Pembaca Molek

Friday, 29 July 2011

Suplemen untuk kesihatan


vitamin B kompleks - 21st century

Vitamin B kompleks amat berguna untuk fungsi keseluruhan tubuh badan. Ia membantu menukarkan karbohidrat yang dimakan menjadi glukosa untuk dijana sebagai tenaga. Kekurangan vitamin B boleh menyebabkan kelesuan. Di samping itu, vitamin B juga penting untuk sistem saraf dan bagi mengawal tekanan (stress). Vitamin B juga baik untuk pencernaan badan di samping bermanfaat untuk kesihatan kuku, rambut dan kulit.

Cod liver oil - Seven seas



Minyak ikan kod adalah suplemen yang begitu kaya dengan sumber vitamin untuk kesihatan tubuh badan. Ia sangat tinggi kandungan vitamin D, vitamin A, EPA dan DHA. Ia sangat baik diamalkan oleh pengidap diabetes dan pesakit jantung malah dikatakan boleh mencegah kanser. Untuk kanak-kanak, ia sangat baik untuk pertumbuhan tulang dan gigi. Minyak ikan kod yang diamalkan sebagai suplemen setiap hari juga membantu menyihatkan kulit dan rambut.

Vitamin C - Appeton

 Vitamin C sangat penting dalam pertumbuhan sel badan dan penyembuhan luka pada tubuh. Ia bertindak memastikan kesihatan kulit dan menggalakkan pertumbuhan kolagen serta agen anti-oksida. Kolagen adalah protein dalam rangkaian kulit yang berfungsi untuk meremajakan kulit dan menjadikan awet muda. Manakala agen anti-oksida adalah penentang radikal bebas yang merosakkan sel-sel tubuh. Contoh radikal bebas ialah asap rokok. Vitamin C tidak disimpan lama di dalam badan kerana ia larut air. Jika berlebihan, ia akan dikeluarkan oleh badan melalui urine (air kencing). Sebab itulah kita perlu memastikan pengambilan vitamin C yang mencukupi setiap hari.

Evening Primrose Oil - Cosway

Evening Primrose Oil (EPO) mengandungi asid lemak perlu yang dikenali sebagai GLA. Kekurangan GLA dalam badan kanak-kanak boleh mengakibatkan ekzema dan penyakit kulit. Manakala kekurangan GLA dalam badan orang dewasa terutamanya perempuan boleh mempengaruhi mood dan tingkahlaku. Kerana itu wanita yang menghidapi sindrom pra-haid (PMS) digalakkan mengambil suplemen EPO. Ia membantu mencegah senggugut dan sakit di sekitar payudara yang kerap dialami oleh wanita apabila datang bulan. EPO yang diambil sebagai suplemen harian juga boleh memperbaiki kecantikan kulit, merawat kulit mengelupas dan masalah elergi. EPO juga amat membantu menangani masalah wanita menopause dan gejala-gejalanya.




Thursday, 28 July 2011

Merawat dengan rosehip oil

Rosehip  
Minyak Rosehip (Rosehip Oil) adalah perawatan organik bagi merawat punca kulit bermasalah. Ia sangat kaya dengan asid lemak perlu (essential fatty acid) iaitu komponen yang amat penting dalam melindungi dan menyihatkan kulit. Sekiranya kamu berhadapan dengan masalah kulit yang tidak sembuh-sembuh selepas mencuba pelbagai produk, apa kata mencuba rosehip oil sebagai perawatan intensif. Ia selamat, semulajadi dan tiada kesan sampingan.

Antara masalah kulit yang boleh sembuh dengan keajaiban rosehip oil termasuklah:-
  1. parut, termasuk parut akne dan kesan parut lama
  2. ekzema
  3. kesan kulit terbakar, dan kesan kulit terkena selaran matahari (sunburn)
  4. menghidrasi kulit yang kekeringan
  5. membaiki sel kulit yang rosak
  6. mengurangkan kedut
  7. merawat kulit matang dan menua
Cara menggunakan rosehip oil ialah dengan menitiskan lebih kurang 2-3 titik kandungannya secara terus kepada kulit bermasalah.  Urut perlahan-lahan supaya ia menyerap. Sebaik-baiknya dipakai pada waktu malam sewaktu hendak tidur, kerana kulit dalam keadaan rehat secukupnya dan dapat menyerap secara optimum. Dalam tempoh 2 minggu kamu akan dapati keadaan kulit bertambah baik. Teruskan memakainya sehingga mendapat hasil yang diingini. Di samping itu, jaga pemakanan dan banyakkan bersenam kerana ia merupakan kunci kepada kulit yang sihat.

Rosehip Oil - Bioglo (Cosway)

Rosa E - Garden of Eden


Wednesday, 27 July 2011

Lipstik paling semulajadi

Pernahkah kamu berhadapan dengan situasi kesan lipstik melekat di hujung straw sewaktu menikmati minuman? Atau kesan lipstik tertinggal di 'bibir' cawan sewaktu menghirup minuman panas? Hindari kesan tersebut dengan lipstik yang paling semulajadi ini........

Maybelline colour bloom
Ia lipstik runcing yang berwarna jernih, namun bertukar ke warna kemerahan sebaik sahaja diaplikasikan ke bibir. Sangat semulajadi dan tidak melekit. Didatangkan dalam warna 'pink blossom' dan 'peach blossom'. Tidak perlu memakai pelembab bibir yang berasingan. Ia boleh menggantikan kedua-dua fungsi pelembab bibir dan lipstik. Mengandungi vitamin E dan jojoba untuk kelembapan berpanjangan di samping merapikan bibir. Sesuai untuk pemakaian kasual seharian.

Monday, 25 July 2011

Tips jimat kecantikan

Tidak perlu berhabisan duit untuk kekal cantik
Bagaimana untuk jimat di saat barang-barang keperluan semakin meningkat harganya? Saya senaraikan di sini tips jimat dan cantik, mana tahu boleh kita kongsikan dan manfaatkan bersama:-
  1. Gunakan hanya produk penjagaan kulit yang asas dan perlu, iaitu pencuci, penyegar dan pelembab. Ketepikan barangan lain yang tidak perlu dalam set penjagaan wajahmu. Contoh - sleeping mask tidak perlu dipakai sewaktu tidur sebaliknya kamu boleh guna krim malam yang biasa
  2. Jika selama ini kamu menggunakan produk jenama luar negara di kaunter kecantikan yang mahal harganya, cuba tinjau kosmetik atau produk di farmasi yang harganya lebih murah. Contoh - Estee Lauder atau SK II sangat mahal harganya kerana ia jenama antarabangsa dengan kos pengiklanan yang sangat besar. Ahli farmasi boleh mencadangkan produk klinikal yang jauh lebih murah namun cukup berkesan.
  3. Guna produk multifungsi. Contoh - BB cream. Kamu tidak perlu lagi membeli foundation, concealer atau compact powder kerana BB cream boleh memberikan kesan wajah yang natural dan sekata tanpa perlu menggunakan produk-produk lain yang pelbagai.
  4. Facial boleh dilakukan sendiri di rumah tanpa perlu ke salon. Untuk body massage, upah tukang urut tradisional yang boleh dipanggil mengurut di rumah dengan caj yang jauh lebih murah berbanding di salon. Di Melaka, seorang tukang urut tradisional mengurut dengan caj serendah RM25 selama 3 ke 4 jam!
  5. Guna alat solek sehingga habis sebelum membeli baru. Jadikan habit untuk tidak membeli lipstik baru selagi lipstik yang ada belum habis digunakan. Untuk langkah selamat, pilih warna lipstik yang neutral seperti merah samar, brown atau mauve supaya kamu tidak perlu bertukar-tukar lipstik selalu mengikut tema dan warna baju.
  6. Jangan biasakan bersolek tebal pada hari-hari biasa. Hanya bersolek pada hari-hari istimewa seperti menghadiri dinner, hari raya atau majlis istimewa sahaja. Di samping 'tidak hilang seri', kamu juga boleh berjimat kerana tidak perlu membeli alat solek dengan kerap!
  7. Guna 'petua dapur' (kitchen remedy) dalam rutin penjagaan kecantikan kerana ia sangat berkesan dan murah. Contoh - hirisan timun dan sisa uncang teh untuk penjagaan mata, susu sejat untuk menanggalkan mekap, oat sebagai skrub muka dan putih telur sebagai mask.
  8. Jika selama ini kamu guna kapas muka pakai buang, gantikan dengan tuala lembut untuk menanggalkan mekap atau memakai pelembab. Di samping menjimatkan, ia juga lebih 'mesra alam' dan mengelakkan pembaziran kerana tidak perlu dibuang selepas digunakan.
  9. Jangan terlalu taksub membeli pakaian atau tudung mengikut trend. Beli sekadar untuk keperluan. Pembelian mengikut trend akan menggalakkan kamu melakukan pembaziran.
  10. Pewangi buatan 'designer' sangat mahal harganya sehingga menjangkau RM400 sebotol, seperti DKNY Be Delicious. Pakai dengan berjimat kerana sebotol perfume yang dipakai sekadar 2 kali sehari sebenarnya tahan untuk kegunaan 6 bulan ke 1 tahun. Atau bertukar kepada pewangi yang lebih rendah harganya (Contoh - The Body Shop, Avon)

    Sunday, 24 July 2011

    Puasa dan faedahnya

    Kurma simbol kemanisan puasa
    Tidak berapa hari lagi Ramadhan bakal menjelang menandakan tibanya bulan umat Islam dikehendaki berpuasa. Sejak berabad-abad lampau insan-insan di dunia telah mengamalkan puasa sebagai suatu ritual yang memberi efek baik pada rohani dan jasmani. Puasa memberi kesejahteraan tubuh badan secara menyeluruh (general well-being) dan kesannya telah terbukti dari segi kesihatan.
    1. Puasa memberikan kesan penyembuhan - Bayangkan suatu jentera yang berfungsi dan bekerja terus-menerus tanpa henti. Perut dan sistem percernaan kita boleh dianalogikan sebagai jentera tubuh yang tidak putus-putus menerima dan mencerna makanan. Puasa boleh menyingkirkan toksin dan membaiki sel, otot dan organ dalaman.
    2. Mengurangkan berat badan - Sebenarnya, percubaan untuk mengurangkan berat badan adalah berbeza mengikut individu bergantung kepada metabolisme dan bahan kimia tubuh. Sebab itu, sesetengah orang mudah menurunkan berat badan manakala sesetengah yang lain pula mudah gemuk dan menghadapi risiko obese. Puasa akan mengubah corak, gaya dan tabiat pemakanan seseorang ke arah yang lebih sihat. Tidak dinafikan berpuasa adalah pelan diet yang paling sihat.
    3. Puasa menjadikan seseorang lebih bertenaga - Apabila berpuasa, toksin-toksin dapat disingkirkan daripada tubuh (detoks). Selepas mencapai tahap ini, kamu akan berasa lebih ringan (lighter), bertenaga (energetic), bersemangat (enthusiastic) dan mengurangkan kadar tidur (required less sleep). Mungkin ini ada kaitannya dengan keperluan berjaga malam sewaktu bulan berpuasa kerana kamu perlu bangun bersahur dan beribadat pada malam hari.
    4. Puasa juga bermanfaat dari segi mental dan emosi. Dengan berpuasa, kamu akan merasa lebih tenang, lapang dan gembira. Ada yang mengatakan mereka dapat mencegah kemurungan, merasa lebih bermatlamat dan dapat memberi fokus kepada kehidupan. Manakala doktor yang merawat penyakit dengan terapi puasa  mengakui pesakit mereka lebih memberi tumpuan dan konsentrasi, kurang risau, tiada masalah tidur dan merasa lebih segar.
    5. Puasa berfaedah dari segi spiritual - Puasa memberikan masa berkualiti untuk kita lebih berhubung dengan kerohanian dan dalaman diri (cannected to your inner well being). Puasa menambah salah-satu daripada cabang ibadat di mana amalan itu kamu lakukan dan alami sendiri. Seseorang yang berpuasa akan merasa lebih dekat dengan Penciptanya, merasa dirahmati dan dilindungi oleh Allah serta meningkatkan keimanan diri.

    Sunday, 17 July 2011

    Senarai makanan menyihatkan

    1. keledek (sweet potato), mengandungi karotene, vitamin C, potasium & fiber
    2. buah mangga, mengandungi vitamin C, vitamin A, potasium & fiber
    3. yoghurt, mengandungi protein, kalsium, zink, potasium & vitamin B
    4. brokoli, mengandungi vitamin C, karotene dan folic acid
    5. ikan salmon, mengandungi kebaikan omega-3 (baik untuk jantung)
    6. roti gandum penuh (wholemeal bread), ia mengandungi kebaikan fiber & bebas lemak
    7. kacang kuda, mengandungi potasium, protein, fiber, zat besi, magnesium, zinc
    8. tembikai, mengandungi vitamin A, C & potasium
    9. labu (pumpkin), mengandungi vitamin A, C & fiber
    10. sayuran hijau spt bayam & sawi (mengandungi vitamin A, C, K, folate, potasium, magnesium, kalsium, lutein & fiber)


    sweet potatoes


    labu


    brokoli


    Thursday, 14 July 2011

    Jauhi makanan berlemak

    1. Jauhi makanan bergoreng (deep-fried) seperti kentang goreng
    2. elakkan marjerin
    3. jauhi daging yang berlemak
    4. jangan biasakan anak-anak makan gula-gula seperti lollipop
    5. jauhi coklat (jika ingin makan juga, makan coklat berkualiti baik yang tinggi kandungan koko)
    6. jauhi kek dan biskut manis kerana ia tiada sebarang nutrien atau serat
    7. elak minuman bergas dan kordial kerana gula dalam bentuk cecair akan cepat berkumpul sebagai lemak
    8. pai tidak elok dimakan terutama pai daging
    9. hotdog dan burger mempunyai kandungan lemak yang tinggi
    10. susu penuh krim mengandungi gula dan lemak yang tinggi