Pembaca Molek

Wednesday, 22 February 2012

Fakta tentang kultur hidup

Sinar Harian edisi semalam (21/2/12) membuat liputan tentang fakta halal pemakanan. Antara 'shocking facts' yang memeranjatkan diri ini ialah tentang derivatif kultur hidup (life culture). Kultur hidup ialah bakteria baik yang merupakan kandungan di dalam yoghurt.

Saya, terutamanya amat menggemari yoghurt. Kadangkala akibat muak meminum susu putih, saya sering mengambil yoghurt sebagai alternatif sumber kalsium. Yoghurt jenama 'Nutrigen' pilihan saya kerana mempunyai perasa tambahan seperti green tea dan blueberry. Ia sangat membantu penghadaman, dan diakui sebagai salah satu jenis makanan sihat.

Namun tahukah kamu sumber kultur hidup yang terdapat di dalam yoghurt berpunca daripada najis bayi? Kultur hidup itu ialah bakteria baik yang membantu penghadaman dan mengekalkan kesihatan usus. Bakteria baik disaring daripada najis bayi (baby's stool) dan dibiakkan untuk mendapat pre-biotics yang seterusnya digunakan sebagai bahan pemangkin di dalam yoghurt. Hukumnya harus kerana penghasilan produk pemakanan tersebut telah melalui proses penyucian. Majlis fatwa juga telah mengesahkan yang ia halal dimakan.

Selepas mengetahui 'hard facts' ini, saya sedikit terkilan. Lebih baik jika saya tidak mengetahuinya langsung. Sukar untuk saya menikmati yoghurt sepuasnya tanpa fikiran saya menerawang memikirkan punca ia dihasilkan. Mungkin suatu hari nanti saya dapat melupakan fakta ini, dan kembali mendakap yoghurt sebagai makanan kesihatan dan kegemaran.



Tuesday, 21 February 2012

Coretan buat mama

Aku sering teringat waktu ku kecil dahulu. Pulang dari sekolah rendah, aku akan duduk di rumah sekitar 1-2 jam sebelum ke sekolah agama pada sebelah petangnya. Paling ku ingat, ibu akan mandi di bilik air menjelang waktu Zohor. Sambil mandi, dia akan membasuh baju. Belum ada mesin basuh, maka ibu akan mencuci dengan tangan.  Bila ibu membasuh telekung, dia akan merendam bilasan terakhir dengan daun nilam. Wangi.

Usia 13 tahun, aku menjejakkan kaki ke asrama penuh. Lima tahun ku mengisi zaman remaja, jauh dari ibu. Tiada lagi sela masa 1-2 jam sebelum pergi ke kelas petang. Tiada lagi ku melihat kelibat ibu mengangkat baldi ke bilik air. Namun aku sentiasa mengingati rutin ibu. Aku akan teringat dia di bilik air, mencuci baju, mengambil air sembahyang. Dan aku terpandang-pandang dia membasuh telekung, dan meramas daun nilam pada bilasan terakhir.

Aku akan sentiasa mengingati harum daun nilam, dan merindui kelibat ibu. Namun masa bukan di sisi ku lagi. Langkahku laju meninggalkan ibu dengan rutin hariannya. Aku tamat persekolahan menengah, menjejaki matrikulasi, tamat pengajian fakulti, chambering dan bekerja. Aku berumahtangga dan memiliki keluarga sendiri. Aku sedar masa yang lalu itu tak mungkin berulang lagi, namun ia nostalgia yang terlalu manis untuk dikenang.

Kini ibu lumpuh selepas sarafnya terjejas, angkara jatuh pada suatu dinihari. Aku melihat kesihatannya merosot hari demi hari. Tangan yang mengerekot itu pernah menyuap makan ku dahulu. Tubuh yang kurus kering itu lelah menjaga sakit pening ketika kecil ku. Ibu lemah tidak bermaya. Namun setiap kali ku kucup ibu, aku dapat menghidu harum itu. Harum daun nilam, lambang perkasihanku pada ibu. Aku ingin ibu tahu kasihku padanya akan harum mewangi sampai bila-bila.
Nilam (patchouli)



Friday, 17 February 2012

Semburan penyegar wajah

Semburan penyegar wajah (facial hydrating mist) bukanlah rutin yang paling asas dalam penjagaan kecantikan. Seperti yang kita ketahui, rutin yang asas merangkumi langkah membersih-menyegar dan melembab. Namun, tidak salah jika kamu mencuba kerana ia sangat convenient (mudah) untuk diamalkan dan memberi kesan segar pada wajah yang lesu seharian.
Bioglo Facial mist - dari Cosway


Berikut adalah beberapa cara bagi mengaplikasikan 'Facial hydrating mist':-
  • Ia boleh membantu krim pelembab yang kamu gunakan menyerap khasiat dengan lebih optimum. Sebelum menyapu krim pada wajah, semburkan dahulu facial mist secukupnya ke arah muka. Facial mist sangat semulajadi kerana ia terhasil daripada daripada 'spring water', air laut dalam atau pun air terawat yang telah dimurnikan.
  • Facial mist boleh membantu menghidratkan wajah yang kekeringan. Terutamanya jika kamu terdedah kepada suhu penghawa dingin, ataupun wajah menjadi lesu kerana berada berjam-jam dalam perjalanan dan penerbangan. Semburkan facial hydrating mist untuk mendapat kesan segar dengan kadar segera.
  • Membantu mengekalkan mekap. Selepas kamu mengenakan tatarias wajah seperti bedak kompak, pembayang mata dan pemerah pipi, semburkan sedikit facial mist untuk mengekalkan mekap pada kadar lebih lama. Kamu akan lebih berpuas hati kerana facial mist memberi kesan 'dewy' (berseri) pada wajah.
  • Facial mist boleh meredakan kerengsaan wajah. Jika kamu berasa wajah tidak selesa, semburkan facial mist untuk memberi kesan kelegaan pada kulit. Ia membantu memperbaiki kulit wajah yang kemerahan, meruam dan gatal-gatal. Namun, sesetengah orang mungkin sensitif dengan kandungan yang terdapat dalam facial hydrating mist. Secara asasnya, ia adalah produk yang disyorkan oleh pakar dermatologi dan selamat untuk digunakan.

Sunday, 5 February 2012

Atasi mabuk hamil

Cabaran yang paling besar untuk wanita masa kini ialah ingin membina keluarga dan dalam masa yang sama, tidak mahu ketinggalan untuk mendaki tangga kejayaan. Sebenarnya, tiada apa yang mustahil untuk digapai di dalam dunia ini, namun semangat mesti kental dan kuat. Antara salah satu cabaran wanita yang harus ditempuhi ialah mabuk hamil, namun dalam masa yang sama harus pula bekerja seperti biasa.
  1. Jauhi makanan yang boleh menyebabkan 'morning sickness' dan mual. Kenal pasti makanan yang mudah membuatkan kamu loya dan jauhi makanan tersebut buat sementara waktu. Ada wanita hamil yang mual terhadap makanan bertumis, pedas atau bergoreng. Makan makanan yang kamu selesa, dan jika tidak selera makan, cukup dengan mengambil kuantiti sedikit sahaja.
  2. Mengunyah kudapan juga boleh membantu mengurangkan mabuk hamil. Namun jangan makan kudapan yang tidak berkhasiat, terutamanya jeruk. Antara kudapan (snack) yang boleh diamalkan ialah biskut kraker, buah-buahan kering seperti kismis, prun dan aprikot atau kekacang seperti kacang kuda. 
  3. Minum dengan kerap boleh membantu meredakan mabuk hamil. Jika berasa pening, minuman seperti teh halia boleh membuang angin dan memberi kelegaan. Minuman lain yang elok untuk diamalkan ialah susu (terutama susu untuk ibu hamil), minuman malt (horlicks) atau ribena (mengandungi vitamin C).
  4. Jika berasa lesu (fatigue) sepanjang kehamilan, pastikan mengambil diet makanan yang tinggi kandungan iron (zat besi). Antara pemakanan yang elok untuk diamalkan ialah daging, ayam, makanan laut, sayuran hijau, bijirin dan kekacang.
  5. Jangan bekerja berterus-terusan kerana keadaan kamu yang hamil memerlukanmu banyak berehat. Berhenti pada selang masa tertentu dan buat pergerakan kaki dan badan supaya pengaliran darah berjalan lancar dan menghilangkan kelesuan. Untuk menambah kuantiti masa rehat, berhenti melakukan aktiviti tertentu, contohnya jika shopping di luar menjadikan kamu penat, gantikan dengan melakukan 'shopping online'. Kamu juga boleh mengupah orang mengemas rumah dan membersihkan halaman jika kesihatanmu terjejas andai melakukannya sendiri.
  6. Tidur awal sangat baik untuk kesihatan ibu dan kandungan. Tidurlah dengan aman supaya kamu dapat mendepani hari esok dengan lebih bertenaga dan bersemangat. Mengandung bukanlah alasan untuk kita menjadi tidak produktif. Bekerjalah dengan tenang dan tanamkan sifat-sifat yang positif dalam diri. Ibu yang cergas dan gembira InsyaAllah akan melahirkan bayi yang sihat dan riang.