Pembaca Molek

Thursday, 11 August 2011

Spa untuk kaki


TYT - herba rendaman kaki
Hindari kelesuan badan dengan melakukan sendiri foot spa di rumah. Ia membantu pengaliran darah yang lebih baik, meningkatkan kadar metabolisme, membantu tidur lebih nyenyak dan juga untuk kesihatan umum badan. Sesuai untuk pekerja pejabat yang duduk seharian, pekerja yang banyak berdiri, mereka yang jarang bersenam dan juga orang berusia lanjut.

Cara penggunaannya juga agak mudah dan ringkas. Didihkan air dan masukkan ke dalam bekas mengandungi pek herba rendaman kaki TYT. Sesuaikan kepanasannya mengikut kegunaan. Kemudian, rendam kaki sekitar 15-30 minit. Kamu akan berasa lebih lega dan segar. Penggunaan berterusan akan membantu menghilangkan kelesuan, badan lebih cergas dan minda lebih lapang.

Wednesday, 10 August 2011

Elak dehidrasi semasa berpuasa

Tubuh badan memerlukan sekurang-kurangnya 8 gelas air dalam sehari. Seringkali semasa berpuasa, kita gagal mencukupkan kuantiti air yang diperlukan kerana kita hanya boleh minum pada waktu malam. Pada keesokan harinya, badan akan merasa lesu akibat kekurangan air. Bagaimana untuk memastikan keperluan air yang mencukupi di dalam badan sepanjang tempoh berpuasa?
  1. Fiber akan membantu badan merasa kenyang lebih lama. Di samping itu, fiber juga akan membantu badan mencerna air dengan lebih lambat dan perlahan-lahan. Makan banyak fiber semasa bersahur. Antara yang boleh diamalkan ialah sayur-sayuran dan buah-buahan. Ia akan mencegah badan dari kekeringan.
  2. Apabila tiba-tiba merasa haus, tumpukan minda kepada ibadah puasa yang sedang dijalani. Banyakkan membaca Al-Quran, mudah-mudahan perasaan haus akan beransur-ansur hilang.
  3. Minum air secukupnya semasa berbuka puasa dan juga semasa bersahur untuk menggantikan cecair badan yang hilang daripada badan.
  4. Kurangkan makan makanan masin sewaktu bersahur. Makanan masin membuatkan kamu lebih haus sewaktu berpuasa
  5. Ubah cara pengambilan hidangan. Lebihkan minuman dan bukannya makanan.
  6. Minum minuman yang membantu menghilangkan dahaga seperti jus buah atau minuman yoghurt. Minuman berkarbonat akan membuat kamu lebih haus.
  7. Minum air kosong dengan banyak. Kurangkan teh, kopi dan minuman berkoko.

Tuesday, 9 August 2011

Makanan sihat selepas bersalin

a mother with her little baby
  1. Selepas bersalin, kamu mesti mengamalkan tabiat pemakanan yang baik dan mengambil makanan berkualiti. Pastikan makanan yang kamu makan cukup nutrisi, lebih-lebih lagi jika menyusukan bayi atau baru saja sembuh dari pembedahan caesarean.
  2. Cukup dengan memakan makanan yang ringkas namun bernutrisi. Antara makanan yang baik untuk diamalkan ialah buah-buahan segar, sayuran mentah, roti bakar dengan keju, yoghurt, kismis dan cereal (bijirin) serta daging dan ikan.
  3. Masalah sembelit boleh diatasi dengan mengambil makanan yang tinggi kandungan fiber seperti bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan. Minum air secukupnya terutama jika menyusukan bayi. Jika masalah sembelit berlarutan, amalkan minum jus buah prun
  4. Jika bersalin secara caesarean, banyakkan mengambil makanan yang tinggi kandungan vitamin C dan protein kerana ia membantu dalam menyembuhkan luka dan memperbaiki sel-sel tubuh badan.

Monday, 8 August 2011

Produk haram dan syubhah

botox
Dari sehari ke sehari semakin banyak produk-produk yang disahkan haram oleh pihak berwajib, dan berikutan itu kita dicegah dari terus menggunakannya. Senarai barangan tersebut merangkumi kosmetik, bahan makanan, minuman dsb. Mencari yang halal itu sunnah, kerana itu tinggalkanlah produk-produk yang diragui kerana masih banyak alternatif lain yang kita boleh gantikan dengannya.
  1.  Botox adalah satu revolusi dalam kecantikan kerana ia membantu menegangkan kulit dan kekenduran. Namun beberapa tahun lalu Jawatankuasa Fatwa telah bersidang dan memutuskan pengharaman botox kerana ia mengandungi sumber najis (khinzir).
  2. Baru-baru ini terdapat khabar angin yang melaporkan produk keluaran penyanyi Siti Nurhaliza iaitu 'Simplysiti' mengandungi bahan yang meragukan. Dikatakan sampel yang diambil oleh pihak Jabatan Agama menunjukkan sumber berus adalah dari bulu khinzir. Pengurusan kosmetik tersebut telah menafikan dakwaan tersebut dan mengesahkan produknya halal. Sebaik-baiknya, jika ingin membeli berus kosmetik, periksa dahulu bahan penggunaannya. Contohnya, Maybelline Mineral Powder Foundation membuat penerangan pada label produk bahawa sumber berusnya dari bulu 'pony' dan boleh digunakan tanpa ragu-ragu.
  3. Seorang pakar kulit menasihatkan supaya jangan menggunakan kolagen  kerana ia dari sumber haiwan. Jika ingin juga mengamalkan kolagen, pilih kolagen dari punca makanan laut (marine collagen). Atau bertukar kepada produk kecantikan kulit dari sumber buah-buahan seperti Innershine Prune Essence. Jauhi juga produk yang dilabelkan sebagai 'placenta' kerana ia menggunakan uri daripada haiwan dan  bersifat meragukan.
  4. Di luar negara, pakar penggayaan rambut (hairstylist) telah menemui produk yang sangat baik untuk kesihatan rambut kerana ia sangat tinggi kandungan protein. Namun produk tersebut dihasilkan daripada bull's semen (air mani lembu). Bagi orang Islam, produk tersebut sama sekali tidak suci dan dilarang dari menggunakannya.
  5. Kapsul yang digunakan untuk memproses vitamin dan ubat-ubatan adalah dari sumber gelatin. Terdapat gelatin halal dan juga tidak halal. Dikatakan gelatin khinzir digunakan secara meluas kerana ia jauh lebih murah. Periksa label pada botol vitamin dan pilih yang menggunakan sumber bovine (lembu). Jika masih kurang yakin, cuba vitamin-vitamin dari jenama 'Safwa' kerana ia terbukti selamat dan suci.

Sunday, 7 August 2011

Memulakan perniagaan sendiri

Bekerja sendiri lebih memberikan kepuasan
  1. Kenalpasti perniagaan apa yang ingin dimulakan. Kebanyakan wanita mengimpikan untuk memiliki butik sendiri, membuka salun atau spa, mengusahakan bakeri atau mengambil tempahan kek dari rumah, membuka nurseri, memiliki perniagaan andaman, membuka restoran dsb. Ada juga wanita profesional yang membuka firma sendiri berteraskan perkhidmatan seperti memiliki klinik sendiri, membuka klinik gigi, menubuhkan firma guaman ataupun menubuhkan syarikat kontraktor sendiri dan juga khidmat hiasan dalaman.
  2. Jangan terburu-buru meninggalkan jawatan sekarang. Lengkapkan pengetahuan dan pengalaman sebelum bergerak dalam perniagaan sendiri. Elakkan memilih perniagaan yang kamu tiada pengetahuan asas. Jika membuka restoran, sekurang-kurangnya kamu mesti ada asas memasak. Lebih baik jika ada sijil kemahiran dan kelulusan dalam bidang tertentu, contohnya memiliki diploma montessori untuk mengusahakan pusat jagaan kanak-kanak. Jika di bidang profesional, sebaik-baiknya pastikan pengalaman pekerjaan melebihi 5 tahun. Kamu mesti mahir dalam selok-belok pekerjaan sebelum mengambil keputusan untuk membuka syarikat/perniagaan sendiri.
  3. Mengatur sumber kewangan sebelum memulakan perniagaan. Jika perniagaan berskala agak besar, mungkin kamu boleh pertimbangkan pinjaman daripada bank. Jika berniaga kecil-kecilan dari rumah, usahakan untuk menabung wang simpanan. Bersedia jika perniagaan belum menjana keuntungan pada bulan-bulan awal beroperasi. 
  4. Ada strategi pemasaran. Jika ada peruntukan untuk pengiklanan, sebarkan perniagaan dalam risalah-risalah yang diedarkan ke rumah-rumah bakal pelanggan. Manfaatkan juga teknologi maklumat terkini dalam perniagaan. Contohnya berhubung dengan pelanggan melalui facebook, blog dan menerima tempahan secara on-line. Perniagaan lebih meyakinkan jika kamu telah sedia mempunyai pelanggan sasaran (targeted customer). Contohnya jika kamu membuka kedai dobi, kamu akan lebih stabil jika memperolehi tender mencuci pakaian pekerja kilang.
  5. Berusaha dengan gigih dan jadikan kejayaan orang lain sebagai panduan. Di Melaka, seorang tukang masak yang bertahun-tahun bekerja di restoran kari kepala ikan akhirnya berjaya membuka restoran sendiri yang jauh lebih maju dari bekas majikannya sendiri. Seorang pengusaha kuih bahulu yang bermula di rumah, kini mempunyai outlet di Jusco dan Tesco. Seorang pengusaha taska di Seremban bermula dengan sebuah taska, kemudian bercambah sehingga memiliki 15 cawangan. Seorang guru biasa akhirnya jauh lebih berjaya apabila membuka pusat tuisyen. Perniagaan mampu membuka potensi diri kamu supaya lebih berkembang daripada situasi sekarang.
  6. Terdapat banyak idea-idea perniagaan kini yang kamu boleh ceburi dan usahakan sehingga berjaya. Ada yang mengusahakan perniagaan online seperti menjual barangan berjenama, membuka butik on-line atau menerima tempahan cup-cakes. Ada pula yang menjual tudung, aksesori dan kosmetik di kiosk pusat membeli belah. Perniagaan makanan juga sangat memberangsangkan seperti membuka gerai waffles, jagung cawan, bahulu panas dll. Ramai orang yang telah mengusahakan perniagaan sendiri dan mampu tersenyum lebar. Mereka bebas dari cengkaman majikan, bebas dari kekangan waktu pejabat, rush hour dan traffic jammed malah dapat pula memberi lebih tumpuan kepada rumahtangga. Tanya diri sendiri sama ada mampu menggalas tanggungjawab bekerja sendiri. Jika tidak pasti, bekerja makan gaji dahulu sehingga benar-benar bersedia untuk memulakan perniagaan yang diidam-idamkan.

Thursday, 4 August 2011

Khasiat minyak pokok teh

Minyak pokok teh (tea tree oil) telah digunakan sejak berabad lampau oleh kaum aborigines (orang Asal) Australia untuk pelbagai jenis kegunaan dan rawatan. Tea tree oil diperolehi dengan cara mengewap daun pokok teh dan kemudian diperah untuk mengekstrak minyaknya yang berwarna kekuningan. Tea tree oil mampu merawat pelbagai jangkitan kerana fungsinya yang mencegah kulat, virus dan juga bakteria.

  1. Tea tree oil boleh merawat akne
  2. Berkesan merawat jangkitan kulat kuku (toenail fungus). Titiskan tea tree oil secara terus kepada kuku yang terkena jangkitan sebanyak sekali sehari. Ulang hingga sembuh
  3. Boleh mencegah bau mulut. Caranya, dengan menitiskan tea tree oil kepada ubat gigi dan berus gigi seperti biasa
  4. Selsema/ resdung. Penuhkan sebuah bekas dengan air mendidih. Titiskan 2-3 titik tea tree oil. Berselubung dengan kain dan sedut nafas dalam-dalam dari wap tea tree oil tadi selama 5-10 minit. Lakukan sebelum tidur selama sekurang-kurangnya 5 malam sehingga simptom berkurangan.
The Body Shop
Thursday Plantation

    Lassi minuman menyegarkan

    Di bulan Ramadhan, adalah penting untuk kamu memilih minuman yang menyihatkan badan. Kurangkan membeli minuman yang dijual di bazar-bazar Ramadhan kerana tidak terjamin kebersihan di samping tambahan pewarna dan pemanis berlebihan. Mango Lassi, seperti resepi di bawah adalah pilihan tepat untuk diambil tatkala berbuka mahupun bersahur.

    Mango lassi
    Bahan-bahan
    1 biji mangga, dipotong kiub
    1 1/2 gelas yoghurt
    3 sudu gula
    1/2 gelas susu

    Cara
    Semua bahan dikisar dan boleh diminum terus, tambahkan ais jika ingin minuman sejuk.

    Sangat menyihatkan, jimat dan bersih kerana boleh disediakan sendiri. Jika ingin variasi, cuba orange lassi, banana lassi atau strawberry lassi. Resipi yang sama seperti di atas, cuma gantikan mangga dengan lain-lain buah pilihan.