Pembaca Molek

Tuesday 2 August 2011

Pentingnya menjaga aurat


Seseorang wanita yang telah mencapai akil baligh adalah berkewajipan untuk menutup aurat. Aurat bagi seorang wanita dalam menjalani kehidupan sehariannya adalah sama seperti aurat sewaktu bersembahyang. Secara dasarnya, keseluruhan tubuh badan wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan.

Sabda Rasulullah kepada Asma' binti Abu Bakar,"Wahai Asma, seseorang perempuan itu apabila telah baligh (haid), maka tidak boleh baginya menampakkan dirinya kecuali ini dan ini (seraya menunjukkan muka dan tapak tangan)"

Di samping itu, wanita Muslimah juga berkewajipan untuk menutup dadanya apabila berpakaian, bersesuaian dengan firman Allah yang berikut :-

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya" (surah Al-Ahzab)

"Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka" (surah An-Nur)

Wanita hanya boleh bebas auratnya (namun dalam keterbatasan) dengan lelaki-lelaki yang muhrim baginya. Secara umumnya, lelaki yang merupakan muhrim wanita ialah dari kalangan bapanya, datuk, moyang, bapa saudara, anak cucu, saudara lelaki seibu kandung dan juga anak-anak saudara. Selain itu, bapa mertua, datuk mertua dan menantu lelaki juga adalah muhrim bagi seseorang wanita.

Manakala di kalangan bukan muhrim ialah seperti bapa angkat, sepupu lelaki, anak angkat, bapa saudara sebelah suami, adik beradik lelaki suami (ipar), saudara tiri lelaki dan juga anak saudara suami.

Ramai yang terkeliru tentang had aurat di kalangan ipar duai lelaki, terutamanya apabila pulang ke kampung. Hakikatnya ialah ipar duai bukan muhrim bagi wanita dan wajib menutup aurat di hadapan mereka. Oleh itu, hendaklah wanita mengambil berat tentang hal ini kerana status ipar lelaki adalah sama seperti lelaki ajnabi yang lain.

Rasulullah pernah bersabda iaitu,'Janganlah kamu bersunyi-sunyian dengan mana-mana wanita (khalwat)'. Seorang dari kaum Ansar bertanya,'bagaimana pula dengan ipar duai?' Jawab Rasulullah,'ipar duai itu sendiri adalah maut'. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment