Pembaca Molek

Thursday, 18 August 2011

Hadapi kehidupan dengan girang

Kehidupan tidak pernah sempurna. Ia seringkali terisi dengan suka dan duka. Tapi itu tidak bermakna kita harus terus-terusan bersedih. Jalanilah hidup ini dengan kegembiraan. Saya senaraikan beberapa langkah-langkah di sini yang boleh membantu kamu menjadi lebih gembira.
  1. Bersikap realistik. Adalah normal untuk kita mempunyai mood yang sentiasa berubah-ubah. Adalah normal untuk sesekali bersedih, kecewa dan kemudiannya riang kembali. Ia adalah naluri manusia biasa.
  2. Jaga kesihatan kerana ia adalah kunci utama untuk menjadi gembira.
  3. Hidup dengan pasangan yang kamu cintai dan hormati, dan dia juga ada perasaan yang sama terhadap dirimu. Kongsi perasaan suka dan duka dengan dirinya. Hubungan cinta yang hangat juga adalah kunci kepada kegembiraan.
  4. Kanak-kanak sangat mendatangkan kegembiraan. Isi masa terluang dengan anak-anakmu. 
  5. Pelihara haiwan kesayangan. Ia terapi yang sangat baik di samping dapat menghilangkan kesunyian
  6. Jalani hubungan persahabatan dan persaudaraan. Kongsi kasih sayang dan dapatkan sokongan mereka dalam kehidupan.
  7. Kalau ada orang yang memberi pengaruh negatif kepadamu, dan menjadikan kamu merasa kecewa, jangan takut untuk 'membuang' mereka dari hidupmu
  8. Banyakkan senyum dan tertawa
  9. Lakukan kebaikan secara senyap-senyap. Bersedekah tanpa memaklumkan namamu. Beri bantuan kepada golongan yang memerlukan
  10. Uruskan kewangan dengan bijak. Jangan berbelanja melebihi pendapatan. Elakkan berhutang. Jangan memberi pinjam wang kepada orang yang kamu rasa tidak mampu membayar
  11. Beri perhatian kepada diri sendiri. Rawat wajah, kulit dan rambut. Lakukan perkara-perkara yang menyenangkan dirimu sendiri.
  12. Hidu bau-bauan yang harum. Wangikan bilik, kediaman dan ruang bekerja supaya minda lebih lapang
  13. Nikmati alam semulajadi. Berkebun, berjalan di pesisiran pantai, bersiar-siar di taman atau nikmati langit malam.
  14. Suburkan minda dan tajamkan pengetahuan. Ambil tahu perkembangan berita semasa, baca suratkhabar, tanamkan minat untuk mengetahui sesuatu isu.
  15. Dengar muzik, tonton rancangan TV kegemaran dan keluar menonton wayang
  16. Hadiahkan diri sendiri dengan benda-benda yang boleh menggembirakanmu. Beli novel, majalah, bunga, coklat, kek atau album muzik. Hargai diri sendiri.
  17. Sekali-sekala, keluar makan dan minum di restoran kegemaran
  18. Lakukan hobi. Bersukan, melawat muzium, menulis, melukis atau bermain muzik.
  19. Sertai perkumpulan seperti NGO, parti politik atau persatuan ibu bapa dan guru jika kamu ingin bergiat aktif dalam masyarakat
  20. Melancong untuk memahami dan mempelajari budaya berbeza.
  21. Simpan diari dan foto untuk mengenang saat-saat manis dalam kehidupan
  22. Paling penting sekali melebihi senarai yang di atas - Jadikan Agama sebagai asas dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment