Pembaca Molek

Saturday, 14 January 2012

Mendapat durian runtuh

 Apa yang akan kamu lakukan bila tiba-tiba mendapat 'durian runtuh' (windfall)? Durian runtuh merujuk kepada wang terkumpul yang banyak dan datang sekaligus, contohnya bila kamu tiba-tiba menjadi 'jutawan segera'. Rezeki datang dalam berbagai-bagai cara, kamu mungkin memenangi sijil simpanan premium, menang peraduan yang menawarkan ganjaran wang tunai, menerima warisan pusaka, bonus berganda atau boleh jadi juga untung dalam perniagaan.
  1. Perkara pertama yang patut kamu lakukan ialah menyelesaikan kewajipan selari dengan keuntungan tersebut. Jika kamu berniaga, ketepikan sejumlah wang dari keuntungan tersebut untuk membayar cukai perniagaan, cukai kastam dsb. Jika kamu mendapat wang dari penjualan hartanah, kamu wajib membayar cukai keuntungan. Jangan lari dari kewajipan membayar kepada pihak berkuasa, kerana kamu pasti tidak mahu pening kepala bila tiba-tiba dikejar oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri kerana tidak membayar cukai pendapatan, misalnya.
  2. Beri keutamaan kepada perkara yang penting dahulu. Jika ada perkara-perkara yang perlu mendapat keutamaan kamu, selesaikan perkara itu dahulu. Contohnya, membayar hutang rumah, kad kredit, bil hospital, yuran pelajaran dsb.
  3. Jangan ubah cara dan gaya hidup. Jangan 'gelap mata' hanya kerana tiba-tiba kamu mendapat wang berganda dalam jumlah yang banyak. Jika kamu seorang yang 'humble' dan berjimat-cermat selama ini, jangan tiba-tiba menukar gaya dari hujung rambut ke kaki dengan memakai pakaian atau tas tangan berjenama. Berpada-padalah. Kamu juga tidak mahu 'kekayaan segera' kamu ini dihidu oleh pencuri, lantas menjadikan kehidupan baru kamu tidak aman.
  4. Jangan hebohkan pada orang ramai. Kamu akan terperanjat bila tiba-tiba ada orang yang datang ingin meminjam wang. Perhatikan juga sikap sesetengah rakan dan saudara. Jauhi mereka yang selama ini memandangmu dengan 'sebelah mata', namun bertukar menjadi terlebih mesra apabila kamu sudah mempunyai wang. Mereka mungkin mempunyai agenda tersendiri.
  5. Berkongsi. Perhatikan di sekelilingmu jika ada mereka yang memerlukan. Jika ada ibu tunggal yang sakit dan mempunyai anak yang ramai, singgah ke rumahnya dan hulurkan bantuan kewangan. Satu, dua ratus ringgit mungkin kecil jumlahnya pada kamu, namun amat besar jumlahnya bagi mereka.
  6. Simpan untuk masa depan. Kamu tidak tahu sama ada akan datang kamu akan mendapat untung besar sebegini lagi. Simpan secukupnya dalam simpanan tetap, ASB, SSPN dsb. Selepas sejumlah besar daripada wang tersebut kamu manfaatkan dengan sebaiknya, ambil sedikit untuk hiburan kamu. Melancong, beli barang idaman, berbelanja, beri hadiah dsb... asalkan jangan berlebih-lebihan.







No comments:

Post a Comment