Pembaca Molek

Sunday, 10 February 2013

Gemilang usia 30-an

Apa yang boleh kamu jangkakan di usia 30-an? Berbeza dengan usia 20-an, kamu mungkin memikul lebih banyak tanggungjawab dan perlu menunjukkan sisi diri yang lebih dewasa. Mari saya senaraikan di sini apakah perkara-perkara yang akan kamu tempuhi di usia gemilang ini....
  • Kamu kelihatan cantik dalam definisi yang tersendiri - Jangan bandingkan diri kamu dengan gadis usia 20-an. Kamu sebenarnya cantik dalam definisi yang tersendiri di usia 30-an. Kamu lebih berkeyakinan, lebih matang, lebih pandai menjaga hati orang-orang di sekelilingmu dan lebih berkarisma serta anggun.
  • Sesuatu akan berlaku yang merubah lanskap hidupmu - Kamu mungkin telah berkahwin dan membina keluarga pada masa ini, mungkin juga bertukar karier yang lebih menggembirakan hatimu. Kamu mungkin berpindah ke negeri lain dan membeli hartanah, kamu mungkin mempelajari sesuatu dalam hidup yang memberi pulangan besar dalam hidupmu. Sesuatu akan berlaku, mungkin positif atau negatif - dan ia akan meninggalkan kesan dan impak dalam hidupmu.
  • Belajar tentang isu-isu besar - Lelaki dan wanita dalam usia 30-an berhenti berfikir pekara-perkara remeh dan mula berfikir tentang isu besar. Jika semasa remaja dahulu kamu sanggup tidak keluar rumah kerana malu ditumbuhi jerawat, namun di usia 30-an kamu akan sedar bahawa banyak isu-isu besar yang memerlukan kamu berfikir secara matang dan dewasa. Kamu mungkin perlu memikirkan isu tentang keluarga, hidup bermasyarakat, bersikap kritis pada isu-isu melibatkan pemerintahan negara malah perlu juga memikirkan hal-hal melibatkan ekonomi semasa. Di usia 30-an kamu akan memandang sesuatu perkara dalam konteks yang lebih besar dan tidak lagi mementingkan diri sendiri sahaja.
  • Lebih mementingkan kualiti diri - Banyak perkara yang akan berlaku di usia 30-an. Antaranya mempraktikkan ilmu keibubapaan, mengalami kenaikan pangkat, menubuhkan perniagaan, melihat rakan sekeliling dan saudara maramu berumahtangga.... Kamu lebih melihat sesuatu itu dari segi kualiti diri dan bukan setakat luaran sahaja. Dari segi perhubungan, kamu akan lebih menghargai 'emotional bonding' dan bukan setakat hubungan luaran sahaja. Boleh dikatakan, usia 30-an adalah zaman gemilang dalam hidupmu kerana kamu dipenuhi dengan idea-idea yang bernas dan tubuh badan pula sedang cergas dan sihat untuk melaksanakannya. Hargailah usiamu di kala ini dan penuhi ia dengan faedah dan manfaat, jangan biarkan ia berlalu dengan begitu sahaja....

Wednesday, 9 January 2013

2012 dan kenangan

Selamat datang tahun baru 2013 meski saya 10 hari terlewat. Hadirnya tahun baru bererti usia menginjak setingkat lagi. Namun kaum wanita sekalian tak perlu bimbang kerana perhargaan kepada diri bukan setakat paras rupa dan usia muda sahaja. Wanita sekarang amat dipandang tinggi berdasarkan pencapaian, kerja keras, kematangan, pengalaman dan jati diri.
 
 
Untuk diri sendiri, saya bersyukur kerana 2012 berlalu dengan memuaskan. Beberapa perancangan-perancangan yang diatur berjaya dicapai dengan baik dan perancangan-perancangan akan datang pula harap dapat digapai pada 2013 ini. Begitulah. Kehidupan tidak menjanjikan sesuatu yang terlampau pasti melainkan kita sendiri bangkit dan mencorakkan masa depan kita. Seperti yang saya tekankan, perempuan sekarang jauh beruntung kerana memiliki kerjaya, buah fikiran, pendapatan, boleh memilih dan juga mampu membuat keputusan. Kita tidak hanya duduk berserah dan berangan-angan tanpa dapat memenuhi impian dan hajat kita sendiri. Percayalah, pengalaman dan kematangan jauh menjadikan kita cantik. Ketenangan diri seorang wanita pula ibarat sebuah pulau bahagia untuk keluarga dan anak-anak kita menumpang teduh dan damai.
 
 
Kata orang, wanita mencari-cari tapak dan kerjaya pada usia 20-an selepas tamat pengajian. 30-an pula masa untuk stabil dalam kerjaya dan membina keluarga. 40-an pula adalah masa untuk menikmati buah kejayaan (enjoy the fruit of success). Ia adalah suatu perjalanan yang panjang tanpa henti dan adakalanya lelah mendepani masalah hidup. Tiada kehidupan tanpa cabaran, maka kamu harus tabah dan sentiasa kuat. Bina karakter dirimu, tegaslah dengan prinsip dan pegangan diri dan pastikan kamu tahu apa yang kamu inginkan dalam hidup. Nikmati kehidupan ini sepuasnya namun dalam masa yang sama, jangan lupa bekalan ke akhirat. Semoga kita sama-sama akan memperbaiki diri dan meniti hari-hari di tahun baru ini dengan lebih bermakna.

Friday, 21 December 2012

Merawat wajah dengan ampoules

Saya sendiri bukanlah terlalu arif tentang rawatan kecantikan. Kebiasaannya saya akan merujuk kepada juruterapi yang akan mencadangkan kaedah-kaedah yang sesuai. Saya membuat rawatan wajah secara berkala lebih kurang sebulan sekali. Salah satu rawatan yang dicadangkan adalah 'ampoules treatment'.
 
Ampoules adalah bahan-bahan pati aktif yang terkandung dalam bekas gelas kecil berbentuk vial. Biasanya ia merupakan bahan botanikal, vitamin atau enzim untuk merawat wajah. Ampoules tidak mengandungi bahan pengawet ataupun bahan kimia kerana ia dipakejkan secara kecil dalam bekas yang tidak dimasuki udara (airtight packaging).

Ampoules memberi kesan hebat bagi mengatasi masalah-masalah kulit yang lazim. Antara masalah kulit yang boleh sembuh dengan rawatan ampoules ialah kerengsaan kulit, pigmentasi dan juga rawatan untuk kulit menua. Kesan positif rawatan ampoules boleh dilihat dalam tempoh yang singkat. Ini kerana cara perawatan di salun menggabungkan kaedah ampoules dengan perawatan lain seperti facial treatment mask (topeng penjagaan wajah) dengan menggunakan facial steamer (mesin mengewap muka). Dengan itu bahan-bahan aktif ampoules dapat menyerap kepada sel-sel kulit secara maksimum.

Saya sendiri telah bertahun-tahun mengimpikan untuk memiliki kulit yang halus dan gebu. Kesan kerosakan wajah semasa remaja memberi kesan yang amat negatif kepada saya. Kulit wajah mempunyai kesan selaran matahari (sunburn), kesan parut jerawat, tona kulit tidak sekata dan mengelupas akibat kekeringan. Saya kerap mengunjungi pakar-pakar kulit demi untuk mendapatkan kulit wajah yang diimpikan dan mengatasi rasa rendah diri. Agaknya kerana usaha yang tidak pernah kenal jemu akhirnya saya berjaya menemui penamat kepada masalah yang membelenggu. Ya, bagi saya kombinasi rawatan microdermabrasion (pengelupasan kulit mikro) dan 'ampoules treatment' selang sebulan sekali amat membantu saya tampil dengan kulit yang lebih baik. Saya tidak berharap untuk secantik bidadari, sekadar inginkan imej yang lebih berkeyakinan dan memberi kesan keseluruhan yang positif pada diri ini.

Ampoules set





Friday, 2 November 2012

Bilateral tubal ligation (BTL)

Perancangan keluarga bukan lagi sesuatu yang 'taboo' dalam masyarakat kini. Setidak-tidaknya, ia boleh dibincangkan secara terbuka melalui aspek kesihatan dan perubatan. Kemajuan dan teknologi perubatan juga memungkinkan banyak kaedah-kaedah moden dan terkini yang diperkenalkan dalam family planning. Salah satunya ialah Bilateral tubal ligation (BTL).
  1. BTL ialah proses di mana saluran tiub fallopian pada wanita disekat bagi menghalang telur daripada ovari turun ke uterus (rahim). Dengan itu, percantuman antara sperma lelaki dan telur wanita tidak akan berlaku, lantas menghalang kehamilan. Ia adalah kaedah perancangan keluarga yang bersifat kekal dan paling efektif.
  2. BTL akan dicadangkan oleh doktor 'on case to case basis'. Kebiasaannya doktor akan mencadangkan BTL kepada ibu yang telah banyak kali menjalani pembedahan caesarean. Meskipun ramai orang menganggap ibu bersalin pembedahan kini boleh melahirkan lebih daripada 4, namun risikonya agak tinggi di situ. Doktor juga turut mencadangkan BTL kepada pesakit kronik yang tidak digalakkan hamil, seperti pesakit jantung atau yang mengalami masalah rahim.
  3. Pembedahan caesarean berulangkali boleh mengakibatkan organ-organ dalaman ibu terganggu dan 'melekat', terutamanya pundi kencing. Malah setiap kali hamil, si ibu akan berhadapan dengan risiko sebanyak 10% akan berlaku masalah kepada kelahiran secara caesarean tersebut. BTL dicadangkan oleh pengamal perubatan kerana ia paling efektif untuk mencegah kehamilan tidak terancang. Sepanjang kajian dilakukan, hanya 1 sahaja kehamilan dilaporkan dalam 300 orang responden.
  4. BTL hanya boleh dipertimbangkan oleh ibu yang yakin bahawa ia enggan hamil lagi. Ini kerana, ia adalah proses kekal dan untuk 'berpatah-balik' adalah amat mustahil. Jangan lakukan kaedah BTL jika kamu masih ingin menambah anak lagi. Seorang rakan yang saya kenali meluahkan rasa kesal kerana beliau sudah 'ikat' selepas melahirkan 3 anak perempuan dan sebenarnya amat teringin mendapat anak lelaki. BTL sebaiknya dilakukan selepas kamu berpuashati dengan komposisi bilangan anak dan selepas kamu pasti bahawa kamu tidak digalakkan hamil lagi atas sebab umur, penyakit dsb.
  5. BTL tidak mengganggu proses kitaran haid kerana haid dikawal oleh hormon. Boleh juga dikatakan bahawa ia hampir tiada kesan sampingan. Ia boleh dijalankan bersekali dengan pembedahan caesarean malah boleh juga dilakukan melalui pembedahan yang berasingan. Jika kamu dinasihatkan untuk menjalani proses BTL, buatlah keputusan selepas kamu dan pasangan berfikir panjang. Jika kamu enggan atas alasan yang tersendiri, itu adalah hak kamu terhadap tubuh badanmu, kerana banyak lagi kaedah-kaedah perancangan keluarga yang lain yang boleh diamalkan.



Wednesday, 31 October 2012

Pengasuh atau pembantu rumah?

Isu tentang penjagaan anak-anak sering berlegar di fikiran ibubapa. Mungkin tiada masalah bila si ibu seorang surirumah sepenuh masa, namun bila kedua ibubapa perlu bekerja, anak-anak perlu ditinggalkan dengan penjaga. Persoalannya, pengasuh atau pembantu rumah?
  1. Pembantu rumah sangat praktikal kerana anak-anak boleh diasuh di persekitaran rumah sendiri. Namun, kepercayaan sangat memainkan peranan yang penting di sini. Kebanyakan pembantu rumah adalah warganegara asing, mereka mungkin berbeza latar belakang dan budaya. Tetapi tiada masalah jika antara kamu dapat mewujudkan keserasian dan kamu mempercayainya untuk mengasuh anak-anakmu.
  2. Manakala pengasuh (babysitter), kebiasaannya mereka adalah surirumah yang ingin menambah pendapatan dan mengisi masa lapang dengan menjadi pengasuh. Tapi kamu harus meninggalkan anak-anak kamu di rumah mereka. Perhatikan persekitaran rumah mereka sama ada kondusif atau tidak untuk anak-anakmu. Nilaikan juga perwatakan pengasuh sama ada mereka seorang yang penyayang, warak, sukakan kanak-kanak, rajin dan bertimbangrasa.
  3. Satu lagi pilihan lain ialah dengan menitipkan anak-anak di nurseri/ pusat jagaan harian (daycare). Salah-satu kelebihan pusat jagaan ialah ia berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mereka mesti memenuhi standard tertentu sebelum boleh beroperasi. Tetapi ratio (nisbah) antara penjaga dengan anak-anak jagaan agak besar, contohnya 1 penjaga perlu menjaga 4 kanak-kanak. Yang baiknya, anak-anakmu akan dapat ramai rakan sepermainan di sini.
  4. Sebenarnya, terlalu banyak cerita dan cakap-cakap yang timbul daripada isu penjagaan anak-anak. Pembantu rumah, misalnya, sering bertukar ganti kerana tamat kontrak kerja, lari dari rumah, tidak serasi dsb. Sering saya mendengar keluhan ibu-ibu yang mengadu pembantu rumah mereka panjang tangan (mencuri), tidak menumpukan pada kerja kerana asyik bercinta, memukul anak majikan dsb. Jika dihantar ke nurseri, kebanyakan nurseri tutup awal dan tidak sesuai untuk ibubapa yang bekerja lebih masa. Ada juga masalah di nurseri di mana kanak-kanak bergaduh, dijangkiti penyakit sesama-sendiri, pakaian bertukar dsb. 
  5. Lalu, apa lagi pilihan yang ada? Saya menghantar anak-anak saya kepada pengasuh, seorang ibu penyayang yang telah menjaga anak pertama saya sehingga berumur 8 tahun. Alhamdulillah, setakat ini saya amat berpuashati dengan cara beliau melayan anak-anak saya seperti anak-anak sendiri. Sesekali masalah timbul juga, seperti keadaan bila beliau terlantar di hospital dan saya terpaksa bercuti menjaga anak-anak sendiri. Sehingga kini, saya amat mengimpikan konsep 'nanny' seperti di negara Mat Saleh. Saya suka jika ada nanny yang boleh datang ke rumah pada waktu pagi, menjaga anak-anak saya dan pulang apabila saya balik daripada tempat kerja. Semoga saya akan dipertemukan dengan pengasuh sebegini....





Tuesday, 30 October 2012

Bekerja dari rumah

Saya menyedari bahawa trend bekerja dari rumah semakin berkembang kini. Ramai di kalangan ibu-ibu yang membuka pejabat di rumah, dan dalam masa yang sama menguruskan keluarga dan rumahtangga. Benar, ia kedengarannya begitu ideal sekali, namun beberapa perkara perlu kamu pertimbangkan sebelum menghantar surat 'resign' jawatan dan bekerja sendiri dari rumah....
  1. Jika sudah terbiasa menerima gaji bulanan yang lumayan setiap bulan, kamu mungkin sukar menyesuaikan diri jika perniagaan belum begitu berkembang. Oleh itu, kamu mesti bersedia untuk bermula dari bawah. Jangan meneruskan untuk bekerja sendiri dari rumah jika kewangan tidak begitu stabil dan jika mempunyai komitmen hutang yang banyak.
  2. Kamu perlu tahu dan yakin tentang apa yang kamu ingin lakukan. Fokus tentang perancangan kerjaya dan perniagaan kamu. Adakah kamu ingin mengambil tempahan kek dan kuih-muih, atau menjual tudung on-line ataupun lain-lain jenis perniagaan melalui internet? Bekerja sendiri memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi. Mungkin juga ia tidak semudah yang kamu jangkakan sebelum ini.
  3. Bukan semua perkara boleh dilakukan dengan hanya beroperasi di rumah. Adakalanya kamu perlu juga berurusan di luar, contohnya untuk bertemu pelanggan. Kamu juga mungkin perlu berurusan dengan pihak-pihak tertentu, seperti bank atau pejabat-pejabat kerajaan. Oleh itu, pengangkutan dan kenderaan amat penting dan perlu meskipun kamu bekerja dari rumah.
  4. Jika kamu mengasuh anak-anak sendiri di rumah, kenalpasti dengan siapa kamu akan tinggalkan mereka jika kamu perlu keluar rumah. Adakalanya kamu masih perlu menggaji pembantu rumah meskipun kamu bekerja di rumah. Atau, boleh juga menghantar mereka ke pusat penjagaan atau pengasuh sementara kamu menyelesaikan urusan di luar.
  5. Seperti yang dikatakan, bekerja sendiri dari rumah bukan semudah yang dijangkakan. Kamu mungkin terlalu sibuk menumpukan kepada urusan rumahtangga dan anak-anak menyebabkan kerjamu terbengkalai, mungkin juga kurang pelanggan. Boleh jadi juga kamu hanya memperoleh separuh daripada pendapatan semasa makan gaji. Pertimbangkan perkara-perkara ini sebelum kamu mengambil keputusan bekerja dari rumah. Seandainya kamu berjaya, sememangnya kamu sangat beruntung kerana kerjaya dan rumahtanggamu dapat berjalan seiring.





Friday, 19 October 2012

Manfaatkan cuti bersalin

Rata-rata cuti bersalin yang diperolehi oleh ibu-ibu sekarang ialah '3 bulan'. Di sektor swasta, cuti bersalin yang dipraktikkan masih lagi 2 bulan. Apa perkara terbaik yang patut kamu lakukan bagi mengisi cuti bersalin?
  • Nikmati cuti tersebut sepenuhnya dan sepuasnya. Bagi ibu yang bekerja, pasti kamu faham bagaimana perasaannya bila terpaksa keluar bekerja dan meninggalkan anak dengan pengasuh atau pembantu rumah. Guna masa cuti bersalin yang ada 'to get bonding with your baby'.
  • Bila sudah kembali bekerja juga, adakalanya bukan senang untuk kita mengambil cuti. Cuti bersalin selama beberapa bulan ini adalah masa yang paling sesuai untuk berehat. Kerana, selepas cuti bersalinmu tamat, agak sukar untukmu memperolehi cuti panjang sebegini.
  • Penuhi masa dengan menyusukan anak secara ekslusif. Ibu-ibu kini mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai breastfeeding. Apabila bekerja kembali, agak sukar untuk breastfeeding sepenuhnya kerana tuntutan kerja. Manfaatkan juga masa yang ada untuk membuat stok susu ibu ('stock-up breast milk').
  • Buat perancangan kerjaya. Adakah kamu ingin berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa selepas ini? Ataupun adakah kamu berhasrat untuk bekerja secara separuh masa sahaja? Bagi yang meneruskan dengan kerjaya tetap, bersedia untuk kembali bekerja semula selepas cutimu tamat. Persediaan mental amat penting kerana jika tidak bersedia, kamu akan berasa malas dan jemu untuk bekerja semula selepas bercuti panjang.
  • Pelihara kesihatan. Pastikan luka bersalin telah sembuh sepenuhnya tanpa kesan sampingan. Pastikan emosi dan mentalmu juga terjaga dan stabil. Kajian menunjukkan 'post natal blues' boleh berlaku meskipun kelahiran bayi telah berlaku dalam tempoh 6 bulan ke setahun. Pastikan dirimu 'fit' (cergas) untuk bekerja kembali.
  • Teruskan amalan yang baik untuk kesihatan. Jika menjalani pembedahan caesarean, jangan lakukan aktiviti lasak meskipun kamu telah kembali bekerja. Teruskan memakai bengkung (strap-on binder) kerana ia elok untuk menegapkan postur badan. Teruskan juga mengamalkan jamu untuk kesihatan dalaman badan meskipun tempoh pantang bersalin telah berlalu.