Pembaca Molek

Tuesday, 5 July 2011

Mendamba kasih mertua

Boleh dikatakan semua gadis-gadis memasuki gerbang perkahwinan dengan harapan ingin mengasihi ibu mertua mereka sama seperti ibu mereka sendiri. Tidak dapat tidak dinafikan ada dikalangan mereka yang bertuah. Ibu mertua cukup memahami, matang, saling hormat-menghormati dan ikhlas menunjukkan kasih sayang.

Namun bagaimana dengan mereka yang terpaksa berhadapan dengan ibu mertua 'klise' dan tipikal, cuba mendominasi hubungan anak menantu, mengadu domba, cemburu, tidak berpuas hati dengan menantu dan tidak matang? Pengalaman dan kesabaran banyak membantu anda memainkan peranan agar dapat menangani permasalahan ini dengan baik.
  1. Beri peluang. Adakalanya hubungan baik antara mertua dan menantu (terutamanya menantu perempuan) tidak terus berjalan lancar sebaik sahaja baru berkahwin. Masing-masing mungkin memerlukan masa untuk sesuai di antara satu sama lain. Jangan bimbang jika di awal perkahwinan kamu masih kekok dengan mertua. Lambat laun mungkin keserasian akan timbul.
  2. Banyakkan bersabar dan tidak 'melatah' - Ibu mertua akan menilai diri kita sama ada molek atau tidak pada pandangan matanya. Jangan menjadi tidak keruan jika dikritik tentang masakan, penampilan dan sebagainya. Jangan berpura-pura sebaliknya jadilah diri sendiri. Kamu tidak perlu 'membodek' ibu mertua semata-mata kerana kamu ingin mendapat 'pengiktirafannya'.
  3. Saya juga kurang setuju jika menantu perempuan gemar memberi segala jenis hadiah kepada mertuanya. Jangan terlalu membeli jiwa. Lebih baik jika kamu 'membeli' jiwa ibu mertua kamu dengan keperibadian, keimanan, kebaikan akhlak dan buktikan yang kamu boleh menjaga rumahtangga, suami dan anak-anak dengan baik. Namun tidak salah jika memberi hadiah pada masa-masa tertentu, seperti hari ibu atau harijadi kerana itu menunjukkan kamu menghargai dirinya. Jangan memberi hadiah tanpa berhenti setiap kali pulang ke kampung atau setiap kali pulang bercuti (don't shower her with gifts) kerana nampak seolah-olah kamu merasuah kasih sayangnya.
  4. Bersikap realistik - Ibu mertua tetap ibu mertua, beliau tidak sama dengan ibu sendiri. Jangan terlalu berkongsi rahsia rumahtangga dengan mertua. Wujudkan sempadan di mana ibu mertua tidak sewenang-wenangnya boleh masuk campur urusan kamu suami isteri. Seboleh mungkin, lindungilah aib kamu suami isteri. Apa-apa permasalahan melibatkan suami isteri hendaklah ditangani dengan matang.
  5. Bersikap bijak dan kawal emosi. Jika ibu mertuamu cuba 'bersaing' untuk meraih perhatian anak lelakinya, bersikap matang dan jangan terikut-ikut dengan perlakuannya. Jika ibu mertua cuba membandingkanmu dengan menantu lain, sabar dan yakinlah dengan kelebihan kamu sendiri kerana setiap orang tidak sama di antara satu sama lain. Sebagai orang baru yang masuk dalam keluarga mertua, pandai-pandailah membawa diri. Sebagai insan biasa kita tidak pernah sempurna dan sentiasalah perbaiki diri untuk menjadi lebih baik pada masa-masa akan datang.

No comments:

Post a Comment