Pembaca Molek

Thursday, 2 June 2011

Penuhi masa dengan hobi

Bangun dari tidur, sarapan, makan tengahari, menjalani rutin seharian, bekerja atau menguruskan rumahtangga hingga ke malam, adakah anda menjadi bosan melakukannya berulang-ulang? Penuhi masa dengan hobi. Hobi menjadikan anda lebih gembira dan lebih puas. Hobi adalah terapi minda yang paling baik untuk diamalkan.

Sebenarnya, semua wanita mempunyai hobi masing-masing. Namun semakin kita meningkat dewasa dan bekerjaya, kita terlalu asyik dengan kesibukan sehingga melupakan hobi yang disukai. Jangan terlampau terjerat dengan rutin harian hingga tiada medium untuk melepaskan tekanan. Pejamkan mata. Cuba fikir kembali apakah hobi dan minat anda zaman anak-anak dulu? 

Membaca adalah hobi yang paling asas. Sediakan sedikit peruntukan untuk membeli majalah dan buku-buku buat meluaskan pengetahuan. Anda juga boleh meluangkan masa menemani anak kecil anda membaca buku ceritanya. Percayalah, anda akan terhibur dan gembira apabila mengimbau kembali buku cerita Cinderella, Snow White, cerita Pak Pandir dan kisah-kisah Sang Kancil.
Memasak. Memasak adalah amalan yang sangat terapeutik dan menenangkan minda. Jika anda golongan orang bekerja, ambil masa-masa senggang hujung minggu untuk mencuba resepi-resepi baru. Pelbagaikan gaya resepi seperti masakan barat, masakan nyonya, kuih Melayu tradisional dan cuba juga masakan gaya fusion (gabungan resepi berbeza benua). Kuasai cara membuat puding, spaghetti, kari ayam dan pelbagai manisan.

Beriadah. Jangan jadikan faktor kesibukan sebagai penghalang untuk anda beriadah. Jauhi kerja-kerja pejabat buat sementara waktu dan isikan mata anda dengan gerakan badan yang menyihatkan. Pergi ke taman-taman dan pusat-pusat rekreasi, lakukan aktiviti jalan-jalan dan bersiar-siar untuk merehatkan minda. Jika kesuntukan masa untuk keluar rumah, buat aktiviti senaman 'in door' seperti menggunakan dumb-bell, swiss ball, gerakan tarian dsb.

Berkebun. Jika mempunyai halaman rumah luas, manfaatkan dengan menanam tanaman lanskap atau herba. Anda akan berpuas hati apabila melihat hasil tanaman bercambah dan membiak. Isi masa anda dengan menyiram bunga, membaja, merapikan tanah dan rumput. Ia akan menjadi terapi minda yang paling berkesan. Herba yang anda tanam juga amat berguna kerana boleh dimanfaatkan untuk kegunaan dapur sendiri.

Berpuisi. Selami perasaan halus di dasar hati anda dan luahkannya dengan menggarap puisi. Dunia sekarang penuh dengan kekejaman dan keganasan, lembutkan perasaan anda dengan menulis bait-bait puitis dan romantik. Hayati makna kasih sayang, fahami falsafah dan curahkan daya kreatif anda dengan menulis. Anda juga boleh mengeksplorasi daya kreatif anda yang lain dengan melukis, mereka kad ucapan, menghasilkan kraftangan atau lain-lain hasil seni.









No comments:

Post a Comment