-baiknya demi kesihatanmu.

krim malam dan rutin sebelum tidur boleh membantu mengekalkan kesihatan kulitmu


Tuesday 1 May 2012

Sabun mewah Yardley

Yardley adalah nama klasik kosmetik dari London yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Kini saya menemui satu lagi rahsia cantik keluaran Yardley. Ia memiliki rangkaian sabun mewah (luxury soaps) dalam pelbagai varian mewangi.

Rahsia dalam pembuatan sabun mewah Yardley ialah ia ditapis sebanyak 3 kali. Oleh itu ia kurang air berlebihan, menjadikan ia keras dan tahan lama. Buihnya kaya dan berkrim, pemprosesan terakhirnya ditambah dengan wangian semerbak yang kekal berpanjangan.


Yardley English Rose
Antara wangian pilihan ialah Red Roses, English Roses, Lavender dan Lily of the Valley. Saya telah mencuba Red Roses dan English Roses dan benar-benar tertawan. Pengalaman semasa mandi kini menjadi begitu klasik dan menyegarkan.......

Friday 20 April 2012

NeurogainPB semasa kehamilan

Sesi 'check-up' dengan pakar gynae kelmarin memperkenalkan saya dengan 'NeurogainPB'. Menurut beliau, pengambilannya disyorkan untuk menggalakkan pertumbuhan sel-sel otak yang baik pada janin. Bagi diri saya pula, cukup teruja untuk mengamalkannya kerana saya sendiri sanggup lakukan apa saja asalkan bermanfaat pada kandungan.

Asid lemak perlu dalam bentuk Omega-3 amat berguna untuk menggalakkan pertumbuhan IQ yang baik dan juga merangsang penglihatan mata. Ia disalurkan terus daripada ibu yang mengambilnya melalui placenta kepada bayi dalam kandungan. Bagi produk 'NeurogainPB' ia didatangkan dalam bentuk kapsul lembut (softgels) dari sumber sayuran. Sebaiknya ia diamalkan selepas makan untuk penyerapan maksimum, cukup dengan mengambil satu kapsul dalam sehari.

Pengambilan produk pemakanan tambahan seperti NeurogainPB boleh diamalkan sedari awal kandungan, atau sekitar 3 bulan sebelum kelahiran. Ia boleh diambil bersekali dengan pil-pil vitamin untuk pre-natal yang lain (seperti obimin). Mengikut pemerhatian saya, kapsul NeurogainPB ini dan khasiatnya tak ubah seperti 'fish oil' (minyak ikan) yang sememangnya kaya dengan asid lemak perlu yang bermanfaat untuk kandungan. Namun awas ibu-ibu semua, jangan ambil produk berasaskan 'Evening Primrose Oil' semasa hamil. Ia juga kaya dengan asid lemak perlu namun amat berbahaya kepada janin, malah boleh pula menyebabkan kelahiran sebelum waktunya (bersalin sebelum tempoh matang). Paling selamat rujuk doktor anda untuk mendapatkan nasihat dan panduan yang berguna sebelum mengambil sesuatu produk untuk diamalkan.


Saturday 14 April 2012

Lancome blanc miracle

Kembara saya untuk pencarian compact powder paling ideal baru-baru ini menemukan dengan Lancome blanc miracle. Ia bedak asas dalam bentuk kompak berasaskan mineral dan bertindak berterusan untuk kekal selama 12 jam. Bedaknya super-halus dan tidak terasa melekat di muka menjadikan ia selesa untuk dipakai seharian. Di samping itu, ia juga menawarkan perlindungan UV pada kadar SPF15 untuk menangkis bahang sinaran matahari yang boleh mencemarkan.

Sponge untuk mengaplikasi bedak bersifat dwi-cara untuk liputan sempurna. Sebelah bahagiannya untuk menyapukan bedak, manakala sebelah bahagian lagi untuk memedap kesan kilatan pada wajah. Hasilnya wajah tampil selembut baldu, semulajadi dan bebas kilatan serta bersinar dari dalam. Harga RM135, bekas casing edisi terhad RM55. Pembelian dihadiahi dengan krim malam dan sebotol sample Magnifique perfume. Untuk kamu yang sedang mencari-cari bedak kompak semua dalam satu, Blanc miracle compact powder adalah jawapannya.



Friday 30 March 2012

Losyen untuk kesan regangan

Wanita hamil dengan kesan regangan ibarat irama dan lagu yang sukar dipisahkan. Sememangnya kita tidak mampu mengelak daripada disinggahi kesan regangan pada perut, paha dan sekitarnya. Namun kesan tersebut sebenarnya mampu untuk diminimakan.

Sewaktu hamil sulung saya membeli 'Palmer's cocoa butter for stretchmarks' untuk mengatasi masalah tersebut. Saya akui ia krim yang sangat baik namun entah kenapa, tekstur yang melekit dan bau yang kuat menjadi faktor penolak untuk menggunakannya dengan kerap. Waktu itu sukar mencari jenama lain yang menawarkan produk untuk mengatasi kesan regangan. Sebenarnya, ada banyak alternatif lain untuk mengatasi stretchmarks kehamilan. Yang penting mesti rajin dan gigih menyapu krim pada awal kehamilan (sebelum kesan regangan timbul). Selepas bersalin juga, pemakaian krim perlu diteruskan supaya kulit kekal elastik dan cekang.

Kini saya menggunakan Pureen lotion for stretchmarks. Teksturnya ringan, tidak melekit dan berbau segar. Ia menggabungkan cocoa butter, vitamin E dan rosehip oil untuk melembabkan kulit dan menghalang regangan. Jika kamu sedang mencari-cari krim atasi kesan regangan, cuba juga Bio Oil, Franch Oil, Krim Mustajab limau nipis malah boleh juga menggunakan minyak zaitun. Sapu selepas mandi semasa kulit masih segar agar dapat menyerap dengan berkesan.



Sunday 25 March 2012

Mesin jahit elektronik

Menjahit adalah kemahiran wajib bagi wanita. Seperti juga memasak, jatidiri kewanitaan akan sedikit 'goyah' andai tidak tahu menggegar mesin jahit. Paling tidak, pakaian anak-anak dan suami yang koyak boleh diperbaiki dengan hasil jahitan sendiri.


Pasti ramai di kalangan kamu yang mengenali mesin jahit hitam klasik keluaran Singer. Menjahit dengan mesin berkenaan amat memerlukan skill yang tinggi terutama bagi penjahit yang sangat amatur. Gerakan tangan pada putaran mesin harus selari dengan goyangan kaki bagi menghasilkan jahitan yang kemas, dalam masa yang sama tangan yang sebelah lagi mesti bijak mengawal kain (yang hendak dijahit itu). Sesetengah orang menggantikan peralatan manual pada mesin jahit tersebut dengan motor elektrik. Pergerakan menjadi lebih mudah, namun tidak dinafikan kemahiran menjahit masih lagi menjadi sukar pada sesetengah orang, meskipun dengan menggunakan mesin jahit bermotor tersebut.


Namun kini tidak lagi! Tahukah kamu terdapat mesin jahit berkomputer semudah menekan dengan hujung jari? Sebagaimana handphone melalui transformasi sehingga menjadi gadjet serba canggih, mesin jahit juga telah mengalami evolusinya yang tersendiri. Hanya pilih corak-corak jahitan yang diingini, tekan suis dan jahit! Tidak perlu mengimbang kaki dan tangan, kamu hanya perlu tumpukan perhatian sepenuhnya pada kain jahitan. Dalam bahasa mudahnya, saya katakan ia 'user-friendly sewing machine', malah boleh juga dikatakan,'It's sewing for dummies!'. Ayuh buktikan kemahiranmu, dan terokai dunia jahitan hari ini juga! 

Brother e-sewing machine - as easy as ABC!


Thursday 1 March 2012

Pasangan duo untuk bibir

Keadaan bibir yang mengalami kekeringan ekstrem baru-baru ini memaksa saya mencari penawar intensif. Lalu saya bertemu dengan pasangan duo di atas yang memberi perlindungan berterusan untuk bibir. Ia merawat siang dan malam, maka dengan singkatnya kekeringan bibir dapat diatasi dan bibir yang sihat dapat dimiliki kembali.

Saya benar-benar jatuh cinta dengan 'day lip balm' (salap bibir siang - gambar di atas sebelah kiri). Ia berwarna kecoklatan dan sangat semulajadi. Bauannya juga sangat segar, dan kamu boleh memakainya semata-mata tanpa sebarang gincu bibir. Manakala 'night lip balm' (salap bibir malam) teksturnya sama sahaja seperti salap-salap bibir dari jenama lain, jernih dan tanpa pewarna. Ia sesuai untuk dipakai sepanjang malam malah boleh juga dibawa ke peraduan (selamat dipakai ketika tidur).

Berikut adalah intisari 2 produk di atas :-
  • Ia mengandungi cocoa butter dan shea butter untuk melembabkan bibir
  • Jojoba dan minyak badam berfungsi untuk merawat bibir merekah
  • Minyak zaitun dan vitamin E menggalakkan pertumbuhan sel-sel baru yang sihat
  • Ia bebas pewarna dan pewangi tiruan
  • 'Day lip balm' mengandungi SPF 15 yang boleh menghindari pancaran berbahaya UV
  • 'Night lip balm' mengandungi Incha Inchi Peru Oil yang kaya dengan asid lemak perlu. Ia bertindak melindungi bibir sepanjang malam dan menggalakkan pertumbuhan sel kulit bibir yang lebih sihat

Wednesday 22 February 2012

Fakta tentang kultur hidup

Sinar Harian edisi semalam (21/2/12) membuat liputan tentang fakta halal pemakanan. Antara 'shocking facts' yang memeranjatkan diri ini ialah tentang derivatif kultur hidup (life culture). Kultur hidup ialah bakteria baik yang merupakan kandungan di dalam yoghurt.

Saya, terutamanya amat menggemari yoghurt. Kadangkala akibat muak meminum susu putih, saya sering mengambil yoghurt sebagai alternatif sumber kalsium. Yoghurt jenama 'Nutrigen' pilihan saya kerana mempunyai perasa tambahan seperti green tea dan blueberry. Ia sangat membantu penghadaman, dan diakui sebagai salah satu jenis makanan sihat.

Namun tahukah kamu sumber kultur hidup yang terdapat di dalam yoghurt berpunca daripada najis bayi? Kultur hidup itu ialah bakteria baik yang membantu penghadaman dan mengekalkan kesihatan usus. Bakteria baik disaring daripada najis bayi (baby's stool) dan dibiakkan untuk mendapat pre-biotics yang seterusnya digunakan sebagai bahan pemangkin di dalam yoghurt. Hukumnya harus kerana penghasilan produk pemakanan tersebut telah melalui proses penyucian. Majlis fatwa juga telah mengesahkan yang ia halal dimakan.

Selepas mengetahui 'hard facts' ini, saya sedikit terkilan. Lebih baik jika saya tidak mengetahuinya langsung. Sukar untuk saya menikmati yoghurt sepuasnya tanpa fikiran saya menerawang memikirkan punca ia dihasilkan. Mungkin suatu hari nanti saya dapat melupakan fakta ini, dan kembali mendakap yoghurt sebagai makanan kesihatan dan kegemaran.



Tuesday 21 February 2012

Coretan buat mama

Aku sering teringat waktu ku kecil dahulu. Pulang dari sekolah rendah, aku akan duduk di rumah sekitar 1-2 jam sebelum ke sekolah agama pada sebelah petangnya. Paling ku ingat, ibu akan mandi di bilik air menjelang waktu Zohor. Sambil mandi, dia akan membasuh baju. Belum ada mesin basuh, maka ibu akan mencuci dengan tangan.  Bila ibu membasuh telekung, dia akan merendam bilasan terakhir dengan daun nilam. Wangi.

Usia 13 tahun, aku menjejakkan kaki ke asrama penuh. Lima tahun ku mengisi zaman remaja, jauh dari ibu. Tiada lagi sela masa 1-2 jam sebelum pergi ke kelas petang. Tiada lagi ku melihat kelibat ibu mengangkat baldi ke bilik air. Namun aku sentiasa mengingati rutin ibu. Aku akan teringat dia di bilik air, mencuci baju, mengambil air sembahyang. Dan aku terpandang-pandang dia membasuh telekung, dan meramas daun nilam pada bilasan terakhir.

Aku akan sentiasa mengingati harum daun nilam, dan merindui kelibat ibu. Namun masa bukan di sisi ku lagi. Langkahku laju meninggalkan ibu dengan rutin hariannya. Aku tamat persekolahan menengah, menjejaki matrikulasi, tamat pengajian fakulti, chambering dan bekerja. Aku berumahtangga dan memiliki keluarga sendiri. Aku sedar masa yang lalu itu tak mungkin berulang lagi, namun ia nostalgia yang terlalu manis untuk dikenang.

Kini ibu lumpuh selepas sarafnya terjejas, angkara jatuh pada suatu dinihari. Aku melihat kesihatannya merosot hari demi hari. Tangan yang mengerekot itu pernah menyuap makan ku dahulu. Tubuh yang kurus kering itu lelah menjaga sakit pening ketika kecil ku. Ibu lemah tidak bermaya. Namun setiap kali ku kucup ibu, aku dapat menghidu harum itu. Harum daun nilam, lambang perkasihanku pada ibu. Aku ingin ibu tahu kasihku padanya akan harum mewangi sampai bila-bila.
Nilam (patchouli)



Friday 17 February 2012

Semburan penyegar wajah

Semburan penyegar wajah (facial hydrating mist) bukanlah rutin yang paling asas dalam penjagaan kecantikan. Seperti yang kita ketahui, rutin yang asas merangkumi langkah membersih-menyegar dan melembab. Namun, tidak salah jika kamu mencuba kerana ia sangat convenient (mudah) untuk diamalkan dan memberi kesan segar pada wajah yang lesu seharian.
Bioglo Facial mist - dari Cosway


Berikut adalah beberapa cara bagi mengaplikasikan 'Facial hydrating mist':-
  • Ia boleh membantu krim pelembab yang kamu gunakan menyerap khasiat dengan lebih optimum. Sebelum menyapu krim pada wajah, semburkan dahulu facial mist secukupnya ke arah muka. Facial mist sangat semulajadi kerana ia terhasil daripada daripada 'spring water', air laut dalam atau pun air terawat yang telah dimurnikan.
  • Facial mist boleh membantu menghidratkan wajah yang kekeringan. Terutamanya jika kamu terdedah kepada suhu penghawa dingin, ataupun wajah menjadi lesu kerana berada berjam-jam dalam perjalanan dan penerbangan. Semburkan facial hydrating mist untuk mendapat kesan segar dengan kadar segera.
  • Membantu mengekalkan mekap. Selepas kamu mengenakan tatarias wajah seperti bedak kompak, pembayang mata dan pemerah pipi, semburkan sedikit facial mist untuk mengekalkan mekap pada kadar lebih lama. Kamu akan lebih berpuas hati kerana facial mist memberi kesan 'dewy' (berseri) pada wajah.
  • Facial mist boleh meredakan kerengsaan wajah. Jika kamu berasa wajah tidak selesa, semburkan facial mist untuk memberi kesan kelegaan pada kulit. Ia membantu memperbaiki kulit wajah yang kemerahan, meruam dan gatal-gatal. Namun, sesetengah orang mungkin sensitif dengan kandungan yang terdapat dalam facial hydrating mist. Secara asasnya, ia adalah produk yang disyorkan oleh pakar dermatologi dan selamat untuk digunakan.

Sunday 5 February 2012

Atasi mabuk hamil

Cabaran yang paling besar untuk wanita masa kini ialah ingin membina keluarga dan dalam masa yang sama, tidak mahu ketinggalan untuk mendaki tangga kejayaan. Sebenarnya, tiada apa yang mustahil untuk digapai di dalam dunia ini, namun semangat mesti kental dan kuat. Antara salah satu cabaran wanita yang harus ditempuhi ialah mabuk hamil, namun dalam masa yang sama harus pula bekerja seperti biasa.
  1. Jauhi makanan yang boleh menyebabkan 'morning sickness' dan mual. Kenal pasti makanan yang mudah membuatkan kamu loya dan jauhi makanan tersebut buat sementara waktu. Ada wanita hamil yang mual terhadap makanan bertumis, pedas atau bergoreng. Makan makanan yang kamu selesa, dan jika tidak selera makan, cukup dengan mengambil kuantiti sedikit sahaja.
  2. Mengunyah kudapan juga boleh membantu mengurangkan mabuk hamil. Namun jangan makan kudapan yang tidak berkhasiat, terutamanya jeruk. Antara kudapan (snack) yang boleh diamalkan ialah biskut kraker, buah-buahan kering seperti kismis, prun dan aprikot atau kekacang seperti kacang kuda. 
  3. Minum dengan kerap boleh membantu meredakan mabuk hamil. Jika berasa pening, minuman seperti teh halia boleh membuang angin dan memberi kelegaan. Minuman lain yang elok untuk diamalkan ialah susu (terutama susu untuk ibu hamil), minuman malt (horlicks) atau ribena (mengandungi vitamin C).
  4. Jika berasa lesu (fatigue) sepanjang kehamilan, pastikan mengambil diet makanan yang tinggi kandungan iron (zat besi). Antara pemakanan yang elok untuk diamalkan ialah daging, ayam, makanan laut, sayuran hijau, bijirin dan kekacang.
  5. Jangan bekerja berterus-terusan kerana keadaan kamu yang hamil memerlukanmu banyak berehat. Berhenti pada selang masa tertentu dan buat pergerakan kaki dan badan supaya pengaliran darah berjalan lancar dan menghilangkan kelesuan. Untuk menambah kuantiti masa rehat, berhenti melakukan aktiviti tertentu, contohnya jika shopping di luar menjadikan kamu penat, gantikan dengan melakukan 'shopping online'. Kamu juga boleh mengupah orang mengemas rumah dan membersihkan halaman jika kesihatanmu terjejas andai melakukannya sendiri.
  6. Tidur awal sangat baik untuk kesihatan ibu dan kandungan. Tidurlah dengan aman supaya kamu dapat mendepani hari esok dengan lebih bertenaga dan bersemangat. Mengandung bukanlah alasan untuk kita menjadi tidak produktif. Bekerjalah dengan tenang dan tanamkan sifat-sifat yang positif dalam diri. Ibu yang cergas dan gembira InsyaAllah akan melahirkan bayi yang sihat dan riang.


Tuesday 24 January 2012

Pemakanan sewaktu hamil

Tidak selera makan, tekak pahit, mual dan loya... adakalanya bimbang jika khasiat makanan gagal diserap oleh badan akibat selalu muntah. Jangan bimbang, kamu masih boleh mencuba untuk mendapat diet yang seimbang ketika hamil. Cuba langkah-langkah berikut :-
  1. Makan kepelbagaian makanan supaya kamu mendapat nutrien secukupnya. Antara makanan yang digalakkan ialah roti dan bijirin, buah-buahan dan sayur, hasil tenusu, dan juga makanan untuk sumber protein (daging, ayam, ikan, telur, kekacang). Jauhi makanan berlemak dan manisan.
  2. Makan makanan yang tinggi kandungan fiber seperti roti gandum penuh, cereal, nasi, pasta, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  3. Pastikan kamu mendapat vitamin dan mineral secukupnya semasa mengandung. Ambil suplemen vitamin untuk prenatal yang disarankan oleh doktor. Vitamin untuk prenatal juga dengan mudah boleh diperolehi di kaunter-kaunter farmasi, antaranya 'Appeton'
  4. Makan dan minum makanan serta minuman yang tinggi kandungan kalsium, sekurang-kurangnya 4 hidangan sehari. Tingkatkan juga pengambilan makanan yang mengandungi zat besi.
  5. Jangan lupakan pengambilan makanan yang tinggi kandungan vitamin C. Antaranya, oren, strawberi, tembikai susu, betik, brokoli, kubis bunga, tomato dan sawi hijau. Wanita hamil mesti cukup pengambilan vitamin C setiap hari.
  6. Juga ambil pemakanan yang mempunyai sumber asid folik. Asid folik penting untuk pertumbuhan janin kerana ia mencegah 'spina bifida' (masalah pada janin). Kebiasaannya doktor akan mengesyorkan asid folik dalam bentuk pil untuk diamalkan oleh bakal ibu. Jika inginkan asid folik dari sumber semulajadi, amalkan memakan sayuran berdaun hijau gelap, dan kekacang seperti kacang hitam dan dal.
  7. Di samping itu, amalkan juga pemakanan yang mengandungi khasiat vitamin A. Antaranya, lobak, labu, keledek, bayam dan aprikot.
  8. Elakkan pengambilan alkohol, dan kurangkan pengambilan kafein dalam minuman (kopi, teh dan cola).

Friday 20 January 2012

Merawat tumit kekeringan

Tumit kering (cracked heels) boleh dirawat dengan inisiatif sendiri di rumah. Terdapat beberapa cara yang kamu boleh lakukan bagi merawat bahagian yang kering tersebut, dan hasilnya kamu akan mendapat kulit tumit yang licin kembali.
  1. Kamu boleh merendam kaki dengan cara mencampurkan 1 bahagian air dengan bahan perawatan. Rendam kaki selama sekitar setengah jam untuk melembutkan kulit kaki yang kekeringan. Antara bahan perawatan yang boleh digunakan untuk dititiskan dalam air tersebut ialah bio oil, Johnson baby oil atau rose water (air mawar). Selepas merendam, lap bahagian kaki sehingga kering dengan towel.
  2. Cara kedua ialah dengan menggunakan kaedah pengelupasan (exfoliation). Terdapat beberapa produk yang menawarkan Foot scrub, seperti Avon. Guna secukupnya krim skrub kaki tersebut dan gosokkan di sekitar kulit yang bermasalah. Kamu juga boleh gunakan pumice stone (batu pumis), gosok perlahan-lahan di sekitar tumit untuk melembutkan kulit kasar. Alternatif lain, kamu boleh gunakan 'berus sabut' yang lebih tradisional.
  3. Cara selainnya yang kamu boleh praktiskan ialah dengan rajin menyapu krim di kulit bermasalah. Terdapat krim yang direka khas untuk kulit tumit kering seperti Eldgy. Jika tiada pilihan, krim pelembab biasa juga boleh membantu, dan jenis yang lebih baik ialah Vaseline atau Rosken Skin Repair. Sapu setiap malam sebelum tidur, dan jika ingin lebih efektif pakai stoking supaya kelembapan dapat diserap dengan mendalam.
  4. Pastikan pemakanan sihat dan badan cukup air. Jika badan kekeringan, ia akan memberi kesan kepada bahagian tubuh yang lain seperti tumit kaki. Jika ingin ambil suplemen, vitamin C adalah pilihan terbaik. Evening Primrose oil dan Minyak ikan kod juga boleh membantumu mendapat kulit yang cantik kerana ia membantu melembabkan kulit daripada dalam.


    Saturday 14 January 2012

    Mendapat durian runtuh

     Apa yang akan kamu lakukan bila tiba-tiba mendapat 'durian runtuh' (windfall)? Durian runtuh merujuk kepada wang terkumpul yang banyak dan datang sekaligus, contohnya bila kamu tiba-tiba menjadi 'jutawan segera'. Rezeki datang dalam berbagai-bagai cara, kamu mungkin memenangi sijil simpanan premium, menang peraduan yang menawarkan ganjaran wang tunai, menerima warisan pusaka, bonus berganda atau boleh jadi juga untung dalam perniagaan.
    1. Perkara pertama yang patut kamu lakukan ialah menyelesaikan kewajipan selari dengan keuntungan tersebut. Jika kamu berniaga, ketepikan sejumlah wang dari keuntungan tersebut untuk membayar cukai perniagaan, cukai kastam dsb. Jika kamu mendapat wang dari penjualan hartanah, kamu wajib membayar cukai keuntungan. Jangan lari dari kewajipan membayar kepada pihak berkuasa, kerana kamu pasti tidak mahu pening kepala bila tiba-tiba dikejar oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri kerana tidak membayar cukai pendapatan, misalnya.
    2. Beri keutamaan kepada perkara yang penting dahulu. Jika ada perkara-perkara yang perlu mendapat keutamaan kamu, selesaikan perkara itu dahulu. Contohnya, membayar hutang rumah, kad kredit, bil hospital, yuran pelajaran dsb.
    3. Jangan ubah cara dan gaya hidup. Jangan 'gelap mata' hanya kerana tiba-tiba kamu mendapat wang berganda dalam jumlah yang banyak. Jika kamu seorang yang 'humble' dan berjimat-cermat selama ini, jangan tiba-tiba menukar gaya dari hujung rambut ke kaki dengan memakai pakaian atau tas tangan berjenama. Berpada-padalah. Kamu juga tidak mahu 'kekayaan segera' kamu ini dihidu oleh pencuri, lantas menjadikan kehidupan baru kamu tidak aman.
    4. Jangan hebohkan pada orang ramai. Kamu akan terperanjat bila tiba-tiba ada orang yang datang ingin meminjam wang. Perhatikan juga sikap sesetengah rakan dan saudara. Jauhi mereka yang selama ini memandangmu dengan 'sebelah mata', namun bertukar menjadi terlebih mesra apabila kamu sudah mempunyai wang. Mereka mungkin mempunyai agenda tersendiri.
    5. Berkongsi. Perhatikan di sekelilingmu jika ada mereka yang memerlukan. Jika ada ibu tunggal yang sakit dan mempunyai anak yang ramai, singgah ke rumahnya dan hulurkan bantuan kewangan. Satu, dua ratus ringgit mungkin kecil jumlahnya pada kamu, namun amat besar jumlahnya bagi mereka.
    6. Simpan untuk masa depan. Kamu tidak tahu sama ada akan datang kamu akan mendapat untung besar sebegini lagi. Simpan secukupnya dalam simpanan tetap, ASB, SSPN dsb. Selepas sejumlah besar daripada wang tersebut kamu manfaatkan dengan sebaiknya, ambil sedikit untuk hiburan kamu. Melancong, beli barang idaman, berbelanja, beri hadiah dsb... asalkan jangan berlebih-lebihan.



    
    
    

    Friday 6 January 2012

    Perihal Molek

    Salam Tahun Baru. Saya merasakan tahun baru adalah masa yang sesuai untuk rebranding blog saya menjadi 'Perihal Molek', atas sebab-sebab yang saya nyatakan di sini....
    1. Saya sendiri tidak secantik bidadari. Saya menulis berlandaskan minat yang mendalam dalam bidang estetik dan kecantikan. Seringkali juga menjadi pakar rujuk di kalangan kawan-kawan tentang kosmetik dan barangan penjagaan diri.
    2. 'Perihal Molek' (dahulunya Perihal Cantik) mula dibangunkan sebagai laman blog lewat April 2011. Kini ia mencapai purata hits sekitar 100 pengunjung setiap hari. Suatu angka yang memuaskan bagi saya kerana saya sendiri tidak pernah 'promote' blog ini di kalangan kawan-kawan. Saya menulis untuk kepuasan sendiri. Apa yang terpapar di sini adalah hasil kajian dan pengalaman sendiri yang saya dokumentasikan secara bertulis untuk rujukan sendiri dan berkongsi dengan pembaca sekalian. Terima kasih juga di atas sokongan, saya percaya ramai 'silent readers' di blog ini.
    3. Nama 'Molek' diambil sempena kampung asal saya iaitu Kg Air Molek, Kuala Sg. Baru, Melaka. Ibu bapa saya berasal dari sana. It's a newly discovered tourist destination now... and very exotic. Should you run out of place to go on vacation.. do try Pengkalan Balak, Padang Kemunting, Kuala Linggi and such. You will be amazed.....
    4. Perihal Molek juga adalah percubaan saya untuk bersifat lebih santai dalam penulisan. Menulis tentang 'Cantik', adakalanya ruang lingkup terlalu sempit berkisar sekitar hal-hal penjagaan diri sahaja, lantas kering idea. Saya ingin berkongsi tentang tips kehidupan, kerjaya, famili dsb. dan saya berharap Perihal Molek boleh menjadi platform saya ke arah itu.
    5. Blog ini juga adalah interpretasi kepada cita-cita saya yang tak tercapai iaitu ingin memiliki Majalah sendiri. Dahulu saya sering berangan-angan mempunyai majalah berjudul '5 muka', di mana setiap 5 muka untuk section hiburan, 5 muka berikutnya untuk section penjagaan kecantikan. 5 muka helaian resepi, 5 muka hiasan kediaman... dan seterusnya. Sedikit sebanyak impian itu tercapai dengan kelahiran bahan bacaan maya ini... saya harap ia dapat memberi manfaat kepada semua. Sepatah kata penulis kegemaran saya, Elviza Michelle Kamal (kolumnis Sinar Harian),'Bermimpilah, kerana Tuhan akan memeluk mimpi-mimpimu!'

    Tuesday 3 January 2012

    1001 khasiat anggur

    Anggur (grapes) yang dimakan terus atau dijadikan jus sangat baik untuk kebersihan dan kelicinan kulit, juga boleh membantu menjadikan awet muda. Anggur mengandungi gula buah, karotene, vitamin C dan vitamin B.


    Makan anggur dengan kerap boleh membantu membaiki penglihatan mata, memperelok sistem penghadaman dan mencegah asid urik lantas menjadikan organ hati bebas daripada toksin.

    Anggur elok untuk mereka yang menghidap lemah saraf. Ia boleh menstabilkan hormon wanita dan membantu mencegah osteoporosis (rapuh tulang).

    Anggur mengandungi kadar gula buah yang tinggi, elakkan makan terlalu banyak jika mengidap kencing manis. Jika memakan anggur, jangan terlalu banyak minum air kerana boleh mengakibatkan cirit-birit. Di sini ada beberapa petua kecantikan menerusi kebaikan anggur :-
    1. Gabungan anggur hitam dan hijau dicampurkan menjadi jus, minum secara terus untuk mendapatkan sumber tenaga dan sebagai minuman kecantikan serta penawar antioksida.
    2. Gabungan anggur dengan buah plum juga boleh menjadi penawar antioksida di samping boleh menjadikan awet muda.
    3. Gabungan anggur dan nenas yang dijadikan jus boleh menyegarkan badan dan juga sebagai minuman anti penuaan
    4. Kombinasi jus anggur dengan madu boleh melicinkan kulit, sesuai untuk mereka yang menghadapi masalah kulit kurang bermaya.
    5. Kombinasi jus anggur dengan tomata yang diminum terus boleh membersihkan kulit dari dalam, menjadikan kulit licin. Sesuai untuk mereka yang mengalami masalah kulit kasar.



      Monday 2 January 2012

      Merawat anak demam

      • Periksa kadar kepanasan badan anak, sebaik-baiknya dengan menggunakan termometer
      • Pantau suhu sekitar rumah, terutama di bilik anak yang mengidap demam. Jangan terlalu panas dan pastikan bilik dalam keadaan selesa.
      • Untuk mengurangkan kesakitan, beri ubat demam untuk kanak-kanak, seperti Panadol kids.
      • Pastikan anak cukup hidrasi dan tidak kekeringan cecair di dalam badan. Beri minum air dan jus juga makanan seperti sup.
      • Beri ia pakaian yang selesa. Jika anak mengadu panas, jangan guna pakaian berlapis-lapisan. Apabila mereka mengadu sejuk, pakaikan mereka dengan pakaian yang boleh memanaskan badan
      • Guna tuala yang direndam di dalam air suam untuk sapu di bahagian badan mereka bagi meredakan kepanasan.
      • Segera bawa berjumpa doktor jika suhu badan anak dalam keadaan kepanasan melampau. Beri lebih perhatian jika anak masih bayi di bawah usia 3 bulan. Bawa ia berjumpa doktor meskipun ia demam sedikit sahaja (low grade fever).
      • Sebenarnya, demam adalah cara semulajadi bagi badan kanak-kanak menentang penyakit dan jangkitan. Namun, jangan cuai bila anak mengidap demam dengan kepanasan melampau melebihi 38C atau 104F.