Pembaca Molek

Sunday 5 February 2012

Atasi mabuk hamil

Cabaran yang paling besar untuk wanita masa kini ialah ingin membina keluarga dan dalam masa yang sama, tidak mahu ketinggalan untuk mendaki tangga kejayaan. Sebenarnya, tiada apa yang mustahil untuk digapai di dalam dunia ini, namun semangat mesti kental dan kuat. Antara salah satu cabaran wanita yang harus ditempuhi ialah mabuk hamil, namun dalam masa yang sama harus pula bekerja seperti biasa.
  1. Jauhi makanan yang boleh menyebabkan 'morning sickness' dan mual. Kenal pasti makanan yang mudah membuatkan kamu loya dan jauhi makanan tersebut buat sementara waktu. Ada wanita hamil yang mual terhadap makanan bertumis, pedas atau bergoreng. Makan makanan yang kamu selesa, dan jika tidak selera makan, cukup dengan mengambil kuantiti sedikit sahaja.
  2. Mengunyah kudapan juga boleh membantu mengurangkan mabuk hamil. Namun jangan makan kudapan yang tidak berkhasiat, terutamanya jeruk. Antara kudapan (snack) yang boleh diamalkan ialah biskut kraker, buah-buahan kering seperti kismis, prun dan aprikot atau kekacang seperti kacang kuda. 
  3. Minum dengan kerap boleh membantu meredakan mabuk hamil. Jika berasa pening, minuman seperti teh halia boleh membuang angin dan memberi kelegaan. Minuman lain yang elok untuk diamalkan ialah susu (terutama susu untuk ibu hamil), minuman malt (horlicks) atau ribena (mengandungi vitamin C).
  4. Jika berasa lesu (fatigue) sepanjang kehamilan, pastikan mengambil diet makanan yang tinggi kandungan iron (zat besi). Antara pemakanan yang elok untuk diamalkan ialah daging, ayam, makanan laut, sayuran hijau, bijirin dan kekacang.
  5. Jangan bekerja berterus-terusan kerana keadaan kamu yang hamil memerlukanmu banyak berehat. Berhenti pada selang masa tertentu dan buat pergerakan kaki dan badan supaya pengaliran darah berjalan lancar dan menghilangkan kelesuan. Untuk menambah kuantiti masa rehat, berhenti melakukan aktiviti tertentu, contohnya jika shopping di luar menjadikan kamu penat, gantikan dengan melakukan 'shopping online'. Kamu juga boleh mengupah orang mengemas rumah dan membersihkan halaman jika kesihatanmu terjejas andai melakukannya sendiri.
  6. Tidur awal sangat baik untuk kesihatan ibu dan kandungan. Tidurlah dengan aman supaya kamu dapat mendepani hari esok dengan lebih bertenaga dan bersemangat. Mengandung bukanlah alasan untuk kita menjadi tidak produktif. Bekerjalah dengan tenang dan tanamkan sifat-sifat yang positif dalam diri. Ibu yang cergas dan gembira InsyaAllah akan melahirkan bayi yang sihat dan riang.


No comments:

Post a Comment