Pembaca Molek

Sunday, 8 May 2011

Cantik dari dapur

Ada orang menghabiskan beratus-ratus ringgit demi peruntukan kecantikan saban bulan. Kadang-kala kerana perasaan yang telah tersemat di dalam minda. Kononnya jika produk mahal, hasilnya tentu cantik. Jangan pernah fikir begitu. Berikut adalah hasil 'sisa' di dapur sendiri yang boleh dijelmakan jadi produk kecantikan.

Putih telur semulajadi adalah masker muka yang paling ajaib. Ada orang gabungkannya dengan perahan limau nipis untuk hasil lebih memuaskan. Caranya ambil putih telur dan sapu pada muka yang telah dibersihkan. Boleh juga lekapkan kapas muka pada keseluruhan wajah. Setelah ia mengering, tarik kapas muka perlahan-lahan dan cuci muka bersih-bersih. Blackhead dan whitehead juga ikut tertanggal.

Serbuk kopi yang telah dibancuh jangan dibuang. Cuba usapkan sisa-sisa serbuk kopi pada tapak tangan anda, bilas dan rasakan kelembutannya. Tahukah anda serbuk kopi yang mengandungi kafein mempunyai kesan yang bagus untuk peredaran darah? Ya, Garnier menggunakan khasiat kafein kopi untuk produk penjagaan matanya kerana terbukti boleh menghilangkan sembap. Spa-spa kecantikan juga ada 'lulur kopi' kerana boleh menghilangkan selulit.

Seorang rakan di asrama dulu berkulit semulus bayi. Kakak-kakaknya juga berkulit semulus dia. Rahsia mereka? Susu sejat (Ideal). Sapu rata-rata pada wajah untuk mencuci muka. Gunakan kapas dan anda akan dapat melihat kekotoran yang diangkat dari wajah. Tiada alat penanggal mekap? Gunakan kapas yang telah direndam susu, bersihkan sisa-sisa mekap anda. Pastikan bersih sempurna jika tidak mahu kesan melekit daripada susu.

Aloevera yang tumbuh di laman dapur juga punya seribu khasiat berguna. Ambil lendir dari pelepahnya dan sapukan pada rambut supaya lebat bersinar. Gel putih sejuk itu juga boleh menyamankan kulit yang terkena panahan matahari. Minum air aloevera untuk mencuci tubuh dan menyembuhkan luka dalaman. Restoran Johnny's yang terkenal dengan steamboat itu ada menu air aloevera yang sejuk segar. Peel fresh juga ada pek minuman jus aloevera dan anggur putih. Minum dan lestarikan kecantikan.


No comments:

Post a Comment