- Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan yang penuh keberkatan buat semua pembaca Perihal Molek. Semoga Ramadhan kali ini akan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan dapat kita mengambil kesempatan daripada kemuliaannya untuk menambah ibadah masing-masing.
- Doa ketabahan saya panjangkan buat sahabat se-universiti saya, Sy Farah bt Sy Abdullah yang baru sahaja kehilangan suami tersayang. Ya Allah, dalam usia yang masih lagi muda, suaminya (sahabat saya juga) telah dipanggil Ilahi dan meninggalkan balu serta anak-anak seramai 3 orang. Tak dapat saya bayangkan jika saya sendiri di tempatnya. Semoga dipinjamkan kekuatan yang maha hebat dan kecekalan yang cukup bermakna untuk menghadapi kehidupan di hari muka pada zaman yang serba mencabar ini. Ya Allah, sinarilah simpatiMu buat keluarga kecil ini, bantulah mereka, Ya Rabbul Alamin.
- Saya berharap di bulan Ramadhan ini akan menghentikan kehidupan 'roller coaster ride' saya buat sementara waktu. Kadangkala lelah rasanya bila terpaksa out-station meninggalkan anak-anak saban pagi, dan adakalanya terpaksa berada di 3 negeri berbeza pada masa sehari (pagi di Melaka, tengahari di Seremban dan petang di Putrajaya). Saya ingin mengabdikan diri sebagai Hamba Allah Taala, di bulan mulia ini, bertadarrus, solat berjamaah dan menjalani tarawikh bersama keluarga saya. Saya ingin mempersiapkan diri untuk menghadapi Syawal dengan memastikan keperluan-keperluan lengkap tersedia. Banyak peranan yang terpaksa dijalankan, lebih-lebih lagi apabila Raya saya disambut tanpa rendang atau ketupat air tangan ibu.... Ibu hanya berbaring, dan mengalirkan airmata di pagi Syawal. Maka saya harus menjadi anak yang tabah, dan bukan lagi laksana anak-anak kecil yang gembira bermain bunga api, atau keliling kampung mengumpul duit raya. Saya kini dewasa, dan puas menyambut raya dengan sekadarnya dan seadanya.
- Dan kehidupan juga tidak berhenti setakat Syawal. Ia laksana mengambil nafas sejenak, kerana selepas Syawal banyak lagi yang harus diperhatikan. Kerja-kerja harus berjalan seperti biasa, dan cuti raya nanti tidak bermakna saya harus melupakan tugas-tugas hakiki. Perancangan selepas raya harus digerakkan bermula dari sekarang. Penghujung tahun ini saya bercadang ingin memulakan perniagaan 'homestay'. Kejayaan arwah Sosilawati Lawiya (pengasas Nouvelle Visages) menjadi inspirasi. Khabarnya beliau senang-lenang dengan hasil rumah sewa sebanyak 50 buah dan empayar gergasi syarikat kecantikan. Saya juga ingin berjaya sepertinya... kerana tiada yang mustahil dengan izin-Nya, saya ingin berjaya dengan keazaman dan jihad yang tersendiri.
Pembaca Molek
Tuesday, 9 July 2013
Ihya Ramadhan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment