Pembaca Molek

Friday, 30 March 2012

Losyen untuk kesan regangan

Wanita hamil dengan kesan regangan ibarat irama dan lagu yang sukar dipisahkan. Sememangnya kita tidak mampu mengelak daripada disinggahi kesan regangan pada perut, paha dan sekitarnya. Namun kesan tersebut sebenarnya mampu untuk diminimakan.

Sewaktu hamil sulung saya membeli 'Palmer's cocoa butter for stretchmarks' untuk mengatasi masalah tersebut. Saya akui ia krim yang sangat baik namun entah kenapa, tekstur yang melekit dan bau yang kuat menjadi faktor penolak untuk menggunakannya dengan kerap. Waktu itu sukar mencari jenama lain yang menawarkan produk untuk mengatasi kesan regangan. Sebenarnya, ada banyak alternatif lain untuk mengatasi stretchmarks kehamilan. Yang penting mesti rajin dan gigih menyapu krim pada awal kehamilan (sebelum kesan regangan timbul). Selepas bersalin juga, pemakaian krim perlu diteruskan supaya kulit kekal elastik dan cekang.

Kini saya menggunakan Pureen lotion for stretchmarks. Teksturnya ringan, tidak melekit dan berbau segar. Ia menggabungkan cocoa butter, vitamin E dan rosehip oil untuk melembabkan kulit dan menghalang regangan. Jika kamu sedang mencari-cari krim atasi kesan regangan, cuba juga Bio Oil, Franch Oil, Krim Mustajab limau nipis malah boleh juga menggunakan minyak zaitun. Sapu selepas mandi semasa kulit masih segar agar dapat menyerap dengan berkesan.



Sunday, 25 March 2012

Mesin jahit elektronik

Menjahit adalah kemahiran wajib bagi wanita. Seperti juga memasak, jatidiri kewanitaan akan sedikit 'goyah' andai tidak tahu menggegar mesin jahit. Paling tidak, pakaian anak-anak dan suami yang koyak boleh diperbaiki dengan hasil jahitan sendiri.


Pasti ramai di kalangan kamu yang mengenali mesin jahit hitam klasik keluaran Singer. Menjahit dengan mesin berkenaan amat memerlukan skill yang tinggi terutama bagi penjahit yang sangat amatur. Gerakan tangan pada putaran mesin harus selari dengan goyangan kaki bagi menghasilkan jahitan yang kemas, dalam masa yang sama tangan yang sebelah lagi mesti bijak mengawal kain (yang hendak dijahit itu). Sesetengah orang menggantikan peralatan manual pada mesin jahit tersebut dengan motor elektrik. Pergerakan menjadi lebih mudah, namun tidak dinafikan kemahiran menjahit masih lagi menjadi sukar pada sesetengah orang, meskipun dengan menggunakan mesin jahit bermotor tersebut.


Namun kini tidak lagi! Tahukah kamu terdapat mesin jahit berkomputer semudah menekan dengan hujung jari? Sebagaimana handphone melalui transformasi sehingga menjadi gadjet serba canggih, mesin jahit juga telah mengalami evolusinya yang tersendiri. Hanya pilih corak-corak jahitan yang diingini, tekan suis dan jahit! Tidak perlu mengimbang kaki dan tangan, kamu hanya perlu tumpukan perhatian sepenuhnya pada kain jahitan. Dalam bahasa mudahnya, saya katakan ia 'user-friendly sewing machine', malah boleh juga dikatakan,'It's sewing for dummies!'. Ayuh buktikan kemahiranmu, dan terokai dunia jahitan hari ini juga! 

Brother e-sewing machine - as easy as ABC!


Thursday, 1 March 2012

Pasangan duo untuk bibir

Keadaan bibir yang mengalami kekeringan ekstrem baru-baru ini memaksa saya mencari penawar intensif. Lalu saya bertemu dengan pasangan duo di atas yang memberi perlindungan berterusan untuk bibir. Ia merawat siang dan malam, maka dengan singkatnya kekeringan bibir dapat diatasi dan bibir yang sihat dapat dimiliki kembali.

Saya benar-benar jatuh cinta dengan 'day lip balm' (salap bibir siang - gambar di atas sebelah kiri). Ia berwarna kecoklatan dan sangat semulajadi. Bauannya juga sangat segar, dan kamu boleh memakainya semata-mata tanpa sebarang gincu bibir. Manakala 'night lip balm' (salap bibir malam) teksturnya sama sahaja seperti salap-salap bibir dari jenama lain, jernih dan tanpa pewarna. Ia sesuai untuk dipakai sepanjang malam malah boleh juga dibawa ke peraduan (selamat dipakai ketika tidur).

Berikut adalah intisari 2 produk di atas :-
  • Ia mengandungi cocoa butter dan shea butter untuk melembabkan bibir
  • Jojoba dan minyak badam berfungsi untuk merawat bibir merekah
  • Minyak zaitun dan vitamin E menggalakkan pertumbuhan sel-sel baru yang sihat
  • Ia bebas pewarna dan pewangi tiruan
  • 'Day lip balm' mengandungi SPF 15 yang boleh menghindari pancaran berbahaya UV
  • 'Night lip balm' mengandungi Incha Inchi Peru Oil yang kaya dengan asid lemak perlu. Ia bertindak melindungi bibir sepanjang malam dan menggalakkan pertumbuhan sel kulit bibir yang lebih sihat

Wednesday, 22 February 2012

Fakta tentang kultur hidup

Sinar Harian edisi semalam (21/2/12) membuat liputan tentang fakta halal pemakanan. Antara 'shocking facts' yang memeranjatkan diri ini ialah tentang derivatif kultur hidup (life culture). Kultur hidup ialah bakteria baik yang merupakan kandungan di dalam yoghurt.

Saya, terutamanya amat menggemari yoghurt. Kadangkala akibat muak meminum susu putih, saya sering mengambil yoghurt sebagai alternatif sumber kalsium. Yoghurt jenama 'Nutrigen' pilihan saya kerana mempunyai perasa tambahan seperti green tea dan blueberry. Ia sangat membantu penghadaman, dan diakui sebagai salah satu jenis makanan sihat.

Namun tahukah kamu sumber kultur hidup yang terdapat di dalam yoghurt berpunca daripada najis bayi? Kultur hidup itu ialah bakteria baik yang membantu penghadaman dan mengekalkan kesihatan usus. Bakteria baik disaring daripada najis bayi (baby's stool) dan dibiakkan untuk mendapat pre-biotics yang seterusnya digunakan sebagai bahan pemangkin di dalam yoghurt. Hukumnya harus kerana penghasilan produk pemakanan tersebut telah melalui proses penyucian. Majlis fatwa juga telah mengesahkan yang ia halal dimakan.

Selepas mengetahui 'hard facts' ini, saya sedikit terkilan. Lebih baik jika saya tidak mengetahuinya langsung. Sukar untuk saya menikmati yoghurt sepuasnya tanpa fikiran saya menerawang memikirkan punca ia dihasilkan. Mungkin suatu hari nanti saya dapat melupakan fakta ini, dan kembali mendakap yoghurt sebagai makanan kesihatan dan kegemaran.



Tuesday, 21 February 2012

Coretan buat mama

Aku sering teringat waktu ku kecil dahulu. Pulang dari sekolah rendah, aku akan duduk di rumah sekitar 1-2 jam sebelum ke sekolah agama pada sebelah petangnya. Paling ku ingat, ibu akan mandi di bilik air menjelang waktu Zohor. Sambil mandi, dia akan membasuh baju. Belum ada mesin basuh, maka ibu akan mencuci dengan tangan.  Bila ibu membasuh telekung, dia akan merendam bilasan terakhir dengan daun nilam. Wangi.

Usia 13 tahun, aku menjejakkan kaki ke asrama penuh. Lima tahun ku mengisi zaman remaja, jauh dari ibu. Tiada lagi sela masa 1-2 jam sebelum pergi ke kelas petang. Tiada lagi ku melihat kelibat ibu mengangkat baldi ke bilik air. Namun aku sentiasa mengingati rutin ibu. Aku akan teringat dia di bilik air, mencuci baju, mengambil air sembahyang. Dan aku terpandang-pandang dia membasuh telekung, dan meramas daun nilam pada bilasan terakhir.

Aku akan sentiasa mengingati harum daun nilam, dan merindui kelibat ibu. Namun masa bukan di sisi ku lagi. Langkahku laju meninggalkan ibu dengan rutin hariannya. Aku tamat persekolahan menengah, menjejaki matrikulasi, tamat pengajian fakulti, chambering dan bekerja. Aku berumahtangga dan memiliki keluarga sendiri. Aku sedar masa yang lalu itu tak mungkin berulang lagi, namun ia nostalgia yang terlalu manis untuk dikenang.

Kini ibu lumpuh selepas sarafnya terjejas, angkara jatuh pada suatu dinihari. Aku melihat kesihatannya merosot hari demi hari. Tangan yang mengerekot itu pernah menyuap makan ku dahulu. Tubuh yang kurus kering itu lelah menjaga sakit pening ketika kecil ku. Ibu lemah tidak bermaya. Namun setiap kali ku kucup ibu, aku dapat menghidu harum itu. Harum daun nilam, lambang perkasihanku pada ibu. Aku ingin ibu tahu kasihku padanya akan harum mewangi sampai bila-bila.
Nilam (patchouli)



Friday, 17 February 2012

Semburan penyegar wajah

Semburan penyegar wajah (facial hydrating mist) bukanlah rutin yang paling asas dalam penjagaan kecantikan. Seperti yang kita ketahui, rutin yang asas merangkumi langkah membersih-menyegar dan melembab. Namun, tidak salah jika kamu mencuba kerana ia sangat convenient (mudah) untuk diamalkan dan memberi kesan segar pada wajah yang lesu seharian.
Bioglo Facial mist - dari Cosway


Berikut adalah beberapa cara bagi mengaplikasikan 'Facial hydrating mist':-
  • Ia boleh membantu krim pelembab yang kamu gunakan menyerap khasiat dengan lebih optimum. Sebelum menyapu krim pada wajah, semburkan dahulu facial mist secukupnya ke arah muka. Facial mist sangat semulajadi kerana ia terhasil daripada daripada 'spring water', air laut dalam atau pun air terawat yang telah dimurnikan.
  • Facial mist boleh membantu menghidratkan wajah yang kekeringan. Terutamanya jika kamu terdedah kepada suhu penghawa dingin, ataupun wajah menjadi lesu kerana berada berjam-jam dalam perjalanan dan penerbangan. Semburkan facial hydrating mist untuk mendapat kesan segar dengan kadar segera.
  • Membantu mengekalkan mekap. Selepas kamu mengenakan tatarias wajah seperti bedak kompak, pembayang mata dan pemerah pipi, semburkan sedikit facial mist untuk mengekalkan mekap pada kadar lebih lama. Kamu akan lebih berpuas hati kerana facial mist memberi kesan 'dewy' (berseri) pada wajah.
  • Facial mist boleh meredakan kerengsaan wajah. Jika kamu berasa wajah tidak selesa, semburkan facial mist untuk memberi kesan kelegaan pada kulit. Ia membantu memperbaiki kulit wajah yang kemerahan, meruam dan gatal-gatal. Namun, sesetengah orang mungkin sensitif dengan kandungan yang terdapat dalam facial hydrating mist. Secara asasnya, ia adalah produk yang disyorkan oleh pakar dermatologi dan selamat untuk digunakan.

Sunday, 5 February 2012

Atasi mabuk hamil

Cabaran yang paling besar untuk wanita masa kini ialah ingin membina keluarga dan dalam masa yang sama, tidak mahu ketinggalan untuk mendaki tangga kejayaan. Sebenarnya, tiada apa yang mustahil untuk digapai di dalam dunia ini, namun semangat mesti kental dan kuat. Antara salah satu cabaran wanita yang harus ditempuhi ialah mabuk hamil, namun dalam masa yang sama harus pula bekerja seperti biasa.
  1. Jauhi makanan yang boleh menyebabkan 'morning sickness' dan mual. Kenal pasti makanan yang mudah membuatkan kamu loya dan jauhi makanan tersebut buat sementara waktu. Ada wanita hamil yang mual terhadap makanan bertumis, pedas atau bergoreng. Makan makanan yang kamu selesa, dan jika tidak selera makan, cukup dengan mengambil kuantiti sedikit sahaja.
  2. Mengunyah kudapan juga boleh membantu mengurangkan mabuk hamil. Namun jangan makan kudapan yang tidak berkhasiat, terutamanya jeruk. Antara kudapan (snack) yang boleh diamalkan ialah biskut kraker, buah-buahan kering seperti kismis, prun dan aprikot atau kekacang seperti kacang kuda. 
  3. Minum dengan kerap boleh membantu meredakan mabuk hamil. Jika berasa pening, minuman seperti teh halia boleh membuang angin dan memberi kelegaan. Minuman lain yang elok untuk diamalkan ialah susu (terutama susu untuk ibu hamil), minuman malt (horlicks) atau ribena (mengandungi vitamin C).
  4. Jika berasa lesu (fatigue) sepanjang kehamilan, pastikan mengambil diet makanan yang tinggi kandungan iron (zat besi). Antara pemakanan yang elok untuk diamalkan ialah daging, ayam, makanan laut, sayuran hijau, bijirin dan kekacang.
  5. Jangan bekerja berterus-terusan kerana keadaan kamu yang hamil memerlukanmu banyak berehat. Berhenti pada selang masa tertentu dan buat pergerakan kaki dan badan supaya pengaliran darah berjalan lancar dan menghilangkan kelesuan. Untuk menambah kuantiti masa rehat, berhenti melakukan aktiviti tertentu, contohnya jika shopping di luar menjadikan kamu penat, gantikan dengan melakukan 'shopping online'. Kamu juga boleh mengupah orang mengemas rumah dan membersihkan halaman jika kesihatanmu terjejas andai melakukannya sendiri.
  6. Tidur awal sangat baik untuk kesihatan ibu dan kandungan. Tidurlah dengan aman supaya kamu dapat mendepani hari esok dengan lebih bertenaga dan bersemangat. Mengandung bukanlah alasan untuk kita menjadi tidak produktif. Bekerjalah dengan tenang dan tanamkan sifat-sifat yang positif dalam diri. Ibu yang cergas dan gembira InsyaAllah akan melahirkan bayi yang sihat dan riang.