Pembaca Molek

Friday, 29 July 2011

Suplemen untuk kesihatan


vitamin B kompleks - 21st century

Vitamin B kompleks amat berguna untuk fungsi keseluruhan tubuh badan. Ia membantu menukarkan karbohidrat yang dimakan menjadi glukosa untuk dijana sebagai tenaga. Kekurangan vitamin B boleh menyebabkan kelesuan. Di samping itu, vitamin B juga penting untuk sistem saraf dan bagi mengawal tekanan (stress). Vitamin B juga baik untuk pencernaan badan di samping bermanfaat untuk kesihatan kuku, rambut dan kulit.

Cod liver oil - Seven seas



Minyak ikan kod adalah suplemen yang begitu kaya dengan sumber vitamin untuk kesihatan tubuh badan. Ia sangat tinggi kandungan vitamin D, vitamin A, EPA dan DHA. Ia sangat baik diamalkan oleh pengidap diabetes dan pesakit jantung malah dikatakan boleh mencegah kanser. Untuk kanak-kanak, ia sangat baik untuk pertumbuhan tulang dan gigi. Minyak ikan kod yang diamalkan sebagai suplemen setiap hari juga membantu menyihatkan kulit dan rambut.

Vitamin C - Appeton

 Vitamin C sangat penting dalam pertumbuhan sel badan dan penyembuhan luka pada tubuh. Ia bertindak memastikan kesihatan kulit dan menggalakkan pertumbuhan kolagen serta agen anti-oksida. Kolagen adalah protein dalam rangkaian kulit yang berfungsi untuk meremajakan kulit dan menjadikan awet muda. Manakala agen anti-oksida adalah penentang radikal bebas yang merosakkan sel-sel tubuh. Contoh radikal bebas ialah asap rokok. Vitamin C tidak disimpan lama di dalam badan kerana ia larut air. Jika berlebihan, ia akan dikeluarkan oleh badan melalui urine (air kencing). Sebab itulah kita perlu memastikan pengambilan vitamin C yang mencukupi setiap hari.

Evening Primrose Oil - Cosway

Evening Primrose Oil (EPO) mengandungi asid lemak perlu yang dikenali sebagai GLA. Kekurangan GLA dalam badan kanak-kanak boleh mengakibatkan ekzema dan penyakit kulit. Manakala kekurangan GLA dalam badan orang dewasa terutamanya perempuan boleh mempengaruhi mood dan tingkahlaku. Kerana itu wanita yang menghidapi sindrom pra-haid (PMS) digalakkan mengambil suplemen EPO. Ia membantu mencegah senggugut dan sakit di sekitar payudara yang kerap dialami oleh wanita apabila datang bulan. EPO yang diambil sebagai suplemen harian juga boleh memperbaiki kecantikan kulit, merawat kulit mengelupas dan masalah elergi. EPO juga amat membantu menangani masalah wanita menopause dan gejala-gejalanya.




Thursday, 28 July 2011

Merawat dengan rosehip oil

Rosehip  
Minyak Rosehip (Rosehip Oil) adalah perawatan organik bagi merawat punca kulit bermasalah. Ia sangat kaya dengan asid lemak perlu (essential fatty acid) iaitu komponen yang amat penting dalam melindungi dan menyihatkan kulit. Sekiranya kamu berhadapan dengan masalah kulit yang tidak sembuh-sembuh selepas mencuba pelbagai produk, apa kata mencuba rosehip oil sebagai perawatan intensif. Ia selamat, semulajadi dan tiada kesan sampingan.

Antara masalah kulit yang boleh sembuh dengan keajaiban rosehip oil termasuklah:-
  1. parut, termasuk parut akne dan kesan parut lama
  2. ekzema
  3. kesan kulit terbakar, dan kesan kulit terkena selaran matahari (sunburn)
  4. menghidrasi kulit yang kekeringan
  5. membaiki sel kulit yang rosak
  6. mengurangkan kedut
  7. merawat kulit matang dan menua
Cara menggunakan rosehip oil ialah dengan menitiskan lebih kurang 2-3 titik kandungannya secara terus kepada kulit bermasalah.  Urut perlahan-lahan supaya ia menyerap. Sebaik-baiknya dipakai pada waktu malam sewaktu hendak tidur, kerana kulit dalam keadaan rehat secukupnya dan dapat menyerap secara optimum. Dalam tempoh 2 minggu kamu akan dapati keadaan kulit bertambah baik. Teruskan memakainya sehingga mendapat hasil yang diingini. Di samping itu, jaga pemakanan dan banyakkan bersenam kerana ia merupakan kunci kepada kulit yang sihat.

Rosehip Oil - Bioglo (Cosway)

Rosa E - Garden of Eden


Wednesday, 27 July 2011

Lipstik paling semulajadi

Pernahkah kamu berhadapan dengan situasi kesan lipstik melekat di hujung straw sewaktu menikmati minuman? Atau kesan lipstik tertinggal di 'bibir' cawan sewaktu menghirup minuman panas? Hindari kesan tersebut dengan lipstik yang paling semulajadi ini........

Maybelline colour bloom
Ia lipstik runcing yang berwarna jernih, namun bertukar ke warna kemerahan sebaik sahaja diaplikasikan ke bibir. Sangat semulajadi dan tidak melekit. Didatangkan dalam warna 'pink blossom' dan 'peach blossom'. Tidak perlu memakai pelembab bibir yang berasingan. Ia boleh menggantikan kedua-dua fungsi pelembab bibir dan lipstik. Mengandungi vitamin E dan jojoba untuk kelembapan berpanjangan di samping merapikan bibir. Sesuai untuk pemakaian kasual seharian.

Monday, 25 July 2011

Tips jimat kecantikan

Tidak perlu berhabisan duit untuk kekal cantik
Bagaimana untuk jimat di saat barang-barang keperluan semakin meningkat harganya? Saya senaraikan di sini tips jimat dan cantik, mana tahu boleh kita kongsikan dan manfaatkan bersama:-
  1. Gunakan hanya produk penjagaan kulit yang asas dan perlu, iaitu pencuci, penyegar dan pelembab. Ketepikan barangan lain yang tidak perlu dalam set penjagaan wajahmu. Contoh - sleeping mask tidak perlu dipakai sewaktu tidur sebaliknya kamu boleh guna krim malam yang biasa
  2. Jika selama ini kamu menggunakan produk jenama luar negara di kaunter kecantikan yang mahal harganya, cuba tinjau kosmetik atau produk di farmasi yang harganya lebih murah. Contoh - Estee Lauder atau SK II sangat mahal harganya kerana ia jenama antarabangsa dengan kos pengiklanan yang sangat besar. Ahli farmasi boleh mencadangkan produk klinikal yang jauh lebih murah namun cukup berkesan.
  3. Guna produk multifungsi. Contoh - BB cream. Kamu tidak perlu lagi membeli foundation, concealer atau compact powder kerana BB cream boleh memberikan kesan wajah yang natural dan sekata tanpa perlu menggunakan produk-produk lain yang pelbagai.
  4. Facial boleh dilakukan sendiri di rumah tanpa perlu ke salon. Untuk body massage, upah tukang urut tradisional yang boleh dipanggil mengurut di rumah dengan caj yang jauh lebih murah berbanding di salon. Di Melaka, seorang tukang urut tradisional mengurut dengan caj serendah RM25 selama 3 ke 4 jam!
  5. Guna alat solek sehingga habis sebelum membeli baru. Jadikan habit untuk tidak membeli lipstik baru selagi lipstik yang ada belum habis digunakan. Untuk langkah selamat, pilih warna lipstik yang neutral seperti merah samar, brown atau mauve supaya kamu tidak perlu bertukar-tukar lipstik selalu mengikut tema dan warna baju.
  6. Jangan biasakan bersolek tebal pada hari-hari biasa. Hanya bersolek pada hari-hari istimewa seperti menghadiri dinner, hari raya atau majlis istimewa sahaja. Di samping 'tidak hilang seri', kamu juga boleh berjimat kerana tidak perlu membeli alat solek dengan kerap!
  7. Guna 'petua dapur' (kitchen remedy) dalam rutin penjagaan kecantikan kerana ia sangat berkesan dan murah. Contoh - hirisan timun dan sisa uncang teh untuk penjagaan mata, susu sejat untuk menanggalkan mekap, oat sebagai skrub muka dan putih telur sebagai mask.
  8. Jika selama ini kamu guna kapas muka pakai buang, gantikan dengan tuala lembut untuk menanggalkan mekap atau memakai pelembab. Di samping menjimatkan, ia juga lebih 'mesra alam' dan mengelakkan pembaziran kerana tidak perlu dibuang selepas digunakan.
  9. Jangan terlalu taksub membeli pakaian atau tudung mengikut trend. Beli sekadar untuk keperluan. Pembelian mengikut trend akan menggalakkan kamu melakukan pembaziran.
  10. Pewangi buatan 'designer' sangat mahal harganya sehingga menjangkau RM400 sebotol, seperti DKNY Be Delicious. Pakai dengan berjimat kerana sebotol perfume yang dipakai sekadar 2 kali sehari sebenarnya tahan untuk kegunaan 6 bulan ke 1 tahun. Atau bertukar kepada pewangi yang lebih rendah harganya (Contoh - The Body Shop, Avon)

    Sunday, 24 July 2011

    Puasa dan faedahnya

    Kurma simbol kemanisan puasa
    Tidak berapa hari lagi Ramadhan bakal menjelang menandakan tibanya bulan umat Islam dikehendaki berpuasa. Sejak berabad-abad lampau insan-insan di dunia telah mengamalkan puasa sebagai suatu ritual yang memberi efek baik pada rohani dan jasmani. Puasa memberi kesejahteraan tubuh badan secara menyeluruh (general well-being) dan kesannya telah terbukti dari segi kesihatan.
    1. Puasa memberikan kesan penyembuhan - Bayangkan suatu jentera yang berfungsi dan bekerja terus-menerus tanpa henti. Perut dan sistem percernaan kita boleh dianalogikan sebagai jentera tubuh yang tidak putus-putus menerima dan mencerna makanan. Puasa boleh menyingkirkan toksin dan membaiki sel, otot dan organ dalaman.
    2. Mengurangkan berat badan - Sebenarnya, percubaan untuk mengurangkan berat badan adalah berbeza mengikut individu bergantung kepada metabolisme dan bahan kimia tubuh. Sebab itu, sesetengah orang mudah menurunkan berat badan manakala sesetengah yang lain pula mudah gemuk dan menghadapi risiko obese. Puasa akan mengubah corak, gaya dan tabiat pemakanan seseorang ke arah yang lebih sihat. Tidak dinafikan berpuasa adalah pelan diet yang paling sihat.
    3. Puasa menjadikan seseorang lebih bertenaga - Apabila berpuasa, toksin-toksin dapat disingkirkan daripada tubuh (detoks). Selepas mencapai tahap ini, kamu akan berasa lebih ringan (lighter), bertenaga (energetic), bersemangat (enthusiastic) dan mengurangkan kadar tidur (required less sleep). Mungkin ini ada kaitannya dengan keperluan berjaga malam sewaktu bulan berpuasa kerana kamu perlu bangun bersahur dan beribadat pada malam hari.
    4. Puasa juga bermanfaat dari segi mental dan emosi. Dengan berpuasa, kamu akan merasa lebih tenang, lapang dan gembira. Ada yang mengatakan mereka dapat mencegah kemurungan, merasa lebih bermatlamat dan dapat memberi fokus kepada kehidupan. Manakala doktor yang merawat penyakit dengan terapi puasa  mengakui pesakit mereka lebih memberi tumpuan dan konsentrasi, kurang risau, tiada masalah tidur dan merasa lebih segar.
    5. Puasa berfaedah dari segi spiritual - Puasa memberikan masa berkualiti untuk kita lebih berhubung dengan kerohanian dan dalaman diri (cannected to your inner well being). Puasa menambah salah-satu daripada cabang ibadat di mana amalan itu kamu lakukan dan alami sendiri. Seseorang yang berpuasa akan merasa lebih dekat dengan Penciptanya, merasa dirahmati dan dilindungi oleh Allah serta meningkatkan keimanan diri.

    Sunday, 17 July 2011

    Senarai makanan menyihatkan

    1. keledek (sweet potato), mengandungi karotene, vitamin C, potasium & fiber
    2. buah mangga, mengandungi vitamin C, vitamin A, potasium & fiber
    3. yoghurt, mengandungi protein, kalsium, zink, potasium & vitamin B
    4. brokoli, mengandungi vitamin C, karotene dan folic acid
    5. ikan salmon, mengandungi kebaikan omega-3 (baik untuk jantung)
    6. roti gandum penuh (wholemeal bread), ia mengandungi kebaikan fiber & bebas lemak
    7. kacang kuda, mengandungi potasium, protein, fiber, zat besi, magnesium, zinc
    8. tembikai, mengandungi vitamin A, C & potasium
    9. labu (pumpkin), mengandungi vitamin A, C & fiber
    10. sayuran hijau spt bayam & sawi (mengandungi vitamin A, C, K, folate, potasium, magnesium, kalsium, lutein & fiber)


    sweet potatoes


    labu


    brokoli


    Thursday, 14 July 2011

    Jauhi makanan berlemak

    1. Jauhi makanan bergoreng (deep-fried) seperti kentang goreng
    2. elakkan marjerin
    3. jauhi daging yang berlemak
    4. jangan biasakan anak-anak makan gula-gula seperti lollipop
    5. jauhi coklat (jika ingin makan juga, makan coklat berkualiti baik yang tinggi kandungan koko)
    6. jauhi kek dan biskut manis kerana ia tiada sebarang nutrien atau serat
    7. elak minuman bergas dan kordial kerana gula dalam bentuk cecair akan cepat berkumpul sebagai lemak
    8. pai tidak elok dimakan terutama pai daging
    9. hotdog dan burger mempunyai kandungan lemak yang tinggi
    10. susu penuh krim mengandungi gula dan lemak yang tinggi

    Kehidupan sebagai ibu



    1. Pastikan menjalani kehidupan dengan seimbang di antara kerjaya dan rumahtangga
    2. Jangan membebani diri dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Jika kesuntukan masa untuk membuat kek harijadi, hanya beli kek di kedai bakeri. Tidak perlu menjadi "supermom"
    3. Dapatkan pembantu atau pengasuh yang dipercayai untuk menjaga anak-anak ketika kamu bekerja dan tiada di rumah. Dapatkan "support system" (sistem sokongan) agar kamu dapat menjalani kehidupan dengan lebih mudah
    4. Ambil masa untuk diri sendiri. Pastikan beriadah untuk kesihatan diri kerana kamu perlu cergas secara fizikal dan emosi
    5. Menjaga kecantikan diri. Kekal bergaya dengan stail rambut dan pakaian
    6. Mendefinisikan kehidupan sebagai ibu mengikut cara kamu sendiri kerana setiap orang adalah unik dan berbeza. Apa yang penting ialah kamu dan keluarga di sekitar kamu gembira

    Cantik dari dalam

    Kecantikan luaran akan pudar, kecantikan dalaman kekal selamanya
    
    1. Percaya dengan kekuatan dalaman diri sendiri bahawa kamu seorang yang berbakat dan dikurniakan keistimewaan
    2. Bermotivasi, mempelajari perkara dan pengalaman baru dan berusaha untuk menjadi lebih baik hari demi hari. Hidup dengan bermatlamat dan mempunyai keghairahan hidup (passion), contohnya memperjuangkan alam semulajadi, menyayangi binatang terbiar ataupun mengunjungi rumah-rumah kebajikan
    3. Menghargai diri sendiri. Sesekali, ambil masa untuk bersendiri dan jauhi dari tugas rutin
    4. Meluahkan apa yang terbuku di hati dalam diari peribadi. Tulis dengan jujur segala kerisauan, perancangan, harapan atau ilham. Ia akan menjadikan minda kamu lebih tenang dan fokus serta membantu kamu menjadi lebih positif
    5. Meskipun sibuk dengan kehidupan seharian, jangan lupa bersembahyang atau bermeditasi untuk mencapai kebahagiaan dalaman

    Wednesday, 13 July 2011

    Mengawal badan berbau

    
    1. Makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat (fiber) kerana fiber boleh membantu mengawal bau badan. Antaranya oren, nenas dan sayuran hijau
    2. Minum banyak air untuk membersihkan dalaman badan
    3. Pastikan badan bersih dan bebas peluh. Mandi sekurang-kurangnya 2 kali sehari
    4. Pakaian yang dipakai mestilah bersih. Pastikan pakaian dalam juga bersih
    5. Pakai pakaian dari kain kapas kerana ia cepat menyerap peluh
    6. Pastikan minda sentiasa tenang. Minda yang bercelaru boleh menghasilkan bau badan
    7. Jika kaki mudah berpeluh, pakai kasut atau sandal yang mempunyai pengudaraan yang baik

    Mengurut badan (body massage)

    Body massage
    1. Massage boleh menghilangkan sakit belakang
    2. massage boleh membantu pencernaan
    3. membaiki pergerakan sendi
    4. mencegah kelesuan (fatigue)
    5. menenangkan dari sifat agresif
    6. mencegah kemurungan
    7. mempercepatkan penyembuhan selepas pembedahan
    8. membantu tidur lebih nyenyak
    • Dari segi fizikal, massage akan mengendurkan otot-otot yang kejang dan tegang. Orang yang diurut akan lebih rileks dan bebas tekanan
    • Massage dapat memberi kesan kepada emosi kerana urutan akan menghilangkan tekanan dan kemurungan (stress and tension)
    • Massage boleh meningkatkan imunisasi tubuh kerana kajian menunjukkan dengan kaedah urutan, sel-sel darah putih boleh bertambah untuk mencegah jangkitan sesetengah penyakit. Terapi massage banyak digunakan untuk merawat penyakit di samping mempercepatkan proses pemulihan selepas pembedahan
    Namun begitu, ada beberapa golongan yang tidak digalakkan berurut atas alasan kesihatan seperti berikut :-
    1. Orang yang mengidap penyakit jantung tidak digalakkan berurut kerana dikhuatiri mempunyai pembuluh darah yang bengkak (swollen blood vessel)
    2. Orang yang ada masalah kulit seperti melecur, luka, kerengsaan kulit dsb
    3. Jika mengidap sakit belakang yang serius (severe back pain), lebih baik berjumpa doktor
    4. Jangan berurut jika mengidap demam panas
    5. Jangan berurut pada 3 bulan pertama kehamilan, terutama di bahagian abdomen kerana boleh keguguran
    6. Orang yang mengidap osteoporosis (rapuh tulang) juga tidak sesuai menerima urutan

    Mukjizat Aloe Vera

    Himpunan produk berasaskan Aloe vera dari Cosway
    • Secara asasnya, Aloe vera digunakan sebagai ubat bagi mencegah masalah kulit seperti ekzema atau melecur
    • Aloe vera banyak digunakan sebagai bahan dalam produk penjagaan diri dan kosmetik dalam bentuk gel, krim, losyen, jus dsb
    • Aloe vera ialah herba pelbagai nutrien kerana ia mengandungi vitamin, asid amino, enzim dll
    • Aloe vera  boleh membantu pencernaan, bersifat anti-bakteria, menyembuhkan luka dan dikatakan juga boleh merawat kurap (ringworm)
    • Gel semulajadi dari pelepah aloe vera boleh diminum segar, baik untuk pencernaan di samping mencegah ulser

    Monday, 11 July 2011

    Cantik selepas umur 30 tahun

    1. Minum air dengan banyak kerana ia boleh menyingkirkan toksin lantas menjadikan kulit sihat dan berseri
    2. Pakai pakaian yang selesa, sesuai dan elok dengan penampilan
    3. senyum akan menjadikan kamu cantik luaran dan dalaman
    4. Tidur secukupnya dan kamu akan menjadi lebih bertenaga, tenang dan cantik
    5. Cuci muka sebersih-bersihnya sebelum tidur malam, pastikan tiada sisa mekap dan noda. Muka mesti bersih dan segar supaya kulit sihat dan cantik
    6. Guna krim tabir suria kerana cahaya matahari boleh mengakibatkan penuaan pra matang. Kulit mesti dilindungi dengan krim tabir suria apabila berada di luar setiap hari walaupun ketika matahari tidak terik
    7. Bersenam. Jika ada kekangan masa, cukup setakat berjalan di luar dengan anak-anak
    8. Pakai lipstik dan lipgloss kerana ia cara mudah untuk memberi sedikit 'warna' pada wajah. Secalit lipstik cukup untuk seseorang perempuan berasa cantik
    9. Banyakkan berehat dan gunakan masa mandi untuk berasa tenang tanpa gangguan
    10. Semakin usia meningkat, kulit akan bertambah kering. Disiplinkan diri dengan memakai pelembab (moisturiser) setiap hari untuk menjaga kulit agar cantik selalu

    Bahaya makanan segera

    1. Makanan segera sangat tinggi kalori (burger, air bergas dan kentang goreng) dan boleh menyebabkan obesiti
    2. Tinggi sodium iaitu kandungan garam yang melebihi keperluan tubuh. Apabila buah pinggang gagal memproses sodium, ia akan terkumpul di dalam darah dan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi
    3. Tinggi lemak trans (trans fat) yang boleh menyebabkan kolestrol dan munculnya penyakit-penyakit seperti sakit jantung, strok dan diabetes
    4. Makanan segera kurang kandungan sayur dan buah dan boleh mengakibatkan kekurangan nutrien. Ini boleh menyebabkan keletihan dan rendah imunisasi, oleh itu kanak-kanak yang suka makan makanan segera akan mudah diserang batuk dan selsema. Minum kola juga tidak elok untuk wanita kerana boleh merendahkan penyerapan kalsium
    5. Makanan segera juga kurang fiber dan mengakibatkan sistem percernaan tidak teratur
    6. Percaya atau tidak, makanan segera boleh mengakibatkan ketagihan? Makanan tinggi kandungan lemak boleh mengganggu biokimia dalam otak menyebabkan kita selalu teringat-ingat (craving) makanan tersebut. Jika kamu sukar melupakan terus makanan segera, mungkin boleh kurangkannya hanya sekali dalam sebulan. Elakkan makanan segera yang bergoreng (choose grilled chicken rather than fried chicken). Jangan minum air bergas dan elakkan kentang goreng.

    Langsing selepas bersalin


    1. Jangan amalkan diet secara mendadak sebaliknya lebih baik kamu makan dengan seimbang. Berat badan akan turun dengan sendiri seperti sebelum kehamilan. Ambil makanan yang menyihatkan sebagai snek ketika lapar, seperti epal, karot dan biskut kraker.
    2. Ambil makanan yang tinggi nutrisi, terutamanya jika menyusukan bayi. Ikan sangat baik kerana ia mengandungi DHA, iaitu asid lemak perlu yang elok untuk sistem otak dan saraf bayi. Ikan kod, salmon dan tuna mengandungi kandungan DHA yang tinggi. Susu dan yoghurt adalah makanan kalsium tinggi, elok untuk menguatkan tulang ibu. Elakkan makanan berlemak sebaliknya makan makanan tinggi protein dan fiber, seperti ayam, daging tanpa lemak dan kekacang. Makanan-makanan ini menjadikan kamu kenyang lebih lama dan mengelakkan makan berulang-ulang.
    3. Menyusu bayi boleh membantu menurunkan berat badan ibu dengan lebih mudah. Di samping itu, susu ibu juga baik untuk bayi terutamanya memberi imuniti semulajadi. Namun, jangan jadikan menyusu bayi sebagai alasan untuk makan dengan banyak tanpa henti.
    4. Minum air dengan banyak kerana ia dapat mengelakkan kamu kekurangan air (dehidrat). Minum air juga dikatakan dapat mempercepatkan metabolisme tubuh. Semasa membuang air kecil, perhatikan urine (air kencing) sama ada jernih atau keruh. Kencing keruh menunjukkan tubuh badan kekurangan air.
    5. Banyak bergerak untuk menguruskan badan, contohnya bersenam. Bersenam boleh membakar kalori, menguatkan otot dan juga tulang. Di samping itu, bersenam dapat mengelakkan kemurungan, menjadikan tidur lebih nyenyak dan melegakan tekanan. Tidak dapat dinafikan keperluan untuk memberi perhatian kepada bayi akan mengakibatkan ibu tertekan.
    6. Tidak perlu pergi ke gym untuk bersenam, sebaliknya mungkin boleh berjalan selama 20 minit dengan menyorong bayi. Jika di rumah, gunakan 'dumb bell' ringan untuk membuat aktiviti kecergasan. Jangan melakukan senaman berat, terutamanya bagi ibu-ibu yang menjalani pembedahan caesarean.
    7. Pastikan tidur dengan mencukupi kerana kajian menunjukkan ibu yang tidur kurang 5 jam sehari akan sukar mendapat berat badan ideal. Ibu yang letih akan mengeluarkan hormon 'stress' dan ini akan menyebabkan berat badan bertambah. Jika terlampau penat juga, ibu akan malas menjaga diri, makan makanan tidak sihat (makanan segera) dan juga tidak larat untuk bersenam. Jika boleh, tidur pada waktu siang dan pastikan tidur awal. Tidur semasa bayi tidur, jangan buat urusan rumahtangga kerana ibu juga perlukan rehat.
    8. Jika berat badan terlalu serius selepas bersalin dan tiada tanda-tanda kamu boleh mengurangkannya, dapatkan nasihat pakar sebelum terlambat. Doktor dan pakar dietetik boleh membantu kamu dengan mencadangkan pelan pemakanan, berat badan ideal dan cara menurunkan berat badan dengan selamat.

    Sunday, 10 July 2011

    Kulit cantik semulajadi

    beautiful skin

    
    Kulit boleh cantik secara semulajadi seperti berikut :-
    1. Menyental (exfoliation) semasa mandi pada waktu pagi kerana ia boleh menghilangkan sel kulit mati dan sebagai detoks kulit. Menyental juga boleh membaiki peredaran darah dan sistem limfa serta menenangkan sistem saraf. Gunakan berus badan yang lembut
    2. Pastikan sistem pencernaan berfungsi dengan baik. Jika diperhatikan, orang yang mengidap penyakit kulit seperti akne atau psoriasis kebiasaannya ada masalah tidak lawas dan sembelit. Pastikan mendapat air minuman secukupnya dan mengambil diet yang tinggi serat/ fiber. Antara makanan yang dicadangkan ialah roti gandum penuh (wholemeal bread), epal, cauliflower (kobis bunga) dan prun.
    3. Sentiasa bergerak kerana ia baik untuk kulit, menghindar stress dan juga untuk kesihatan seluruh badan. Tidak aktif menyebabkan pembentukan selulit dan kekenduran otot. Banyakkan berjalan, berurut (massage), senaman regangan (streching) atau bersenam dengan tali skipping.
    4. Ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa gula boleh menyebabkan penuaan pra-matang (premature aging). Ini kerana gula akan terpecah menjadi sel glukos dan masuk ke dalam aliran darah (bloodstream) di mana sel glukos boleh merosakkan kolagen. Kedut boleh terbentuk dan kulit menjadi kekenduran. Oleh itu, hadkan pengambilan gula dan manisan dari sekarang. Mulakan dengan mengambil hanya separuh gula dalam teh atau kopi.
    5. Asid lemak perlu (essential fatty acids) penting untuk sel dan hormon di mana ia boleh memastikan jantung yang sihat, mencegah kanser dan sesetengah penyakit kulit seperti akne dan ekzema. Nutrien ini boleh didapati daripada ikan sardin dan salmon. Kamu juga boleh pastikan pengambilan asid lemak perlu yang mencukupi dengan suplemen minyak ikan kod (cod liver oil). 

    Tentang kacang soya

    soybeans / kacang soya


    


    Kacang soya boleh didapati dalam bentuk makanan yang diproses seperti tempeh, tofu, kicap (soysauce) dan soymilk (susu kacang soya). Umumnya, kacang soya berkhasiat untuk mencegah kolestrol, menghindar kanser dan juga melawan penyakit koronari.

    • tinggi sumber protein
    • zat besi, kalsium, fosforus & fiber
    • sumber vitamin B yang baik
    Ada kajian menunjukkan pengambilan soya yang banyak boleh menganggu hormon testosterone lelaki di samping mengurangkan bilangan sperma, namun ia bukanlah fakta yang sahih. Pengambilan soya juga patut dijauhi oleh mereka yang menghidap batu karang kerana soya mengandungi 'oksalat' dan ditakuti akan menyebabkan sakit batu karang bertambah serius.

    Friday, 8 July 2011

    Mengawal tabiat shopping

    Bershopping adalah sesuatu yang menyeronokkan namun sedarkah kamu jika kamu termasuk dalam golongan 'ketagih shopping' atau 'shopaholic'? Ini tanda-tandanya :-
    1. kamu berpendapat shopping dapat meredakan tekanan dan menyelesaikan masalah.
    2. kamu tetap bershopping walaupun telah kehabisan tunai
    3. satu-satunya aktiviti kamu bersama rakan-rakan ialah bershopping
    4. kamu terlampau bergantung kepada kad kredit dan terperanjat dengan bil yang diterima setiap bulan
    5. kamu mengamalkan sikap 'tak boleh hidup tanpa kasut atau beg tangan baru'
    6. kamu dimarahi pasangan atau keluarga kerana membeli barangan yang tidak perlu. Akibatnya kamu menyorok-nyorok membeli di luar pengetahuan mereka
    Jika ingin mengawal tabiat berbelanja, mulakan dengan langkah-langkah berikut :-
    • Kawal diri dari kad kredit. Jika perlu, batalkan khidmat kad kredit daripada bank
    • Hentikan tabiat window shopping jika sukar mengawal diri. Jika bertemu kawan, elakkan berjumpa di shopping mall.
    • Rancang bajet bulanan dan mestilah disiplin dengan bajet tersebut
    • Mulakan membuat wang simpanan. Asingkan dalam akaun berlainan
    • Isi masa lapang dengan lebih produktif. Contohnya, beriadah atau berbuat kerja amal dan bukannya membeli-belah
    • Minta bantuan rakan atau keluarga untuk menasihat dan mengingatkan jika kamu terleka
    • Jangan mudah terpengaruh dengan apa yang diiklankan di media
    • Jangan jadikan shopping sebagai suatu budaya, sebaliknya anggap sebagai simptom yang boleh bertukar menjadi 'penyakit' apabila sukar dikawal

    Thursday, 7 July 2011

    Tips menguruskan badan

    1. Jangan mengamalkan 'crash diet' atau 'exercise' secara melampau. Badan tidak dapat menerima perubahan mendadak dari gemuk ke kurus
    2. Badan akan menukarkan makanan kepada tenaga (energy) supaya badan boleh menjalankan aktiviti. Tenaga yang berlebihan akan disimpan oleh badan sebagai lemak. Jangan mengambil makanan berlebihan
    3. Kurangkan pengambilan kalori dalam makanan dan tingkatkan kadar aktiviti serta kecergasan
    4. Tukar tabiat pemakanan contohnya semasa sarapan, jangan ambil susu penuh krim sebaliknya tukar kepada 'low fat milk' (susu rendah lemak)
    5. Banyak 'exercise' boleh menurunkan berat badan, contohnya berjalan selama 20 minit. Ia boleh membakar kalori dan lemak
    6. Pelbagaikan aktiviti kecergasan seperti berlari, bersenam atau berbasikal
    7. Sesekali, jangan menaiki lif sebaliknya gunakan tangga
    8. Tukar aktiviti pasif kepada aktif. Contohnya dengan mengayuh basikal statik di ruang tamu sewaktu menonton televisyen. Atau lakukan senaman regangan semasa laluan iklan dalam program yang ditonton
    9. Hadkan pengambilan kek dan manisan dalam jumlah yang kecil sahaja
    10. Banyakkan makan roti gandum penuh (wholemeal bread), sayur-sayuran dan buah-buahan
    Bagaimana untuk mengurangkan pengambilan kalori dalam makanan?
    • Elakkan makanan berlemak sebaliknya lebihkan makanan berasaskan karbohidrat dan protein
    • Elakkan minuman bergas atau kordial, ganti dengan air kosong
    • Makan tengahari dalam jumlah yang kurang dari biasa
    • Kurangkan penggunaan marjerin, mentega atau mayonis sewaktu makan roti/ sandwich
    • Kurangkan gula dalam teh dan kopi
    • Jangan mengulang makan malam dan elakkan makan bertambah
    • Kurangkan mengambil makanan ringan, biskut manis atau snek di antara selang waktu makan
    Jalani program mengurangkan berat badan secara positif seperti :-
    1. Jangan meninggalkan sarapan
    2. Jangan 'skip' waktu makan, seperti tidak makan tengahari. Akibatnya kamu akan makan lebih banyak pada waktu malam
    3. Tabiat makan yang tidak teratur akan mengganggu metabolisme badan dan menyukarkan badan menjadi kurus
    Bagaimana mengekalkan momentum dan keazaman berterusan untuk kurus?
    • Tulis program yang kamu jalani dan kemajuannya. Buat senarai latihan kecergasan, makanan yang berjaya dijauhi, berat badan ideal yang diidamkan dan sama ada telah mencapai target
    • Bersabar untuk melihat hasilnya. Mungkin dalam masa sebulan lagi kamu dapat merasakan saiz baju sedikit longgar, menunjukkan usaha kamu berjaya
    • Fikir untuk jangka masa panjang. Orang gemuk mudah diserang diabetes, penyakit jantung dan risiko kanser
    Semoga apa yang kamu usahakan akan berjaya.

    Isteri yang disayang suami

    1. Berhias, namun tidak perlu bersolek hebat. Cukup sekadar senang dan manis dipandang
    2. menyenangkan, jangan tidak tahu bergurau. Kebanyakan suami suka mengusik isteri, jangan cepat merajuk, sambut jenakanya dengan tawa
    3. pandai mendahulukan suami, menghormati pandangannya. Minta izin jika ingin ke mana-mana dan minta keputusannya dalam urusan rumahtangga. Yakini suami sebagai pemimpin
    4. bersikap sederhana dan jangan meminta suami di luar kemampuannya.
    5. memanjakan suami seperti memotong kukunya, menyediakan air minuman atau mengurut badan jika ia kepenatan
    6. bijak dan berpengetahuan kerana bertukar-tukar fikiran dan komunikasi berkesan penting untuk kebahagiaan rumahtangga
    7. hormati hak peribadinya, jangan terlalu 'busybody' seperti sering memeriksa telefon suami, facebook, e-mel dsb. Yakini kesetiaan suami
    8. Jangan membanding-bandingkan suami dengan suami orang lain yang lebih kaya atau berkedudukan
    9. Pandai menjaga diri apabila ke luar rumah, menjaga maruah suami
    10. ada di sisi suami sewaktu jatuh dan bangunnya, meniup semangat sewaktu suaminya gundah, menemani suami mengharungi kehidupan dan mencintai suaminya sepenuh hati

    Makanan untuk rambut cantik

    healthy shiny hair
    1. Ikan salmon mengandungi khasiat Omega-3 yang penting untuk kesihatan kulit kepala
    2. Sayuran hijau seperti bayam dan brokoli mengandungi vitamin A,C, zat besi dan kalsium
    3. kekacang seperti kidney bean atau dal boleh menggalakkan pertumbuhan rambut
    4. brazil nuts atau walnut juga baik untuk kesihatan kulit kepala
    5. protein yang terdapat dalam daging ayam penting untuk menguatkan rambut
    6. telur juga adalah sumber protein yang baik di samping mengandungi vitamin B-12 yang merupakan nutrien baik untuk rambut
    7. Tiram dan daging kambing mengandungi zat besi yang baik untuk menggalakkan kesihatan rambut
    8. susu, youghurt dan keju mengandungi kalsium yang yang baik untuk pertumbuhan rambut
    9. roti gandum penuh (wholemeal grain) mengandungi zat besi dan vitamin B
    10. Lobak mengandungi vitamin A yang boleh menyihatkan dan merapikan rambut

    Wednesday, 6 July 2011

    Semerah buah delima

    delima /pomegranate

    
    Delima mempunyai khasiat perubatan yang tinggi iaitu :-
    • boleh merawat cirit-birit dan demam ringan (mild fever)
    • boleh merawat kecacingan
    • sebagai agen antioksida (menentang radikal bebas yang boleh merosakkan sel yang menyebabkan kulit menjadi tua)
    • sebagai agen pemutih kulit
    • Estee Lauder - Nutritious
    Estee Lauder mengabadikan kebaikan delima dalam himpunan set penjagaan diri mereka iaitu Nutritious.

    Menjaga kecantikan bibir

    smiling healthy lips
    Menjaga bibir bukan sekadar mengaplikasi lipstik, kerana bibir memerlukan penjagaan eksklusif yang sewajarnya. Bibir yang sihat akan memancarkan seri kepada wajah pemiliknya secara semulajadi. Berikut dipaparkan beberapa langkah-langkah yang mudah diikuti untuk menampilkan bibir sihat menawan.
    • Untuk mengelakkan bibir kehitaman, pastikan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran secukupnya. Jauhi rokok
    • Gunakan pelembab bibir untuk mengelakkan bibir daripada terdedah kepada kesan cuaca. Elakkan daripada selalu menjilat bibir (licking lips) kerana bibir boleh menjadi kering
    • Eksfoliasi bibir (menyental lembut pada bibir) untuk menanggalkan sel-sel kulit mati supaya bibir lebih segar. Kamu boleh gunakan berus gigi atau skrub muka (facial scrub), gosok bibir secara lembut dan bilas dengan air suam
    • Pakai pelembab bibir sebelum menyapu lipstik. Pelembab bibir juga boleh dipakai sebelum masuk tidur, kamu akan bangun keesokan harinya dengan bibir lebih segar dan cantik
    • Diet yang seimbang serta tinggi vitamin C dapat menghalang bibir dari pecah-pecah dan kekeringan
    • Jika bibir mengalami masalah (kering, megelupas atau luka), jangan guna lipstik buat sementara waktu
    • Beberapa 'petua dapur' (kitchen remedy) boleh digunakan untuk merawat bibir iaitu dengan menggunakan sama ada madu, lemon, mentega atau kelopak bunga mawar. Sapu tipis pada bibir supaya bibir lebih sihat, segar dan tidak kekeringan.

    Tuesday, 5 July 2011

    Mendamba kasih mertua

    Boleh dikatakan semua gadis-gadis memasuki gerbang perkahwinan dengan harapan ingin mengasihi ibu mertua mereka sama seperti ibu mereka sendiri. Tidak dapat tidak dinafikan ada dikalangan mereka yang bertuah. Ibu mertua cukup memahami, matang, saling hormat-menghormati dan ikhlas menunjukkan kasih sayang.

    Namun bagaimana dengan mereka yang terpaksa berhadapan dengan ibu mertua 'klise' dan tipikal, cuba mendominasi hubungan anak menantu, mengadu domba, cemburu, tidak berpuas hati dengan menantu dan tidak matang? Pengalaman dan kesabaran banyak membantu anda memainkan peranan agar dapat menangani permasalahan ini dengan baik.
    1. Beri peluang. Adakalanya hubungan baik antara mertua dan menantu (terutamanya menantu perempuan) tidak terus berjalan lancar sebaik sahaja baru berkahwin. Masing-masing mungkin memerlukan masa untuk sesuai di antara satu sama lain. Jangan bimbang jika di awal perkahwinan kamu masih kekok dengan mertua. Lambat laun mungkin keserasian akan timbul.
    2. Banyakkan bersabar dan tidak 'melatah' - Ibu mertua akan menilai diri kita sama ada molek atau tidak pada pandangan matanya. Jangan menjadi tidak keruan jika dikritik tentang masakan, penampilan dan sebagainya. Jangan berpura-pura sebaliknya jadilah diri sendiri. Kamu tidak perlu 'membodek' ibu mertua semata-mata kerana kamu ingin mendapat 'pengiktirafannya'.
    3. Saya juga kurang setuju jika menantu perempuan gemar memberi segala jenis hadiah kepada mertuanya. Jangan terlalu membeli jiwa. Lebih baik jika kamu 'membeli' jiwa ibu mertua kamu dengan keperibadian, keimanan, kebaikan akhlak dan buktikan yang kamu boleh menjaga rumahtangga, suami dan anak-anak dengan baik. Namun tidak salah jika memberi hadiah pada masa-masa tertentu, seperti hari ibu atau harijadi kerana itu menunjukkan kamu menghargai dirinya. Jangan memberi hadiah tanpa berhenti setiap kali pulang ke kampung atau setiap kali pulang bercuti (don't shower her with gifts) kerana nampak seolah-olah kamu merasuah kasih sayangnya.
    4. Bersikap realistik - Ibu mertua tetap ibu mertua, beliau tidak sama dengan ibu sendiri. Jangan terlalu berkongsi rahsia rumahtangga dengan mertua. Wujudkan sempadan di mana ibu mertua tidak sewenang-wenangnya boleh masuk campur urusan kamu suami isteri. Seboleh mungkin, lindungilah aib kamu suami isteri. Apa-apa permasalahan melibatkan suami isteri hendaklah ditangani dengan matang.
    5. Bersikap bijak dan kawal emosi. Jika ibu mertuamu cuba 'bersaing' untuk meraih perhatian anak lelakinya, bersikap matang dan jangan terikut-ikut dengan perlakuannya. Jika ibu mertua cuba membandingkanmu dengan menantu lain, sabar dan yakinlah dengan kelebihan kamu sendiri kerana setiap orang tidak sama di antara satu sama lain. Sebagai orang baru yang masuk dalam keluarga mertua, pandai-pandailah membawa diri. Sebagai insan biasa kita tidak pernah sempurna dan sentiasalah perbaiki diri untuk menjadi lebih baik pada masa-masa akan datang.

    Khasiat buah naga

    buah naga/ dragonfruit
    Buah naga atau 'dragonfruit', di sesetengah tempat juga dikenali sebagai buah pitaya. Ia banyak ditanam sebagai pertanian berskala besar di Asia Tenggara seperti Malaysia dan Vietnam, malah ia juga boleh didapati di sesetengah daerah di China dan Taiwan.

    Isi buah sama ada dalam warna putih ataupun merah, dikatakan menyamai rasa buah kiwi dan sedikit tawar. Isinya boleh diproses menjadi jus manakala bunga buah naga boleh diproses sebagai teh. Ia mengandungi khasiat fiber semulajadi yang tinggi, sebagai sumber antioksida yang baik, rendah kalori dan penuh dengan kebaikan vitamin C. Beberapa resipi berasaskan buah naga juga boleh menjadi pemanis mulut cukup lazat untuk dicuba.

    Masalah ketidaksuburan


    Ketidaksuburan (infertility) ialah kegagalan untuk mengandung selepas tempoh 12 bulan berkelamin. Setiap pasangan yang berkahwin dan tidak mengamalkan perancangan keluarga sebenarnya mempunyai 25% peluang untuk hamil setiap bulan. Manakala tempoh subur seorang perempuan ialah sekitar usia 35 tahun ke bawah. Ada 2 jenis masalah ketidaksuburan iaitu :-
    1. total infertility - tidak subur langsung akibat masalah kesihatan, contohnya tiada sperma bagi lelaki
    2. sub infertility - ketidaksuburan kerana masalah hormon atau masalah sistem peranakan/reproduksi, namun boleh dirawat
    Apabila kamu merujuk kepada pakar perbidanan dan sakit puan, pada kebiasaannya beberapa siri rawatan akan dilakukan:
    • ujian darah - doktor akan mengesan sama ada pasangan mengalami masalah hormon atau penyakit seperti Rubella atau hepatitis
    • ujian Ultrasound - doktor akan memeriksa keadaan uterus dan ovari isteri sama ada normal atau sebaliknya. Dinding uterus (rahim) yang nipis menunjukkan ada masalah hormon. Doktor juga akan mengesan sama ada tiub fallopian tersumbat (blocked fallopian tubes) ataupun kehadiran fibroid atau ketumbuhan lain
    • ujian sperma - pasangan lelaki perlu memberi sampel mani supaya doktor dapat menganalisa bilangan sperma dan pergerakannya, sama ada normal atau sebaliknya
    Penantian untuk menimang cahayamata adakalanya menjadi trauma  bagi sesetengah pasangan. Mereka mungkin salah-menyalahkan antara satu sama lain, merasa tertekan dan juga rendah diri. Sesetengah hospital menyediakan khidmat kaunseling untuk menangani masalah pasangan yang berdepan dengan situasi ini. Jangan sesekali berputus asa kerana ada pasangan yang dikurniakan cahayamata hanya selepas bertahun-tahun berkahwin. Doktor boleh mencadangkan pil kesuburan ataupun teknik-teknik kehamilan tertentu. Di samping itu, tidak salah jika mengamalkan pendekatan holistik (hollistic approach) seperti memastikan diet yang sihat, mengubah gaya hidup, jauhi rokok dan alkohol serta berfikiran positif dan bertawakkal, juga jangan lupa berikhtiar dan berdoa selalu.

    Sunday, 3 July 2011

    Artis & indorsmen produk

    Produk-produk kecantikan perlu dipromosikan supaya khalayak mengetahui kehadirannya di pasaran. Strategi pemasaran yang betul akan menjadikan produk laku dan laris serta menjana keuntungan yang banyak kepada pengeluarnya. Salah satu cara pemasaran berkesan ialah dengan mengambil artis sebagai duta produk. Banyak produk-produk di pasaran kecantikan yang terkenal disebabkan oleh populariti artis/selebriti yang menjadi wajah produk mereka.

    Datin Norazlina Redzuan


    
    Datin Norazlina Redzuan pernah mengindors produk Shurah. Beliau berjaya memberikan impak berkesan menjadikan produk tersebut laris di pasaran.

    Siti - Maybelline

    
    Siti Nurhaliza pernah mendukung nama Maybelline. Kini Siti lebih selesa memperkenalkan produk sendiri iaitu Simplysiti.

    Camelia
    Kehadiran Camelia sebagai duta berjaya mempopularkan Innershine yang diwakilinya

    Kini kehadiran artis-artis begitu sinonim dengan jenama kecantikan yang diwakili. Erra Fazira dan Rozita Che Wan adalah wajah-wajah Avon. Fazura mewakili jenama Lux dan Nutox. Kini Maybelline mengambil Liyana Jasmay sebagai model kosmetik mereka manakala Lisa Surihani dan Heliza Helmi menjadi duta Garnier. Secara tidak langsung peminat-peminat mereka yang ramai akan mencuba jenama kosmetik yang mereka wakili. Kini terdapat pula trend mengambil artis lelaki sebagai duta produk. Semakin banyak produk penjagaan diri untuk jejaka 'metroseksual' dan trend ini didahului oleh Aaron Aziz (duta Loreal Men) dan Fahrin (sebagai duta Garnier men).

    Testimoni Innershine Pati Beri

    Baru-baru ini saya berkesempatan mencuba pek Innershine Pati Beri yang dikatakan bermanfaat untuk mata. Selepas menggunakannya, saya dapat rasakan mata bertambah sihat dan segar. Sebenarnya, mata kita banyak menerima tekanan sepanjang hari daripada aktiviti-aktiviti yang kita lakukan. Contohnya, menonton TV dan menggunakan komputer akan mendedahkan mata kepada radiasi. Justeru, mata memerlukan nutrien-nutrien secukupnya untuk kekal bertenaga dan terang.

    Innershine mengandungi 7 kebaikan pati beri seperti berikut
    • Acaiberry - tinggi kandungan anti oksida (menentang radikal bebas yang merosakkan sel-sel), vitamin A, C, E dan zink
    • Bilberry - menguatkan pembuluh darah dalam mata dan memperbaiki perjalanan darah untuk mengelakkan kelesuan (fatigue)
    • chokeberry - kesan yang sama seperti di atas
    • cranberry - vitamin C untuk menyuburkan mata
    • elderberry - vitamin C untuk menyuburkan mata
    • strawberry - vitamin C untuk menyuburkan mata
    • blackcurrant - membantu penglihatan waktu malam dan membolehkan mata melihat dalam keadaan samar (dimlight)
    Di samping itu, sebotol Innershine ini juga mengandungi kebaikan lobak (carrot) dan kobis (cabbage) di mana kedua-dua sayuran ini juga mempunyai kandungan vitamin A yang tinggi. Innershine pati beri boleh diamalkan dalam kadar 1 atau 2 botol sehari untuk memperbaiki keadaan mata, menyegarkan dan menguatkan penglihatan. Ia dihasilkan dari 100% bahan berasaskan tumbuhan dan diiktiraf halal.

    Minyak ikan kod

    Seven Seas - Cod liver oil
    Minyak ikan kod mengandungi :-
    • DHA - asid lemak yang baik untuk sistem saraf dan mata. Elok diamalkan oleh ibu-ibu mengandung kerana DHA baik untuk sistem otak bayi dan mengelakkan 'post natal blues' (meroyan)
    • EPA - asid lemak yang membantu sistem kardiovaskular yang baik, mengelakkan penyakit arthritis dan membantu kesihatan emosi (mencegah kemurungan/depression)
    • vitamin A - baik untuk mata, kulit, otot dan sistem pencernaan
    • vitamin D - baik untuk mengekalkan kesihatan gigi dan tulang, memperbaiki sistem imunisasi dan mencegah sesetengah jenis kanser
    Secara umumnya, pengambilan kapsul minyak ikan kod secara konsisten setiap hari boleh memperbaiki :-
    1. kesihatan kulit
    2. menguatkan tulang dan gigi
    3. kesihatan sendi
    4. sistem jantung/ kardiovaskular yang sihat
    5. menyihatkan sistem saraf dan mengelakkan kemurungan serta 'mood disorder' (perubahan mood)
    6. memperbaiki perncernaan