Pembaca Molek

Friday 25 May 2012

Tekanan darah rendah (hypotension)

Tekanan darah yang normal amat penting semasa mengandung. Pendekata, ibu hamil harus sentiasa berhati-hati agar tekanan darahnya tidak terlampau rendah, malah tidak pula terlampau tinggi.

Ramai antara kita yang mengetahui kesan tekanan darah tinggi yang boleh mendatangkan kesan serius kepada ibu dan bayi. Namun, bagaimana pula keadaannya dengan tekanan darah yang rendah (hypotension)? Secara amnya, tekanan darah rendah tidak terlampau mengancam kesihatan ibu hamil namun hati-hati jika ia mengakibatkan kamu pening atau pitam.

Tekanan darah rendah biasa berlaku akibat kekurangan air (dehydration). Faktor air yang kurang di dalam badan akan memberi kesan kepada aliran darah. Sebab lain ialah kerana cuaca yang panas ataupun ibu hamil tersebut banyak berdiri. Keadaan tubuh semasa hamil menjadikan darah berkumpul di bahagian kaki. Oleh itu, pergerakan kamu semasa duduk dan berdiri juga boleh mengakibatkan pening dan pitam. Hati-hati juga jika tiba-tiba penglihatan kamu menjadi kabur (blurry vision).

Doktor akan menasihatkan kamu jika tekanan darah rendah yang kamu hidapi ini serius ataupun tidak. Kebiasaannya, masalah ini boleh diatasi dengan banyak meminum air bagi mencegah dehidrasi. Hati-hati juga dalam pergerakan seharian, jangan bangun atau duduk serta-merta dari posisi asal sebaliknya lakukan dengan perlahan-lahan. Banyakkan berehat dan jika berasa pening, duduk atau baring sebentar. Senaman ringan juga boleh membantu untuk mendapatkan paras darah yang normal, namun pastikan pergerakan itu tidak lasak sesuai dengan keadaan dirimu yang hamil.





No comments:

Post a Comment