Pembaca Molek

Tuesday 21 February 2012

Coretan buat mama

Aku sering teringat waktu ku kecil dahulu. Pulang dari sekolah rendah, aku akan duduk di rumah sekitar 1-2 jam sebelum ke sekolah agama pada sebelah petangnya. Paling ku ingat, ibu akan mandi di bilik air menjelang waktu Zohor. Sambil mandi, dia akan membasuh baju. Belum ada mesin basuh, maka ibu akan mencuci dengan tangan.  Bila ibu membasuh telekung, dia akan merendam bilasan terakhir dengan daun nilam. Wangi.

Usia 13 tahun, aku menjejakkan kaki ke asrama penuh. Lima tahun ku mengisi zaman remaja, jauh dari ibu. Tiada lagi sela masa 1-2 jam sebelum pergi ke kelas petang. Tiada lagi ku melihat kelibat ibu mengangkat baldi ke bilik air. Namun aku sentiasa mengingati rutin ibu. Aku akan teringat dia di bilik air, mencuci baju, mengambil air sembahyang. Dan aku terpandang-pandang dia membasuh telekung, dan meramas daun nilam pada bilasan terakhir.

Aku akan sentiasa mengingati harum daun nilam, dan merindui kelibat ibu. Namun masa bukan di sisi ku lagi. Langkahku laju meninggalkan ibu dengan rutin hariannya. Aku tamat persekolahan menengah, menjejaki matrikulasi, tamat pengajian fakulti, chambering dan bekerja. Aku berumahtangga dan memiliki keluarga sendiri. Aku sedar masa yang lalu itu tak mungkin berulang lagi, namun ia nostalgia yang terlalu manis untuk dikenang.

Kini ibu lumpuh selepas sarafnya terjejas, angkara jatuh pada suatu dinihari. Aku melihat kesihatannya merosot hari demi hari. Tangan yang mengerekot itu pernah menyuap makan ku dahulu. Tubuh yang kurus kering itu lelah menjaga sakit pening ketika kecil ku. Ibu lemah tidak bermaya. Namun setiap kali ku kucup ibu, aku dapat menghidu harum itu. Harum daun nilam, lambang perkasihanku pada ibu. Aku ingin ibu tahu kasihku padanya akan harum mewangi sampai bila-bila.
Nilam (patchouli)



No comments:

Post a Comment