Pembaca Molek

Monday 11 July 2011

Langsing selepas bersalin


  1. Jangan amalkan diet secara mendadak sebaliknya lebih baik kamu makan dengan seimbang. Berat badan akan turun dengan sendiri seperti sebelum kehamilan. Ambil makanan yang menyihatkan sebagai snek ketika lapar, seperti epal, karot dan biskut kraker.
  2. Ambil makanan yang tinggi nutrisi, terutamanya jika menyusukan bayi. Ikan sangat baik kerana ia mengandungi DHA, iaitu asid lemak perlu yang elok untuk sistem otak dan saraf bayi. Ikan kod, salmon dan tuna mengandungi kandungan DHA yang tinggi. Susu dan yoghurt adalah makanan kalsium tinggi, elok untuk menguatkan tulang ibu. Elakkan makanan berlemak sebaliknya makan makanan tinggi protein dan fiber, seperti ayam, daging tanpa lemak dan kekacang. Makanan-makanan ini menjadikan kamu kenyang lebih lama dan mengelakkan makan berulang-ulang.
  3. Menyusu bayi boleh membantu menurunkan berat badan ibu dengan lebih mudah. Di samping itu, susu ibu juga baik untuk bayi terutamanya memberi imuniti semulajadi. Namun, jangan jadikan menyusu bayi sebagai alasan untuk makan dengan banyak tanpa henti.
  4. Minum air dengan banyak kerana ia dapat mengelakkan kamu kekurangan air (dehidrat). Minum air juga dikatakan dapat mempercepatkan metabolisme tubuh. Semasa membuang air kecil, perhatikan urine (air kencing) sama ada jernih atau keruh. Kencing keruh menunjukkan tubuh badan kekurangan air.
  5. Banyak bergerak untuk menguruskan badan, contohnya bersenam. Bersenam boleh membakar kalori, menguatkan otot dan juga tulang. Di samping itu, bersenam dapat mengelakkan kemurungan, menjadikan tidur lebih nyenyak dan melegakan tekanan. Tidak dapat dinafikan keperluan untuk memberi perhatian kepada bayi akan mengakibatkan ibu tertekan.
  6. Tidak perlu pergi ke gym untuk bersenam, sebaliknya mungkin boleh berjalan selama 20 minit dengan menyorong bayi. Jika di rumah, gunakan 'dumb bell' ringan untuk membuat aktiviti kecergasan. Jangan melakukan senaman berat, terutamanya bagi ibu-ibu yang menjalani pembedahan caesarean.
  7. Pastikan tidur dengan mencukupi kerana kajian menunjukkan ibu yang tidur kurang 5 jam sehari akan sukar mendapat berat badan ideal. Ibu yang letih akan mengeluarkan hormon 'stress' dan ini akan menyebabkan berat badan bertambah. Jika terlampau penat juga, ibu akan malas menjaga diri, makan makanan tidak sihat (makanan segera) dan juga tidak larat untuk bersenam. Jika boleh, tidur pada waktu siang dan pastikan tidur awal. Tidur semasa bayi tidur, jangan buat urusan rumahtangga kerana ibu juga perlukan rehat.
  8. Jika berat badan terlalu serius selepas bersalin dan tiada tanda-tanda kamu boleh mengurangkannya, dapatkan nasihat pakar sebelum terlambat. Doktor dan pakar dietetik boleh membantu kamu dengan mencadangkan pelan pemakanan, berat badan ideal dan cara menurunkan berat badan dengan selamat.

No comments:

Post a Comment