Pembaca Molek

Friday, 24 May 2013

My latest obsessions

Berikut adalah penemuan terbaru saya dalam rutin jagaan diri;

Losyen - Farmasi Color Cosmetics

Ini produk pertama yang saya gunakan dari rangkaian Farmasi Color Cosmetics. Produknya halal dan berasal dari negara Turki. Untuk kamu yang mencari-cari produk penjagaan diri yang tidak diragui kandungannya, boleh saja gunakan losyen FCC ini untuk seluruh badan dan tangan. Bau haruman berrinya memikat, lembut dan tidak melekit. Terdapat juga dalam haruman aprikot. Ingin menambah wang saku? FCC juga menawarkan perniagaan untuk jualan produk-produk mereka yang merangkumi alat kosmetik, barangan penjagaan diri dan haruman.

Body Shop - White Musk
Sejak sekian lama saya melupakan designer perfums seperti Estee Lauder, Elizabeth Arden dan Clinique. Saya ragu-ragu terhadap bahan-bahan kandungan perfumnya (khabarnya mengandungi 'lard' - lemak babi bagi merangsang wangiannya tahan lama). Sejak itu saya beralih kepada haruman The Body Shop. Saya memilih White Musk di atas kerana ia juga adalah haruman mengikut sunnah. Tahukah kamu bahawa musk (kesturi) boleh mencegah ilmu pukau? Dikatakan sihir dan pukau tidak boleh meresap kepada pemakai haruman kesturi. The Body Shop juga sebagaimana yang kita tahu sejak sekian lama memperjuangkan 'No cruelty against animals' dan mengamalkan kempen kitar semula dan lestari alam semulajadi.

Bioessence miracle water

Bioessence baru-baru ini memperkenalkan produk miracle water dalam bentuk semburan. Mudah digunakan, cuma semburkan pada bahagian tubuh yang memerlukan. Jika rambut tidak terurus, boleh saja spray miracle water ini dan sikat seperti biasa. Jika wajah kelesuan dan menginginkan 'pick me up', semburkan miracle water pada muka dan serta-merta kamu akan merasa segar. Saya juga tertarik bila mana spray ini boleh bertindak mengurangkan kesan sembab bawah mata dan lingkaran mata hitam. Selain itu, ia juga selamat digunakan pada bayi untuk meredakan kesan kerengsaan kulit dan kemerahan akibat ruam lampin.

Wednesday, 22 May 2013

Bipolar, atau gangguan ghaib?

Saya melihat perilaku-perilaku ini wujud dalam dirinya;
  1. Terdapat sesetengah masa di mana ia kelihatan begitu bertenaga dan kreatif,
  2. Nampak produktif, namun tidak berpanjangan. Kerja-kerja bersifat sementara sahaja kerana gagal menyempurnakan tugasan (incomplete task),
  3. Mengalami kemurungan (depression), masalah tidur, gangguan terhadap selera makan dan sukar memberi tumpuan,
  4. Mood swing, menyakitkan hati orang (irritating others) dan bermasalah dalam satu-satu perhubungan,
  5. Bercakap tanpa berhenti, komunikasi sehala sahaja dan bertukar-tukar topik perbualan (jump the conversation),
  6. Bermasalah di tempat kerja berpunca daripada kebanyakan masalah di atas (tiada tumpuan, gagal menyempurnakan tugasan, mood swing etc.). Turut bersikap ego.
  7. Mempunyai idea-idea besar, kadangkala tidak logik. Tiba-tiba membelanjakan wang tanpa memikirkan akibat dan kerugian. Melakukan sesuatu yang jarang dilakukan oleh orang yang normal.
  8. Gagal mengawal fungsi tidur. Walaupun telah tidur lama dan berpanjangan, tapi tetap mengantuk. Di waktu yang lain, walaupun tidak cukup tidur tapi tetap bertenaga,
  9. Gagal mengawal fikiran, berkemungkinan minda mereka berputar terlalu laju sehingga sukar dikawal. Ada kaitan dengan perbualan tanpa berhenti di atas ( perenggan no. 5).
  • Jika gangguan bipolar, maka perlukah berjumpa pengamal tradisional atau bomoh? Telah banyak bomoh yang dijumpa dan mengaitkan dengan gangguan saka. Telah puas menghanyutkan botol dari anak sungai lepas ke laut... namun masih belum sembuh-sembuh.
  • Perlukah juga bertemu ustaz? Saya setuju jika ayat-ayat Quran yang digunakan kerana ia memang bersifat penyembuh (shifaa'). Namun ustaz kerap kali juga mengaitkan gangguan perasaan dengan sihir dan jin atau syaitan. Rasanya sudah kerap juga berjumpa ustaz dan orang alim yang bijak pandai. Namun masalah tetap berlaku dan orang yang mengalaminya tiada tanda-tanda akan pulih.
  • Jika ingin menjahit baju, hantarkanlah pada tukang jahit. Jika sepatumu koyak, hantarkanlah pada si tukang kasut. Jika mengalami gangguan perasaan dan bipolar disorder, berjumpalah dengan pakar jiwa. Gangguan-gangguan perasaan yang saya sebutkan dari no. 1 hingga 9 di atas adalah hasil kajian pakar jiwa. Jika mereka mengkaji punca, mungkin mereka ada penyelesaiannya. Bomoh dan ustaz tidak mengkaji masalah mood dan tidak ada latarbelakang perubatan jika seseorang mengalami ketidakseimbangan hormon atau bahan kimia di dalam otak. Jika kita inginkan ubat, kita akan pergi kepada penjual ubat kerana ubat ada di dalam kotak. Kita tidak pergi kepada penjual buah kerana bukan ubat yang dijualnya, tapi buah di dalam kotak. Ini sekadar metafora, kerana yang saya ingin tekankan ialah TO MEET THE RIGHTFUL PERSON. 

Friday, 10 May 2013

Rawatan 'fruit acid' untuk wajah

Baru-baru ini saya berkesempatan untuk mencuba kaedah 'fruit acid treatment'. Ia merupakan perawatan untuk mencegah penuaan kulit, membaiki kerosakan kulit akibat pendedahan matahari dan juga membaikpulih kesan cela pada wajah secara keseluruhannya.

Rawatan 'fruit acid' akan membersihkan sel-sel kulit mati di permukaan wajah sekaligus menjadikan wajah kelihatan lebih cerah. Semasa rawatan, jangan terkejut kerana ia akan menyebabkan rasa 'menggigit' pada kulit menandakan bahan tersebut sedang bertindakbalas. Ia bersifat sementara sahaja kerana selepas itu kulitmu akan lebih bersedia untuk menghasilkan sel-sel yang baru supaya wajahmu nampak lebih sihat dan bermaya. 

Jika kulitmu sensitif, keesokan harinya mungkin wajahmu akan kemerahan. Gunakan krim tabir suria untuk mengelakkan pendedahan kepada matahari secara berterusan. Kamu akan mendapati kulitmu kelihatan semakin baik selepas perawatan ini. Namun, untuk mendapatkan hasil yang memuaskan, beberapa siri rawatan adalah diperlukan bagi membaiki kulit secara konsisten.


Sunday, 10 February 2013

Gemilang usia 30-an

Apa yang boleh kamu jangkakan di usia 30-an? Berbeza dengan usia 20-an, kamu mungkin memikul lebih banyak tanggungjawab dan perlu menunjukkan sisi diri yang lebih dewasa. Mari saya senaraikan di sini apakah perkara-perkara yang akan kamu tempuhi di usia gemilang ini....
  • Kamu kelihatan cantik dalam definisi yang tersendiri - Jangan bandingkan diri kamu dengan gadis usia 20-an. Kamu sebenarnya cantik dalam definisi yang tersendiri di usia 30-an. Kamu lebih berkeyakinan, lebih matang, lebih pandai menjaga hati orang-orang di sekelilingmu dan lebih berkarisma serta anggun.
  • Sesuatu akan berlaku yang merubah lanskap hidupmu - Kamu mungkin telah berkahwin dan membina keluarga pada masa ini, mungkin juga bertukar karier yang lebih menggembirakan hatimu. Kamu mungkin berpindah ke negeri lain dan membeli hartanah, kamu mungkin mempelajari sesuatu dalam hidup yang memberi pulangan besar dalam hidupmu. Sesuatu akan berlaku, mungkin positif atau negatif - dan ia akan meninggalkan kesan dan impak dalam hidupmu.
  • Belajar tentang isu-isu besar - Lelaki dan wanita dalam usia 30-an berhenti berfikir pekara-perkara remeh dan mula berfikir tentang isu besar. Jika semasa remaja dahulu kamu sanggup tidak keluar rumah kerana malu ditumbuhi jerawat, namun di usia 30-an kamu akan sedar bahawa banyak isu-isu besar yang memerlukan kamu berfikir secara matang dan dewasa. Kamu mungkin perlu memikirkan isu tentang keluarga, hidup bermasyarakat, bersikap kritis pada isu-isu melibatkan pemerintahan negara malah perlu juga memikirkan hal-hal melibatkan ekonomi semasa. Di usia 30-an kamu akan memandang sesuatu perkara dalam konteks yang lebih besar dan tidak lagi mementingkan diri sendiri sahaja.
  • Lebih mementingkan kualiti diri - Banyak perkara yang akan berlaku di usia 30-an. Antaranya mempraktikkan ilmu keibubapaan, mengalami kenaikan pangkat, menubuhkan perniagaan, melihat rakan sekeliling dan saudara maramu berumahtangga.... Kamu lebih melihat sesuatu itu dari segi kualiti diri dan bukan setakat luaran sahaja. Dari segi perhubungan, kamu akan lebih menghargai 'emotional bonding' dan bukan setakat hubungan luaran sahaja. Boleh dikatakan, usia 30-an adalah zaman gemilang dalam hidupmu kerana kamu dipenuhi dengan idea-idea yang bernas dan tubuh badan pula sedang cergas dan sihat untuk melaksanakannya. Hargailah usiamu di kala ini dan penuhi ia dengan faedah dan manfaat, jangan biarkan ia berlalu dengan begitu sahaja....

Wednesday, 9 January 2013

2012 dan kenangan

Selamat datang tahun baru 2013 meski saya 10 hari terlewat. Hadirnya tahun baru bererti usia menginjak setingkat lagi. Namun kaum wanita sekalian tak perlu bimbang kerana perhargaan kepada diri bukan setakat paras rupa dan usia muda sahaja. Wanita sekarang amat dipandang tinggi berdasarkan pencapaian, kerja keras, kematangan, pengalaman dan jati diri.
 
 
Untuk diri sendiri, saya bersyukur kerana 2012 berlalu dengan memuaskan. Beberapa perancangan-perancangan yang diatur berjaya dicapai dengan baik dan perancangan-perancangan akan datang pula harap dapat digapai pada 2013 ini. Begitulah. Kehidupan tidak menjanjikan sesuatu yang terlampau pasti melainkan kita sendiri bangkit dan mencorakkan masa depan kita. Seperti yang saya tekankan, perempuan sekarang jauh beruntung kerana memiliki kerjaya, buah fikiran, pendapatan, boleh memilih dan juga mampu membuat keputusan. Kita tidak hanya duduk berserah dan berangan-angan tanpa dapat memenuhi impian dan hajat kita sendiri. Percayalah, pengalaman dan kematangan jauh menjadikan kita cantik. Ketenangan diri seorang wanita pula ibarat sebuah pulau bahagia untuk keluarga dan anak-anak kita menumpang teduh dan damai.
 
 
Kata orang, wanita mencari-cari tapak dan kerjaya pada usia 20-an selepas tamat pengajian. 30-an pula masa untuk stabil dalam kerjaya dan membina keluarga. 40-an pula adalah masa untuk menikmati buah kejayaan (enjoy the fruit of success). Ia adalah suatu perjalanan yang panjang tanpa henti dan adakalanya lelah mendepani masalah hidup. Tiada kehidupan tanpa cabaran, maka kamu harus tabah dan sentiasa kuat. Bina karakter dirimu, tegaslah dengan prinsip dan pegangan diri dan pastikan kamu tahu apa yang kamu inginkan dalam hidup. Nikmati kehidupan ini sepuasnya namun dalam masa yang sama, jangan lupa bekalan ke akhirat. Semoga kita sama-sama akan memperbaiki diri dan meniti hari-hari di tahun baru ini dengan lebih bermakna.

Friday, 21 December 2012

Merawat wajah dengan ampoules

Saya sendiri bukanlah terlalu arif tentang rawatan kecantikan. Kebiasaannya saya akan merujuk kepada juruterapi yang akan mencadangkan kaedah-kaedah yang sesuai. Saya membuat rawatan wajah secara berkala lebih kurang sebulan sekali. Salah satu rawatan yang dicadangkan adalah 'ampoules treatment'.
 
Ampoules adalah bahan-bahan pati aktif yang terkandung dalam bekas gelas kecil berbentuk vial. Biasanya ia merupakan bahan botanikal, vitamin atau enzim untuk merawat wajah. Ampoules tidak mengandungi bahan pengawet ataupun bahan kimia kerana ia dipakejkan secara kecil dalam bekas yang tidak dimasuki udara (airtight packaging).

Ampoules memberi kesan hebat bagi mengatasi masalah-masalah kulit yang lazim. Antara masalah kulit yang boleh sembuh dengan rawatan ampoules ialah kerengsaan kulit, pigmentasi dan juga rawatan untuk kulit menua. Kesan positif rawatan ampoules boleh dilihat dalam tempoh yang singkat. Ini kerana cara perawatan di salun menggabungkan kaedah ampoules dengan perawatan lain seperti facial treatment mask (topeng penjagaan wajah) dengan menggunakan facial steamer (mesin mengewap muka). Dengan itu bahan-bahan aktif ampoules dapat menyerap kepada sel-sel kulit secara maksimum.

Saya sendiri telah bertahun-tahun mengimpikan untuk memiliki kulit yang halus dan gebu. Kesan kerosakan wajah semasa remaja memberi kesan yang amat negatif kepada saya. Kulit wajah mempunyai kesan selaran matahari (sunburn), kesan parut jerawat, tona kulit tidak sekata dan mengelupas akibat kekeringan. Saya kerap mengunjungi pakar-pakar kulit demi untuk mendapatkan kulit wajah yang diimpikan dan mengatasi rasa rendah diri. Agaknya kerana usaha yang tidak pernah kenal jemu akhirnya saya berjaya menemui penamat kepada masalah yang membelenggu. Ya, bagi saya kombinasi rawatan microdermabrasion (pengelupasan kulit mikro) dan 'ampoules treatment' selang sebulan sekali amat membantu saya tampil dengan kulit yang lebih baik. Saya tidak berharap untuk secantik bidadari, sekadar inginkan imej yang lebih berkeyakinan dan memberi kesan keseluruhan yang positif pada diri ini.

Ampoules set





Friday, 2 November 2012

Bilateral tubal ligation (BTL)

Perancangan keluarga bukan lagi sesuatu yang 'taboo' dalam masyarakat kini. Setidak-tidaknya, ia boleh dibincangkan secara terbuka melalui aspek kesihatan dan perubatan. Kemajuan dan teknologi perubatan juga memungkinkan banyak kaedah-kaedah moden dan terkini yang diperkenalkan dalam family planning. Salah satunya ialah Bilateral tubal ligation (BTL).
  1. BTL ialah proses di mana saluran tiub fallopian pada wanita disekat bagi menghalang telur daripada ovari turun ke uterus (rahim). Dengan itu, percantuman antara sperma lelaki dan telur wanita tidak akan berlaku, lantas menghalang kehamilan. Ia adalah kaedah perancangan keluarga yang bersifat kekal dan paling efektif.
  2. BTL akan dicadangkan oleh doktor 'on case to case basis'. Kebiasaannya doktor akan mencadangkan BTL kepada ibu yang telah banyak kali menjalani pembedahan caesarean. Meskipun ramai orang menganggap ibu bersalin pembedahan kini boleh melahirkan lebih daripada 4, namun risikonya agak tinggi di situ. Doktor juga turut mencadangkan BTL kepada pesakit kronik yang tidak digalakkan hamil, seperti pesakit jantung atau yang mengalami masalah rahim.
  3. Pembedahan caesarean berulangkali boleh mengakibatkan organ-organ dalaman ibu terganggu dan 'melekat', terutamanya pundi kencing. Malah setiap kali hamil, si ibu akan berhadapan dengan risiko sebanyak 10% akan berlaku masalah kepada kelahiran secara caesarean tersebut. BTL dicadangkan oleh pengamal perubatan kerana ia paling efektif untuk mencegah kehamilan tidak terancang. Sepanjang kajian dilakukan, hanya 1 sahaja kehamilan dilaporkan dalam 300 orang responden.
  4. BTL hanya boleh dipertimbangkan oleh ibu yang yakin bahawa ia enggan hamil lagi. Ini kerana, ia adalah proses kekal dan untuk 'berpatah-balik' adalah amat mustahil. Jangan lakukan kaedah BTL jika kamu masih ingin menambah anak lagi. Seorang rakan yang saya kenali meluahkan rasa kesal kerana beliau sudah 'ikat' selepas melahirkan 3 anak perempuan dan sebenarnya amat teringin mendapat anak lelaki. BTL sebaiknya dilakukan selepas kamu berpuashati dengan komposisi bilangan anak dan selepas kamu pasti bahawa kamu tidak digalakkan hamil lagi atas sebab umur, penyakit dsb.
  5. BTL tidak mengganggu proses kitaran haid kerana haid dikawal oleh hormon. Boleh juga dikatakan bahawa ia hampir tiada kesan sampingan. Ia boleh dijalankan bersekali dengan pembedahan caesarean malah boleh juga dilakukan melalui pembedahan yang berasingan. Jika kamu dinasihatkan untuk menjalani proses BTL, buatlah keputusan selepas kamu dan pasangan berfikir panjang. Jika kamu enggan atas alasan yang tersendiri, itu adalah hak kamu terhadap tubuh badanmu, kerana banyak lagi kaedah-kaedah perancangan keluarga yang lain yang boleh diamalkan.