Pembaca Molek

Tuesday, 16 August 2011

Raikan Lebaran mengikut sunnah

Bagaimanakah tatacara menyambut Aidilfitri menurut apa yang dianjurkan oleh Islam? Selama ini cara kita menyambut Syawal hanya berdasarkan amalan nenek moyang, dan diteruskan dari generasi ke generasi. Berhati-hati kerana ada di antara amalan tersebut sebenarnya tidak selari dengan sunnah. 
  • Hari Raya disambut mengikut adat dan bentuk yang berbeza oleh umat Islam seluruh dunia. Di Malaysia, adalah menjadi kelaziman untuk kita berhimpun seluruh keluarga, ziarah-menziarahi dan berpakaian baru serta cantik. Di Tanah Arab, cara mereka meraikan adalah dengan membawa anggota keluarga keluar makan, ada juga yang berkelah dan bersiar-siar. Secara asasnya, umat Islam boleh meraikan Aidilfitri dengan apa cara sekalipun asal berteraskan semangat keseronokan dan kegembiraan. 
  • Nabi Muhammad semasa zamannya, telah membenarkan penduduk Madinah bersukaria semasa sambutan Aidilfitri dan Aidiladha. Namun kegembiraan menyambut perayaan mestilah tidak bercanggah dengan anjuran dan sunnah Baginda.
  • Sebaik-baiknya dianjurkan supaya berhimpun seluruh ahli keluarga dan bertakbir bermula dari Maghrib 1 Syawal. Laungkanlah kalimah suci ini di malam menyambut Aidilfitri sama ada di rumah atau di masjid. Jauhi amalan yang terpesong dari sunnah seperti menonton rancangan hari raya di televisyen atau berkaraoke sehingga larut malam.
  • Dianjurkan supaya bertakbir dengan suara yang lantang dalam perjalanan dari rumah ke masjid sewaktu hendak menunaikan solat sunat Aidilfitri. Tujuan bertakbir adalah untuk menyerlahkan syiar Islam dan menunjukkan kesepakatan umat Muhammad.
  • Apabila sahabat Rasulullah bertemu di Hari Raya, mereka mengucapkan "Taqabbalullah minna waminka" (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu). Cara dan lafaz sebegini lebih bertepatan dengan sunnah Baginda dan bukannya ucapan 'Selamat Hari Raya, Maaf zahir batin' seperti yang sudah sinonim dengan masyarakat kita sekarang.
  • Memakai pakaian terbaik dan tercantik di Hari raya adalah amalan menurut sunnah. Namun kaum wanita hendaklah pandai mengikut had-had dalam berpakaian Jangan berpakaian nipis sehingga menampakkan bentuk badan, memakai perhiasan ataupun wangi-wangian dengan berlebih-lebihan. Ditakuti pahala sunnah yang diharapkan akan bertukar menjadi dosa kerana gagal memelihara adab berpakaian.
  • Mudah-mudahan kita dapat meraikan Aidilfitri kali ini dengan penuh penghayatan selari dengan perintah Allah dan Rasul. Meskipun amalan-amalan yang dinyatakan di sini kedengaran agak asing, namun mungkin boleh kita praktikkan pada Syawal tahun ini yang bakal menjelang 2 minggu lagi. Semoga kita semua diberkati Allah.

No comments:

Post a Comment