Pembaca Molek

Tuesday, 24 January 2012

Pemakanan sewaktu hamil

Tidak selera makan, tekak pahit, mual dan loya... adakalanya bimbang jika khasiat makanan gagal diserap oleh badan akibat selalu muntah. Jangan bimbang, kamu masih boleh mencuba untuk mendapat diet yang seimbang ketika hamil. Cuba langkah-langkah berikut :-
  1. Makan kepelbagaian makanan supaya kamu mendapat nutrien secukupnya. Antara makanan yang digalakkan ialah roti dan bijirin, buah-buahan dan sayur, hasil tenusu, dan juga makanan untuk sumber protein (daging, ayam, ikan, telur, kekacang). Jauhi makanan berlemak dan manisan.
  2. Makan makanan yang tinggi kandungan fiber seperti roti gandum penuh, cereal, nasi, pasta, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  3. Pastikan kamu mendapat vitamin dan mineral secukupnya semasa mengandung. Ambil suplemen vitamin untuk prenatal yang disarankan oleh doktor. Vitamin untuk prenatal juga dengan mudah boleh diperolehi di kaunter-kaunter farmasi, antaranya 'Appeton'
  4. Makan dan minum makanan serta minuman yang tinggi kandungan kalsium, sekurang-kurangnya 4 hidangan sehari. Tingkatkan juga pengambilan makanan yang mengandungi zat besi.
  5. Jangan lupakan pengambilan makanan yang tinggi kandungan vitamin C. Antaranya, oren, strawberi, tembikai susu, betik, brokoli, kubis bunga, tomato dan sawi hijau. Wanita hamil mesti cukup pengambilan vitamin C setiap hari.
  6. Juga ambil pemakanan yang mempunyai sumber asid folik. Asid folik penting untuk pertumbuhan janin kerana ia mencegah 'spina bifida' (masalah pada janin). Kebiasaannya doktor akan mengesyorkan asid folik dalam bentuk pil untuk diamalkan oleh bakal ibu. Jika inginkan asid folik dari sumber semulajadi, amalkan memakan sayuran berdaun hijau gelap, dan kekacang seperti kacang hitam dan dal.
  7. Di samping itu, amalkan juga pemakanan yang mengandungi khasiat vitamin A. Antaranya, lobak, labu, keledek, bayam dan aprikot.
  8. Elakkan pengambilan alkohol, dan kurangkan pengambilan kafein dalam minuman (kopi, teh dan cola).

Friday, 20 January 2012

Merawat tumit kekeringan

Tumit kering (cracked heels) boleh dirawat dengan inisiatif sendiri di rumah. Terdapat beberapa cara yang kamu boleh lakukan bagi merawat bahagian yang kering tersebut, dan hasilnya kamu akan mendapat kulit tumit yang licin kembali.
  1. Kamu boleh merendam kaki dengan cara mencampurkan 1 bahagian air dengan bahan perawatan. Rendam kaki selama sekitar setengah jam untuk melembutkan kulit kaki yang kekeringan. Antara bahan perawatan yang boleh digunakan untuk dititiskan dalam air tersebut ialah bio oil, Johnson baby oil atau rose water (air mawar). Selepas merendam, lap bahagian kaki sehingga kering dengan towel.
  2. Cara kedua ialah dengan menggunakan kaedah pengelupasan (exfoliation). Terdapat beberapa produk yang menawarkan Foot scrub, seperti Avon. Guna secukupnya krim skrub kaki tersebut dan gosokkan di sekitar kulit yang bermasalah. Kamu juga boleh gunakan pumice stone (batu pumis), gosok perlahan-lahan di sekitar tumit untuk melembutkan kulit kasar. Alternatif lain, kamu boleh gunakan 'berus sabut' yang lebih tradisional.
  3. Cara selainnya yang kamu boleh praktiskan ialah dengan rajin menyapu krim di kulit bermasalah. Terdapat krim yang direka khas untuk kulit tumit kering seperti Eldgy. Jika tiada pilihan, krim pelembab biasa juga boleh membantu, dan jenis yang lebih baik ialah Vaseline atau Rosken Skin Repair. Sapu setiap malam sebelum tidur, dan jika ingin lebih efektif pakai stoking supaya kelembapan dapat diserap dengan mendalam.
  4. Pastikan pemakanan sihat dan badan cukup air. Jika badan kekeringan, ia akan memberi kesan kepada bahagian tubuh yang lain seperti tumit kaki. Jika ingin ambil suplemen, vitamin C adalah pilihan terbaik. Evening Primrose oil dan Minyak ikan kod juga boleh membantumu mendapat kulit yang cantik kerana ia membantu melembabkan kulit daripada dalam.


    Saturday, 14 January 2012

    Mendapat durian runtuh

     Apa yang akan kamu lakukan bila tiba-tiba mendapat 'durian runtuh' (windfall)? Durian runtuh merujuk kepada wang terkumpul yang banyak dan datang sekaligus, contohnya bila kamu tiba-tiba menjadi 'jutawan segera'. Rezeki datang dalam berbagai-bagai cara, kamu mungkin memenangi sijil simpanan premium, menang peraduan yang menawarkan ganjaran wang tunai, menerima warisan pusaka, bonus berganda atau boleh jadi juga untung dalam perniagaan.
    1. Perkara pertama yang patut kamu lakukan ialah menyelesaikan kewajipan selari dengan keuntungan tersebut. Jika kamu berniaga, ketepikan sejumlah wang dari keuntungan tersebut untuk membayar cukai perniagaan, cukai kastam dsb. Jika kamu mendapat wang dari penjualan hartanah, kamu wajib membayar cukai keuntungan. Jangan lari dari kewajipan membayar kepada pihak berkuasa, kerana kamu pasti tidak mahu pening kepala bila tiba-tiba dikejar oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri kerana tidak membayar cukai pendapatan, misalnya.
    2. Beri keutamaan kepada perkara yang penting dahulu. Jika ada perkara-perkara yang perlu mendapat keutamaan kamu, selesaikan perkara itu dahulu. Contohnya, membayar hutang rumah, kad kredit, bil hospital, yuran pelajaran dsb.
    3. Jangan ubah cara dan gaya hidup. Jangan 'gelap mata' hanya kerana tiba-tiba kamu mendapat wang berganda dalam jumlah yang banyak. Jika kamu seorang yang 'humble' dan berjimat-cermat selama ini, jangan tiba-tiba menukar gaya dari hujung rambut ke kaki dengan memakai pakaian atau tas tangan berjenama. Berpada-padalah. Kamu juga tidak mahu 'kekayaan segera' kamu ini dihidu oleh pencuri, lantas menjadikan kehidupan baru kamu tidak aman.
    4. Jangan hebohkan pada orang ramai. Kamu akan terperanjat bila tiba-tiba ada orang yang datang ingin meminjam wang. Perhatikan juga sikap sesetengah rakan dan saudara. Jauhi mereka yang selama ini memandangmu dengan 'sebelah mata', namun bertukar menjadi terlebih mesra apabila kamu sudah mempunyai wang. Mereka mungkin mempunyai agenda tersendiri.
    5. Berkongsi. Perhatikan di sekelilingmu jika ada mereka yang memerlukan. Jika ada ibu tunggal yang sakit dan mempunyai anak yang ramai, singgah ke rumahnya dan hulurkan bantuan kewangan. Satu, dua ratus ringgit mungkin kecil jumlahnya pada kamu, namun amat besar jumlahnya bagi mereka.
    6. Simpan untuk masa depan. Kamu tidak tahu sama ada akan datang kamu akan mendapat untung besar sebegini lagi. Simpan secukupnya dalam simpanan tetap, ASB, SSPN dsb. Selepas sejumlah besar daripada wang tersebut kamu manfaatkan dengan sebaiknya, ambil sedikit untuk hiburan kamu. Melancong, beli barang idaman, berbelanja, beri hadiah dsb... asalkan jangan berlebih-lebihan.



    
    
    

    Friday, 6 January 2012

    Perihal Molek

    Salam Tahun Baru. Saya merasakan tahun baru adalah masa yang sesuai untuk rebranding blog saya menjadi 'Perihal Molek', atas sebab-sebab yang saya nyatakan di sini....
    1. Saya sendiri tidak secantik bidadari. Saya menulis berlandaskan minat yang mendalam dalam bidang estetik dan kecantikan. Seringkali juga menjadi pakar rujuk di kalangan kawan-kawan tentang kosmetik dan barangan penjagaan diri.
    2. 'Perihal Molek' (dahulunya Perihal Cantik) mula dibangunkan sebagai laman blog lewat April 2011. Kini ia mencapai purata hits sekitar 100 pengunjung setiap hari. Suatu angka yang memuaskan bagi saya kerana saya sendiri tidak pernah 'promote' blog ini di kalangan kawan-kawan. Saya menulis untuk kepuasan sendiri. Apa yang terpapar di sini adalah hasil kajian dan pengalaman sendiri yang saya dokumentasikan secara bertulis untuk rujukan sendiri dan berkongsi dengan pembaca sekalian. Terima kasih juga di atas sokongan, saya percaya ramai 'silent readers' di blog ini.
    3. Nama 'Molek' diambil sempena kampung asal saya iaitu Kg Air Molek, Kuala Sg. Baru, Melaka. Ibu bapa saya berasal dari sana. It's a newly discovered tourist destination now... and very exotic. Should you run out of place to go on vacation.. do try Pengkalan Balak, Padang Kemunting, Kuala Linggi and such. You will be amazed.....
    4. Perihal Molek juga adalah percubaan saya untuk bersifat lebih santai dalam penulisan. Menulis tentang 'Cantik', adakalanya ruang lingkup terlalu sempit berkisar sekitar hal-hal penjagaan diri sahaja, lantas kering idea. Saya ingin berkongsi tentang tips kehidupan, kerjaya, famili dsb. dan saya berharap Perihal Molek boleh menjadi platform saya ke arah itu.
    5. Blog ini juga adalah interpretasi kepada cita-cita saya yang tak tercapai iaitu ingin memiliki Majalah sendiri. Dahulu saya sering berangan-angan mempunyai majalah berjudul '5 muka', di mana setiap 5 muka untuk section hiburan, 5 muka berikutnya untuk section penjagaan kecantikan. 5 muka helaian resepi, 5 muka hiasan kediaman... dan seterusnya. Sedikit sebanyak impian itu tercapai dengan kelahiran bahan bacaan maya ini... saya harap ia dapat memberi manfaat kepada semua. Sepatah kata penulis kegemaran saya, Elviza Michelle Kamal (kolumnis Sinar Harian),'Bermimpilah, kerana Tuhan akan memeluk mimpi-mimpimu!'

    Tuesday, 3 January 2012

    1001 khasiat anggur

    Anggur (grapes) yang dimakan terus atau dijadikan jus sangat baik untuk kebersihan dan kelicinan kulit, juga boleh membantu menjadikan awet muda. Anggur mengandungi gula buah, karotene, vitamin C dan vitamin B.


    Makan anggur dengan kerap boleh membantu membaiki penglihatan mata, memperelok sistem penghadaman dan mencegah asid urik lantas menjadikan organ hati bebas daripada toksin.

    Anggur elok untuk mereka yang menghidap lemah saraf. Ia boleh menstabilkan hormon wanita dan membantu mencegah osteoporosis (rapuh tulang).

    Anggur mengandungi kadar gula buah yang tinggi, elakkan makan terlalu banyak jika mengidap kencing manis. Jika memakan anggur, jangan terlalu banyak minum air kerana boleh mengakibatkan cirit-birit. Di sini ada beberapa petua kecantikan menerusi kebaikan anggur :-
    1. Gabungan anggur hitam dan hijau dicampurkan menjadi jus, minum secara terus untuk mendapatkan sumber tenaga dan sebagai minuman kecantikan serta penawar antioksida.
    2. Gabungan anggur dengan buah plum juga boleh menjadi penawar antioksida di samping boleh menjadikan awet muda.
    3. Gabungan anggur dan nenas yang dijadikan jus boleh menyegarkan badan dan juga sebagai minuman anti penuaan
    4. Kombinasi jus anggur dengan madu boleh melicinkan kulit, sesuai untuk mereka yang menghadapi masalah kulit kurang bermaya.
    5. Kombinasi jus anggur dengan tomata yang diminum terus boleh membersihkan kulit dari dalam, menjadikan kulit licin. Sesuai untuk mereka yang mengalami masalah kulit kasar.



      Monday, 2 January 2012

      Merawat anak demam

      • Periksa kadar kepanasan badan anak, sebaik-baiknya dengan menggunakan termometer
      • Pantau suhu sekitar rumah, terutama di bilik anak yang mengidap demam. Jangan terlalu panas dan pastikan bilik dalam keadaan selesa.
      • Untuk mengurangkan kesakitan, beri ubat demam untuk kanak-kanak, seperti Panadol kids.
      • Pastikan anak cukup hidrasi dan tidak kekeringan cecair di dalam badan. Beri minum air dan jus juga makanan seperti sup.
      • Beri ia pakaian yang selesa. Jika anak mengadu panas, jangan guna pakaian berlapis-lapisan. Apabila mereka mengadu sejuk, pakaikan mereka dengan pakaian yang boleh memanaskan badan
      • Guna tuala yang direndam di dalam air suam untuk sapu di bahagian badan mereka bagi meredakan kepanasan.
      • Segera bawa berjumpa doktor jika suhu badan anak dalam keadaan kepanasan melampau. Beri lebih perhatian jika anak masih bayi di bawah usia 3 bulan. Bawa ia berjumpa doktor meskipun ia demam sedikit sahaja (low grade fever).
      • Sebenarnya, demam adalah cara semulajadi bagi badan kanak-kanak menentang penyakit dan jangkitan. Namun, jangan cuai bila anak mengidap demam dengan kepanasan melampau melebihi 38C atau 104F.