Pembaca Molek

Thursday, 4 August 2011

Khasiat minyak pokok teh

Minyak pokok teh (tea tree oil) telah digunakan sejak berabad lampau oleh kaum aborigines (orang Asal) Australia untuk pelbagai jenis kegunaan dan rawatan. Tea tree oil diperolehi dengan cara mengewap daun pokok teh dan kemudian diperah untuk mengekstrak minyaknya yang berwarna kekuningan. Tea tree oil mampu merawat pelbagai jangkitan kerana fungsinya yang mencegah kulat, virus dan juga bakteria.

  1. Tea tree oil boleh merawat akne
  2. Berkesan merawat jangkitan kulat kuku (toenail fungus). Titiskan tea tree oil secara terus kepada kuku yang terkena jangkitan sebanyak sekali sehari. Ulang hingga sembuh
  3. Boleh mencegah bau mulut. Caranya, dengan menitiskan tea tree oil kepada ubat gigi dan berus gigi seperti biasa
  4. Selsema/ resdung. Penuhkan sebuah bekas dengan air mendidih. Titiskan 2-3 titik tea tree oil. Berselubung dengan kain dan sedut nafas dalam-dalam dari wap tea tree oil tadi selama 5-10 minit. Lakukan sebelum tidur selama sekurang-kurangnya 5 malam sehingga simptom berkurangan.
The Body Shop
Thursday Plantation

    Lassi minuman menyegarkan

    Di bulan Ramadhan, adalah penting untuk kamu memilih minuman yang menyihatkan badan. Kurangkan membeli minuman yang dijual di bazar-bazar Ramadhan kerana tidak terjamin kebersihan di samping tambahan pewarna dan pemanis berlebihan. Mango Lassi, seperti resepi di bawah adalah pilihan tepat untuk diambil tatkala berbuka mahupun bersahur.

    Mango lassi
    Bahan-bahan
    1 biji mangga, dipotong kiub
    1 1/2 gelas yoghurt
    3 sudu gula
    1/2 gelas susu

    Cara
    Semua bahan dikisar dan boleh diminum terus, tambahkan ais jika ingin minuman sejuk.

    Sangat menyihatkan, jimat dan bersih kerana boleh disediakan sendiri. Jika ingin variasi, cuba orange lassi, banana lassi atau strawberry lassi. Resipi yang sama seperti di atas, cuma gantikan mangga dengan lain-lain buah pilihan.

    Sihat, segar di bulan Ramadhan

    kurma
    1. Iftar (berbuka) adalah saat yang paling penting untuk mengembalikan tenaga, air dan nutrien pada tubuh. 
    2. Cara yang paling baik untuk berbuka ialah dengan mengambil makanan ringan (light snack) yang mempunyai sumber tenaga segera dan boleh menampung kelaparan.
    3. Elakkan berbuka dengan makanan banyak sekaligus kerana ia akan mendorong tabiat makan  yang berlebihan
    4. Kurma adalah pilihan paling bijak untuk berbuka kerana ia mengandungi gula semulajadi yang boleh membekalkan tenaga segera. Minum air untuk mengelakkan dehidrasi badan. Kurma juga mengandungi potasium yang bertindak mengawal keseimbangan air dalam badan
    5. Jus buah juga sangat menyihatkan sewaktu berbuka puasa. Pastikan jus buah tidak mengandungi pemanis berlebihan. Jika tidak mahu mengamalkan jus buah, makan buah-buahan sewaktu berbuka. Sangat baik kerana ia mengandungi fiber.
    6. Selepas berbuka secara ringan, atau sebaik-baiknya selepas menunaikan solat Maghrib, baharulah kamu menikmati makanan utama (main meal).
    7. Makan makanan dari semua sumber kumpulan makanan bagi memastikan kamu cukup nutrien. Amalkan pemakanan seimbang iaitu makanan kaya protein (ayam, ikan dan daging), bijirin, buah-buahan dan juga makanan tenusu (dairy products)
    8. Elakkan dehidrasi semasa Ramadhan. Keperluan badan terhadap air tidak berubah semasa berpuasa, di mana orang dewasa yang sihat tetap memerlukan sebanyak 8 gelas air sehari. Pastikan kamu minum dengan kerap sepanjang malam. Cara mudah bagi memastikan badan cukup air ialah dengan mengambil makanan berair seperti sup, timun, tomato, tembikai, anggur dan oren.
    9. Sahur juga sangat penting bagi memastikan tenaga badan berkekalan sepanjang hari dan supaya tubuh boleh bertahan untuk berpuasa sehingga matahari terbenam. Jika semasa berbuka kamu makan makanan yang bertenaga segera, semasa sahur pula kamu mestilah makan makanan yang melepaskan tenaga dengan perlahan-lahan. Antara makanan yang baik diamalkan semasa sahur ialah yang tinggi kandungan fiber seperti oat, beras perang, roti gandum penuh, buah-buahan segar dan sayur.
    10. Makanan tinggi protein juga bagus dimakan sewaktu sahur, seperti telur, ayam dan ikan. Ia akan memastikan badan bertenaga sepanjang hari. Pastikan juga minum dengan mencukupi bagi menampung keperluan badan terhadap air untuk beberapa jam sehingga kamu berbuka kelak.

    Wednesday, 3 August 2011

    Perhiasan wanita muslimah

    1. Wanita muslimah dilarang menyimpan kuku, kerana diragui kebersihan untuk berwudhu'. Memotong kuku adalah sunnah, kerana menyimpan kuku yang panjang adalah peniruan kepada perbuatan wanita kafir. Wanita muslimah yang menyimpan kuku panjang adalah wanita yang jahil tentang sunnah.
    2. Wanita muslimah hendaklah memanjangkan rambutnya, dilarang berambut pendek sehingga menyerupai lelaki (bercukur). Dilarang juga menyambung rambutnya. Terdapat suatu hadis tentang pemakaian rambut palsu di mana Rasulullah bersabda,'Tidak ada seorang wanitapun yang memakai pada kepalanya rambut wanita lain kecuali ia telah melakukan kedustaan. Al-barukah (rambut buatan) adalah dilarang kerana di dalam pemakaiannya terdapat kedustaan.
    3. Wanita muslimah dilarang mencukur atau mencabut bulu kening kerana perbuatan itu termasuk kepada perbuatan merubah ciptaan Allah
    4. Wanita muslimah diharamkan bertatu pada badannya
    5. Memakai inai pada tangan adalah dibolehkan
    6. Dibolehkan memakai perhiasan emas dan perak, namun apabila keluar daripada rumah hendaklah ditutup dari pandangan.'Dan janganlah mereka memukul kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan' (surah An-Nur)

    beautiful girl with hijab


    Adab di buffet Ramadhan

    
    Buffet Ramadhan
    
    1. Perhatikan harga buffet yang ditempah. Hindari buffet yang berharga mahal sehingga mencecah RM100++ seorang. Elakkan pembaziran kerana Ramadhan ialah bulan untuk mendidik nafsu
    2. Jangan mengambil makanan sehingga menimbun di pinggan. Elakkan mengambil makanan yang tidak diminati, namun diambil juga kerana tamak. Akibatnya makanan sekadar terbiar tanpa dijamah
    3. Perhatikan juga khasiat makanan. Jumlah makanan yang banyak dihidangkan membolehkan kamu membuat pilihan. Hindari makanan berlemak atau terlalu manis
    4. Perhatikan juga tahap kebersihan. Pastikan buffet Ramadhan yang dikunjungi sama ada di hotel atau restoran itu mementingkan hygene.
    5. Meskipun bergembira dengan seleksi makanan yang banyak, jangan abaikan solat. Berhenti untuk solat Maghrib dan sebaik-baiknya teruskan dengan bertarawikh. Jangan terlalu mengikut nafsu sehingga mengabaikan kesihatan

    Tuesday, 2 August 2011

    Pentingnya menjaga aurat


    Seseorang wanita yang telah mencapai akil baligh adalah berkewajipan untuk menutup aurat. Aurat bagi seorang wanita dalam menjalani kehidupan sehariannya adalah sama seperti aurat sewaktu bersembahyang. Secara dasarnya, keseluruhan tubuh badan wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan.

    Sabda Rasulullah kepada Asma' binti Abu Bakar,"Wahai Asma, seseorang perempuan itu apabila telah baligh (haid), maka tidak boleh baginya menampakkan dirinya kecuali ini dan ini (seraya menunjukkan muka dan tapak tangan)"

    Di samping itu, wanita Muslimah juga berkewajipan untuk menutup dadanya apabila berpakaian, bersesuaian dengan firman Allah yang berikut :-

    "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya" (surah Al-Ahzab)

    "Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka" (surah An-Nur)

    Wanita hanya boleh bebas auratnya (namun dalam keterbatasan) dengan lelaki-lelaki yang muhrim baginya. Secara umumnya, lelaki yang merupakan muhrim wanita ialah dari kalangan bapanya, datuk, moyang, bapa saudara, anak cucu, saudara lelaki seibu kandung dan juga anak-anak saudara. Selain itu, bapa mertua, datuk mertua dan menantu lelaki juga adalah muhrim bagi seseorang wanita.

    Manakala di kalangan bukan muhrim ialah seperti bapa angkat, sepupu lelaki, anak angkat, bapa saudara sebelah suami, adik beradik lelaki suami (ipar), saudara tiri lelaki dan juga anak saudara suami.

    Ramai yang terkeliru tentang had aurat di kalangan ipar duai lelaki, terutamanya apabila pulang ke kampung. Hakikatnya ialah ipar duai bukan muhrim bagi wanita dan wajib menutup aurat di hadapan mereka. Oleh itu, hendaklah wanita mengambil berat tentang hal ini kerana status ipar lelaki adalah sama seperti lelaki ajnabi yang lain.

    Rasulullah pernah bersabda iaitu,'Janganlah kamu bersunyi-sunyian dengan mana-mana wanita (khalwat)'. Seorang dari kaum Ansar bertanya,'bagaimana pula dengan ipar duai?' Jawab Rasulullah,'ipar duai itu sendiri adalah maut'. Wallahua'lam.

    Monday, 1 August 2011

    Pengertian sebenar Ramadhan

    Iftar
    1. Dengan berpuasa sepanjang Ramadhan, orang Muslim merasai perasaan lapar dan dahaga, lantas bersimpati dengan saudara Muslim di seluruh dunia yang miskin dan kebuluran
    2. Dengan mengabdikan diri sepanjang Ramadhan, hamba Allah merasa amat dekat dengan Penciptanya, lantas ia sedar bahawa segala nikmat di dalam dunia ini adalah kurniaan Allah semata-mata
    3. Melalui amal jariah, umat Islam menjadi pemurah, bersangka baik dan berkebajikan. Sabda Rasulullah,'Kekayaan seseorang tidak akan berkurangan disebabkan ia bersedekah'
    4. Dengan mengawal diri sepanjang Ramadhan, seseorang itu menjaga perilaku dan percakapannya agar terhad kepada perbuatan yang baik-baik sahaja
    5. Rutin yang berubah sepanjang Ramadhan menjadikan seseorang itu bertukar kepada gaya hidup yang sihat, iaitu dengan mengurangkan makan dan minum serta menjauhi rokok
    6. Berkumpul sewaktu berbuka puasa dan sembahyang berjemaah dapat mengeratkan silaturrahim sesama insan
    7. Pengertian Ramadhan yang sebenar ialah apabila kita mampu mengekalkan semangat Ramadhan ini sepanjang tahun, dan tidak terhad setakat sepanjang bulan Ramadhan sahaja. Semoga kita beroleh keberkatan, dekat dengan Pencipta, diampunkan dosa-dosa dan diberikan petunjuk serta Hidayah oleh Yang Esa.