couple in crisis |
Saya bukanlah orang terbaik untuk menasihatkan tentang kemelut yang dihadapi dalam rumahtangga, namun sedikit-sebanyak pengalaman sebagai peguam syarie dapat membantu. Saya berharap catatan yang saya titipkan di sini dapat menjadi bekalan buat mereka yang sedang menghadapi prahara (kekacauan) rumahtangga.
- Jangan anggap perceraian sebagai jalan keluar. Percayalah bahawa kebanyakan krisis masih ada jalan perdamaian. Cerai dan Talak adalah perkara halal yang paling dibenci Allah. Malah bergegarnya tiang Arasy apabila isteri meminta cerai daripada suaminya.
- Menjadi ibu tunggal tidak semudah kata-kata. Peranan suami masih diperlukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Anak lelaki terutamanya, memerlukan 'male figure' untuk mengawasi dan mendisiplinkan mereka, dan peranan ini hanya boleh dimainkan oleh ayah. Sebenarnya, tidak mudah untuk membesarkan anak bersendirian. Seboleh mungkin, jangan ambil jalan penyudah yang singkat iaitu perceraian.
- Mungkin kamu kecewa kerana suami tidak menjalankan fungsinya selama ini. Mungkin suami tidak memberi nafkah dan gagal menjadi suami yang baik di matamu. Fikir sejenak. Sebenarnya, peranan suami sangat pelbagai dan kadangkala sukar difahami oleh isterinya sendiri. Adakah selama ini suami kamu memberi bantuan dari segi perlindungan dan keselamatan keluarga, namun kamu sendiri gagal menghargainya? Fikirkanlah kebaikan suami. Jangan biarkan 'kejahatan' yang ia lakukan sampai menidakkan kebaikan yang dia pernah buat. 'Tidak mencium bau syurga seseorang perempuan yang tidak nampak walau sedikit kebaikan suaminya, sedang harum syurga itu boleh dihidu dari jarak yang jauh'.
- Menjadi ibu tunggal tidak mudah walaupun kamu berpendapatan sendiri. Jangan menjadi isteri yang ego. Jangan memegang prinsip bahawa 'kamu boleh hidup tanpa lelaki'.
- Banyak bersabar dan beristighfar jika kamu menghadapi dugaan rumahtangga. Jangan mengambil jalan keluar yang mencalarkan maruah kamu seperti keluar atau mengadu hal dengan lelaki lain. Syaitan akan memainkan jarum halusnya lantas memporak-perandakan lagi rumahtangga yang sedia goyah.
- Suami adalah pemegang kunci untuk dirimu ke syurga. Bersyukurlah jika suamimu seorang pemimpin dan pembimbing yang selayaknya dihormati. Mudah-mudahan kamu mendapat kesenangan demi merintis jalan ke syurga. Bagaimana pula jika bersuamikan seorang lelaki yang jauh tersasar dan rendah peribadinya? Wahai wanita, kita semua Makhluk Allah. Begitu sukar untuk saya huraikan namun percayalah, dia tetap suamimu dan kunci ada di tangannya. Sungguhpun kehadirannya tidak menyenangkan, hikmah di sebaliknya ialah supaya kamu bersabar dan redha menghadapinya. Dugaan rumahtangga ini adalah ujian, Insya Allah ada ganjaran buatmu di hari muka kelak.
- Akhir kalam, amalkan doa ini kala kamu tersepit dalam kemelut rumahtangga yang muram.'Wahai Allah yang hidup dan berdiri dengan sendiri, dengan Rahmat dan Kasih Sayang-Mu aku memohon pertolongan, dan janganlah pula Engkau biarkan diriku bersendirian walaupun untuk sekelip mata. Perbaikilah, permudahkanlah dan percepatkanlah setiap urusanku'
No comments:
Post a Comment