Pembaca Molek

Monday, 14 October 2013

Salam Aidil Adha


Salam dan saya juga tidak mahu ketinggalan mengucapkan Selamat Menyambut Aidil Adha buat khalayak pembaca saya. Diam tak diam bulan Zulhijjah sudah menjengah selepas baru sahaja rasanya menyambut Syawal yang lepas. Betapa cepat masa berlalu. Saya masih bekerja pada siang hari tadi maka saya tidak dapat menjadi ibu-ibu tipikal yang bertungkus lumus menyediakan juadah menyambut perayaan. Untuk itu dan bagi melengkapkan suasana AidilAdha sebentar tadi saya keluar mencari lemang dan rendang yang dengan mudahnya dapat mencipta mood dan suasana perayaan. Pulang ke rumah takbir raya kedengaran berkumandang dari musolla tidak jauh dari kawasan kejiranan ini. Terasa nikmat apabila dapat mengecap keindahan-keindahan sebegini yang turut membangkitkan nostalgia menyambut Haru Raya Haji lewat zaman kanak-kanak dulu. 

Setakat ini dahulu dan buat yang pulang ke kampung, hati-hati di jalanan dan jangan terburu-buru kerana kesabaran adalah kunci pemanduan yang paling selamat. Jumpa lagi di lembaran coretan seterusnya dengan mood baru yang lebih segar.

Saturday, 12 October 2013

Seminggu yang lepas

Seputar sepusing seminggu lepas hidup ku rasakan tidak keruan. Masakan tidak, aku diserang alergi seluruh badan dan ia berlarutan selama lebih kurang 10 hari. Asalnya aku pulang ke rumah lama mengambil barang-barang yang masih belum dibawa ke rumah baru. Selepas barang-barang di packed dan diangkat ke dalam lori, jam sudah menunjukkan lewat 11 malam. Akibat keletihan aku terus tidur tanpa mandi kerana sudah melepasi tengah malam. Keesokan paginya keseluruhan badan timbul ruam dan bintik-bintik berkemungkinan kerana aku terdedah kepada hama dan habuk (dust mites) pada jangkamasa yang lama sepanjang malam.

Seperti biasa, aku gemar mengamalkan kaedah self healing. Rutin biasa aku akan mengunjungi ahli farmasi di kawasan kejirananku dan mengambil ubat di kaunter. Aku diberikan ubat alergi yang perlu di ambil sekali sehari tanpa kesan mengantuk. Selang beberapa hari gatal-gatal tidak juga surut. Aku mencuba pula ke kedai ubat singseh namun tidak 'confident' dengan ubat yang dibekalkan. Pesanan ibu menyuruh aku mencari sabun khas untuk gatal-gatal iaitu sabun berbau kuat jenama 909. Aku berjaya mendapatkan sabun tersebut dan gatal-gatal mulai surut namun bintik-bintik dan ruam tetap berkekalan.

Ruam yang menyerang cuma di sekitar badan namun keesokan harinya aku bertambah rungsing apabila ia semakin merebak. Aku bergegas ke Klinik Kulit Jasani, pakar kulit yang biasa merawatku dan dikhabarkan bahawa keadaanku sebenarnya serius. Aku diberikan satu 'jab' (suntikan) dan 3 jenis ubat-ubatan di samping ubat sapu. Mengikut pengalaman lalu ubat dan rawatan yang diterima di klinik tersebut memang berkesan. Oh, kenapalah aku tidak mengunjunginya awal-awal lagi? Kadangkala kita take for granted dan menganggap masalah kesihatan satu perkara biasa selagi kita boleh bergerak ke sana ke mari dan berasa sihat. Sesungguhnya apa yang berlaku menjadi pengajaran kepada diriku supaya tidak mengabaikan kesihatan sendiri. Kini aku semakin pulih meskipun ubat masih banyak yang berbaki. Pesan pakar supaya mengelakkan seafood sekitar 1 minggu dan elakkan juga memakan ikan yang bersifat gatal seperti kembung dan pari. Kepada pembaca semua, jagalah kesihatan dan jangan kerana diri tahan lasak kita mengabaikan kesihatan dan akhirnya menjadi mudharat sehingga menjejaskan kualiti kehidupan.



Thursday, 26 September 2013

Corat-coret Perihal Molek

  1. Minggu ini agak memenatkan kerana kurang teratur dari segi waktu tidur dan rehat tambahan pula risaukan kesihatan orang tua yang terganggu.
  2. Kepada pembaca yang mengikuti perkembangan blog saya selama ini pasti mengetahui yang ibu saya terlantar lumpuh dan bapa saya setia menjaganya. Baru-baru ini bapa saya pula demam dan kerana terlalu lemah bapa terjatuh di bilik air. Bapa kini menghuni wad di Hospital Putrajaya dan mungkin ada kaitan dengan komplikasi jantung.
  3. Kerana terlalu sibuk dengan komitmen tugas dan keluarga saya tiada masa bersolek. Mujur juruterapi mencadangkan produk baru Shin Sheikas dan krim siangnya bertindak dengan begitu cemerlang dalam melembabkan kulit sekaligus mencegah cela dan yang paling ajaib, tidak perlu memakai bedak dan foundation!
  4. Kekuatan diri pula perlu berfungsi 2 kali ganda lebih cergas dari biasa. Saya setia ditemani oleh multivitamin dari jenama Flavettes. Sekurang-kurangnya saya tidak perlu risau kerana tubuh badan dilengkapi dengan pengambilan vitamin dan garam galian meskipun seringkali gagal mematuhi waktu makan dengan teratur.
  5. Saya sentiasa berdoa agar perjalanan kehidupan saya disinari rahmat dan dipermudahkan dari segala segi oleh Tuhan Yang Maha Mengasihani.
  6. Kadangkala buntu dan kering idea juga untuk menulis blog. Saya turut mengelakkan dari menulis tentang perkara yang terlampau peribadi. Carian pengunjung ke atas blog saya banyak yang menjurus kepada 'penjagaan ahli keluarga yang sakit' dan juga perkara seharian tentang pengalaman wanita mengandung, menjalani pembedahan dan juga perkara-perkara umum tentang kehidupan. Saya menulis berdasarkan pengalaman sendiri dan secara jujurnya saya sendiri belum sempurna dalam melayari rumahtangga dan masih belajar untuk menjadi ibu yang paling mapan buat anak-anak. Saya sendiri sering tercari-cari rujukan dan pengalaman paling terbaik dalam menempuh penghidupan ini. Terima kasih buat insan-insan yang sentiasa di sisi saya terutamanya suami tersayang, Miss Lucy rakan saya yang paling understanding, ibu angkat yang saya panggil 'Mak' dan juga Dina, anak perempuan sulung saya yang matang dan setia menemani saya ke sana ke mari tak ubah seperti rakan karib sendiri.
  7. Sampai di sini dahulu coretan saya dan saya mengharapkan hari mendatang yang lebih menyinar, buat saya dan juga pembaca sekalian yang budiman. Semoga kita semua tergolong dalam insan-insan yang tabah menjalani kehidupan dan sentiasa positif minda dan diri. 

Thursday, 12 September 2013

Panduan membeli kediaman

Baru-baru ini REHDA (Persatuan pemaju perumahan) mengumumkan harga hartanah meningkat 10% sejajar dengan peningkatan harga minyak sebanyak RM0.20 di pasaran. Hmm... mahu berkata apa lagi? Kehidupan perlu diteruskan, minyak kereta perlu diisi dan rumah juga perlu dibeli. Saya berhasrat untuk membeli sebuah rumah lagi untuk dijadikan aset. Jom lihat apa ciri-ciri yang perlu jika ingin membeli rumah, saya senaraikan secara ringkas di sini...
  1. Sediakan deposit sekurang-kurangnya 10%. Persediaan deposit adalah proses utama sebelum membeli rumah. Jangan membeli rumah jika kamu tidak mampu sediakan deposit (jangan terpedaya dengan pinjaman 100% bank). Jutawan Irfan Khairy menyatakan 'jika belum mampu sediakan deposit maksudnya kamu belum layak membeli rumah'. Fikirkan.
  2. Sediakan juga wang lebihan. 10% sahaja tidak mencukupi. Jika rumah berharga RM200,000 bermakna kamu perlu sediakan RM20k untuk deposit. Kamu juga perlu ada lebihan wang secukupnya untuk duti setem, yuran guaman dan kos-kos sampingan yang lain. Jika rumah sudah siap pembinaan juga kamu memerlukan wang secukupnya untuk renovation, atau setidak-tidaknya memasang lampu/ kipas/ pendingin udara/ pasang grill sebelum berpindah masuk.
  3. Bersedia untuk proses yang panjang. Jika kamu membeli rumah dari pemaju perumahan, mereka memerlukan masa 2 tahun untuk siap pembinaan bermula dari tarikh perjanjian Jual Beli. Jika rumah 'high-rise' seperti pangsapuri memerlukan masa 3 tahun iaitu 36 bulan. Jika membeli dari tangan pemilik asal (rumah siap yang dibeli dari individu) kamu memerlukan masa antara 3 bulan ke 1 tahun (bergantung kepada prosedur) supaya proses pembelian lengkap sepenuhnya. Jangan anggap semua rumah prosesnya sama dan jangan menjadi 'ignorant' (angkuh). Saya mempunyai pengalaman pahit berhadapan dengan pemilik asal rumah yang angkuh dan ia mengajar saya untuk menjadi lebih berhati-hati.
  4. Keep up dengan bayaran ansuran bank. Membeli rumah memerlukan kamu menyediakan sejumlah wang yang besar untuk ansuran bulanan. Rumah berharga sekitar RM200,000 ke RM300,000 memerlukan kamu membayar RM1000 lebih sebulan. Anggaplah ia sebagai simpanan/ pelaburan kerana rumah adalah aset tetap yang merupakan hasil dari kamu berpenat lelah bekerja dan memperolehi pendapatan selama ini. Mulakan dengan sebuah rumah dahulu. Akan datang sekiranya kamu mempunyai sumber kewangan yang baik boleh membeli kediaman yang lain untuk dijadikan aset/ rumah sewa/ premis perniagaan dsb.

Wednesday, 11 September 2013

Perkara asas patut kamu tahu dan amalkan

Sangat-sangat penting.........
  1. Pertahanan diri (jika diserang)
  2. Perform CPR. (secara jujur, saya belum tahu dan arif mengenainya). Penting jika berlaku kecemasan.
  3. Memandu kereta manual dan auto.
  4. Merancang kehamilan
  5. Menjahit butang pakaian dan asas jahitan
  6. Perkara asas tentang kereta (mengisi minyak dsb. Saya sendiri tidak pandai pam tayar!)
  7. Tahu proses pinjaman Bank
  8. Membaca peta 
Kesihatan
  •  Mencuci luka dan bertindak jika ada kemalangan kecil
  • Tahu membantu jika ada kecemasan (menjerit sahaja tidak mencukupi)
  • berenang (seriously, I'm not good at it!)
Tanggungjawab diri......
  1. Masak makanan berkhasiat
  2. Melayari laman web untuk maklumat
  3. tahu mengendalikan komputer
  4. mahir mengemas rumah
  5. tidak takut keluar seorang diri
  6. pandai seterika pakaian
  7. tukar lampin
  8. membantu kerja sekolah anak
 Pengetahuan asas
  • Tahu nama pemerintah dan mengambil berat tentang isu semasa
  • tahu perkara asas cukai
  • belajar bahasa asing
  • membuat perancangan bercuti dan booking hotel
  • tahu cara dan proses membeli hartanah
  • asas kerja-kerja pertukangan rumah
  • Kerja-kerja 'DIY' (do-it-yourself seperti memasang perabot kecil)
  • faham tentang repair kereta  (untuk mengelakkan ditipu mekanik, contohnya)
These are basic rules as a new age girl! Tidak semestinya kamu mesti arif dan tahu semua mengenainya. Mungkin kita boleh memperbaiki apa yang kurang dan mula belajar sekiranya belum mahir. It's never too late to start anything. And don't just be a book smart, be also a street smart. Jadilah wanita yang ada 'nilai tambah' dalam diri dan tidak lemah selama-lamanya. 


Sunday, 8 September 2013

Usai majlis kenduri


Usai sudah kenduri kesyukuran saya merangkap 'house warming party' semalam. Ini kenduri ke2 yang kami adakan pada tahun ini selepas kenduri aqiqah anak bongsu pada bulan Januari. Setakat ini sudah beberapa kali menganjurkan makan-makan berskala besar, mungkin saya boleh kongsikan the do's and the dont's semasa mengadakan majlis-majlis sebegini...
  1. Elakkan memasang kanopi di luar rumah dan mengambil ruang di atas jalanraya. Ia akan mengganggu lalulintas dan menyukarkan penduduk sekitar untuk lalu lalang. Fikirkan sekiranya berlaku kecemasan di mana kereta bomba tidak boleh masuk ke kawasan terlibat kerana dihalang oleh balai dan khemah, malah lori mengangkut sampah juga sukar untuk menjalankan kerja-kerja mereka sekiranya jalan-jalan masuk ditutup di kawasan taman perumahanmu.
  2. Jika dahulu cara jemputan kita berbentuk tradisional (jemputan dari mulut ke mulut), kini cara berkomunikasi serba canggih dan undangan dibuat melalui facebook dan sms. Jika kamu menjemput jiran-jiran di sekitar perumahan, sediakan kad kecil yang menyatakan tarikh, masa dan tempat majlis diadakan kemudian masukkan ke dalam post box. Jika kamu ingin orang-orang tertentu hadir, jemput mereka secara kunjungan ke rumah atau melalui panggilan telefon. Mereka akan rasa lebih dihargai sebagai tetamu dan seboleh-bolehnya akan melapangkan masa untuk hadir ke majlismu.
  3. Estimate berapa orang jumlah tetamu kamu dan serahkan semuanya kepada pihak katering. Mereka amat berpengalaman menyediakan juadah berskala besar dan tahu menganggar sekiranya tetamu hadir lebih ramai dari biasa. (Sekiranya tetamu 300 orang, biasanya katerer akan menyediakan jumlah untuk 350 orang). Pilih juadah yang menambat hati tetamu (saya memilih juadah masakan kampung, dan seronok melihat tetamu makan bertambah). Sediakan juadah alternatif jika ada tetamu bangsa asing atau vegetarian. Tetamu berbangsa India tidak makan daging, maka sediakan ayam atau jenis-jenis makanan lain.
  4. Untuk tetamu pula, hormati masa yang ditetapkan oleh tuan rumah. Jika waktu ditetapkan lingkungan 12 tengahari sehingga 7 petang, don't show up at 10 o'clock. Melainkan jika kamu memberitahu lebih awal dan tuan rumah sempat bersedia menyambut kedatanganmu. Saya sedang melakukan final preparation dan makanan yang ditempah juga belum sampai sewaktu ada 2 kumpulan tetamu 'early birds' menjadikan suasana agak kelam-kabut seketika. Jika mereka memberitahu lebih dahulu atau sampai pada masa yang ditetapkan mungkin suasana akan lebih terkawal. Ia peringatan untuk saya juga. Perlu juadah alternatif seperti 'late breakfast' untuk tetamu-tetamu yang sampai awal. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan penganjuran majlis semalam. Yang pastinya, hati terasa lapang selepas mengadakan kenduri kesyukuran-jamuan akhir aidilfitri-harijadi anak semuanya bersekali, all in one.

Thursday, 5 September 2013

Guide to premium make-up

Semasa mula-mula mengenali mekap dahulu saya gemar memilih jenama 'Covergirl'. Namun jenama itu sudah tiada di pasaran Malaysia sekarang. Mengapa agaknya? Kemudian saya beralih kepada Maybelline dan Loreal.

Hanya apabila saya bekerja dan minat semakin bercambah, saya mula berjinak-jinak dengan jenama mekap premium. Mekap premium ialah 'high-end brand' yang dikenali di peringkat antarabangsa seperti Chanel, Kose, Anna Sui dan Elizabeth Arden. Bagi pengguna seperti saya, pembelian kosmetik sebegini begitu berbaloi kerana saya penjimat orangnya. Sebatang lipstik Lancome berharga RM80 tahan dipakai selama 1 tahun. Di bawah ini saya senaraikan jenama-jenama tertentu yang kamu boleh tinjau sebagai guideline semasa membeli mekap premium :-
  • Estee Lauder memiliki warna-warna mekap yang 'sweet' dan feminin. Amat berbaloi jika membeli 'make-up pallette' (koleksi gabungan mekap) dari kaunter kosmetik Estee Lauder.
  • Jika inginkan lipstik paling 'grand' dan menyerlah, pilih Dior Addict (Christian Dior).
  • Untuk asas pencucian wajah, Clinique memiliki rangkaian Pembersih, Penyegar dan Pelembab paling sempurna.
  • Untuk mekap paling semulajadi dan sesuai untuk orang Asia, pilih Shiseido.
  •  Untuk kulit bebas cela, boleh cuba 'Black soap' jenama Kose. Harga sekitar RM70 dan tahan sekitar 2 bulan.
  • Bedak compact selembut baldu dan memberi litupan sempurna saya syorkan Blanc Miracle dari Lancome.
Terdapat jenama-jenama lain yang turut gah di pasaran seperti MAC, Shu Uemura, Laura Mercier, Sephora dsb.Saya tiada komen tentang jenama-jenama sebegini kerana tiada pengalaman memakainya. Sesetengah jenama pula masih belum menembusi pasaran Melaka seperti MAC dan Sephora. Guerlain dan SKII juga 2 jenama hebat yang menawarkan koleksi mekap dan skincare paling bermutu. Melalui penyelidikan bertahun-tahun dan pengalaman pemasaran produk kecantikan yang terkenal sedunia, semestinya produk sebegini menawarkan kebaikan yang paling berguna buat penjagaan dirimu.

Saturday, 31 August 2013

Sekian lama tak update....

Apabila menjengah blog hari ini rupa-rupanya sudah hampir 3 minggu saya tidak 'update'. Kesibukan datang bertandang tak kira masa dan adakala idea untuk menulis pula tiada. Malah, setiap kali hendak mengetuk keyboard, anak-anak akan menjerit dan menangis minta perhatian. Memang mencabar menjadi ibu berkerjaya dengan 1 orang schoolgoing daughter dan 2 orang lagi anak kecil yang sedang melasak dan kian nakal. Dahulu saya bercadang ingin mengambil maid apabila mendapat anak ke3. Namun memikirkan pengasuh yang sangat penyayang saya 'maintain' saja keadaan yang ada dan bertungkus-lumus menyelesaikan tugasan pejabat dan rumah seharian.

Chanel mengatakan ibu-ibu sekarang adalah 'supermom' dan bukan lagi sibuk 24 jam, malahan 36 jam dengan 'demanding job and demanding children'. Sebenarnya wanita-wanita telah lama bekerja sejak tahun-tahun awal dahulu lagi namun kebanyakan mereka menyandang tugas 'women-friendly' seperti kerani dan setiausaha. Sedangkan wanita sekarang memegang jawatan 'managerial' dan 'decision-maker' yang bukan sedikit beban tugasnya malah tanggungjawab yang besar dipikul di bahu dan pundak. I'm always enjoy working dan tidak bercadang untuk berhenti. Teringat semasa saya bekerja di pejabat lama dahulu, terdapat seorang senior lawyer bernama Mdm Leela yang sebaya bapa saya namun masih gigih bekerja. Beliau mempunyai  anak lelaki tunggal yang kini bertugas sebagai pakar neurologi di London dan berkahwin dengan wanita Spanish. Mdm Leela seorang peguam pakar Undang-undang Buruh dan selalu mengendalikan kes-kes perhubungan perusahaan di Mahkamah Industri. Beliau bekerja kerana 'passion' dan bukan lagi 'to make end meets' setiap bulan.

Bersua kawan-kawan lama sepanjang bulan Syawal ini ramai yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi surirumah sepenuh masa. Paling tidakpun mereka bekerja dari rumah ataupun bekerja sambilan untuk mengisi masa lapang dan jawatan yang disandang dahulu sanggup dilepaskan. kebanyakan ibu-ibu mengambil keputusan berhenti kerja dan mengasuh anak-anak sendirian lebih-lebih lagi apabila kerjaya suami sudah stabil dan pendapatannya mampu menyara keluarga sepenuhnya. Malah kakak saya juga berhenti kerja selepas kelahiran cahayamata ke-4. Sebenarnya banyak 'adjustment' yang perlu dibuat apabila isteri mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan dan bergantung kepada 1 'income' sahaja iaitu sumber pendapatan suami. Zaman semakin mencabar dan kos hidup semakin tinggi. Anak-anak perlu dilatih supaya tidak membazir, belajar menabung dan jangan pula terpengaruh dengan gaya hidup orang berada. Masing-masing ada sebab dan alasan tersendiri mengapa perlu terus bekerja, atau berhenti, ataupun berhenti sementara membesarkan anak-anak dan kemudian sambung bekerja semula. Tepuk dada, tanya iman. Jika niatmu baik-baik dan berwaspada dalam segala hal, Inshaa Allah akan dipermudahkan Tuhan dan ditunjukkan jalan.

Monday, 5 August 2013

Kombinasi blusher dan highlighter

Blusher with highlighter
Blusher sebenarnya memberi kesan pembentukan pada wajah. Di samping itu, ia juga memberi kesan sihat kerana warna merah jambu/peach tersebut akan menaikkan seri pada pipi. Jika memilih blusher, cuba dapatkan jenis seperti di atas yang didatangkan bersama highlighter. Cara memakai blusher ialah dengan menggabungkan 2 warna yang lebih terang di atas (sebelah kanan). Kemudian, senyum dan kenalpasti 'buah pipi' kamu (apple of your cheeks). Sapukan secara membulat pada buah pipi tersebut. 

Untuk highlighter pula, gabungkan 2 warna yang lebih pudar di bawah (sebelah kiri). Sapukan pada Zon-T (sekitar dahi, hidung dan dagu). Ia akan menghasilkan kesan 3 dimensi (3-D effect) yang jauh lebih semulajadi daripada penggunaan 'shading'. Yang lebih menakjubkan. kamu juga boleh sapukan highlighter tersebut di bahagian hitam bawah mata (under eye bags) dan serta-merta kesan kelesuan bawah mata akan hilang dan wajah tampak lebih segar dan bertenaga. Ini adalah keajaiban mekap (make-up wonders) yang boleh membantu wajah yang biasa bertukar menjadi 'glamour'. Namun pemakaian hendaklah secara semulajadi dan jangan berlebihan. Sepatah kata Ms Jenny konsultan Shiseido, 'Gone are the days when people wear green and blue eyeshadows with heavy make-up. Today's people opt for natural'.

Menyediakan kanvas wajah

  1. Selepas mencuci wajah, pedap dengan penyegar (toner) untuk menghilangkan sisa cucian dan juga untuk melembutkan kulit muka.
  2. Sapukan pelembab (moisturiser)
  3. Sapukan krim perlindungan UV (krim tabir suria)
  4. Sapu foundation (bedak asas) di dahi, dagu, kedua belah pipi dan hidung. Ratakan.
  5. Sapukan bedak tabur (loose powder). Kini kanvas wajahmu siap tersedia untuk aplikasi mekap seterusnya.
  6. Concealer (penyamar noda) sebenarnya tidak perlu sekiranya kulit wajahmu sediakala sihat, melainkan jika kulitmu benar-benar tampak berbekas (parut cacar dsb). Jangan bersedih sekiranya litupan wajahmu kurang sempurna selepas memakai bedak asas kerana ia sebenarnya menunjukkan kamu seorang yang semulajadi. Neelofa mempunyai tahi lalat (mole) di bahagian pipi namun beliau tidak melindunginya sebaliknya menonjolkan sebagai aset. Sekiranya kamu ingin mendapatkan efek kulit sihat, terdapat produk yang boleh membantu seperti BB cream dan CC cream (colour correction). Tiada seorang pun daripada kita yang memiliki kulit terlalu mulus kerana kita kerap terdedah kepada matahari dan tekanan persekitaran termasuk perubahan semulajadi. For imperfections, are human.

Untuk meratakan bedak asas, boleh cuba berus aplikator seperti di atas. Ia menghasilkan kulit wajah sehalus porselin

Saturday, 3 August 2013

Ilmu mekap

Saya tidak pandai bermekap. Pemakaian seharian saya cukup dengan bedak kompak, celak mata berbentuk pensel dan lipstik berwarna pudar. Kesemuanya dari jenama Lancome.

Baru-baru ini saya sempat berguru dengan jurusolek profesional kosmetik Shiseido. Beliau mencadangkan saya menggunakan liquid eyeliner. Sungguh saya kekok menggunakannya tetapi selepas diajarkan cara memakai, wah, mata tiba-tiba bertukar menjadi bundar dan berbeza sekali. Namun untuk mendapatkan hasil yang memikat, kamu mesti mendapatkan keseluruhan set yang lengkap. Meskipun harga agak 'menangkap', saya sering menganggap pembelian alat-alat solek adalah satu pelaburan.

Liquid eyeliner memberi kesan lebih dramatik
untuk melentikkan bulu mata ke tahap maksimum
mascara asas (mascara base) menyuburkan setiap helaian bulu mata

Mascara untuk sentuhan akhir
Untuk entri yang akan datang saya bakal kongsikan cara pemakaian alat-alat solek lain seperti eyeshadow dan blusher untuk mendapatkan efek mekap laksana jurusolek profesional.

Friday, 26 July 2013

Inspirasi Morocco

Sempena Syawal yang bakal menjelang, tentunya ramai di kalangan kita yang mengimpikan hiasan dalaman baru. Bagi diriku yang memasuki kediaman baru, keinginan untuk menghias rumah pastinya ada. Namun di celah-celah kesibukan, kesuntukan masa dan lelah berpindah di bulan puasa yang masih berbaki, sepatutnya aku menghias dengan kadar minima sahaja. Tiba-tiba inspirasi Morocco begitu kuat menjentik perasaan. Gayanya ringkas, multirona, memikat dan yang paling penting, aku boleh menggunapakai perabot sedia ada dan hanya perlu menyuntik 'soft furnishing' sahaja.

Moroccan lamps elemen terpenting bagi menguatkan konsep



Morocco atau negara Maghribi meminjamkan penataan gaya yang begitu trendy sekarang. Ia seolah-olah konsep klasik ala Sinbad dan membolehkan kamu menggabungkan apa sahaja kemudian menjelmakannya menjadi ciptaan yang memikat. Sebagai contoh gaya ruang tamu yang ringkas sebegini :-

Gaya yang tampak lebih moden

Secara asasnya perabot dan jendela berkonsep biasa-biasa sahaja namun 'soft furnishing' seperti alas kusyen pelbagai warna menerbitkan elemen ceria. Jika ingin konsep Morocco yang lebih 'heavy', mungkin boleh merujuk kepada gaya di bawah -

Gaya lebih mewah
Antara elemen terpenting dalam menata gaya Morocco ialah penggunaan lampu gantung atau lantern yang menampilkan imej klasik. Kemasan dinding dan warna perabot dalam warna asas tanah (padang pasir) namun kelihatan berkilat dan keemasan. Hiasan tanam-tanaman boleh menjadi penambah gaya dengan konsep oasis. Bingkai gambar turut berimej klasik dan akhir sekali, jangan lupa selitkan 'soft furnishing' seperti alas bantal dan table runner dalam gabungan warna-warna yang pelbagai seperti merah, emas, biru firus dan oren bagi membiaskan hiasan dalaman paling unik dan berbeza dari apa yang pernah kamu lakukan sebelum ini.

Monday, 22 July 2013

Alhamdulillah....

  1. Alhamdulillah, puasa mencecah ke hari 14 Ramadhan. Nampaknya kurang lebih 2 minggu lagi takbir Raya akan berkumandang. Apa yang kita maknakan dalam Ramadhan kali ini? Hatiku sedikit tersentuh apabila kebanyakan 'commoners' (orang biasa) berhadapan dengan masalah kenaikan harga barangan. Ayam, makanan bermasak, barangan biskut dan kek, ikan dsb meningkat dengan mendadak seolah-olah terlalu sukar untuk dikawal. Bukan semua orang mampu mempersiapkan diri dengan kelengkapan-kelengkapan tertentu kerana tidak semua dari kita berasal dari golongan yang mewah. Namun, aku mengagumi mereka yang mengambil peluang berniaga di bulan Ramadhan. Semoga terus sukses. Harapnya minat berniaga tidak hanya meluap-luap pada bulan puasa sahaja sebaliknya wajar diteruskan setidak-tidaknya sebagai pendapatan sampingan di saat kos sara hidup semakin mencabar kini.
  2. Alhamdulillah, hits blog saya hampir mencecah 80,000 dan khabar ini amat menggembirakan saya yang 'low profile' ini. Mengapa tidak, percayakah kamu yang saya tiada 'facebook'? Mungkin kedengarannya agak ketinggalan namun saya mengenepikan kepentingan diri demi menjaga siqah. Saya tidak ingin sang suami curiga pabila rakan-rakan lelaki zaman silam menerobos masuk ke zaman kini dan mengganggu privacy saya. Saya juga amat merindu kawan-kawan perempuan saya (kaki bergossip semasa zaman bujang dahulu) namun selepas berumahtangga, saya bimbang media sosial disalahgunakan untuk menceritakan perihal kekecewaan dalam rumahtangga. Sebelum saya terlajak, lebih baik saya mengambil langkah preventif dahulu. Saya juga seorang ibu yang sibuk (multi-tasking mother) makanya saya tiada masa untuk membelek talian dan membalas mesej tanpa henti sehingga client sendiri complaint saya sukar sangat menjawab panggilan telefon!
  3. Alhamdulillah, Syawal kali ini disambut di kediaman baru. Saya baru sahaja berpindah (dalam bulan puasa) ke kediaman baru yang dibeli awal tahun ini. Pastinya Syawal akan disambut dengan lebih bermakna kerana semangat dan aura yang disuntik di kediaman baru menjadikan kita lebih teruja. Selain itu, Syawal kali ini akan disambut mengikut tradisi biasa di mana saya akan beraya di rumah orang tua di Melaka dan Mertua di Johor. Saya berpada-pada menyambut Syawal, saya tidak boleh terlalu girang kerana orang tua saya sudah terlalu uzur nampaknya. Oh, membaca nukilan Rosie Haslinda Nasir (editor In-trend) tentang kasih terhadap bapa menjadikan air mata saya bercucuran. Cantik dan indah garapan Rosie. Saya teringat-ingat baris terakhir ayat Rosie yang mengungkap 'saya bermimpi ayah mendukung dan mencium pipi semasa kecil'. Gantilah dunia ini dengan segunung emas, selimpah intan dan selautan permata tak akan sama dengan kenangan, kasih, sayang, nostalgia, rindu dan pengharapan seorang anak kepada ibu bapanya. Saya bukan lagi anak manja yang duduk di riba ibu tetapi di dalam jiwa saya sebenarnya ada 'anak kecil' yang terperangkap dan minta dibelai ibu sambil mengatakan 'semuanya akan baik-baik belaka'. Saya kini menumpang kasih kepada ibu angkat saya Puan Maznah Jumian, selepas ibu sendiri lumpuh terlantar dan kasih ibu mertua dirasakan terlalu mahal harganya.

Tuesday, 9 July 2013

Ihya Ramadhan

  • Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan yang penuh keberkatan buat semua pembaca Perihal Molek. Semoga Ramadhan kali ini akan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan dapat kita mengambil kesempatan daripada kemuliaannya untuk menambah ibadah masing-masing.
  • Doa ketabahan saya panjangkan buat sahabat se-universiti saya, Sy Farah bt Sy Abdullah yang baru sahaja kehilangan suami tersayang. Ya Allah, dalam usia yang masih lagi muda, suaminya (sahabat saya juga) telah dipanggil Ilahi dan meninggalkan balu serta anak-anak seramai 3 orang. Tak dapat saya bayangkan jika saya sendiri di tempatnya. Semoga dipinjamkan kekuatan yang maha hebat dan kecekalan yang cukup bermakna untuk menghadapi kehidupan di hari muka pada zaman yang serba mencabar ini. Ya Allah, sinarilah simpatiMu buat keluarga kecil ini, bantulah mereka, Ya Rabbul Alamin.
  • Saya berharap di bulan Ramadhan ini akan menghentikan kehidupan 'roller coaster ride' saya buat sementara waktu. Kadangkala lelah rasanya bila terpaksa out-station meninggalkan anak-anak saban pagi, dan adakalanya terpaksa berada di 3 negeri berbeza pada masa sehari (pagi di Melaka, tengahari di Seremban dan petang di Putrajaya). Saya ingin mengabdikan diri sebagai Hamba Allah Taala, di bulan mulia ini, bertadarrus, solat berjamaah dan menjalani tarawikh bersama keluarga saya. Saya ingin mempersiapkan diri untuk menghadapi Syawal dengan memastikan keperluan-keperluan lengkap tersedia. Banyak peranan yang terpaksa dijalankan, lebih-lebih lagi apabila Raya saya disambut tanpa rendang atau ketupat air tangan ibu.... Ibu hanya berbaring, dan mengalirkan airmata di pagi Syawal. Maka saya harus menjadi anak yang tabah, dan bukan lagi laksana anak-anak kecil yang gembira bermain bunga api, atau keliling kampung mengumpul duit raya. Saya kini dewasa, dan puas menyambut raya dengan sekadarnya dan seadanya.
  • Dan kehidupan juga tidak berhenti setakat Syawal. Ia laksana mengambil nafas sejenak, kerana selepas Syawal banyak lagi yang harus diperhatikan. Kerja-kerja harus berjalan seperti biasa, dan cuti raya nanti tidak bermakna saya harus melupakan tugas-tugas hakiki. Perancangan selepas raya harus digerakkan bermula dari sekarang. Penghujung tahun ini saya bercadang ingin memulakan perniagaan 'homestay'. Kejayaan arwah Sosilawati Lawiya (pengasas Nouvelle Visages) menjadi inspirasi. Khabarnya beliau senang-lenang dengan hasil rumah sewa sebanyak 50 buah dan empayar gergasi syarikat kecantikan. Saya juga ingin berjaya sepertinya... kerana tiada yang mustahil dengan izin-Nya, saya ingin berjaya dengan keazaman dan jihad yang tersendiri.

Monday, 1 July 2013

Bazaar, rujukan fesyen

Aku menggemari majalah Harper's Bazaar dan tak pernah ketinggalan memilikinya setiap bulan...

Bazaar's July

I'm not a superhot chic dan tidak pula memiliki designer's bags silih berganti di genggaman. Aku cuma gemar mengikuti perkembangan terbaru kosmetik di pasaran dan mengetahui teknik solekan terkini. Melaluinya juga aku mengetahui bahawa sesetengah fesyen tidak lagi mengikut peredaran zaman...

tie dyed fashion
Contohnya seperti 'tie dyed fashion' di atas di mana ia bukan lagi fesyen terkini. Melalui 'googles', aku mengetahui bahawa ia adalah spring fashion for 2010.


Aku hanya seorang muslimah yang menggemari 'sensible fashion' yang tidak terlalu trendy malah tidak pula konservatif. Aku gemar menjadikan Harper's Bazaar sebagai rujukan fesyen.


Contohnya dengan merujuk kepada helaian di atas (sila abaikan gadis berbaju hitam terdedah). Jika melihat model di sebelahnya, aku mengetahui bahawa menggabungkan blouse hitam dengan skirt biru adalah tidak canggung. And it's ok to mix and match blue with green (seperti model bawah sebelah kiri).

Aku bukan berorientasikan fesyen barat. Aku cuma menggabungkan idea kreatif dan mengolahnya semula menjadi fesyen peribadi yang sopan dan sesuai dipakai. Merujuk kepada majalah 'Hijabista' atau helaian fesyen-fesyen tempatan yang dilaungkan sebagai busana muslimah kononnya, amat mengecewakan. Baju-baju multirona disuai padan dengan begitu 'tasteless' dan seolah-olah ingin menjadikan pemakainya mangsa fesyen. Ingat, warna-warna terang dan 'menjerit' tidak sesuai digabungkan dengan sebegitu banyak sehingga pemakainya menjadi keliru. Cukup gabungan 3 atau 4 warna sahaja. Pemakaian tudung juga harus sensible. Tidak sesuai menggabungkan tocang, tussle, shawl dan kerongsang semua sekali di atas kepala. Cukup dengan pemakaian yang simple. Maka fokus boleh terarah kepada wajah yang disolek dengan tatarias paling semulajadi. Bagiku, tudung yang cantik dan ayu cukup untuk menyerlahkan siapa dirimu, seperti rekaan dan himpunan menarik dari koleksi tudung Ariani.

Thursday, 27 June 2013

My wishlists

Aku mengimpikan produk-produk ini dalam himpunanku sekarang...

Lancome milky cream cleanser
Susu pembersih di atas adalah winning product dari Lancome. Untuk kamu yang memakai mekap selama seharian, adalah perlu untuk mengangkat kekotoran dari wajah dengan sebersih-bersihnya. Oleh itu, penggunaan produk yang betul sangat penting kerana di samping menanggalkan mekap dengan berkesan, kulit wajah juga hendaklah dijaga supaya tidak kering. Sewaktu mencubanya saya dapat merasakan perbezaan di mana kulit kelihatan lebih cerah dan bersih selepas menggunakannya. Harga sekitar RM115.

Shiseido - brush for foundation
Memakai foundation (bedak asas) dengan meratakan menggunakan jari-jemari adalah memadai. Namun kamu harus berhati-hati kerana jika tidak mahir memakainya wajah akan kelihatan 'cakey' (bercapuk) dan tidak semulajadi. Untuk kesan memakai foundation laksana profesional, jurusolek mengesyorkan berus bedak asas seperti di atas. Helaian berusnya berbentuk condong, lantas memudahkan sapuan untuk kawasan-kawasan berlekuk seperti di sekitar hidung, pipi dan dagu. Harga sekitar RM90.

DKNY- so pure Rose
Jika kamu sedang mencari-cari perfum yang tidak 'overpowering', DKNY so pure di atas adalah jawapannya. Terdapat versi satu lagi yang berwarna putih, namun saya menggemari bauan mawar di atas. Pemakaian perfum pada waktu siang mestilah dengan cara yang betul, di mana haruman mesti berbau lembut dan tidak terlalu menarik perhatian. Secara asasnya, memandangkan kita bekerja pada waktu siang maka minyak wangi mestilah berbau neutral bagi menyerlahkan imej profesional. Manakala pada waktu malam kamu boleh memakai perfum yang lebih bersifat 'glamour and deep'. Harga sekitar RM385.

Sunday, 23 June 2013

Krim tabir suria


Adakah kamu mengabaikan kepentingan memakai krim tabir suria? Saya juga dahulu sering 'skip' memakai krim tabir suria (sunscreen). Sehinggalah saya diberitahu bahawa ia adalah satu elemen terpenting dan jika tidak memakainya akan mengakibatkan wajah menjadi kelam. Boleh jadi juga timbul masalah-masalah kritikal seperti berikut :-
  1. risiko kanser kulit
  2. kedut (wrinkles)
  3. selaran matahari (sunburn)
  4. penuaan pra-matang (premature aging)
  • Secara amnya, krim tabir suria dengan pelindung SPF 15 sudah memadai. Jika inginkan perlindungan tambahan, boleh juga menggunakan krim dengan perlindungan SPF 30 yang lebih berupaya menangkis sinaran UVA dan UVB.
  • Jika kamu bersukaria di pantai contohnya, gunakan krim tabir suria yang bersifat kalis air (water resistant) dan juga kalis peluh (sweat resistant). 
  • Jika kamu menjalani rawatan kecantikan seperti pengelupasan kulit (micropeel), memakai krim tabir suria amat digalakkan kerana kulit selepas rawatan adalah 'nipis' dan sensitif.
  • Sesetengah produk sunscreen bertindak melindungi kulit daripada terkena pancaran terus matahari (direct sunlight). Essential white base UV di atas digunakan sebelum memakai foundation dan ia memberi asas perlindungan yang amat baik pada kulit.
  • Secara amnya, krim tabir suria dipakai selepas mencuci wajah, memakai penyegar dan pelembab dengan mengaplikasi pada wajah dan leher. Jangan menganggap memakai sunscreen sesuatu yang remeh kerana ia adalah asas penjagaan dan pelindung terbaik untuk kulitmu.



Saturday, 15 June 2013

Shiseido Aura Veil

Jika kamu sedang mencari-cari set kemasan diri sempena Syawal yang bakal menjelang nanti, saya menyarankan Sheseido Aura Veil Set yang mengandungi himpunan ini...

Aura Veil Set
Set yang dihimpunkan dalam kemasan kotak berwarna emas ini mengandungi minyak wangi Maquiilage, bedak kompak dan juga gincu bibir 3 serangkai.


Harumannya lembut dan manis serta tidak terlalu 'menyengat' seperti sesetengah wangian. Manakala lisptik berbentuk 3 petak seperti di atas memungkinkan kamu memilih warna-warna bersesuaian untuk dipadankan dengan busana kegemaran. Bedak kompak di atas kelihatan berwarna-warni namun sebaik sahaja ia disentuhkan ke wajah akan menghasilkan tona semulajadi dan bebas kilatan. Bedak kompak tersebut sesuai untuk dibawa berpergian dan untuk 'touch up' bila mana wajahmu memerlukan sentuhan semula. Ayuh cari kosmetik sempena Syawalmu sekarang kerana jika terlewat mungkin tidak sempat memilih yang paling sesuai akibat kesibukan membuat persiapan!



Tuesday, 11 June 2013

Rahsia stem cells

Tahukah kamu tentang kebaikan stem cells? Terdapat produk-produk kecantikan di pasaran sekarang yang memanfaatkan kebaikan stem cells. Kebaikan yang terdapat di dalam produk tersebut ialah keupayaannya untuk meremajakan kulit.

Semakin kita meningkat usia, kulit semakin kurang keupayaan untuk membina sel-sel baru. Oleh yang demikian, kulit akan kelihatan kurang bermaya dan kelihatan lebih tua. Dengan menggunakan produk yang mengandungi stem cells, kulitmu akan dirangsang untuk menghasilkan sel-sel baru dan membantu wajah kelihatan lebih muda. Antara kebaikannya adalah seperti berikut :-
  • kulit wajah akan menjadi lebih lembab (kulit lembab akan mengelakkan muncul kedut dan garis halus).
  • kulit akan menjadi lebih elastik (cekang).
  • memperbaiki tona dan kecerahan kulit
  • wajah tampak lebih muda
  • kerosakan kulit dibaikpulih dan menjadikan kulit lebih cantik dan halus
  • kerut sekitar mata dan bibir berkurangan
  • membaiki kerosakan kulit akibat pancaran matahari.
Secara amnya, kulit akan mengalami proses regenerasi sekitar 28 hari. Setiap kali tempoh tersebut, sel-sel kulit mati akan terlerai dari permukaan kulit dan digantikan dengan sel-sel kulit yang baru. Dengan menggunakan produk berasaskan stem cells, sel-sel kulit yang lama akan disingkirkan dengan galak bagi memberi peluang kulit baru muncul ke permukaan dengan kesan yang lebih cerah dan segar. Stem cells juga membantu menyihatkan wajah secara menguatkan perlindungan kulit, mempertahankan dari tekanan akibat cuaca dan persekitaran serta membantu wajah lebih sihat dan muda. Terdapat banyak produk yang kamu boleh tinjau di pasaran di mana ia memanfaatkan sepenuhnya kebaikan stem cells ini. Selamat mencuba! 

Prima Oligo Growth Factor (Stem cells) facial spray



Friday, 7 June 2013

Shiseido yang semulajadi

Shiseido adalah produk kecantikan yang tidak perlu diperkenalkan lagi di pasaran. Kenangan saya bersama Shiseido ialah ia kosmetik yang digunakan semasa hari pernikahan dan persandingan lewat 10 tahun dahulu. Benar, ia produk kosmetik pilihan jurusolek dan penata rias mempelai. Semasa di asrama dahulu, seorang rakan berkulit mulus hasil menggunakan Shiseido semenjak dari usia remaja lagi. Shiseido adalah produk terbilang dari negara matahari terbit Jepun. Semasa loji nuklear di Jepun meledak sekitar 2 tahun dahulu, saya sedikit terkesan. Saya memang agak paranoid orangnya. Saya bimbang menggunakan produk kosmetik Jepun kerana gusarkan ia terkena pancaran radioaktif. Namun kini, saya mengerti sendiri bahawa kegusaran saya tidak berasas langsung.

Shiseido maquillage- loose powder
Baru-baru ini saya mencari bedak tabur (loose powder) paling semulajadi dan mudah sahaja tertawan dengan Shiseido Maquiilage. Untuk kamu yang menggemari solekan semulajadi terutama pada waktu siang dan tidak mahu wajah kelihatan 'bertopeng', Shiseido Maquiilage loose powder adalah jawapan paling mutlak. Namun jika menginginkan wajah lebih glamour, kemas dan mulus - boleh sahaja gandingkannya dengan bedak asas dan concealer sebelum menyapu bedak tabur. 

Shiseido - lipstik
Jika ingin lari dari kebiasaan memakai lipstik konvensional (jenis stick) kamu boleh juga mencuba lip shine dari Shiseido di atas. Ia mempunyai berus applicator untuk memudahkan sapuan, hanya ratakan di atas bibir kemudian pedap kedua-dua ulas bibir untuk menghasilkan warna yang sekata. Lipstik di atas mempunyai bentuk seperti berikut:-


Walaupun ia kelihatan rumit, namun sebenarnya ia mudah dipakai dan kelihatan semulajadi di bibir. Kamu boleh memakainya tanpa lip gloss kerana ia memiliki kesan kilauan dan menjadikan bibir kekal lembab dan tidak kekeringan. Bagi saya, kedua-dua gandingan produk di atas adalah sesuai untuk pemakaian asas dan ringan pada waktu siang. Ia juga amat sesuai buat kamu yang menggemari aplikasi semulajadi semasa bersolek dan tidak gemar memakai kosmetik yang tebal dan garang.

Mengawal bad mood

Entah kenapa, hari ini terasa bad mood pula! Lumrah orang perempuan, setiap kali 'teman baik' datang bertandang setiap bulan, mulalah terasa diri di awang-awangan dan gagal berpijak di bumi nyata. Resah, mudah terasa, gagal mengawal emosi dan seribu satu macam lagi kekalutan melanda diri. Alangkah baik jika perasaan pelik ini dapat diminimakan....
  • Kenalpasti masalah yang menyebabkan mood 'pecah' dan gagal dikawal. Sebaik-baiknya tuliskan di atas kertas supaya mindamu terasa lapang dan elakkan dari terus mengingati perkara tersebut.
  • Lakukan kerja-kerja yang bersifat mekanikal. Pelik, bukan? Tetapi satu artikel berbahasa Inggeris yang saya baca mencadangkan sedemikian. Siapkan kerja-kerjamu kerana sebaik-sahaja kamu habis menyiapkan kerja, mindamu akan berasa lapang dan rasa marah akan hilang (ini nasihat yang baik kerana ia mengajar kita memberi fokus dan menyalurkan rasa marah kepada sesuatu perkara yang berguna)
  • Keluar shopping bukanlah satu terapi yang baik semasa marah dan bad mood. Begitu juga dengan makan untuk menghilangkan tension kerana kamu akan mengakhirinya secara makan berlebihan. Jika shopping pula, kamu akan cenderung untuk membazir atau membeli barang tidak perlu semasa marah dan bad mood.
  • Telefon atau bercakap dengan kawan atau adik-beradik perempuanmu. Beritahu mereka tentang masalahmu, sekurang-kurangnya kamu dapat berkongsi dan mengelakkan dari memendam perasaan. Tukar situasi semasa kamu marah - contohnya pergi minum di cafe atau berjalan-jalan di taman atau bersiar-siar menaiki kereta. Tukar lokasi dan suasanamu kepada yang lebih positif.
  • Dengar lagu kegemaranmu. 
  • Fikirkan juga masalahmu dari sudut pandang orang lain - dengar nasihat atau pandangan yang berbeza. Jika perlu, tukar cara dan persepsi kamu dalam menangani satu-satu permasalahan. Jangan sampai kemarahanmu menjejaskan hubungan baik dengan seseorang yang sedia lama terjalin.
  • Bersenam. Kamu boleh berjalan pantas (brisk walk), jogging dan melakukan pergerakan badan selainnya kerana peredaran adrenaline di dalam tubuh badan akan merangsang mood baru yang lebih baik.
  • Lakukan sesuatu yang menggembirakanmu dan dapat melarikan diri dari tekanan minda. Melukis, menjahit, makan coklat, bersembang dengan orang yang lebih tua atau bergurau dengan kanak-kanak. Fikirkan perkara-perkara indah yang melingkari hidupmu selama ini. Senyum! Dan fikirkanlah perkara-perkara gembira untuk mendepani hari depan dengan lebih tenang dan menyenangkan.

Friday, 24 May 2013

My latest obsessions

Berikut adalah penemuan terbaru saya dalam rutin jagaan diri;

Losyen - Farmasi Color Cosmetics

Ini produk pertama yang saya gunakan dari rangkaian Farmasi Color Cosmetics. Produknya halal dan berasal dari negara Turki. Untuk kamu yang mencari-cari produk penjagaan diri yang tidak diragui kandungannya, boleh saja gunakan losyen FCC ini untuk seluruh badan dan tangan. Bau haruman berrinya memikat, lembut dan tidak melekit. Terdapat juga dalam haruman aprikot. Ingin menambah wang saku? FCC juga menawarkan perniagaan untuk jualan produk-produk mereka yang merangkumi alat kosmetik, barangan penjagaan diri dan haruman.

Body Shop - White Musk
Sejak sekian lama saya melupakan designer perfums seperti Estee Lauder, Elizabeth Arden dan Clinique. Saya ragu-ragu terhadap bahan-bahan kandungan perfumnya (khabarnya mengandungi 'lard' - lemak babi bagi merangsang wangiannya tahan lama). Sejak itu saya beralih kepada haruman The Body Shop. Saya memilih White Musk di atas kerana ia juga adalah haruman mengikut sunnah. Tahukah kamu bahawa musk (kesturi) boleh mencegah ilmu pukau? Dikatakan sihir dan pukau tidak boleh meresap kepada pemakai haruman kesturi. The Body Shop juga sebagaimana yang kita tahu sejak sekian lama memperjuangkan 'No cruelty against animals' dan mengamalkan kempen kitar semula dan lestari alam semulajadi.

Bioessence miracle water

Bioessence baru-baru ini memperkenalkan produk miracle water dalam bentuk semburan. Mudah digunakan, cuma semburkan pada bahagian tubuh yang memerlukan. Jika rambut tidak terurus, boleh saja spray miracle water ini dan sikat seperti biasa. Jika wajah kelesuan dan menginginkan 'pick me up', semburkan miracle water pada muka dan serta-merta kamu akan merasa segar. Saya juga tertarik bila mana spray ini boleh bertindak mengurangkan kesan sembab bawah mata dan lingkaran mata hitam. Selain itu, ia juga selamat digunakan pada bayi untuk meredakan kesan kerengsaan kulit dan kemerahan akibat ruam lampin.

Wednesday, 22 May 2013

Bipolar, atau gangguan ghaib?

Saya melihat perilaku-perilaku ini wujud dalam dirinya;
  1. Terdapat sesetengah masa di mana ia kelihatan begitu bertenaga dan kreatif,
  2. Nampak produktif, namun tidak berpanjangan. Kerja-kerja bersifat sementara sahaja kerana gagal menyempurnakan tugasan (incomplete task),
  3. Mengalami kemurungan (depression), masalah tidur, gangguan terhadap selera makan dan sukar memberi tumpuan,
  4. Mood swing, menyakitkan hati orang (irritating others) dan bermasalah dalam satu-satu perhubungan,
  5. Bercakap tanpa berhenti, komunikasi sehala sahaja dan bertukar-tukar topik perbualan (jump the conversation),
  6. Bermasalah di tempat kerja berpunca daripada kebanyakan masalah di atas (tiada tumpuan, gagal menyempurnakan tugasan, mood swing etc.). Turut bersikap ego.
  7. Mempunyai idea-idea besar, kadangkala tidak logik. Tiba-tiba membelanjakan wang tanpa memikirkan akibat dan kerugian. Melakukan sesuatu yang jarang dilakukan oleh orang yang normal.
  8. Gagal mengawal fungsi tidur. Walaupun telah tidur lama dan berpanjangan, tapi tetap mengantuk. Di waktu yang lain, walaupun tidak cukup tidur tapi tetap bertenaga,
  9. Gagal mengawal fikiran, berkemungkinan minda mereka berputar terlalu laju sehingga sukar dikawal. Ada kaitan dengan perbualan tanpa berhenti di atas ( perenggan no. 5).
  • Jika gangguan bipolar, maka perlukah berjumpa pengamal tradisional atau bomoh? Telah banyak bomoh yang dijumpa dan mengaitkan dengan gangguan saka. Telah puas menghanyutkan botol dari anak sungai lepas ke laut... namun masih belum sembuh-sembuh.
  • Perlukah juga bertemu ustaz? Saya setuju jika ayat-ayat Quran yang digunakan kerana ia memang bersifat penyembuh (shifaa'). Namun ustaz kerap kali juga mengaitkan gangguan perasaan dengan sihir dan jin atau syaitan. Rasanya sudah kerap juga berjumpa ustaz dan orang alim yang bijak pandai. Namun masalah tetap berlaku dan orang yang mengalaminya tiada tanda-tanda akan pulih.
  • Jika ingin menjahit baju, hantarkanlah pada tukang jahit. Jika sepatumu koyak, hantarkanlah pada si tukang kasut. Jika mengalami gangguan perasaan dan bipolar disorder, berjumpalah dengan pakar jiwa. Gangguan-gangguan perasaan yang saya sebutkan dari no. 1 hingga 9 di atas adalah hasil kajian pakar jiwa. Jika mereka mengkaji punca, mungkin mereka ada penyelesaiannya. Bomoh dan ustaz tidak mengkaji masalah mood dan tidak ada latarbelakang perubatan jika seseorang mengalami ketidakseimbangan hormon atau bahan kimia di dalam otak. Jika kita inginkan ubat, kita akan pergi kepada penjual ubat kerana ubat ada di dalam kotak. Kita tidak pergi kepada penjual buah kerana bukan ubat yang dijualnya, tapi buah di dalam kotak. Ini sekadar metafora, kerana yang saya ingin tekankan ialah TO MEET THE RIGHTFUL PERSON. 

Friday, 10 May 2013

Rawatan 'fruit acid' untuk wajah

Baru-baru ini saya berkesempatan untuk mencuba kaedah 'fruit acid treatment'. Ia merupakan perawatan untuk mencegah penuaan kulit, membaiki kerosakan kulit akibat pendedahan matahari dan juga membaikpulih kesan cela pada wajah secara keseluruhannya.

Rawatan 'fruit acid' akan membersihkan sel-sel kulit mati di permukaan wajah sekaligus menjadikan wajah kelihatan lebih cerah. Semasa rawatan, jangan terkejut kerana ia akan menyebabkan rasa 'menggigit' pada kulit menandakan bahan tersebut sedang bertindakbalas. Ia bersifat sementara sahaja kerana selepas itu kulitmu akan lebih bersedia untuk menghasilkan sel-sel yang baru supaya wajahmu nampak lebih sihat dan bermaya. 

Jika kulitmu sensitif, keesokan harinya mungkin wajahmu akan kemerahan. Gunakan krim tabir suria untuk mengelakkan pendedahan kepada matahari secara berterusan. Kamu akan mendapati kulitmu kelihatan semakin baik selepas perawatan ini. Namun, untuk mendapatkan hasil yang memuaskan, beberapa siri rawatan adalah diperlukan bagi membaiki kulit secara konsisten.


Sunday, 10 February 2013

Gemilang usia 30-an

Apa yang boleh kamu jangkakan di usia 30-an? Berbeza dengan usia 20-an, kamu mungkin memikul lebih banyak tanggungjawab dan perlu menunjukkan sisi diri yang lebih dewasa. Mari saya senaraikan di sini apakah perkara-perkara yang akan kamu tempuhi di usia gemilang ini....
  • Kamu kelihatan cantik dalam definisi yang tersendiri - Jangan bandingkan diri kamu dengan gadis usia 20-an. Kamu sebenarnya cantik dalam definisi yang tersendiri di usia 30-an. Kamu lebih berkeyakinan, lebih matang, lebih pandai menjaga hati orang-orang di sekelilingmu dan lebih berkarisma serta anggun.
  • Sesuatu akan berlaku yang merubah lanskap hidupmu - Kamu mungkin telah berkahwin dan membina keluarga pada masa ini, mungkin juga bertukar karier yang lebih menggembirakan hatimu. Kamu mungkin berpindah ke negeri lain dan membeli hartanah, kamu mungkin mempelajari sesuatu dalam hidup yang memberi pulangan besar dalam hidupmu. Sesuatu akan berlaku, mungkin positif atau negatif - dan ia akan meninggalkan kesan dan impak dalam hidupmu.
  • Belajar tentang isu-isu besar - Lelaki dan wanita dalam usia 30-an berhenti berfikir pekara-perkara remeh dan mula berfikir tentang isu besar. Jika semasa remaja dahulu kamu sanggup tidak keluar rumah kerana malu ditumbuhi jerawat, namun di usia 30-an kamu akan sedar bahawa banyak isu-isu besar yang memerlukan kamu berfikir secara matang dan dewasa. Kamu mungkin perlu memikirkan isu tentang keluarga, hidup bermasyarakat, bersikap kritis pada isu-isu melibatkan pemerintahan negara malah perlu juga memikirkan hal-hal melibatkan ekonomi semasa. Di usia 30-an kamu akan memandang sesuatu perkara dalam konteks yang lebih besar dan tidak lagi mementingkan diri sendiri sahaja.
  • Lebih mementingkan kualiti diri - Banyak perkara yang akan berlaku di usia 30-an. Antaranya mempraktikkan ilmu keibubapaan, mengalami kenaikan pangkat, menubuhkan perniagaan, melihat rakan sekeliling dan saudara maramu berumahtangga.... Kamu lebih melihat sesuatu itu dari segi kualiti diri dan bukan setakat luaran sahaja. Dari segi perhubungan, kamu akan lebih menghargai 'emotional bonding' dan bukan setakat hubungan luaran sahaja. Boleh dikatakan, usia 30-an adalah zaman gemilang dalam hidupmu kerana kamu dipenuhi dengan idea-idea yang bernas dan tubuh badan pula sedang cergas dan sihat untuk melaksanakannya. Hargailah usiamu di kala ini dan penuhi ia dengan faedah dan manfaat, jangan biarkan ia berlalu dengan begitu sahaja....

Wednesday, 9 January 2013

2012 dan kenangan

Selamat datang tahun baru 2013 meski saya 10 hari terlewat. Hadirnya tahun baru bererti usia menginjak setingkat lagi. Namun kaum wanita sekalian tak perlu bimbang kerana perhargaan kepada diri bukan setakat paras rupa dan usia muda sahaja. Wanita sekarang amat dipandang tinggi berdasarkan pencapaian, kerja keras, kematangan, pengalaman dan jati diri.
 
 
Untuk diri sendiri, saya bersyukur kerana 2012 berlalu dengan memuaskan. Beberapa perancangan-perancangan yang diatur berjaya dicapai dengan baik dan perancangan-perancangan akan datang pula harap dapat digapai pada 2013 ini. Begitulah. Kehidupan tidak menjanjikan sesuatu yang terlampau pasti melainkan kita sendiri bangkit dan mencorakkan masa depan kita. Seperti yang saya tekankan, perempuan sekarang jauh beruntung kerana memiliki kerjaya, buah fikiran, pendapatan, boleh memilih dan juga mampu membuat keputusan. Kita tidak hanya duduk berserah dan berangan-angan tanpa dapat memenuhi impian dan hajat kita sendiri. Percayalah, pengalaman dan kematangan jauh menjadikan kita cantik. Ketenangan diri seorang wanita pula ibarat sebuah pulau bahagia untuk keluarga dan anak-anak kita menumpang teduh dan damai.
 
 
Kata orang, wanita mencari-cari tapak dan kerjaya pada usia 20-an selepas tamat pengajian. 30-an pula masa untuk stabil dalam kerjaya dan membina keluarga. 40-an pula adalah masa untuk menikmati buah kejayaan (enjoy the fruit of success). Ia adalah suatu perjalanan yang panjang tanpa henti dan adakalanya lelah mendepani masalah hidup. Tiada kehidupan tanpa cabaran, maka kamu harus tabah dan sentiasa kuat. Bina karakter dirimu, tegaslah dengan prinsip dan pegangan diri dan pastikan kamu tahu apa yang kamu inginkan dalam hidup. Nikmati kehidupan ini sepuasnya namun dalam masa yang sama, jangan lupa bekalan ke akhirat. Semoga kita sama-sama akan memperbaiki diri dan meniti hari-hari di tahun baru ini dengan lebih bermakna.