Pembaca Molek

Friday, 2 November 2012

Bilateral tubal ligation (BTL)

Perancangan keluarga bukan lagi sesuatu yang 'taboo' dalam masyarakat kini. Setidak-tidaknya, ia boleh dibincangkan secara terbuka melalui aspek kesihatan dan perubatan. Kemajuan dan teknologi perubatan juga memungkinkan banyak kaedah-kaedah moden dan terkini yang diperkenalkan dalam family planning. Salah satunya ialah Bilateral tubal ligation (BTL).
  1. BTL ialah proses di mana saluran tiub fallopian pada wanita disekat bagi menghalang telur daripada ovari turun ke uterus (rahim). Dengan itu, percantuman antara sperma lelaki dan telur wanita tidak akan berlaku, lantas menghalang kehamilan. Ia adalah kaedah perancangan keluarga yang bersifat kekal dan paling efektif.
  2. BTL akan dicadangkan oleh doktor 'on case to case basis'. Kebiasaannya doktor akan mencadangkan BTL kepada ibu yang telah banyak kali menjalani pembedahan caesarean. Meskipun ramai orang menganggap ibu bersalin pembedahan kini boleh melahirkan lebih daripada 4, namun risikonya agak tinggi di situ. Doktor juga turut mencadangkan BTL kepada pesakit kronik yang tidak digalakkan hamil, seperti pesakit jantung atau yang mengalami masalah rahim.
  3. Pembedahan caesarean berulangkali boleh mengakibatkan organ-organ dalaman ibu terganggu dan 'melekat', terutamanya pundi kencing. Malah setiap kali hamil, si ibu akan berhadapan dengan risiko sebanyak 10% akan berlaku masalah kepada kelahiran secara caesarean tersebut. BTL dicadangkan oleh pengamal perubatan kerana ia paling efektif untuk mencegah kehamilan tidak terancang. Sepanjang kajian dilakukan, hanya 1 sahaja kehamilan dilaporkan dalam 300 orang responden.
  4. BTL hanya boleh dipertimbangkan oleh ibu yang yakin bahawa ia enggan hamil lagi. Ini kerana, ia adalah proses kekal dan untuk 'berpatah-balik' adalah amat mustahil. Jangan lakukan kaedah BTL jika kamu masih ingin menambah anak lagi. Seorang rakan yang saya kenali meluahkan rasa kesal kerana beliau sudah 'ikat' selepas melahirkan 3 anak perempuan dan sebenarnya amat teringin mendapat anak lelaki. BTL sebaiknya dilakukan selepas kamu berpuashati dengan komposisi bilangan anak dan selepas kamu pasti bahawa kamu tidak digalakkan hamil lagi atas sebab umur, penyakit dsb.
  5. BTL tidak mengganggu proses kitaran haid kerana haid dikawal oleh hormon. Boleh juga dikatakan bahawa ia hampir tiada kesan sampingan. Ia boleh dijalankan bersekali dengan pembedahan caesarean malah boleh juga dilakukan melalui pembedahan yang berasingan. Jika kamu dinasihatkan untuk menjalani proses BTL, buatlah keputusan selepas kamu dan pasangan berfikir panjang. Jika kamu enggan atas alasan yang tersendiri, itu adalah hak kamu terhadap tubuh badanmu, kerana banyak lagi kaedah-kaedah perancangan keluarga yang lain yang boleh diamalkan.



Wednesday, 31 October 2012

Pengasuh atau pembantu rumah?

Isu tentang penjagaan anak-anak sering berlegar di fikiran ibubapa. Mungkin tiada masalah bila si ibu seorang surirumah sepenuh masa, namun bila kedua ibubapa perlu bekerja, anak-anak perlu ditinggalkan dengan penjaga. Persoalannya, pengasuh atau pembantu rumah?
  1. Pembantu rumah sangat praktikal kerana anak-anak boleh diasuh di persekitaran rumah sendiri. Namun, kepercayaan sangat memainkan peranan yang penting di sini. Kebanyakan pembantu rumah adalah warganegara asing, mereka mungkin berbeza latar belakang dan budaya. Tetapi tiada masalah jika antara kamu dapat mewujudkan keserasian dan kamu mempercayainya untuk mengasuh anak-anakmu.
  2. Manakala pengasuh (babysitter), kebiasaannya mereka adalah surirumah yang ingin menambah pendapatan dan mengisi masa lapang dengan menjadi pengasuh. Tapi kamu harus meninggalkan anak-anak kamu di rumah mereka. Perhatikan persekitaran rumah mereka sama ada kondusif atau tidak untuk anak-anakmu. Nilaikan juga perwatakan pengasuh sama ada mereka seorang yang penyayang, warak, sukakan kanak-kanak, rajin dan bertimbangrasa.
  3. Satu lagi pilihan lain ialah dengan menitipkan anak-anak di nurseri/ pusat jagaan harian (daycare). Salah-satu kelebihan pusat jagaan ialah ia berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mereka mesti memenuhi standard tertentu sebelum boleh beroperasi. Tetapi ratio (nisbah) antara penjaga dengan anak-anak jagaan agak besar, contohnya 1 penjaga perlu menjaga 4 kanak-kanak. Yang baiknya, anak-anakmu akan dapat ramai rakan sepermainan di sini.
  4. Sebenarnya, terlalu banyak cerita dan cakap-cakap yang timbul daripada isu penjagaan anak-anak. Pembantu rumah, misalnya, sering bertukar ganti kerana tamat kontrak kerja, lari dari rumah, tidak serasi dsb. Sering saya mendengar keluhan ibu-ibu yang mengadu pembantu rumah mereka panjang tangan (mencuri), tidak menumpukan pada kerja kerana asyik bercinta, memukul anak majikan dsb. Jika dihantar ke nurseri, kebanyakan nurseri tutup awal dan tidak sesuai untuk ibubapa yang bekerja lebih masa. Ada juga masalah di nurseri di mana kanak-kanak bergaduh, dijangkiti penyakit sesama-sendiri, pakaian bertukar dsb. 
  5. Lalu, apa lagi pilihan yang ada? Saya menghantar anak-anak saya kepada pengasuh, seorang ibu penyayang yang telah menjaga anak pertama saya sehingga berumur 8 tahun. Alhamdulillah, setakat ini saya amat berpuashati dengan cara beliau melayan anak-anak saya seperti anak-anak sendiri. Sesekali masalah timbul juga, seperti keadaan bila beliau terlantar di hospital dan saya terpaksa bercuti menjaga anak-anak sendiri. Sehingga kini, saya amat mengimpikan konsep 'nanny' seperti di negara Mat Saleh. Saya suka jika ada nanny yang boleh datang ke rumah pada waktu pagi, menjaga anak-anak saya dan pulang apabila saya balik daripada tempat kerja. Semoga saya akan dipertemukan dengan pengasuh sebegini....





Tuesday, 30 October 2012

Bekerja dari rumah

Saya menyedari bahawa trend bekerja dari rumah semakin berkembang kini. Ramai di kalangan ibu-ibu yang membuka pejabat di rumah, dan dalam masa yang sama menguruskan keluarga dan rumahtangga. Benar, ia kedengarannya begitu ideal sekali, namun beberapa perkara perlu kamu pertimbangkan sebelum menghantar surat 'resign' jawatan dan bekerja sendiri dari rumah....
  1. Jika sudah terbiasa menerima gaji bulanan yang lumayan setiap bulan, kamu mungkin sukar menyesuaikan diri jika perniagaan belum begitu berkembang. Oleh itu, kamu mesti bersedia untuk bermula dari bawah. Jangan meneruskan untuk bekerja sendiri dari rumah jika kewangan tidak begitu stabil dan jika mempunyai komitmen hutang yang banyak.
  2. Kamu perlu tahu dan yakin tentang apa yang kamu ingin lakukan. Fokus tentang perancangan kerjaya dan perniagaan kamu. Adakah kamu ingin mengambil tempahan kek dan kuih-muih, atau menjual tudung on-line ataupun lain-lain jenis perniagaan melalui internet? Bekerja sendiri memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi. Mungkin juga ia tidak semudah yang kamu jangkakan sebelum ini.
  3. Bukan semua perkara boleh dilakukan dengan hanya beroperasi di rumah. Adakalanya kamu perlu juga berurusan di luar, contohnya untuk bertemu pelanggan. Kamu juga mungkin perlu berurusan dengan pihak-pihak tertentu, seperti bank atau pejabat-pejabat kerajaan. Oleh itu, pengangkutan dan kenderaan amat penting dan perlu meskipun kamu bekerja dari rumah.
  4. Jika kamu mengasuh anak-anak sendiri di rumah, kenalpasti dengan siapa kamu akan tinggalkan mereka jika kamu perlu keluar rumah. Adakalanya kamu masih perlu menggaji pembantu rumah meskipun kamu bekerja di rumah. Atau, boleh juga menghantar mereka ke pusat penjagaan atau pengasuh sementara kamu menyelesaikan urusan di luar.
  5. Seperti yang dikatakan, bekerja sendiri dari rumah bukan semudah yang dijangkakan. Kamu mungkin terlalu sibuk menumpukan kepada urusan rumahtangga dan anak-anak menyebabkan kerjamu terbengkalai, mungkin juga kurang pelanggan. Boleh jadi juga kamu hanya memperoleh separuh daripada pendapatan semasa makan gaji. Pertimbangkan perkara-perkara ini sebelum kamu mengambil keputusan bekerja dari rumah. Seandainya kamu berjaya, sememangnya kamu sangat beruntung kerana kerjaya dan rumahtanggamu dapat berjalan seiring.





Friday, 19 October 2012

Manfaatkan cuti bersalin

Rata-rata cuti bersalin yang diperolehi oleh ibu-ibu sekarang ialah '3 bulan'. Di sektor swasta, cuti bersalin yang dipraktikkan masih lagi 2 bulan. Apa perkara terbaik yang patut kamu lakukan bagi mengisi cuti bersalin?
  • Nikmati cuti tersebut sepenuhnya dan sepuasnya. Bagi ibu yang bekerja, pasti kamu faham bagaimana perasaannya bila terpaksa keluar bekerja dan meninggalkan anak dengan pengasuh atau pembantu rumah. Guna masa cuti bersalin yang ada 'to get bonding with your baby'.
  • Bila sudah kembali bekerja juga, adakalanya bukan senang untuk kita mengambil cuti. Cuti bersalin selama beberapa bulan ini adalah masa yang paling sesuai untuk berehat. Kerana, selepas cuti bersalinmu tamat, agak sukar untukmu memperolehi cuti panjang sebegini.
  • Penuhi masa dengan menyusukan anak secara ekslusif. Ibu-ibu kini mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai breastfeeding. Apabila bekerja kembali, agak sukar untuk breastfeeding sepenuhnya kerana tuntutan kerja. Manfaatkan juga masa yang ada untuk membuat stok susu ibu ('stock-up breast milk').
  • Buat perancangan kerjaya. Adakah kamu ingin berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa selepas ini? Ataupun adakah kamu berhasrat untuk bekerja secara separuh masa sahaja? Bagi yang meneruskan dengan kerjaya tetap, bersedia untuk kembali bekerja semula selepas cutimu tamat. Persediaan mental amat penting kerana jika tidak bersedia, kamu akan berasa malas dan jemu untuk bekerja semula selepas bercuti panjang.
  • Pelihara kesihatan. Pastikan luka bersalin telah sembuh sepenuhnya tanpa kesan sampingan. Pastikan emosi dan mentalmu juga terjaga dan stabil. Kajian menunjukkan 'post natal blues' boleh berlaku meskipun kelahiran bayi telah berlaku dalam tempoh 6 bulan ke setahun. Pastikan dirimu 'fit' (cergas) untuk bekerja kembali.
  • Teruskan amalan yang baik untuk kesihatan. Jika menjalani pembedahan caesarean, jangan lakukan aktiviti lasak meskipun kamu telah kembali bekerja. Teruskan memakai bengkung (strap-on binder) kerana ia elok untuk menegapkan postur badan. Teruskan juga mengamalkan jamu untuk kesihatan dalaman badan meskipun tempoh pantang bersalin telah berlalu.

 



Thursday, 11 October 2012

Pantang bersalin

Lumrah setiap selepas kelahiran, ibu akan menjalani tempoh berpantang, kebiasaannya selama 44 hari. Bercerita tentang berpantang, setiap orang akan ada kisah tersendiri. Saya sendiri mempunyai kisah pahit manis semasa berpantang. Saya amat maklum bahawa berpantang adalah tempoh yang paling baik untuk menjaga diri supaya kembali cergas dan sihat. Pada saya, ambil segala kebaikan yang perlu namun jangan ikut pantang larang secara membuta tuli, kerana sesetengahnya tidak semestinya sesuai untuk diamalkan.
  1. Orang Melayu mempunyai pantang-larang yang begitu panjang lebar (endless). Jika diikutkan, terlalu banyak makanan dan minuman yang tidak boleh diambil. Antaranya makanan dan minuman yang berangin, ikan yang mempunyai 'bisa', makanan laut yang bersifat gatal dsb. Namun, menurut seorang doktor yang saya temui mengatakan, 'Don't ban food...you will be lacked of nutrients..'. Oleh itu, pastikan makanan yang kamu ambil itu seimbang. Minum air secukupnya dan makan makanan yang disyorkan mengikut piramid makanan. Jangan lupa amalkan sayuran hijau dan makan buah-buahan.
  2. Sesetengah pantang-larang tidak sesuai untuk diamalkan, contohnya menghadkan pengambilan air. Orang dahulu ada yang hanya minum secawan air sehari, atas alasan tidak mahu peranakan kembang. Kasihan, kerana mereka akan 'dehidrate' (kurang cecair badan) sedangkan mereka perlu menyusukan bayi. Kurang air juga boleh mengakibatkan sembelit. Di sini pentingnya pengetahuan tentang kesihatan supaya kamu tidak terikut-ikut pantang larang yang boleh menjejaskan diri sendiri. Ada sesetengah amalan pantang hanyalah 'old wives' tales' yang dipanjangkan dari generasi ke generasi tanpa ada apa-apa bukti atau alasan saintifik. 
  3. Bagi masyarakat Melayu, kebanyakan masalah kesihatan yang timbul semasa berpantang dikatakan berpunca daripada 'angin'. Oleh itu, kamu dapat melihat senario biasa ibu-ibu berpantang akan memakai baju panas (meskipun di siang hari), memakai stokin, mengikat rambut ketat-ketat, memakai bedak sejuk dan berbau rempah. Saya cuba mencari jawapan kepada persoalan ini dan rupa-rupanya, 'angin' ini sebenarnya berpunca dari dalam badan. Semasa mengandung, rahim akan mengembang beberapa kali ganda dan selepas kelahiran bayi, rahim yang mengembang tadi tiba-tiba kosong dan mempunyai ruang. Ruang inilah yang dikatakan mengandungi 'angin'. Oleh itu, sesetengah amalan elok dilakukan, contohnya memakan halia dan lada hitam kerana ini membantu melegakan angin. Namun tiada bukti saintifik mengapa kamu jangan mandi, atau pakai berlapis-lapis semasa berpantang. Semasa saya di hospital, doktor pakar sendiri menggalakkan untuk memakai pakaian yang selesa dan elakkan memakai pakaian yang meningkatkan kepanasan badan.
  4. Apapun paparan di sini adalah pendapat peribadi saya sendiri, kerana masing-masing ada alasan dan sebab mengapa perlu menjalani pantang sedemikian. Perbezaan zaman banyak menjadikan pantang dahulu dan pantang sekarang berbeza. Pokok pangkalnya kepada individu sendiri untuk mengikut apa amalan yang baik dan perlu untuk kesihatan diri. Jika amalan itu terbukti elok untuk fizikal si ibu dan menjanjikan keselesaan diri di hari tua, tidak salah untuk mengikutnya secara teratur. Namun amalan yang menyimpang dan tiada kebenarannya sebaiknya dijauhi, kerana yang paling elok adalah bersederhana dalam segala segi dan mengikut apa yang dilunaskan dalam agama dan kepercayaan.

Sunday, 7 October 2012

Sindrom 'Superwoman'

Sewaktu membaca Majalah Nona edisi September '2012, saya menemui artikel oleh Tengku Rozidar (pengasas makanan segera 1901) tentang sindrom menjadi 'Superwoman'. Terfikirkah kamu tentang apa itu Superwoman? Ramai wanita masa kini yang terjerat dalam sindrom Superwoman - ingin menjadi serba-serbi hebat sehingga mengabaikan diri sendiri.

Wanita masa kini perlu memenuhi terlalu banyak fungsi pada satu masa - menjadi career woman, pulang ke rumah menjadi suri yang tidak habis-habis dengan tugas rumahtangga, perlu menjenguk homework anak, menjadi isteri yang setia kepada suaminya... tidak cukup dengan itu, perlu juga menjaga ibu bapa yang sudah tua, berusaha menjadi menantu mithali... dan pelbagai lagi peranan sehingga diri sendiri tiada ruang dan waktu untuk bernafas!

Menjadi wanita 'super' menyebabkan kamu kurang rehat dan memberi tekanan kepada diri sendiri. Jangan begitu, kerana kesihatan perlu diberi perhatian dan kamu boleh jatuh sakit kerana terlampau memberi perhatian kepada orang lain. Berikut ada sedikit tips bagaimana kamu boleh sembuh dari sindrom 'Superwoman':-

  1. Utamakan kepentingan kamu dahulu. Jika ada rakan yang meminta pertolongan, dan dalam masa yang sama kamu ada hal keluarga - beri keutamaan kepada yang lebih penting. Belajar untuk berkata 'tidak'.
  2. Jangan biarkan stress memakan diri. Luahkan kepada orang yang kamu percayai.
  3. Minta pertolongan jika kamu terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan sendiri. Latih anak-anak membantu urusan di rumah. Minta tolong pasangan untuk membantumu dalam urusan anak-anak dan rumahtangga.
  4. Berhenti menjadi 'terlalu sempurna'. Tidak semestinya rumahmu perlu 'tip-top' dan kemas sentiasa. Jangan memaksa diri untuk memasak jika tidak cukup masa. Ambil peluang untuk relaks dan berehat.
  5. Berhenti sekejap dari kesibukan untuk menikmati hidup. Manjakan diri sendiri dengan rawatan rambut, urutan badan, shopping, membaca atau bersiar-siar. Jangan menjalani kehidupan dengan tekanan, sebaliknya jadilah seorang yang seimbang dan tenang dalam urusan harian. 


 

Wednesday, 3 October 2012

Mastitis (demam susu)

Mastitis berlaku apabila tisu payudara tersumbat dan membengkak. Pada kebiasaannya ia hanya berlaku pada sebelah payudara. Kamu boleh menyedarinya apabila payudara kelihatan merah, bengkak dan mengalami ketulan. Serentak dengan itu, pengidapnya boleh mengalami demam dan menggigil.
  1. Sewaktu mengalaminya baru-baru ini, saya telah diserang demam pada suhu 40 darjah selsius. Saya juga mengalami sakit perut dan menggigil (shivering). Sampai di hospital, saya disuruh mandi untuk menurunkan suhu badan. Kemudian, susu hendaklah dipam keluar dari badan kerana susu yang terkumpul boleh menjadi toksik. Panadol boleh diambil bagi mengurangkan kesakitan dan panas badan yang dialami ini.
  2. Mastitis hendaklah segera dirawat di mana doktor akan memberi kamu antibiotik. Antibiotik akan membantu bengkak menjadi surut dan mengelakkan ia berulang. Jika terlambat merawat mastitis, ia boleh mengakibatkan susu yang terkumpul menjadi nanah. Bila ini berlaku, doktor terpaksa membedah pesakit bagi mengeluarkan susu yang terkumpul tersebut.
  3. Bagi mengelakkan serangan mastitis, ibu menyusukan anak hendaklah cukup rehat dan makan makanan yang seimbang. Beri bayi menyusu dengan susu ibu secara teratur. Susu yang berlebihan di dalam badan hendaklah dipam keluar bagi mengelakkannya berkumpul dan menjadi toksik. Kamu juga boleh mengelakkan susu tersumbat dalam payudara dengan cara meletakkan tuala suam, kemudian perah susu keluar bagi mengelakkannya terkumpul di dalam badan.
  4. Mastitis biasanya menyerang ibu baru dalam masa 1 bulan selepas kelahiran. Jangan ambil ringan masalah penyusuan dan demam yang kamu alami kerana ia boleh mengakibatkan risiko yang lebih besar. Yang penting, ibu menyusukan anak perlu cukup rehat dan elakkan tekanan. Di samping menjaga kesihatan diri sendiri, ibu juga perlu memastikan kesihatan anak yang baru dilahirkan. Mastitis boleh dielak jika kamu peka dengan perubahan yang berlaku pada badan. Cegah lebih awal sebelum ia menjadi melarat dan membahayakan.