Lumrah setiap selepas kelahiran, ibu akan menjalani tempoh berpantang, kebiasaannya selama 44 hari. Bercerita tentang berpantang, setiap orang akan ada kisah tersendiri. Saya sendiri mempunyai kisah pahit manis semasa berpantang. Saya amat maklum bahawa berpantang adalah tempoh yang paling baik untuk menjaga diri supaya kembali cergas dan sihat. Pada saya, ambil segala kebaikan yang perlu namun jangan ikut pantang larang secara membuta tuli, kerana sesetengahnya tidak semestinya sesuai untuk diamalkan.
- Orang Melayu mempunyai pantang-larang yang begitu panjang lebar (endless). Jika diikutkan, terlalu banyak makanan dan minuman yang tidak boleh diambil. Antaranya makanan dan minuman yang berangin, ikan yang mempunyai 'bisa', makanan laut yang bersifat gatal dsb. Namun, menurut seorang doktor yang saya temui mengatakan, 'Don't ban food...you will be lacked of nutrients..'. Oleh itu, pastikan makanan yang kamu ambil itu seimbang. Minum air secukupnya dan makan makanan yang disyorkan mengikut piramid makanan. Jangan lupa amalkan sayuran hijau dan makan buah-buahan.
- Sesetengah pantang-larang tidak sesuai untuk diamalkan, contohnya menghadkan pengambilan air. Orang dahulu ada yang hanya minum secawan air sehari, atas alasan tidak mahu peranakan kembang. Kasihan, kerana mereka akan 'dehidrate' (kurang cecair badan) sedangkan mereka perlu menyusukan bayi. Kurang air juga boleh mengakibatkan sembelit. Di sini pentingnya pengetahuan tentang kesihatan supaya kamu tidak terikut-ikut pantang larang yang boleh menjejaskan diri sendiri. Ada sesetengah amalan pantang hanyalah 'old wives' tales' yang dipanjangkan dari generasi ke generasi tanpa ada apa-apa bukti atau alasan saintifik.
- Bagi masyarakat Melayu, kebanyakan masalah kesihatan yang timbul semasa berpantang dikatakan berpunca daripada 'angin'. Oleh itu, kamu dapat melihat senario biasa ibu-ibu berpantang akan memakai baju panas (meskipun di siang hari), memakai stokin, mengikat rambut ketat-ketat, memakai bedak sejuk dan berbau rempah. Saya cuba mencari jawapan kepada persoalan ini dan rupa-rupanya, 'angin' ini sebenarnya berpunca dari dalam badan. Semasa mengandung, rahim akan mengembang beberapa kali ganda dan selepas kelahiran bayi, rahim yang mengembang tadi tiba-tiba kosong dan mempunyai ruang. Ruang inilah yang dikatakan mengandungi 'angin'. Oleh itu, sesetengah amalan elok dilakukan, contohnya memakan halia dan lada hitam kerana ini membantu melegakan angin. Namun tiada bukti saintifik mengapa kamu jangan mandi, atau pakai berlapis-lapis semasa berpantang. Semasa saya di hospital, doktor pakar sendiri menggalakkan untuk memakai pakaian yang selesa dan elakkan memakai pakaian yang meningkatkan kepanasan badan.
- Apapun paparan di sini adalah pendapat peribadi saya sendiri, kerana masing-masing ada alasan dan sebab mengapa perlu menjalani pantang sedemikian. Perbezaan zaman banyak menjadikan pantang dahulu dan pantang sekarang berbeza. Pokok pangkalnya kepada individu sendiri untuk mengikut apa amalan yang baik dan perlu untuk kesihatan diri. Jika amalan itu terbukti elok untuk fizikal si ibu dan menjanjikan keselesaan diri di hari tua, tidak salah untuk mengikutnya secara teratur. Namun amalan yang menyimpang dan tiada kebenarannya sebaiknya dijauhi, kerana yang paling elok adalah bersederhana dalam segala segi dan mengikut apa yang dilunaskan dalam agama dan kepercayaan.
No comments:
Post a Comment